Warkah Untuk Dhaifan Dari Dhia!

🗽Seattle , Amerika Syarikat, 25 tahun dahulu.

SINARAN fajar pagi mengiringi perjalanan keluar Lucas Dhaifan daripada rumahnya. Hembusan bayu pagi dari arah Sungai Duwamish dari arah timur dirasakan terlalu dingin sekali. Sebelum tombol pintu rumah sewanya dikunci, Dhaifan memakai sarung tangan tebal dan hoodie kalis sejuk bagi menangkis hembusan angin kesejukkan yang bakal menggigit sehingga ke tulang belulang sepanjang perjalanannya nanti ke dewan kuliahnya. Namun, terasa segar sekali udara pagi di kota raya Seattle pada ketika itu, dengan lapisan nipis ais terlihat pada permukaan dedaun pokok Alphine dan pokok Maple, menandakan permulaan kepada Ekuinoks Musim Sejuk di Hemisfera Utara.

     Sebelum Lucas Dhaifan melangkahkan kaki dengan lebih jauh untuk meneruskan pengkuliahannya ditahun terakhir pengajian, sepucuk surat bertulisan tangan yang kemas, disaluti plastik lutsinar dengan cop 'Pos Malaysia' tertonjol sedikit daripada kotak pos merah yang berada di hadapan pintu pagar rumah sewanya itu.

     Maka, gembiralah rasa hati sang teruna apabila menerima sepucuk surat bertulisan tangan yang mempunyai cop setem dari tanah air, Semenanjung Malaysia. Sepucuk surat itu amat dinanti-nantikan oleh Lucas Dhaifan setiap tiga bulan sekali, yang datangnya dari dunia sebelah timur itu. Surat berkenaan dipercayai 'terbang' dari kawasan yang mempunyai sistem masa 12 jam terkehadapan daripada garis masa di Seattle ini.

     Sepucuk surat daripada insan kejauhan, hasil karangan si jantung hati ukiran rasa oleh si dara, yang amat disayanginya. Jelas tertulis namanya, for Lucas Dhaifan, from Malaysia with love dengan sebuah foto pemandangan bendang dan kerbau yang sedang membajak sawah dihilir Kampung Seri Tembaga terbabit diselitkan sekali didalam surat berkenaan, ditampilkan untuk dipertontonkan kepada rakan-rakan antarabangsanya yang berada di kampus itu nanti.

     Warkah perkhabaran ini teramatlah dinanti-nantikan oleh Lucas Dhaifan terutamanya setelah empat tahun tidak dapat menjejakkan kaki ke tanah semenanjung ini. Bau hutan-hutan hujan tropika, aroma tanah sawah melambai dan wangian bunga-bungaan melor dapat dirasai melalui surat itu. Betapa bermaknanya warkah yang datangnya dari tanah air tercinta itu. Plastik lutsinar  itu perlahan-lahan dibuka lekatannya oleh Lucas Dhaifan. Dengan cermat, lipatannya kiriman warkah berkenaan dibuka. Tinta berwarna hitam dilatari kertas A4 berwarna kekuning-kuningan kusam. Rapi tulisannya, serapi si pemilik tulisan tersebut.

Assalamualaikum,

Kehadapan sahabatku Lucas Dhaifan,

Salam sayang dari bumi kejauhan, Semenanjung Malaysia.

Semoga kekanda Dhaifan berada dalam keadaan sihat walafiah ditanah orang, Insya-Allah. Sudah tiga tahun kanda meninggalkan negeri tumpahnya darah nenek moyangmu ini. Oh Dhaifan, adinda telah dibudikan oleh mimpi dahulunya, mimpi yang tidak pernah kita berdua bayangkan. Semoga tanahku ini, tanahmu jua yang indah dan permai, bumi Semenanjung Malaysia, senantiasa tegap berdiri didalam hatimu, juga didalam jiwamu.

Kekasihku Dhaifan,

Sungguh! Sungguh gementar hatiku. Terlalu menggigil tanganku ketika sedang menulis warkah buatmu ini, kekanda. Hatiku dipaksa menulis, otakku ligat berputar, terlalu banyak yang ingin diceritakan. Tetapi setelah daku sentuhkan dakwat tintaku ini ke atas permukaan kertas warkah, maka hilanglah ilhamku, tidak tentu arah dibuatnya dan harus dari mana aku mulai.

Oh Dhaifan,

Sudah berulang adinda menanggung perasaan memberontak sebegini, seorang pun tidak ada tempat adinda mengadu. Kekandalah satu-satunya tempat adinda mencurahkan luahan rasa, curahan hati. Kelmarin, sebuah rombongan meminang telah datang kemari, di Teratak Pusaka, untuk meminangku. Meskipun hatiku mentah-mentah menolak keputusan muktamad yang sudah ditetapkan oleh keluargaku, namun, apakan daya, adinda tidak bisa meluahkan dengan kata-kata.

Dhaifan Kesayanganku,

Sumpah! Adinda terlalulah mencintai kekanda yang nun jauh dimata, namun, dekat dihati. Harus adinda nyatakan disini bahwa cinta adinda terhadap kekanda tidak akan pernah terluput dimamah usia, seperti mana terluputnya pepohon cemara ditepi Teratak Pusaka. Dengan siapa adinda mengikat tali pertunangan ini, usahlah kekanda bertanya lagi. Kekanda teramatlah mengenali insan itu. Mengapa hal ini adinda adukan kepadamu, kanda? Itu pun adinda sendiri tidak mengetahuinya. Cuma hati kecil ini berkata, bahwa kekandalah tempat adinda mengadu...

Oh Dhaifan,

Sampai disini sahajalah hubungan cinta jarak jauh kita ini. Usahlah kanda membalas warkah kecil ini, kerna, disaat surat balasan itu tiba kelak, pastinya adinda sudahpun selamat diijabkabulkan. Namun, ingin adinda nyatakan sekali lagi tanpa prejudis, bahwa hati ini, cinta ini, selamanya akan terukir didalam bintang-bintang mimpi kita berdua. Semoga kekanda dapat menghabiskan sisa-sisa waktu pembelajaran sehinggalah kekanda bergraduasi nanti.

Salam Sayang,

Yang benar,

Dhia Kesumadewi

     Seusai sahaja membaca warkah kiriman Dhia Kesumadewi ini, cinta hati paling disayang Lucas Dhaifan, air mata jantannya bercucuran jatuh mengalir membasahi warkah dari kejauhan itu. Hatinya hancur musnah bagai diracik-racik oleh buluh sembilu, perasaannya berkecamuk. Sampai hati Dhia Kesumadewi mengkhianati cinta mereka berdua setelah bertahun-tahun dia mempertahankan cinta suci ini.

     Sesaat kemudian, giginya diketap kuat, geramnya seakan sudah tidak dapat ditahan, matanya merah menyala, hatinya mula diserbu perasaan dendam kesumat. Perasaan yang pada mulanya mengukir bayu-bayu cinta, kini mula menular bibit-bibit dendam yang terlalu mendalam. Taman-taman cinta dihati yang dahulunya telah disemai dan ditumbuhi pelbagai jenis bunga-bungaan mekar mewangi, kini, mula gelap dan tandus, gersang yang dahagakan nyawa.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top