EPISOD 7
"YOU tak boleh nak hantar I balik rumahlah ni?"
"Sorry. I banyak benda kena buat. You faham-fahamlah bos I tu macam mana orangnya. Semua nak on time."
Mendengar jawapan Marzuki benar-benar membuatkan Hayla kecewa. Buku lalinya yang sudah dibalut dengan kain anduh dipandang tajam. Baik Marzuki mahupun Zira, kedua-duanya tak boleh harap! Sanggup Zira tinggalkan dia di hospital hanya untuk meneruskan niat keluar bersama teman lelaki sahabatnya itu.
Lagi satu, Hayla baru saja mahu menghadiri majlis Betry malam ini. Salah seorang model terkenal di Malaysia. Nampaknya, semuanya batal sekelip mata. Terlepaslah peluangnya untuk mempromosi diri sendiri!
"Nanti malam I bawakan you..."
"Tak payah! Nanti kalau I masuk kubur baru you bawakan apa je apa yang you nak bawakan untuk I! Kalau orang dah tak sudi, takkan kita nak terhegeh-hegeh pula."
"D! Janganlah merajuk..."
Belum sempat Marzuki menamatkan bicara, Hayla menyentuh punat merah seraya bangun dari katil. Dia mendengus. Kenapa ya sejak kebelakangan ini Zira dan Marzuki sering bertingkah aneh? Sudah pandai memungkiri janji. Sudahlah serentak pula tu!
"Assalamualaikum."
Lamunan Hayla terhenti tatkala dia disergah oleh si pemuda yang sudah menanti di luar wad kecemasan. Hayla mencebik geram. Dengan langkah terhincut-hincut, Hayla melangkah ke kerusi yang terletak di lobi hospital.
"Cik... saya tolong call waris cik ya? Biar diorang yang ambil cik kat hospital. Kaki cik tu terseliuh. Tak boleh banyak bergerak," tutur Hanzalah. Rasa bersalahnya sudah sedalam samudera tatkala Hayla tercedera. Sedangkan dia pula baik-baik saja saat ini. Dek sering mengamalkan ayat kursi sebelum keluar rumah, dia sendiri dilindungi oleh Allah daripada malapetaka.
"Tak payah! Aku nak lima ribu aku sekarang juga! Kau tahu tak sebab kau, business aku hancur malam ni!"
Hanzalah melabuhkan duduknya di sebelah Hayla. Sebuah kerusi kosong berada di antara mereka berdua.
"Saya minta maaf, cik. Lima ribu tu..."
"Kau tak payah nak banyak alasan! Disebabkan kecuaian kau, aku tak boleh datang majlis yang boleh bawa untung dalam hidup aku! Aku hilang job sebab kau!"
"Saya minta maaf..."
"Aku nak lima ribu. Bukan permohonan maaf kau yang entah dah berapa kali kau ulang ayat sama!" Hayla menadahkan tangannya di hadapan Hanzalah. Bingit pula telinganya mendengar permohonan maaf Hanzalah tanpa henti.
Hanzalah tersenyum kecil. Tubuhnya disandarkan di kerusi sambil menanti kehadiran Ulwan. Biarlah Hayla mahu marah. Hanzalah mengerti kesalahan yang telah dia lakukan hari ini.
"Bodoh! Pekak ke? Bayar ganti rugi sebanyak lima ribu..."
"Sabar, cik. Orang sabar ni Allah sayang..."
"Kau tak payah nak ajar aku bersabar! Aku nak duit..."
Belum sempat Hayla menamatkan bicara, dua orang figura kelihatan menyerbu ke arahnya dan Hanzalah. Berkerut dahi gadis itu tatkala niatnya mahu memeras ugut tergendala.
"Hanz! Aduh, macam manalah boleh jadi macam ni? Kau kelam kabut sangat ke..."
Tak semena-mena, bicara Ustaz Sorban tergantung tatkala pandangannya bertaut dengan Hayla. Kaget dengan kehadiran anak perempuan kepada sahabatnya. Bagaimana gadis ini bisa berada di hospital dengan kaki yang berbalut?
"Eh, Cik Hayla?"
Hayla turut kaget tatkala ustaz berserban putih menegurnya. Bagaimana pula lelaki tak dikenali yang anggaran usianya sebaya dengan Datuk Sulaiman ini tahu namanya?
✨️✨️✨️
"TERIMA kasih, tolong hantarkan Hayla balik rumah. Aku sibuk sangat hari ni uruskan syarikat. Tu yang tak tengok phone langsung. Maaf ya kalau Hayla penyebab Ustaz Hanzalah kemalangan. Kalau ada yang nak dibayar ganti rugi, bagi tahu je."
