Bab 7

SELEPAS selesai urusan di bank, Syukri mengajak Syamil makan tengah hari di kedai. Dia ingin membalas jasa baik Syamil. Puas Syamil menolak tetapi orang tua itu masih berkeras. Terpaksalah Syamil menerima niat baik lelaki itu.

“Pak cik ni susah-susah aje. Saya tolong pak cik dengan ikhlas. Tak perlulah sampai nak belanja saya makan.” Serba salah pula Syamil ketika ini.

“Tak apalah... bukannya selalu. Lagipun pak cik boleh makan berteman. Anggap aje pak cik nak balas budi Syamil...”

“Err... pak cik datang ke sini dengan apa tadi?” Tanya Syamil dengan prihatin.

Walaupun dia masih belum yakin yang anak lelaki ini adalah orang yang sama ditemuinya beberapa bulan yang lalu, namun gerak hati Syamil dapat merasakan Aina adalah orang yang sama. Lebih-lebih lagi wajah Syukri seiras dengan wajah gadis itu.

“Pak cik bawa kereta sendiri. Kamu nampak aje pak cik  ni cacat tapi pak cik masih mampu lagi pandu kereta sendiri. Kaki kanan pak cik ni, alhamdulillah... masih kuat lagi untuk bekerja,” jawab Syukri dengan penuh yakin.

Tercengang Syamil. Kagum juga dia dengan semangat orang tua ini. Tiba-tiba Syamil teringat akan perbualan mereka di bank. Timbul tanda tanya di dalam fikirannya ketika ini.

“Tadi pak cik kata baru pertama kali masukkan duit di bank. Sebelum ni, siapa yang bantu pak cik kirimkan wang?” Air minuman disedut perlahan.

Tersenyum kelat Syukri dibuatnya. Malu juga jika Syamil tahu selama ini dia sudah mengabaikan kebajikan anak perempuannya. Syamil dihambat rasa bersalah melihat perubahan wajah orang tua itu. Mungkin dia tidak patut masuk campur dalam urusan keluarga Syukri.

“Saya minta maaf pak cik kalau tanya soalan yang bukan-bukan…”

“Tak ada yang salahnya dengan soalan kamu tu. Kalau kamu tak tanya pak cik sekarang, mungkin pak cik tak akan sedar atas kesilapan pak cik selama ini,” kata Syukri dengan penuh makna.

Berkerut dahi Syamil.

“Kenapa pak cik cakap macam tu?”

Syukri menarik nafas dengan agak berat. Terbayang wajah anak perempuannya yang sudah hampir setahun dia tidak berjumpa.

“Selama ni pak cik dah lama abaikan kebajikan anak pak cik. Lepas anak pak cik dapat sambung belajar, dia sendiri yang tanggung perbelanjaan sendiri. Bukan pak cik tak nak kirim duit, tapi masa tu isteri pak cik tak benarkan. Dia tak suka anak pak cik sambung belajar. Tak sangka anak pak cik tu, dah berjauh hati. Setahun dah pak cik tak jumpa dia. Sebelum ni pak cik minta tolong jiran yang masukkan duit…” Luah Syukri dengan rasa sebak.

Tergamam Syamil. Simpati dengan nasib yang dihadapi oleh anak perempuan Syukri.

“Isteri pak cik tu…”

“Dia ibu tiri Aina. Pak cik kahwin dengan dia selepas lima tahun ibu kandung Aina meninggal dunia…” celah Syukri.

Syamil mengangguk faham.

“Alhamdulillah, hari ni pak cik ada peluang untuk tunaikan tanggungjawab pak cik sebagai seorang ayah. Pak cik harap sangat masih belum terlambat untuk betulkan kesilapan pak cik…” kata Syukri sambil merenung jauh ke tengah jalan raya.

Syamil agak terkilan dengan sikap Aina. Tidak sepatutnya gadis itu bertindak ego. Sanggup tidak pulang ke sini kerana salah faham.

“Tak patut dia buat macam tu dengan pak cik. Aina ada call pak cik?” Menyebut nama itu sahaja, dada Syamil terasa berdebar. Pelik!

