PROLOG
HID terbangun. Degup jantungnya bergerak kasar. Cepat-cepat dia mengambil ubat di dalam laci dan menelan penuh seksa. Kenapa mimpinya kali ini nampak betul-betul seperti realiti?
Minggu lepas pun dia bermimpikan wanita yang sama. Memang wajah wanita itu tak ketara, kabur!
Mimpinya itu juga seperti betul-betul berlaku. Nafas wanita itu di dadanya, pelukan erat dan tangisan yang terasa benar di telinga. Namun Hid gagal untuk tahu kenapa wanita itu menangis sambil memeluknya. Dia ingin memujuk tapi tubuhnya kaku.
Hid menghela nafas panjang.
Jodohkah?
Jodoh apa Hid? Hidup kau belum tentu lama. Esok atau lusa entah-entah dah masuk ke kubur. Hid menyentuh dada kirinya lama. Air mata bergenang ditahan sedaya upaya. Sakit di dada datang kembali. Acapkali!
"Umi..." Suaranya semakin lemah.
Pintu bilik ditolak daripada luar.
"Hid? Allahuakhbar!"
"YA, Nadia tu bekas kekasih I."
Panas wajah Awina mendengar pengakuan dari bibir lelaki itu. Patutlah... Patutlah walaupun mereka telah beberapa bulan berkahwin tetapi dia tak mengenali hati budi Azri. Lelaki itu cuba mengelak darinya kerana kewujudan wanita lain di hati.
"You masih sayang dia?"
Azri menggeleng. Ketawa Awina meletus dari bibir. Boleh ke dia percaya pada lelaki itu?
Tidak.
Hatinya sukar untuk percaya kerana Azri telah cukup lama mengabaikannya. Tempoh Azri melupakan Nadia sepatutnya dah cukup untuk membina hubungan mereka suami isteri tapi apa yang Awina dapat hanya kesunyian, kesepian dan kesedihan.
"Kalau I tahu dari awal lagi you ada girlfriend, I takkan terima you, Azri!" Awina kecewa.
Apa salahnya Azri buka mulut lebih awal yang hatinya telah dimiliki? Taklah setiap detik dan waktu dia dilanda tanda tanya sehingga membuat Awina tertekan dan kebingungan. Azri tak pernah nampak bagaimana dia mengawal emosi dan perasaan sejak berkahwin dengan lelaki itu.
Nak kata dia tak goda?
Atau kata dia langsung tak berusaha memikat hati Azri?
"You salah faham, Awina."
"Salah faham?" Suara Awina menaik.
"Ya, salah faham."
"Salah faham I tu ada asas yang kukuh. You suami I tapi baru hari ini I sedar you ada kekasih dan I ni sekadar apa? Housemate you? Atau bahan lawak yang you jadikan mainan? I tak boleh terima ni semua. Kalau Nadia tak jumpa I dan perli I ini itu, sampai sekarang pun I bodoh percaya yang you sekadar diganggu rakan sekerja."
"You tak perlu fikir benda yang bukan-bukan..."
"Macam mana I tak fikir bila you layan I begini?!" Awina memotong kata-kata Azri. Hilang sudah hormat yang diletakkan pada suaminya selama ini. Hancur dilempar badai. Bersepai.
"Awina..."
"Pernah you ambil tahu makan minum I? Ambil tahu perasaan I? Tak pernah, Azri."
"Itu sebab..."
"Sebab you dah ada Nadia, kan?" Awina semakin sakit hati. Wajahnya cuba menahan tangisan tapi gagal.
"You tak pernah sentuh I langsung, Azri. You dah hina I ditahap yang paling tinggi. You tahu I rasa apa? I feel useless. I'm not a good wife. Tapi you sepatutnya berterus-terang lebih awal. You tak suka, ceraikan aje! Balikkan I pada parents I semula!" Jeritan demi jeritan Awina memenuhi ruang tamu rumah mereka.
Jiwa kecilnya memberontak setelah lama dijadikan boneka.
Jari-jari Awina menggigil, wajahnya sememeh dengan air mata yang tak henti mengalir, desakan perasaan Awina lebih-lebih lagi. Kalau boleh dia nak tumbuk-tumbuk muka Azri tapi dia cuba menahan diri.
"Benda bukan seperti yang you fikir, Awina. I minta maaf. I yang salah. Tapi I tak boleh paksa diri sendiri, dan tak boleh lepaskan you dalam masa ni. I berikan masa untuk you bertenang, untuk you berfikiran lebih rasional."
"Bukti dah cukup jelas! Patutlah selama ni you nak senyum pun payah. Nak bercakap pun tak. You tak faham perasaan I selama ni. You tak boleh nak faham apa yang I dah lalui seorang diri. I hate you!"
Awina menekup mukanya dan menangis sekuat hati. Azri membeku melihat tubuh Awina melorot jatuh ke atas sofa.
"You kejam... You terlalu kejam!" Awina menjerit dengan suara yang tertahan-tahan. Rasa sakitnya hanya ALLAH yang tahu. Fikirannya benar-benar terganggu. Jika dia ada kekurangan, boleh saja dia berubah. Tapi tingkah Azri membuatkan dirinya rasa tidak berguna.
Adakah dia tidak layak? Ya... Awina memang tak layak. Dirinya tidak ditakdirkan untuk mengecapi bahagia. Awina sedar dia tidak berguna di mata sesiapa.
Awina menekan wajahnya apabila bisikan-bisikan negatif mengusik deria sedar. Dia masih berguna. Dia masih mempunyai sebab untuk hidup...
Namun batinnya kembali memberontak. Apatah lagi apabila Azri bertindak meninggalkan dirinya sendirian tanpa sebarang pujukan. Orang tak perlukan kau, Win. Orang bencikan kau. Satu dunia ni, kau tanyalah. Siapa yang pernah faham hati kau? Siapa yang benar-benar menyayangi kau? Kau bukan sesiapa hatta di mata suami sendiri!
Awina menggeleng kepala berkali-kali.
'Tak betul! Aku ada mami. Aku ada papa. Aku masih ada tujuan untuk hidup. Mereka menyayangiku... Aku masih perlu berjuang walaupun derita ini seperti tidak pernah surut. Mami dan papa nak aku bahagia. Ya, aku akan bahagia... Aku harus bahagia!'
Hati wanitanya berbisik kencang.
*******
Bakal terbit insyaAllah Mac 2020 (di bawah penerbitan Suara Hati Publication)
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top