Tetap Kamu!
"ASSALAMUALAIKUM, Red. Ini pak cik Hycarl. Pak cik nak jumpa Red hari ni boleh? Kita jumpa kat pekan, area Starbucks, dalam pukul 2.30 ptg. Pak Cik ada hal sikit nak cakap dengan Red." mesej ringkas aplikasi Whatapps muncul di skrin telefon pintar milik Redra Thabary.
Jam sekarang baru menginjak ke angka pukul 11 setengah pagi. Namun, Redra Thabary masih terbungkam di atas katil, seperti meratapi sesuatu kehilangan yang berpanjangan. Fikirannya melayang-layang ke alam mimpi yang menerjah dilubuk fikirannya semalam. Dia mahu bermimpi lagi bertemu arwah ibunya seperti semalam, dia mahu menatap wajah jelita arwah ibunya yang tidak pernah ditatapinya di kehidupan realiti. Redra Thabary masih tidak puas bertemu arwah ibunya di alam mimpi. Biarlah orang mahu kata itu hanyalah permainan tidur ataupun apa sekalipun, namun, perasaan tidak dapat bertemu dengan ibunya dan akhirnya bertemu dialam mimpi pasti menjadi sesuatu saat yang amat berharga.
Mesej Whatapps yang dihantar oleh Datuk Luke Hycarl hanya di lihat atau 'seen' sahaja, tanpa ada balasan apa-apa pun. Tidak kuasa Redra Thabary hendak membalas mesej berkenaan, apalagi hendak berkomunikasi dengan spesies manusia-manusia yang tidak jujur, yang tidak ada disisi orang yang disayanginya diwaktu arwah ibunya memerlukan, yang tidak melakukan apa-apa tindakan walaupun sudah tahu siapa penjenayah sebenar disebalik episod pembunuhan ini.
***
Datuk Luke Hycarl menunggu kehadiran anaknya, Redra Thabary di anjung luar kafe Starbucks seawal jam 2 petang lagi. Hampir tiada orang disekitar anjung berkenaan disebabkan waktu pejabat telah mula mengambil tempat. Dia bimbang Redra Thabary tidak akan muncul-muncul dan kekusutan ini akan berlarutan jika tidak diselesaikan dengan baik dan secepat mungkin. Segala jenis dokumen-dokumen telah disediakan bagi menerangkan segala-galanya, daripada dokumen surat beranak, keputusan ujian DNA sehinggalah ke surat wasiat yang ditinggalkan oleh Dhia Kesumadewi .
Dari kejauhan, terlihat sebuah kereta jenis Axia hijau muda sedang parking dihadapan kafe Starbucks. Datuk Luke Hycarl merasa amat lega dan terharu dengan kehadiran Redra Thabary sungguhpun Redra Thabary tidak membalas apa-apa mesej aplikasi Whatapps-nya. Lalu terlihat susuk tubuh seseorang yang amat dikenali Datuk Luke Hycarl. Ya, Redra Thabary membuat kemunculan dihadapan kafe Starbucks berkenaan.
Dengan mengenakan sepasang baju polo dan seluar jeans biru berjenama Levi's, Redra Thabary masuk ke dalam kafe Starbucks berkenaan dengan wajah yang sedikit sugul, namun masih control macho. Redra Thabary terus menuju ke sofa berwarna coklat dibahagian anjung kafe Starbucks terbabit yang agak tersorok sedikit, lalu menghulurkan salam kepada Datuk Luke Hycarl tanda hormat kepada orang tuanya. Datuk Luke Hycarl menyambut huluran salam terbabit dengan hati yang terbuka.
"Red apa khabar? Sihat?" Datuk Luke Hycarl memulakan bicara.
Redra Thabary hanya menggangu-anggukkan kepalanya sahaja tanda mengiakan sambil matanya termenung jauh, memerhatikan dokumen-dokumen yang berselerakkan diatas meja kopi tersebut. Ada surat wasiat, surat keputusan ujian DNA daripada doktor, sijil lahir yang mempunyai namanya, sijil perkahwinan antara Datuk Luke Hycarl dengan Dhia Kesumadewi, juga surat pemilikan syarikat kayu yang kilangnya berada dihujung kampung Seri Tembaga.
Buku akaun pelaburan ASB dan Amanah Saham Wawasan 2020 beserta Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) juga terlihat jelas diatas meja kopi terbabit. Gambar-gambar lama, momen semasa mereka berdua sedang melangsungkan perkahwinan selain gambar keluarga sewaktu menyambut lebaran juga dapat diperlihatkan. Ini kali pertama Redra Thabary dapat menatap gambar-gambar kedua ibu bapanya sepanjang 25 tahun dia hidup.
