Bab 2

SYAMIL meletakkan beg plastik buku yang dibeli tadi di atas katil. Dia masih berasa pelik dengan kejadian tadi. Terkejut juga Syamil apabila diberitahu jumlah yang perlu dibayar hampir mencecah beratus ringgit. Mujurlah dia ada membawa duit lebih.

Microbiology

"Buku apa ni? Haishh... kau pun satu Mil... yang pergi bayar juga buat apa?" Omel Syamil seorang diri. Tiba-tiba dia teringatkan gadis comel tadi. Memang dia perasan gadis itu ada melihat buku-buku yang berkaitan tentang perubatan semasa di kedai buku.

"Mustahil ni buku dia..."

Melihat daripada fizikal Aina tadi, memang jelas dia seperti budak sekolah menengah. Malah semasa Syamil menyuruh Aina pergi mencari buku rujukan SPM, langsung tiada bantahan daripada gadis itu.

"Abang Mil..."

Syamil menoleh ke arah Sakinah.

"Kenapa adik?" Risau juga kalau adiknya tiba-tiba berasa tidak sihat.

"Tak ada apa... adik tengok motor Abang Mil ada, tu yang cari Abang Mil dekat sini. Abang Mil beli buku lagi ye?"

Sakinah duduk di sebelah Syamil sambil melihat buku-buku yang dibeli. Sayu hati Syamil melihat adiknya seperti berminat dengan buku-buku sekolah setiap kali dia pulang membeli buku-buku baru. Mungkin Sakinah rindukan zaman persekolahanya yang terpaksa ditinggalkan akibat sakit.

Sakinah sekarang sudah mula menunjukkan perubahan positif. Kalau dulu, pantang ternampak buku-buku sekolah, cepat sahaja Sakinah mengamuk.

"Ni buku Abang Mil ke? Sejak bila abang Mil minat tentang perubatan?"

Tertelan air liur Syamil. Melihat buku yang berada di tangan Sakinah, dia menjadi serba salah. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan.

"Err... tu buku kawan Abang Mil. Dia minta tolong belikan." Bohong Syamil.

"Ooo... agaknya Abang Arul mesti belajar buku ni juga kan..." Perlahan sahaja nada suara Sakinah.

Terkedu Syamil. Dari riak wajah Sakinah, jelas menunjukkan gadis itu sangat rindukan Fakrul.

Syamil mengeluh berat. Hampir dua tahun Fakrul tidak pulang ke Malaysia. Kali terakhir mereka berjumpa, pada hari perkahwinan Kak Riha.

"Agaknyalah. Abang Mil pun tak pasti. Err... adik... adik rindu dia ke?" Takut-takut Syamil cuba mengorek isi hati Sakinah.

Dia tidak mahu adiknya terus memendam perasaan. Nasihat daripada umi, mereka sekeluarga perlu sentiasa berbual dan menyokong keinginan Sakinah. Sakinah hanya tersenyum nipis. Bukan niat dia untuk terus berahsia tentang isi hatinya. Bagi Sakinah, biarlah dia meluahkan perasaannya dengan caranya sendiri.

"Adik sebenarnya dah lama nak minta maaf... sebab adik, Abang Mil terpaksa korbankan masa depan sendiri... adik tahu, Abang Mil tolak tawaran belajar dekat luar negara disebabkan masalah adik..." Sakinah tunduk menekur lantai.

Syamil agak terkejut kerana tiba-tiba sahaja isu ini dibangkitkan. Lekas dia mengusap rambut panjang Sakinah.

"Dik... Abang Mil dah banyak kali pesan, jangan cakap macam tu. Lagipun Abang Mil buat semua ni untuk keluarga kita... Abang Mil tak pernah menyesal. Yang penting sekarang, Abang Mil nak tengok adik sihat macam dulu."

Sakinah mendongak memandang Syamil. Terharu dengan pengorbanan Syamil.

"Insya-Allah, adik akan sihat. Adik nak Abang Mil capai cita-cita sendiri. Bertuah siapa yang dapat jadi isteri Abang Mil nanti. Adik yakin Abang Mil akan jaga dan sayang dia sangat-sangat... sama macam Abang Mil jaga adik dan ibu." Puji Sakinah sambil mengeyitkan mata.

Berkerut dahi Syamil mendengar kata-kata pujian itu.

"Jangan nak merepeklah dik. Umur Abang Mil baru 20 tahun... lambat lagi nak fikir pasal kahwin ni." Bantah Syamil. Dia bangun dan menyimpan buku-buku yang dibelinya tadi di rak buku.

"Alaa... apa salahnya? Cer tengok Kak Piah tu. Umur 21 tahun dah jadi isteri orang."

Syamil tergelak lucu. Boleh pula Sakinah bercakap tentang isu kahwin muda.

"Mana boleh samakan Abang Mil dengan Kak Piah. Kak Piah tu perempuan, memang tak salah kalau dia nak kahwin awal. Abang Mil ni lelaki dik oiii... kena tanggung makan pakai anak dara orang. Besar tanggungjawab seorang suami..." Panjang lebar Syamil memberikan hujah.

Cemberut wajah Sakinah.

"Eleh... yelah tu. Nanti kalau Abang Mil dapat jodoh di usia muda, masa tu adik nak gelak puas-puas. Baru padan dengan muka Abang Mil."

"Benda tu tak akan berlaku dik. Nak kahwin pun tunggu Abang Mil dan grad dan yang paling penting ada kerja tetap. Ni... yang adik dari tadi dok cakap pasal kahwin ni dah kenapa? Jangan-jangan adik yang nak kahwin awal..." Sakat Syamil sambil ketawa lucu.

Sakinah tersenyum kelat.

"Ada ke yang sudi kahwin dengan pesakit mental macam adik ni? Kalau ada, memang adiklah pengantin paling bahagia..."

Ketawa Syamil terus mati. Melihat riak wajah Sakinah yang suram, rasa mahu ditampar mulut sendiri kerana bercakap yang bukan-bukan.

"Maaf adik... Abang Mil tak sengaja."

"Tak ada apalah. Adik okey." Sakinah memaniskan wajah. Dia tidak mahu Syamil berasa bersalah.

"Adik datang cari Abang Mil ada hal apa?" Sengaja Syamil mengubah topik perbualan.

"Allah... lupa adik nak beritahu Abang Mil. Ibu panggil makan. Jomlah..."

Tergeleng Syamil dibuatnya. Lengan Syamil dirangkul dengan mesra. Mereka berdua keluar dari bilik menuju ke dapur.

😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍

Ada yg rindu dengan dua beradik ni? Akak bg sikit ye. InsyaAllah, buku ni dijangka terbit bln depan. So blh sempat menyimpan😊😊

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top