BAB 5
Thanks to Mya Asyaari for this wonderful cover 💐
🌸🌸🌸🌸🌸
HID Johar meraup wajahnya lambat-lambat, cuba mengatur nafas yang tidak menentu dari tadi. Rambut yang terpacak ditarik ke dahi. Perlakuan spontan yang tidak dirancang. Setelah merapikan rambut, dia kembali melangkah keluar perkarangan rumah pengantin.
Hid mengambil telefon dari poketnya dan segera menghubungi operator teksi. Matanya juga sempat meliar ke sisi jalan raya mencari tempat yang sesuai untuk menunggu teksi.
Langkah Hid Johar terhenti apabila terdengar esakan halus seseorang di tepi kereta yang terparkir di bahu jalan raya. Awina? Bisik hati Hid Johar tanpa sedar.
Dia berjalan mendekati suara itu dan sedikit terkejut melihat Awina sedang duduk menangis di hadapan Nissan Juke nya.
“Awak okey?” soal Hid Johar sebaik sahaja dia berdepan dengan wanita itu.
Awina mengangkat wajahnya lambat-lambat dengan tangisan yang belum lagi berhenti.
“Awak...” Kata-kata Hid Johar terputus apabila melihat air mata Awina jatuh berderai sehingga wajahnya habis lecun. Hid Johar termangu beberapa saat melihat panorama di depan mata. Dia bukannya tidak pernah melihat perempuan menangis semahu-mahunya seperti Awina. Lebih teruk dari itu pun dia pernah saksikan. Tetapi melihat Awina menangis, ada perasaan yang sukar digambarkan. Hid Johar menggenggam tangan kuat agar dirinya tidak terus hanyut dengan perasaan.
“Marah siapa?” soal Hid Johar merendahkan tubuh sambil memandang mata Awina.
Awina menggeleng kepala, mengesat air mata beria-ia namun air mata wanita itu tetap mengalir lebat seperti tadi.
“Kenapa tak balik lagi?”
“Awak tengok tadi, kan?” soal Awina berselang-seli dengan esakan. Awina memegang dadanya untuk lebih bertenang dan menghilangkan esakan kuatnya.
“Tengok apa?” Hid bersahaja. Berpura-pura tidak tahu dengan apa yang dimaksudkan oleh Awina.
“Saya bergaduh dengan perempuan tu. Bergaduh sebab suami saya cintakan orang lain berbanding saya, isteri yang sah.”
Hid tertunduk sebentar. Seperti ada yang berbisik menidakkan kata-kata Awina yang membuatkan dadanya jadi sesak.
“Marah?” Hid tanya sepatah.
“Saya tak marah, saya sakit hati.” Esakan Awina bersambung lagi. Tangan Hid hampir-hampir mengusap bahu Awina saat wanita itu meraup dan menyembunyikan wajahnya. Mata merah, pipi merah, hidung merah, bibir dah kembang, tentu lama Awina menangis keseorangan di situ. Kenapa ya tiba-tiba dia rasa seperti dejavu? Hid terpaku sejenak cuba mentafsir sematang-matangnya bila dia pernah ‘nampak’ keadaan seperti ini berlaku dalam hidupnya, tetapi gagal.
“Saya menyesal sebab cakap yang bukan-bukan. Rasa berdosa kat arwah Azri. Bukan saya tak sayangkan dia tapi saya sakit hati sangat dekat perempuan tu.” Awina kembali menatap wajah Hid Johar. Keningnya sudah bertaut akibat rasa yang menghambat dada. “Kalau.. Kalau arwah dengar apa yang saya cakap, mesti dia kecewa. Mesti dia tak suka kat saya balik.”
Hid menghela nafas dalam-dalam. Suasana kembali sepi diiringi esakan dan tangisan Awina yang mula surut. “Dia pernah sukakan awak?”
Awina menggeleng kepala. “Tapi saya isteri dia. Saya tak patut cakap yang saya tak hadap dia sedangkan hati dan fikiran saya tak pernah fikir lelaki lain selain dia.”
“Kalau saya jadi dia,” kata-kata Hid terhenti sejenak. Mata Awina jatuh ke bibir Hid. “Saya dah lama jatuh sayang pada awak, sejak lafaz akad lagi.”
Awina menekup wajahnya semula. Semakin bertambah kesal dia dibuatnya kerana bersikap kebudak-budakan sebentar tadi. Lebih-lebih lagi apabila teringat riak wajah Azamri yang bukannya calang-calang berat menanggung beban sebentar tadi.