"Red nak minum apa-apa? Biar pak cik ...err...ayah....orderkan..." Datuk Luke Hycarl menanyakan minuman yang ingin di pesan oleh Redra Thabary.
"Caramel Machiatto panas.....dengan dalgona coffee, saiz venti." ujarnya ringkas.
"Ok. Baik." sahut Datuk Luke Hycarl.
"Oh, sebelum tu, Red baca dahulu surat terakhir yang dihantar oleh arwah ibu Red yang dikirimkan ke ayah beberapa hari sebelum arwah ibu Red hilang, supaya Red tidak salah faham." Datuk Luke Hycarl menghulurkan sepucuk surat bertulisan tangan yang agak lusuh dengan sebuah cop merah kepada Redra Thabary. Redra Thabary menyambut huluran surat terbabit lalu dibuka dengan cermat. Rapi tulisannya dengan bau-bau pepohon cemara.
Assalamualaikum buat suamiku yang ku cintai,
Kehadapan buat kanda,
Apa khabar kekanda di sana? Semoga Allah terus memberkati segala apa yang kekanda sedang lakukan pada saat ini. Hari ini, genap sudah sembilan bulan adinda mengandungkan cahaya mata ini dan menunggu bila-bila masa sahaja untuk melahirkan zuriat ini, namun malangnya kekanda tiada disisi atas urusan tugasan di Jerantut. Tidak apalah, demi tugas dan tanggungjawab kekanda, adinda sanggup menunggu kepulangan kekanda.
Setelah selesai perkahwinan kita, rupa-rupanya kita mesti terpisah sejauh ini untuk seketika. Secara jujurnya, sungguh berat untuk adinda melepaskan kekanda pergi, namun, demi rezeki yang halal dan diberkati Allah SWT, adinda merelakan pemergian kekanda ke Jerantut. Adinda berharap agar kekanda dapat pulang sebelum adinda melahirkan cahaya mata ini, zuriat kekanda dan peneman hati adinda.
Kekanda yang dihormati,
Adinda berharap agar kekanda juga turut mendoakan agar keselamatan adinda kekal berpanjangan dikala ini. Entah mengapa, dalam beberapa hari ini, adinda merasakan amat gementar, seperti ada yang memerhatikan adinda sahaja, rasa tidak sedap di hati dan terpalit dengan pelbagai perasaan yang kelam dan rasa gundah gulana yang menebal. Ah... dalam fikiran adinda, mungkin itu semua mainan emosi insan yang sedang menunggu hari untuk bersalin.
Semoga perasaan ini semua dapat mengakrabkan lagi perasaan cinta kita, mencambahkan rasa kasih dan sayang dan juga terus dibajai kerinduan yang berpanjangan. Suka adinda ingatkan disini bahawa kasih sayang adinda terhadap kekanda, dan anak yang adinda kandung ini, akan terus subur dan tidak akan layu, walau badai datang melanda, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Kekandaku sayang,
Andai kata umur adinda tidak panjang, adinda berharap agar kekanda terus menerus menyayangi zuriat kita ini. Di saat ini, adinda sedang membaca buku 'Sejarah Para Nabi dan Raja' tulisan Imam Al-Thabari. Adinda berharap jikalau apa-apa sahaja yang terjadi terhadap adinda, seelok-eloknya kekanda namakanlah zuriat ini sempena nama imam ini. Semoga zuriat kita menjadi seorang anak yang soleh, dirahmati Allah senantiasa dan menjadi seorang insan yang berguna di dunia mahupun di akhirat.
Buat anak ibu khususnya, kasih sayang ibu dan ayah tidak 'kan pernah luntur wahai anakku, tetap kamu! Tetap kamu lah satu-satunya waris tunggal kami! Tetap kamu jualah yang kami amat-amat sayangi.
Yang benar,
Dhia Kesumadewi
Redra Thabary melipat kembali surat terakhir yang dikirimkan oleh arwah ibunya kepada Datuk Luke Hycarl. Sebak rasa hati, jangkaannya meleset sama sekali selama ini dan perlahan-lahan airmata Redra Thabary gugur diatas kertas kuning lusuh terbabit. Basah sedikit surat yang bertandatangan ibunya itu. Sedikit demi sedikit, segala persoalan yang sedang bermain-main difikirannya telah terjawab, walaupun bukan semua. Dia semakin faham mengapa ayahnya tiada disisi ibunya ketika itu. Dia juga sudah tahu asal mula namanya yang sebelum ini menjadi persoalan terbesar dalam hidupnya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top