Teaser My Hearless Lady - Mia Azwari

PROJEK BOS💖 (Versi belum edit )

Terdengar bunyi kereta dari luar rumah membuatkan Inara lekas menjenguk ke luar tingkap rumah. Nafas lega ditarik perlahan. Sejak dari petang tadi dia menunggu kepulangan suaminya.

Saat pintu rumah dibuka, Inara segera menghampiri si suami. Wajahnya jelas kelihatan gembira kerana tidak sabar untuk berkongsi sesuatu dengan Thaqif.

"Kenapa tak tidur lagi?" Thaqif berasa pelik melihat Inara tiba-tiba berkelakuan seperti isteri mithali.

"Nara tunggu abang. Jom kita makan… Nara masak special untuk abang hari ni."

Lengan Thaqif ditarik menuju ke meja makan. Namun, lekas sahaja Thaqif menarik tangannya kembali.

"Abang dah kenyang," dingin Thaqif menolak.

Berubah wajah Inara saat ini. Namun dia perlu mengambil hati suaminya kembali. Dia tahu semasa di pejabat tadi, Thaqif terasa hati dengannya kerana menolak usul suaminya. Sebaik sahaja mereka tamat mesyuarat, Thaqif terus menghilangkan diri dari pejabat.

"Kalau macam tu, temankan Nara makan." Inara masih lagi cuba memujuk.

Thaqif tergelak sinis. Terasa lucu pula dengan permintaan si isteri.

"Selama ni, bukan Nara dah biasa makan sendiri dekat luar. Abang pun, Nara abaikan," sindir Thaqif.

Menjadi suami kepada wanita berkerjaya seperti Inara selama tiga tahun, sudah cukup membuatkan tahap kesabaran Thaqif semakin menipis.

Jika di tempat kerja, dia akan bersikap profesional dengan isterinya. Namun kejadian petang tadi telah berjaya membuka matanya yang Inara tidak akan pernah memahami suami sendiri.

Terkedu Inara dengan sindiran itu. Dia perasan suaminya sudah tidak seperti dulu lagi. Hilang sudah sikap suaminya yang sentiasa prihatin dan bercakap lembut dengannya.

Namun, dia berasa bersyukur Thaqif masih menunaikan tanggungjawab sebagai suami dari segi nafkah zahir dan batin terhadapnya. Walaupun ada juga dia terdengar tentang gosip liar tentang suaminya, Inara tidak mahu percaya.

"Please abang. Nara ada perkara penting nak beritahu abang. Esok, Nara ada kerja dekat JB," pujuk Inara.

Thaqif merengus perlahan.

"Okey, abang pun ada perkara penting nak bincang."

Inara sudah tersenyum lega.

"Kita makan sambil berbincang ye…"

Inara menarik tangan Thaqif menuju ke meja makan. Dia menyuruh Thaqif duduk berhadapan dengannya. Melihat makanan yang disediakan oleh isterinya, hampir sahaja membuatkan Thaqif ingin menjamah. Namun egonya menghalang.

"Betul abang tak nak makan?"

Thaqif gelengkan kepala. Inara sedikit kecewa tetapi demi memujuk suaminya, Inara akan terus bersabar.

"Abang nak cakap apa dengan Nara? Abang cakaplah dulu..." soal Inara yang sudah mula menjamah nasi di pinggan.

Thaqif berdeham sedikit. Dia berharap, perkara yang akan disampaikan olehnya nanti tidak akan memberi tamparan buat Inara. Lagipun, Thaqif sangat yakin selama ini Inara mampu hidup berdikari.

"Abang nak kita berpisah…"

Terlepas sudu dari tangan Inara membuatkan bunyi pinggan berdenting dengan kuat. Perlahan-lahan Inara mendongak memandang Thaqif.

"Atas alasan apa?" Tenang Inara bertanya. Wajahnya masih kekal biasa.

"Nara tahu kan apa masalah kita selama ni? Hubungan kita dah lama retak. Abang cuba bersabar dan bertahan tapi, sampai bila?"

Inara menelan air liur yang terasa pahit. Dia sedar selama dia bergelar isteri, dia lebih mengutamakan soal kerja dan mementingkan diri sendiri. Sudah pasti syarat yang diberi oleh Inara dulu sebelum mereka berkahwin telah membuatkan Thaqif makan hati.

"Tak boleh ke, abang bagi peluang untuk Nara berubah?"

Thaqif tergelak sinis.

"Berubah? Kenapa baru sekarang nak berubah? Sepatutnya Nara dah berubah sejak hari pertama kita berkahwin lagi. Mungkin ini hikmahNya kita masih tak ada zuriat lagi. Kalau kita ada anak, tak mustahil Nara akan abaikan anak-anak abang. Dan abang tahu, memang Nara tak pernah terfikir nak mengandungkan anak abang…"

Menggigil tubuh Inara mendengar jawapan itu. Jelas, Thaqif sudah tekad untuk berpisah dengannya. Tiada guna dia merayu jika keputusan Thaqif masih sama. Inara lekas berdiri di hadapan Thaqif.

"Baiklah. Inara setuju untuk berpisah…"

Tidak mahu terus berlama di situ, Inara lekas ingin meninggalkan meja makan. Seleranya sudah mati.

"Apa yang Nara nak beritahu tadi? Kata penting sangat…"

Mati langkah Inara. Dia berdiri membelakangi Thaqif. Tangannya dikepal kuat. Nafas dihela dengan perlahan.

"Perkara tu dah tak penting lagi. Lepas saya balik dari JB, kita uruskan penceraian kita di mahkamah."

Tersentak Thaqif dengan panggilan yang baru digunakan oleh Inara. Melihat isterinya berlalu pergi tanpa rasa menyesal, membuatkan hati Thaqif cukup terluka. Sudah terbukti selama ini dia hanyalah boneka di dalam hidup Inara sahaja.

Mungkin perpisahan adalah yang terbaik buat mereka berdua. Biarlah hubungan mereka sekadar di antara majikan dan pekerja. Dia sudah membuat keputusan untuk berhenti kerja di syarikat isterinya sebaik sahaja penceraian mereka selesai.

"Maafkan abang... mungkin ini yang terbaik untuk kita..."

💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖💖

#theboss

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top