“Tapi dia tak pernah sayangkan saya.”
Hid Johar diam saja mendengar Awina menggumam. “Sepanjang kami kahwin, dia jarang senyum untuk saya, jauh sekali ikhlas melayan saya sebagai isteri.”
“Awak tak merasakan kasih-sayang tu tak bermakna orang tu tak sayang.”
Awina memejam mata rapat-rapat dan menepis pipinya berkali-kali. “Dia dah tak ada, saya tak sepatutnya ungkit balik apa yang saya kesalkan selama ni. Saya tak patut cakap macam tu, kalau dia dengar...”
“Dia dah tak ada, dia dah tak dengar apa-apa yang awak cakap.” Hid memotong kata-kata Awina.
“Tapi kalau dia dengar, dia akan lebih bencikan saya."
Hid memandang ke atas tar jalan raya sebelum menatap terus ke mata Awina sambil menggeleng kepala. Simpatinya tercurah melihat Awina beria-ia menangis tapi untuk membantu Hid tahu dia tidak berhak.
Bagaimana dia mahu melegakan hati wanita itu? Memeluknya? Mengesat air mata Awina? Dia hanya boleh menanti sehingga emosi Awina stabil seperti sedia kala.
10 minit Hid menunggu Awina menangis bersandarkan badan kereta. Setelah tangisan Awina reda barulah dia berdiri mencapai beg tangan Awina.
“Ada bawa kereta?”
“Kereta?”
“Hmm...”
“Ini?” Awina menepuk badan kereta yang menjadi tempat dia bersandar.
“Kunci kereta kat mana?”
“Dalam beg.” Jawab Awina perlahan.
“Saya hantar awak balik. Risau awak tak boleh drive.”
“Awak dah banyak tolong saya.”
“Tak apa. Kalau kakak saya menangis macam awak tadi pun, saya berharap akan ada orang yang boleh tolong dia untuk sampai ke rumah.” Hid membalas dengan senyuman di bibir. Awina mengangkat tubuh tetapi terduduk semula sambil memandang Hid Johar.
“Kaki saya tak boleh gerak... Kebas,” ucap Awina dengan wajah yang berkerut-kerut. Hid Johar menelan air liur kebingungan.
“Nak saya tolong?” soal Hid Johar serba tak kena. Awina mengangguk sambil menghulurkan tangan kirinya. Cepat-cepat Hid Johar menyambut dan membantu Awina berdiri.
“Kita jumpa aje, mesti masa saya tengah macam ni,” ucap Awina menekan dahi.
“Ini kuncinya?” Hid Johar menarik kunci keluar dari beg tangan Awina.
“Awak buka beg saya?” Awina tercengang hairan.
“Sorry, tak sengaja,” ucap Hid turut terkejut dengan tingkahnya. “Terbiasa dengan kakak...”
Awina kembali mengesat air mata yang bersisa ke pipi. “Tak apa, awak tolong saya pun dah cukup baik.” Awina berjalan perlahan ke tempat duduk penumpang seperti seluruh semangatnya telah hilang. Dia juga tidak tahu kenapa dia boleh percayakan Hid Johar sampai ke tahap ini.
Hid diam sebentar memandang kunci kereta di tangan. Hairan kerana langsung tidak kekok membuka beg Awina dan menyelongkar ikut suka hati aje. Selama ni dia bukan lelaki yang suka main redah terhadap barang-barang orang yang tidak atau kurang dikenali.
“Kita tak jalan lagi?” Suara Awina memecahkan lamunan Hid Johar.
“Oh, sekejap.” Hid segera menekan alarm kereta dan turut memasuki kereta Awina di tempat duduk pemandu. Enjin kereta dihidupkan dan Hid mula memusingkan stereng dengan tenang.
“Sayakan, tadi masa awak tiba-tiba datang...” Awina menatap wajah Hid dengan wajah yang sayu. “Saya ingat arwah Azri datang.” Awina bersuara lemah seraya menyandarkan kepala sambil tetap menatap Hid Johar.
“Kenapa?” tanya Hid acuh tak acuh.
Awina menarik senyuman di bibir. “Sebab rambut dia selalu macam awak sekarang ni.”
*****
Kalau mereka berdua tahu hakikat yang sebenar, mesti lebih sedih, kan? 😔
#tergelincirdarijalansyurga #aireenaryana #hidjohar #awina
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top