Kampung Seri Tembaga Kecoh!

MALAM itu, ketika gerhana bulan berdarah sedang memasuki fasa kemuncaknya, suasana seluruh penduduk di Kampung Seri Tembaga kelihatan gegak gempita dan huru-hara. Atmosfera kampung tidak ubah seperti sedang berlangsungnya majlis keramaian tarian ronggeng besar-besaran. Namun, bukanlah majlis keramaian tarian ronggeng yang sedang mereka anjurkan, tetapi misteri kehilangan haiwan-haiwan ternakan yang menjadi persoalan.

     Bermula dengan kekecohan di kandang kambing di belakang Rumah Pak Samad, apabila kambing-kambing peliharaan Pak Samad tiba-tiba mengembek kuat dan membuat bising lalu tiba-tiba senyap dan menghilang pada pukul 10.30 malam ketika penduduk selesai menunaikan solat sunat Khusuf. Bunyi bising kambing-kambing berkenaan disusuli dengan bunyi ayam betina berketuk yang datangnya daripada reban ayam milik Cik Dothy Pareswaran, satu-satunya penduduk berbangsa India di kampung berkenaan.

     Ketua kampung, Haji Suparman hanya mengesyaki satu sahaja, iaitu serangan orang minyak sedang berlaku di kampung berkenaan. Setidak-tidaknya, adalah punca yang boleh dibincangkan apabila berhadapan dengan penduduk kampung nanti.  Namun, tidaklah logik apabila orang minyak kebiasaannya akan menganggu manusia anak dara sahaja, tidak pernah lagi didengari cerita orang minyak mengokak kambing-kambing peliharaan orang kampung.

     Belum sempat ahli jawatankuasa keselamatan kampung (JKKK) bermesyuarat untuk mendapatkan maklu balas tentang kejadian yang berlaku, kutu kampung serta si pemetik gitar pondok tepi parit, si Mat Ropi dan geng Gitar Ropol-Ropol bertempiaran lari tercungap-cungap ke arah rumah Haji Suparman yang ketika itu sudah berkumpulnya beberapa anak muda yang sudah bersiap sedia untuk menangkap si penjenayah atau dipercayai orang minyak yang sedang berkeliaran di sekitar kawasan kampung Seri Tembaga itu.

     "Haji...Haji...." Mat Ropi berlari tercungap-cungap ke arah Haji Suparman, penghulu kampung Seri Tembaga sambil memegang dadanya tanda kepenatan.

     "Engkau dah kenapa Mat Ropi, Mat Kobok, Man Mancing, si Rongak, Den Jembal, muka macam ternampak jembalang tengah minum Starbucks aje." Haji Suparman cuba membuat lawak telo jawanya dikala suasana sedang tegang.

     "Bukan Haji.  Bukan. Macam ni. Tadi kami berlima nak balik lalu kebun-kebun getah dengan sawit  yang sunyi tu. " Cerita Mat Ropi dan Geng Gitar Ropol-ropol sambil tercungap-cungap. Matanya terbeliak dek seakan terlihat sesuatu.

     "Lepas tu?" Haji Suparman meminta Mat Ropi dan ahli kumpulan Geng Gitar Ropol-ropol menyambung ceritanya.

     "Betul haji. Betul." Mat Kobok mencelah sambil terduduk melepaskan lelah.

     "Eh kau diamlah Mat. Aku nak cerita ni. " Mat Ropi meneruskan penceritaannya.

     "Saya nampak kereta Axia hijau si Redra parkir tengah jalan dekat kebun getah tu, dengan pintu, enjin, lampu terbuka... Ada darah dekat bumper depan kereta, macam kereta tu langgar sesuatu....." sambung si Mat Ropi lagi sambil menghela satu nafas panjang.

     "Habis, si Red nya ada tak kat situ?" Haji Suparman bertanya kembali kepada Mat Ropi dengan loghat jawa yang pekat.

     "Takde Haji. Sumpah takde. Aircond kereta tu pun masih terbuka. Saya kat situ dah seram sejuk dah. Suasananya lain macam laa Haji." terang Mat Ropi sambil membuat gerak seram sejuk.

     "Tadi saya nampak ada mata merah dekat celah pokok buloh, Haji." Man Mancing mencelah sambil menonggak air mineralnya.

     "Ah engkau orang ni. Penakut bebeno. Engkau pasti ke tu kereta si Redra tu?" Haji Suparman mempersoalkan pemerhatian si Mat Ropi dan Geng Gitar Ropol-ropol yang disifatkan mengarut dan sengaja mereka-reka cerita.

     "Betul tu. Kereta Redra lah satu-satunya kereta yang ada logo Uber kat kampung ni. Sapa lagi yang buat Uber kat kampung ni kan. Jom laa Haji kita tolong dia. Saya rasa tak sedap hatilah, Haji." Mat Ropi merayu-rayu kepada Haji Suparman.

     "Baiklah. Kita pergi tempat yang Mat Ropi katakan tu. Yakub, Hassan, kau pergi rumah Pak Abu, bagitau yang si Redra tu hilang ke, kena makan orang minyak ke. Kau bagitahu laa apa-apa. Dah jom." Haji Suparman memulakan langkah untuk misi menyelamatkan Redra Thabary.

     "Ishh Haji Suparman ni. Ape laa cakap macam tu. Tak baik tau" ujar Hassan dengan intonasi lembut kelempuk nya itu.

     "Aku melawak je laa. Korang ni take it serious sangat. Relax. Kita selesaikan masalah ni cepat-cepat." Haji Suparman cuba untuk speaking sambil menyedapkan hati pemuda-pemuda di kampung itu yang belum pernah berhadapan dengan situasi panik sebegitu.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top