🌹Bahagian 6🌹

SEPULUH TAHUN KEMUDIAN...

KETUKAN pintu dari luar mematikan tangan si gadis dari terus melorek di atas kertas kanvas. Dibetulkan sedikit selendang bercorak bunga-bunga merah jambu di atas kepalanya sebelum dia bangun dari duduk. Senyuman terus dihadiahkan pada tetamu yang sudah ditunggu-tunggunya sejak tadi. Mereka berdua sudah saling berbalas senyuman sebelum tetamunya itu memeluk erat tubuh gadis itu. Terus dia meloncat-loncat gembira dengan kedatangan tetamu itu. Terkebil-kebil staff yang lalu-lalang di luar bilik lukisannya. Dia sengih. Nasib badanlah dapat bos masuk air.

"Mel! Kau ni kan memang tak berubah kan? Masih mental macam dulu lagi."

Melati ketawa kecil. Suka betul hatinya dengan kedatangan Tina.

"Apa je yang tak berubah tentang aku Tina. Sama je macam dulu. Wei aku rindu kau separuh mati beb! Rasa nak guling-guling pun ada bila kau sudi datang tengok aku. Terharu aku beb. Sob... sob..."

Tina tampar kuat bahu Melati bila gadis itu sudah pura-pura menangis di bahunya. Meluat betul tengok Melati gedik macam tu sekali.

"Kau jangan nak mengada pura-pura menangis eh. Lagipun aku cuma nak tengok galeri seni kau ni aje. Tak ada maknanya aku nak tengok kau ni. Dahlah tak pergi majlis kahwin aku, terasa tahu aku sampai sekarang. Sampai hati kau kan. Yalah kita kan cuma kawan sekejap aje." Tina sudah buat-buat merajuk. Masih terkesan di hatinya bila Melati tak dapat datang acara pernikahannya tiga tahun lepas.

"Alolo mak boyot ni, janganlah merajuk nanti anak dalam kandungan kau ni pun kuat merajuk nak? Aku bukannya tak nak pergi. Tapi waktu tu clash dengan waktu aku ada exhibition arts," jelas Melati.

Terus saja Melati dapat cubitan ketam daripada Tina yang geram. Terjerit kecil Melati menahan keperitan itu.

"Ni takkan nak berdiri kat sini je Mel? Bawalah aku ronda galeri seni kau ni. Aku tergamam tau tengok hasil seni dekat galeri ni. Semuanya cantik-cantik. Penuh dengan warna warni. Memang dah tercapai impian kau kan, nak jadi pelukis. Ada galeri seni macam ni."

Melati dan Tina sudah berpimpin tangan. Sempat lagi Tina pandang sekilas lukisan potret di kanvas Melati yang terdedah itu sebelum Melati tutup pintu bilik lukisannya. Tina senyum nipis.

Ada saja yang keluar daripada mulut Melati, menjelaskan lukisan yang dilakarnya. Lukisan yang digantung di segenap ruang dinding galeri tersebut. Keunikan galeri dua tingkat tersebut ialah cat hitam putihnya. Tingkat satu dipenuhi dengan hitam putih manakala tingkat dua pula dipenuhi dengan cat dinding berwarna putih saja. Di tingkat dua juga ada disediakan kafe dan juga kedai cenderahati.

"Mel, kau dah berubah," ujar Tina tiba-tiba.

"Berubah? Apa yang berubahnya Tina? Biasa aje pun."

Mereka mati langkah di hadapan sebuah lukisan yang menggambarkan sebuah pemandangan sawah padi. Ada dua orang sedang berada di bendang tersebut. Seorang lelaki dan perempuan. Hasil daripada lukisan Melati sendiri.

"Kau tambah cantik. Nampak berkerjaya beb, sejuk mata aku tengok kau pakai tudung. Kau dah tambah matang biarpun kau punya perangai mental tak hilang lagi."

Melati ketawa kecil. Geli hatinya dengan kata-kata Tina itu.

"Kau pun tambah lawa Tina. Kurus dah. Bahagia aku tengok kau dah ada keluarga sendiri. Sepuluh tahun banyak perubahan yang berlaku kan?"

Tina pandang lukisan di depannya. Senyuman di bibirnya tambah mekar bila matanya tertancap ke arah sebuah lukisan air sungai. Nampak realistik lukisan tersebut. Tak dapat disangkal lagi bakat Melati.

"Ya, banyak perubahan yang jadi sepanjang sepuluh tahun ni. Tapi... hati kau... hati kau masih ada dia kan Mel?" Melati tersentak. Dia terus melarikan anak matanya dari terus memandang wajah Tina. Sesungguhnya sahabat dia yang seorang ni memang pandai baca fikiran dia.

"Mel?"

Diam.

"Kenapa kau tolak semua lamaran tu Mel? Hati kau masih ada mamat tu ke? Semua lukisan ni, kenangan di antara kau dengan..."