"Tak apa, pak cik. Saya yang salah. Anak pak cik tak salah apa-apa pun. Saya yang tak sengaja langgar dia tadi sampai terseliuh." Sungguh, Hanzalah masih rasa bersalah sehingga permohonan maaf tak lekang meniti di bibirnya. Dia tahu Hayla masih tak berpuas hati selagi lima ribu ringgit tak dibayar kepada Hayla sebagai ganti rugi.
"Lima ribu untuk kaki aku. Bila kau nak bayar?"
Mendengar bicara Hayla, hampir saja Datuk Sulaiman yang sedang mencicip teh panas tersedak. Ada rasa malu mula mencengkam sanubarinya tika Hayla mula meminta ganti rugi dengan jumlah yang terlalu banyak.
"Saya akan usaha..."
"Tak perlu. Budak bertuah ni saja nak peras ugut ustaz untuk kepentingan dia sendiri. Pergi masuk dapurlah Hayla. Jangan nak mengarut depan tetamu daddy," pintas Datuk Sulaiman dengan nada yang tegas. Hailah, mahu saja dihempuknya Hayla yang sentiasa lancang dan kasar dalam berkata-kata itu.
"Daddy nak back up dia dah kenapa? Kaki Hayla terseliuh sebab dia tahu tak! Hayla tak dapat datang event untuk job Hayla pun sebab manusia ni juga!" Benci benar Hayla melihat wajah tenang Hanzalah itu. Apatah lagi Datuk Sulaiman seakan-akan mempertahankan pemuda yang sudah melanggarnya.
"Maaf Cik Hayla. Anak pak cik tak sengaja langgar kamu. Nanti kalau dia berduit sikit dia bayar ganti rugi..."
"Tak apa, ustaz. Kecederaan Hayla ni tak serius mana pun. Esok-esok sembuhlah ni. Janganlah difikirkan sangat pasal budak ni." Semakin Hayla memberontak, semakin kuat rasa malu dalam diri Datuk Sulaiman tika Ustaz Sorban pula yang bertekad untuk membayar lima ribu ringgit seperti yang diminta oleh Hayla.
Tatkala dinding hatinya semakin terbakar, Hayla mendengus seraya bangun melangkah ke dapur. Matanya dijelingkan. Sungguhlah, dia tak mengerti mengapa ayahnya bersungguh-sungguh mempertahankan Hanzalah. Tidakkah ayahnya lihat seorang Hidayah Hayla sedang menahan sakit?
"Jahanam punya jantan! Tak fahamlah apa yang special sangat pasal jantan tu sampai daddy nak back up!" gerutu Hayla seraya melabuhkan duduk di kerusi island kitchen. Mahu mengisi perutnya yang berkeroncong kelaparan.
"Apa yang tak puas hati tu lagi, Cik Hayla intan payung oi?"
"Tu hah majikan kesayangan Mak Jah. Tak habis-habis nak back up anak kawan dia yang spesis lebai tu. Dia tak tahu ke kaki Hayla ni rasa nak tercabut je tak! Dahlah sebab mamat tu Hayla tak dapat nak pergi party Betry! Bullshit semua ni!"
Mendengar bebelan Hayla yang tak henti-henti membuatkan Mak Jah menggelengkan kepala saja. Dia mengerti. Sikap kuat memberontak Hayla membuatkan gadis itu tak berpuas hati tatkala Datuk Sulaiman berkeras untuk menolak bayar ganti rugi.
"Nah. Makan dulu. Kalau Hayla makan mesti tak stres lagi. Hari ni Mak Jah masak nasi ayam special untuk Hayla."
Haruman semerbak nasi ayam yang masih panas membuatkan Hayla tersenyum lebar. Terubat sedikit amarahnya melihat makanan kegemarannya yang sudah dihidang di atas meja. Enak!
"Masakan Mak Jah tak pernah mengecewakan! Lebih sedap daripada hotel lima bintang." Hayla memuji sambil mengunyah nasi ayam dengan penuh berselera.
"Lepas ni, Mak Jah ajar Hayla masak nasi ayam. Nanti bolehlah Hayla buat sendiri ikut resipi Mak Jah."
"Tak nak! Tangan Hayla ni mahal kalau terkena percikan minyak. Mak Jah kan selalu ada untuk masak apa je yang Hayla suka. Jadi Hayla makan jelah apa yang Mak Jah masak."
"Yalah. Memang Mak Jah selalu ada untuk Hayla. Tapi lepas ni... Hayla dah kena buat semuanya sendiri."
Kunyahan Hayla terhenti serta-merta tatkala kata-kata Mak Jah membuatkan gerak hatinya negatif. Sudu diletak di atas pinggan. Terasa kelat liur di rangkungannya melihat air muka Mak Jah berubah mendung.
"Kenapa ni Mak Jah? Lain macam je bunyinya."
