Tidak ku Menduga!

"PAK ABU, adakah ayahku mengetahui akan keberadaanku ketika ini?" Redra Thabary bertanya sekali lagi soalan cepu emas ini kepada Pak Abu. Insan muda ini seakan-akan tidak mahu mengerti ataupun sengaja buat-buat tidak faham. Pening Pak Abu untuk menyusun kata dan jawapan. Namun, jawapan haruslah tidak melukakan hati anak muda ini yang telah dibesarkannya sejak sedari kecil lagi. Untuk berkomunikasi dengan Redra Thabary, haruslah teliti seperti menarik rambut daripada tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

     "Apakah maksudmu dengan 'keberadaanmu ketika ini'? Adakah engkau tidak cukup makan dan pakai semenjak aku menjagamu sedari kecil? Adakah engkau telah menjadi anak gelandangan pada waktu ini?" Pak Abu nyata terluka dengan pertanyaan yang dilontarkan daripada mulut Redra Thabary itu.

     Hati orang tua mana yang tidak terluka jika dipertanyakan begitu. Sudah semestinya hati kecil Pak Abu berdarah, jiwanya sahaja yang tidak parah.

     "Maafkan Red, Pak Abu. Red terlalu menekan mu untuk mendapatkan kebenaran. Red terlalu mendesak sehingga melukai hati iris yang Red paling sayangi. Maafkan sekali lagi atas ketelanjuran kata-kata Red, yang telah mengguris hati dan perasaan Pak Abu." Redra Thabary memegang tangan Pak Abu. Anak matanya memandang tajam ke arah wajah Pak Abu. Pak Abu hanya membuang pandangan ke tingkap rumah.

     Sedari kecil lagi, Redra Thabary telah diajar oleh Pak Abu untuk membahasakan dirinya dengan panggilan 'Pak Abu' dan bukannya 'bapak', 'ayah' ataupun 'abah' walaupun membesar dengan orang tua itu. Pak Abu tahu, suatu masa nanti, Redra Thabary lama-kelamaan akan mengetahui juga hal sebenar dan akan meninggalkannya sebatang kara. Suatu hakikat yang perlu ditelannya.

     "Ya. Ayahmu telah mengetahui siapa dirimu dan hal yang sebenarnya sejak kamu berusia sebulan lagi. Dialah yang mencari ibu susuanmu. Dialah yang menampung perbelanjaan persekolahanmu melalui Pak Abu. Setiap bulan, dia akan memasukkan sejumlah wang untuk menguruskan keadaan dirimu di dalam akaun Pak Abu secara rahsia. Pokoknya, ayahmu itu tidak pernah mengabaikan tanggungjawab hakiki kepada dirimu. Cuma, engkau tidak mendapat kasih sayang yang sebenarnya daripada seorang insan bergelar ayah." Pak Abu mula meluahkan segalanya. Segala rahsia yang telah terpendam sekian lama, selama 25 tahun.

      "Apa? Tapi mengapa Pak Abu? Mengapa dia tidak berterus terang sejak sedari aku kecil lagi? Padahal aku telah mengenalinya sejak kecil?" Redra Thabary mempersoalkan kewajaran tindakan ayahnya yang merahsiakan hubungan kekeluargaan antara mereka itu.

    "Ini semua untuk keselamatan kamu, Red!" Pak Abu bertegas dengan kata-katanya.

     "Keselamatan apa, Pak Abu? Red boleh menjaga diri sendiri. Red boleh berdikari sendiri." Redra Thabary mula berdegil dengan pernyataannya yang keras kepala itu.

     "Red, ayahmu tidak mahu orang kampung mengetahui bahwa kamu adalah anak kepada Dhia Kesumadewi. Ayahmu tidak mahu engkau hilang sepertimana ibumu hilang tanpa berita. Engkaulah satu-satunya harta bernilai yang dia ada di muka bumi ini!" Pak Abu bertegas dengan pendiriannya. Segala apa yang mereka lakukan pasti ada sebab musababnya.

     Redra Thabary terdiam. Kepalanya ditundukkan. Hatinya kusut, otaknya berserabut. Jiwa ini perlu ditenangkan dan dibaiki segera. Terlalu banyak limpahan maklumat dan fakta yang perlu ditelannya dalam satu-satu hari. Fikirannya tidak boleh menerima limpahan maklumat lagi.

     Dia perlu pergi ke suatu tempat. Tempat yang biasanya dilawatinya dengan tujuan untuk melepak-lepak sambil menenangkan fikiran. Port biasa dikala kepala kusut bak kata orang -orang. Dia perlu keluar dari rumah itu. Dia harus 'rawat' fikiran nya yang berserabut dengan fakta 25 tahun lalu.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top