"Dia... apa khabar Tina? Dia dah kahwin ke?" Ada getaran pada nada suara Melati. Sungguh, ini topik sensitif buat gadis itu. Sepanjang sepuluh tahun tak ada sesiapa yang bahaskan tentang 'lelaki itu'. Tapi bila Tina tiba-tiba bahaskan hatinya jadi sebak.

Tina usap lembut bahu Melati. "Dia dah bertunang. Tak lama lagi dia menikah Mel. Dah lama sangat dia tunggu kau balik tapi kenapa baru sekarang kau muncul? Kau seksa hati kau dengan hati dia Mel."

Lemah lutut Melati mendengar berita buruk itu. Memanglah berita buruk untuk dia di saat dia mengetahui bahawa Faliq sudah diikat dengan tali pertunangan.

"Sepuluh tahun Mel. Sepuluh tahun kau pergi tanpa khabar. Dia tunggu kau, tapi..." Tina sudah kematian kata. Dia geleng kepala. Melati sudah tergamam buat seketika. Bukan ke Faliq suka kalau dia pergi? Tak akan ada yang boleh ganggu hidup lelaki itu lagi? Kenapa pula Faliq nak tunggu dia? Sungguh, Melati sudah kehilangan kata-katanya. Hatinya dipagut rasa sayu. Benar, sepuluh tahun berlalu tapi hatinya masih ada Faliq Ridhwan saja.

KEDENGARAN palu diketuk di seluruh dewan mahkamah tersebut. Bermaksud berakhirnya sudah kes perbicaraan pada petang itu. Sekali lagi, kemenangan berpihak pada dia dan juga kliennya setelah hampir setahun siasatan jenayah yang sudah merosakkan hidup gadis muda itu dijalankan. Penjenayah yang dikehendaki selama ini sudah pun ditangkap oleh pihak berkuasa. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Sungguh, sejak kebelakangan ini dia tak cukup rehat dengan pelbagai macam ragam klien yang harus dia layan dan turuti kehendaknya. Tiba di satu sudut di luar ruang menunggu berhadapan dengan bilik pejabatnya, seorang gadis merangkap kliennya sudah berdiri tegak. Memberikan senyuman manis buat dia. Matanya beralih pula pandang wajah seorang wanita yang merupakan ibu kepada gadis tersebut. Terus saja dia menjemput mereka berdua masuk ke dalam pejabatnya.

"Semua tu tugas saya cik, puan. Saya tak perlukan apa-apa balasan pun dari tugas yang saya dah jalankan untuk cik dengan puan. Lagipun inikan amanah yang disampaikan untuk saya. Saya tolak hadiah yang sangat besar buat saya ni Cik Kayla, Puan Sri Dira. Maafkan saya."

Kunci rumah yang terletak di atas meja kopi ditolak ke arah dua beranak itu. Tergamam Faliq dibuatnya bila kliennya nak bagi dia sebuah kondominium mewah yang terletak di Mont Kiara sebagai penghargaan. Besar sangat hadiah yang diberikan. Tak naklah dia, orang cakap-cakap yang dia ini mempergunakan kemewahan kliennya.

"Tapi, saya terhutang budi sangat dengan Encik Faliq. Sebab enciklah hidup anak saya bebas dari ayah durjana dia tu. Bukan senang bagi kami nak dapatkan kebenaran. Fadhil tu banyak sangat pengaruh dia. Rasuah sana sini, tapi bila kami dah jumpa Encik Faliq yang dah selamatkan hidup anak saya, saya betul-betul terhutang budi. Terima kasih sangat-sangat. Kami tak dapat nak balas budi encik. Ni, rumah yang kami hadiahkan ni ajelah tanda kami hargai sangat usaha encik tegakkan kebenaran untuk Kayla."

Bersungguh-sungguh Puan Sri Dira meluahkan rasa di hatinya. Terharu setelah sekian lama akhirnya dia dan Kayla bebas dari lelaki durjana seperti suaminya itu.

"Puan Sri, saya dibayar untuk jalankan tanggungjawab saya. Saya ikhlas lakukan tugas saya selama ni. Lagipun..." Faliq mati kata bila pintu pejabatnya diketuk dari luar. Kelihatan seorang gadis bertudung pashmina meluru masuk ke dalam pejabatnya.

"Maaf menganggu. Tapi, ada klien yang nak jumpa encik sekarang. Dia tunggu dekat bilik Encik Muslim."

"Kejap lagi saya datang. So, Puan Sri Dira dengan Cik Kayla sekali lagi saya jelaskan yang saya tak perlukan hadiah sebesar ini. Maafkan saya." Faliq sudah bangun dari duduk. Dibetulkan tali lehernya sebelum dia tersenyum nipis pada dua kliennya itu. Semuanya sudah berakhir. Diharapkan tiada lagi duka buat keluarga itu.

"Ma..."

"Ermm?"

"Kayla rasa... sesuatu bila pandang Encik Faliq. Rasa yang indah bila dia dekat dengan Kayla selama ni." Berkerut dahi Puan Sri
Dira mendengarkan kata-kata Kayla itu. Dua beranak itu sudah saling berpandangan antara satu sama lain. Sudah, sebab termakan jasa anak gadisnya itu sudah main cinta dengan peguam muda itu pula.