“Dia jarang call pak cik sebab takut mak tiri dia marah. Setiap kali dia balik, mesti dia akan bergaduh dengan bekas isteri pak cik. Jadi… pak cik tak salahkan dia kalau dia tak nak balik ke sini.”

“Bekas isteri?” Ternganga Syamil seketika.

Syukri tersenyum tawar.

“Dah tiga bulan pak cik bercerai dengan ibu tiri Aina. Kami berpisah secara baik. Aina pun langsung tak tahu tentang penceraian kami…” Tenang Syukri memberikan jawapan.

Terdiam Syamil. Tak sangka masih lagi ada keluarga yang mengalami masalah rumit berbanding dengan keluarganya. Syukur kerana ibu dan abah sangat sayangkan Sakinah walaupun Sakinah bukan adik kandungnya.

“Minta maaflah Syamil... tak tahu kenapa hari ni mudah sangat pak cik ceritakan masalah pak cik kepada kamu. Mungkin pak cik rasa selesa dan selamat dengan Syamil…” Syukri ketawa kecil.

“Saya lagi suka berkongsi masalah dengan pak cik. Tak baik kita pendam masalah. Takut nanti jadi satu penyakit pula. Baguslah pak cik dapat luahkan kepada seseorang supaya hati pak cik rasa tenang.” Nasihat Syamil dengan penuh makna. Dia tidak mahu perkara yang berlaku terhadap adiknya akan berlaku kepada orang lain pula.

“Syamil orang sini ke?”

“Saya dari Kuantan. Saya bekerja sementara dekat kilang makanan depan tu. Dapat result STPM nanti, saya berhentilah kerja.”

Bulat mata Syukri. Langsung dia tidak menyangka yang Syamil masih lagi bersekolah.

“Allah… pak cik ingatkan kamu ni sebaya dengan Aina. Tak sangka pula rupanya kamu lagi muda dari dia.” Syukri ketawa lucu.

Syamil turut ketawa. Dia tidak hairan jika ramai yang terkejut dengan umurnya. Dengan keadaan tubuhnya yang tinggi serta wajah yang matang, dia sering dikatakan lebih berumur dari usia sebenar.

“Saya ni baru habis sekolah pak cik tapi badan saya ni macam orang terlebih umur.” Seloroh Syamil. Ketawa mereka saling bergabung.

“Dari mata kasar pak cik, Syamil ni dah layak jadi suami orang. Kalau kamu ni belum berpunya, bolehlah jadi menantu pak cik...”

Mati ketawa Syamil. Terasa berpasir pula nasi ayam yang dijamahnya sekarang. Berkahwin pada usia muda, memang jauh dari rancangan masa depan. Anggap sajalah Syukri sekadar bergurau.

💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓

“MIL…”

Tersentak Syamil. Dia berpaling memandang Razif. Suis mesin pemotong buah pisang ditutup terlebih dahulu.

“Kau pergi mana tadi? Puas aku tunggu kau dekat kedai makan…”

“Aku makan dengan orang lain. Aku ada tolong pak cik tadi masukkan duit. Tak sangka dia berkeras nak belanja makan…” jelas Syamil. Dia masih ralit melihat keadaan mesin sebelum digunakan oleh pekerja nanti.

“Patutlah tak muncul-muncul…” Cemberut wajah Razif.

Syamil tersenyum nipis. Dia sempat bertukar nombor telefon dengan Syukri sebelum berpisah. Saat ini gadis yang bernama Aina itu muncul di dalam kotak fikirannya.

“Zif...”

“Ehmm…” Gumam Razif tanpa memandang ke arah Syamil.

“Pernah tak kau terjumpa dengan orang yang sama secara kebetulan. Maksud aku… lebih dari sekali kau jumpa dengan dia…”

Laju Razif berpaling ke arah Syamil. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Pelik pula dia dengan soalan tak dijangka itu.

“Jumpa dengan orang yang sama secara kebetulan? Banyak kali?” Soal Razif inginkan kepastian.

Syamil mengangguk perlahan. Lama Razif berfikir.

