Teaser 7

HUSNA BERTELEKU di tikar sejadah. Masuk hari ini sudah lebih seminggu dia gagal menghubungi lelaki itu. Dia semakin tertekan. Jika diikutkan hati, mahu saja dia menebalkan muka ke hospital. Sungguh dia rindu untuk melihat wajah Irwan.

Dia benar-benar kecewa kerana sehingga ke hari ini Irwan masih lagi tidak berterus terang tentang hubungannya dengan Kayla. Tak sangka cinta pertama lelaki itu ialah isteri Aryan. Berhari-hari dia berendam dengan air mata mengenangkan hubungan mereka yang semakin dingin.

Air mata diseka dengan kain telekung. Telefon pintar yang ada di atas katil dicapai. Nafas dihela sedikit berat. Masih tiada lagi mesej daripada lelaki itu. Kali ini dia memberanikan diri untuk menghubungi Irwan. Biarlah dia mengalah demi menyelamatkan hubungan mereka. Dia takut kehilangan Irwan.

“Assalamualaikum.”

Tertelan air liur Husna. Tak sangka kali ini cepat pula lelaki itu menjawab panggilannya.

“Waalaikumussalam, abang. Abang sibuk ke?”

“Baru nak masuk tidur.” Acuh tak acuh nada suara Irwan.

Terkilan Husna mendengar jawapan lelaki itu. Lelaki itu seolah-olah tidak kisah tentang dirinya lagi.

“Hujung minggu ni abang kerja ke?”
“Tak tahu lagi. Kenapa?”

“Kita kan dah janji nak beli barang hantaran Una. Tak lama dah majlis kita. Hujung minggu ni kita keluar, boleh?”

“Tengoklah dulu. Tak janji. Kalau tak ada apa-apa yang penting, abang nak tidur dulu."

“Tapi abang…”

Tergamam Husna dengan layanan lelaki itu. Tergamak Irwan mematikan panggilan tanpa sempat dia bercakap apa-apa. Hatinya benar-benar terguris.

“Ya Allah, perlu ke aku berundur?”

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top