"KAU nikan, aku tengok busy memanjang sampai tak terurus dah aku tengok. Patutlah tunang kau tu abaikan kau. Kalau aku tak ajak kau makan tengah harini mesti kau tercongak lagikan dekat meja kerja kau tu. Ni, dah berapa lama kau tak balik kampung jenguk tok wan dengan Pak Daud kau?" Rian sudah membebel pada Faliq yang sedang menjamu makan tengah harinya berhampiran dengan firma guaman tempat Faliq berkhidmat. Tak terkira rasanya dia membebel 'benda' yang sama pada sahabatnya itu. Seperti biasa, Faliq macam dengar tak dengar aje dengan bebelannya. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Menyirap darah dia aje.

"Kes apa pula yang kau kena handle lepas ni? Bukan kes yang kau cakap rumit sangat tu dah selesai ke? Kenapa kau tak minta cuti dekat boss besar kau tu aje? Pergilah minta cuti Fal, rehatlah kejap. Seminggu pun jadilah asalkan kau cukup rehat. Kesian aku tengok kau ni. Macam hilang ist..."

Tangan dihala di depan wajah Rian. Mati terus bebelan Rian saat itu. Faliq hirup teh o ais yang dipesannya sebentar tadi lalu dia sengih kelat. Nak bernanah aje tak telinga dia dengar bebelan Rian tu. Tak berkesudahan punya bebelan.

"Haish kau ni, mengalahkan tok wan aku ajelah. Janganlah risau sangat pasal aku. Tahulah aku jaga diri aku ni Rian. Dah nasib aku diabaikan oleh tunang sendiri nak buat macam mana kan. Dahlah, kau tunggu sini kejap aku nak bayar. Hari ni biar aku belanja." Faliq bangun dari duduk. Cerah terus wajah Rian bila Faliq cakap dia nak belanja makan hari ni. Jimat duit dia. Dipandangnya aje langkah Faliq ke kaunter pembayaran sebelum dia kembali hirup air sirapnya. Sesekali pandangannya jatuh pada pelanggan yang kebanyakannya dipenuhi dengan orang bekerja.

Maklumlah sekarang inikan waktu rehat. Memang penuhlah alamatnya restoran Pak Hamid ni. Sedang dia ligat memerhatikan, tiba-tiba matanya tertancap ke arah seorang gadis yang sedang berjalan keluar dari restoran. Gadis itu nampak ayu dengan baju kurung biru corak bunga-bunga kecil dipadankan dengan selendang jingga. Terus saja dia bangun dari duduk lalu mengekori gadis yang sedang berbual dalam talian itu. Manis. Ayu dalam pandangannya.

"Bukan perempuan tu... Mel ke?" Berkerut-kerut dahi Rian memerhatikan wajah polos gadis yang sudah masuk ke dalam Toyota Vios itu. Melihat bulu mata lentik dan lesung pipit di pipi kiri gadis itu membuatkan dia teringat pada Melati.

"Woi! Kau apahal berdiri kat sini? Jom..."

"Wei! Kau tengok perempuan dalam kereta tu. Kat depan ni." Rian halakan jari telunjuknya ke arah Toyota Vios yang masih diparkir itu.

"Kenapa? Awek yang kau nak usya..."

"Mel." Seketika Rian dan Faliq saling berpandangan. Terpinga-pinga Faliq dibuatnya bila nama itu terbit dari bibir Rian. Terus dia ketawa geli hati tengok wajah Rian yang serius itu. Ditunjalnya kepala pemuda itu sebelum dia melangkah ke arah Honda Civic yang dia parkir di belakang restoran. Rian mendengus. Dia terus membuntuti Faliq dari belakang.

"Serius wei, sumpah aku tak tipu. Aku nampak Mel. Budak tu dah balik bro. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri Mel jalan depan aku tadi." Rian tarik-tarik lengan baju Faliq. Geram dia bila Faliq acuh tak acuh dengan kata-katanya.

"Apahal kau ni. Koyak baju aku karang, kau tanggung ganti rugi. Kau nampak dia ke tak nampak ke aku kesah apa? Tak penting. Entah-entah pelanduk dua serupa aje yang kau nampak. Tak mungkinlah dia balik. Dia dah hidup mewah dekat Singapore tu manalah dia nak balik sini lagi. Dahlah, aku ada banyak kerja. Kau layankan ajelah mind set gila kau tu."

Keluhan berat Rian lepaskan bila Faliq seolah-olah merendah-rendahkan kata-katanya itu. Dia hanya mampu pandang kereta Faliq yang sudah keluar dari kotak parkir itu. Sungguh, terluka lagi ke hati sahabatnya itu setelah sekian lama Melati pergi tanpa khabar?

Bersambung...

Thanks guys sudi baca karya Syafni. Kalau kurang minta maaf sangat-sangat.

Syaf nak habiskan semua bab sebab tu post banyak-banyak ni hahaha

Kena bahagi part by part juga sebab cerita ni agak panjang

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top