Mak Jah tertunduk. Mengenggam kedua-dua belah tangan Hayla. Ya Tuhan, bagaimana ya dia mahu memberitahu Hayla satu berita yang bakal meranapkan gadis itu? Dia tak mahu melihat kesedihan di wajah gadis yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
Sejak usia Hayla setahun sehinggalah sudah meningkat dewasa, Mak Jah menjaga gadis itu dengan penuh kasih sayang. Apatah lagi semenjak Datin Isminah meninggalkan Hayla tanpa khabar berita.
"Ada apa-apa yang Hayla tak tahu ke Mak Jah?"
Mak Jah masih diam. Cuba menyusun ayat untuk menyampaikan hal yang sebenar kepada Hayla.
"Mak Jah, Hayla tanya ni! Kenapa Mak Jah senyap je? Kenapa Mak Jah cakap benda yang pelik-pelik?"
"Hayla..." Mak Jah mengusap lembut rambut Hayla yang diikat tocang. Tubir matanya terasa hangat. Pandangan mula kabur dengan cecair jernih yang memenuhi kolam mata. Menunggu masa untuk jatuh membasahi pipi.
"Bulan depan, Mak Jah balik kampung dah. Mak Jah tak akan ada untuk Hayla lagi. Mak Jah tak akan masak apa yang Hayla nak makan. Mak Jah..."
"Apa ni Mak Jah!"
Tak semena-mena, suara Hayla naik seoktaf. Bibirnya menggeletar. Dia terbangun. Dadanya berombak kencang dengan kata-kata wanita yang dianggap seperti ibunya sendiri. Hilang terus selera Hayla menjamah nasi ayam.
"Mak Jah jangan merepeklah! Habis tu... Mak Jah nak tinggalkan Hayla macam mummy tinggalkan Hayla ke? Hah!"
"Bukan macam tu, nak. Mak Jah..."
"Mak Jah dah janji Mak Jah tak akan tinggalkan Hayla! Mak Jah akan selalu ada untuk Hayla sampai bila-bila. Kenapa Mak Jah mungkir janji?" Hayla membentak sekuat hati. Ditolaknya kasar tubuh Mak Jah yang cuba memeluknya.
"Mak Jah tak mungkir janji. Tapi..."
Mak Jah terjeda. Berat benar hatinya mahu mengungkapkan ayat yang seterusnya. Air matanya mengalir ke pipi melihat kekecewaan di wajah Hayla.
"Tapi apa?"
"Hayla! Apa jerit-jerit macam orang tak betul ni? Tak nampak ke daddy ada tetamu kat luar tu?"
Tak semena-mena, Hayla tersentak tatkala suara tegas Datuk Sulaiman kedengaran. Dia kalih. Ada amarah di sebalik pandangan si ayah.
"Mak Jah nak berhenti kerja! Kenapa tiba-tiba je..."
"Daddy yang suruh! Hayla tak payah nak jerkah Mak Jah. Jangan kurang ajar dengan orang yang dah anggap Hayla macam anak sendiri!"
Ya Tuhan, mendengar pengakuan Datuk Sulaiman benar-benar membuatkan Hayla terkelu. Jantungnya seakan direntap kasar. Nafasnya sesak di rangkungan. Kepalanya digelengkan. Semuanya berlaku sekelip mata saja! Hayla merasakan perasaan yang sama semasa Datin Isminah membuangnya hanya disebabkan dia buta dahulu.
"Apa salah Mak Jah? Kenapa daddy suruh Mak Jah berhenti?"
Datuk Sulaiman tertunduk menekur jari jemarinya tatkala lidahnya kelu untuk menjawab soalan Hayla. Nafas panjang dihela. Namun, hanya seketika tatkala dadanya terasa sempit. Sakit! Seakan, penyakitnya kembali menyerang.
"Kenapa daddy?"
Perlahan-lahan, Datuk Sulaiman mengusap lembut ubun-ubun Hayla. Bagaimanalah dia mahu memberitahu kepada Hayla kemelut yang sudah menimpa keluarga mereka ini? Dia tak mahu Hayla terbeban!
"Hayla akan tahu juga... nanti. Sekarang... bukan masanya lagi."
Mendengar hal itu, amarah Hayla semakin meluap-luap tatkala Datuk Sulaiman dan Mak Jah menyimpan rahsia. Dia mendengus. Langkah diatur keluar dari ruang makan menuju ke kamarnya. Tatkala pandangannya bertaut dengan Hanzalah yang seakan-akan kaget dengan pertelingkahan mereka anak beranak, jelingan maut diberikan kepada pemuda itu.
Ya Tuhan! Kenapa dia merasakan ada sesuatu yang buruk berlaku dalam keluarganya ini?
Bersambung...
8.1.2025
Sorry kalau tak best ❤️
Thank you sudi singgah ❤️
20 vote 10 komen unlock new chapter ❤️🔥
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top