Teaser 3-Time to love- Ateen Khalid
“Ada benda kan yang kau nak cakap dengan aku? Baik kau datang sini cakap sekarang. Tak payah buat perangai mengintai macam tu.” Reza memeluk tubuh.
Perlahan-lahan Edith bergerak dan mendekati Reza sambil tunduk. Akhirnya dia mengukir senyuman nipis.
“Betul tu bos! Memang ada benda yang saya nak cakap.”
“Buang tabiat ke panggil aku bos?”
“Taklah, betullah awak bos saya kan? Tapi macam mana tahu saya nak tanya sesuatu?” soalnya, masih dengan senyuman.
“Kau tenung aku macam orang psycho tau. Ngeri. Dahlah senyum macam tu. Aku tak suka. Creepy kau tahu tak?”
Edith mencebik sebelum berdeham. “Sebenarnya ada benda yang saya nak tanya.”
Reza membalas dengan hanya mengangkat kening. Memberi isyarat agar wanita itu teruskan kata.
“Macam ni…” Edith diam, dia memandang kiri dan kanan seolah-olah apa yang ingin dikata merupakan rahsia negara.
“Tak payah tenung kiri kanan, mana ada sesiapa. Dalam kedai ni ada aku dengan kau aje.”
“Okey.” Edith mengamit Reza sebelum mendekatkan wajahnya seakan mahu berbisik.
Berkerut wajah Reza dibuatnya dengan tingkah laku Edith. Dia mahu membuka mulut namun Edith memangkas niatnya.
“Saya selalu tengok awak pakai topi…”
Wait, what? Dah kenapa ‘topi’ pulak yang disebut?
“Kalau awak tak pakai topi, mesti awak pakai songkok.”
Dia ni nak cakap apa sebenarnya ni? Walaupun hairan, tapi Reza tetap diam dan biarkan Edith meneruskan kata.
“Saya tak pernah nampak rambut awak bahagian atas…” Edith menyentuh atas kepalanya sendiri, “Jadi… erm… sebenarnya, awak botak dekat tengah-tengah ke? Sebab tu awak selalu pakai topi dan songkok?”
Jatuh rahang Reza. Dalam kepalanya memang tidak terlintas langsung yang soalan itu sebenarnya yang akan ditanya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top