“Sebelum tu aku nak tanya, orang yang selalu dia jumpa tu lelaki atau perempuan?”.

“Ada beza ke lelaki atau perempuan?”

“Mestilah ada beza! Kalau orang tu lelaki, itu memang aku yakin satu kebetulan tapi...” Sengaja Razif meleretkan nada suaranya.

“Tapi apa?” Gesa Syamil.

Razif ketawa lucu.  Geli hati pula melihat wajah teruja Syamil.

“Tapi kalau orang tu perempuan, itu jodoh namanya.”

Tergamam Syamil. Matanya tidak berkelip memandang Razif.

“Manalah tahu kalau memang dia ditakdirkan untuk lelaki yang bernama Syamil Afwan ni…” Bahu Syamil ditepuk perlahan.

Syamil merengus perlahan.

“Dah mulalah tu nak merepek. Pergilah sambung kerja.”

Syamil lekas menghidupkan mesin. Dia perlu memastikan mesin ini siap dibaiki sebelum balik. Menyesal pula dia bertanyakan soalan itu kepada Razif.

“Eleh… aku cakap perkara yang betul. Kau jangan nak buat hal dekat sini. Kita datang nak bekerja. Jangan pula kau bawa menantu balik Pahang pula…”

Terbutang biji mata Syamil. Ada juga yang tertelan skru nanti.

“Ke situ pula!”

Razif masih lagi ketawa geli hati sambil menggelengkan kepala. Sah orang itu ialah perempuan. Pandai pula Syamil ni berahsia.

😍😍😍😍😍😍😍😍

TERKEJUT Aina melihat baki akaun bank melalui telefon bimbitnya. Pelik kerana ada seseorang yang telah memasukkan wang ke akaunnya. RM200 satu jumlah yang agak banyak juga bagi diri Aina.

“Tak akanlah ayah…”

Tidak mahu terus berteka-teki, terus dia mengeluarkan telefon bimbit dari beg galasnya. Dia mahu menghubungi Syukri.

“Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam, ayah. Ayah sihat?” Lega hati Aina kerana panggilan telefonnya di jawab oleh Syukri. Risau juga jika ibu tirinya yang menjawab panggilan tadi.

“Alhamdulilah, sihat. Aina sihat” Ceria sahaja nada suara Syukri.

“Aina pun sihat. Mak cik tengah buat apa?” Sengaja Aina bertanya tentang ibu tirinya.

Terdiam Syukri. Serba salah untuk dia berikan jawapan. Malu pun ada dengan masalah rumah tanggannya.

“Err… dia keluar. Kenapa Aina call? Ada masalah dekat sana?” Syukri lekas mengubah topik perbualan.

Aina menepuk dahinya perlahan. Hampir sahaja dia terlupa tentang tujuan dia menghubungi Syukri.

“Ayah ada beri Aina duit ke?”

Syukri menarik nafas lega. Gembira kerana Aina sudah tahu tentang wang itu.

“Ye, ayah ada masukkan ke akaun Aina. Cukup tak duit tu?”
Hampir ternganga Aina.  “Ayah... tak... tak main-main kan?”

“Ye... ayah tak bergurau pun dengan Aina…”

“Mak cik tak marah ayah? Aina tak nak ayah bergaduh pula dengan mak cik.” Perkara itulah yang merunsingkan Aina.

“Tak perlu risau. Yang penting sekarang, Aina belajar bersungguh-sungguh. Kalau Aina ada masalah, telefon aje ayah ye,” pinta Syukri.

“Err... Insya-Allah, ayah.” Bertambah curiga Aina dengan perubahan sikap ayahnya.

“Ayah nak pergi ke surau. Nanti kita cakap lagi ye…”

Aina masih berdiri kaku sebaik sahaja talian ditamatkan. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan ayahnya.

💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓💓

Tempahan utk buku ni dh dibuka sehingga 27 jun. Dijangka siap pada bulan julai. Berminat wasap akak 0129284568 ye. Ada penambahan plot dan penukaran lokasi cerita. Nak tahu, blh tempah skrg😘😘


Untuk pembelian single rm40 sm/ rm43 ss


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top