Bab 9

LOSYEN disapu ke seluruh lengan dan leher. Sesekali bahu yang terasa lenguh diurut perlahan. Termenung Maya di hadapan cermin meja solek. Nafas dihela dengan agak berat. Fikirannya masih teringatkan tentang Puan Alya.

“Termenungkan apa?”

Hampir terjerit Maya. Tiba-tiba saja Dani muncul dibelakangnya. Tangan sasa Dani membelit ke pinggang Maya.

“Tak ada apa. Kenapa tak keringkan rambut dulu ni?” Masam wajah Maya. Wajah Maya turut terkena titisan air di rambut Dani.

Satu tabiat buruk yang Maya tahu tentang suaminya selepas berkahwin, suka membiarkan rambut dalam keadaan basah selepas mandi.

“Keringkan untuk abang.” Dani kenyitkan mata. Sekilas pucuk hidung isterinya dicium.

Menggeleng Maya. Tangan Dani ditarik hingga ke katil. Tubuh Dani ditolak supaya duduk di tepi katil. Tuala yang masih bersangkut di leher Dadi diambil.

“Lain kali keringkan dulu rambut ni. Tak elok.” Nasihat Maya sambil mengesat rambut si suami.

“Malas…” Selamba saja jawapan Dani. Pinggang Maya dipeluk kemas.

“Hishh… main-main pula. Sekarang ni Maya ada, bolehlah keringkan rambut abang. Kalau Maya tak ada, macam mana?”

Mati terus senyumam Dani. Terus dia menarik pinggang isterinya dengan kuat sehingga terduduk di atas riba. Menjerit Maya kerana terlalu terkejut. Dada Dani ditampar geram.

“Abang! Suka sangat kejutkan Maya…”

“Maya ada niat nak tinggalkan abang ke?”

Terkedu Maya. Melihat raut wajah suaminya bertukar tegang, fahamlah dia yang dirinya sudah tersalah cakap. Dia sekadar ingin bergurau saja.

“Maya cuma cakap kalau…”

“Jangan cakap macam tu lagi. Abang tak suka. Remember… kata-kata tu satu doa.”

Terdiam Maya. Bibirnya digigit perlahan.

“Maaf, Maya tak akan cakap macam tu. Insya-Allah, Maya tak akan tinggalkan abang kecuali ajal aje. Kita baru berkahwin dua minggu, masih jauh lagi perjalanan rumah tangga kita. Dan Maya harap, abang pun akan terus berada di sisi Maya tak kira apa pun ujian yang datang.” Leher Dani dirangkul mesra.

Maya mahu Dani tahu yang dia sudah menyayangi suaminya. Malah Maya mahu rumah tangga mereka kekal sehingga ke hujung nafasnya. Dia pernah melalui kehidupan keluarga yang tidak sempurna dulu ketika arwah ayahnya meninggal dunia.

Kesannya, ramai yang memandang hina terhadap statusnya ibunya ketika menjadi janda. Lebih teruk nasib ibunya apabila bercinta dengan suami orang. Jika teringatkan kisah lama, Maya sendiri tidak mahu lagi berhadapan dengan situasi itu.

“Termenung lagi?”

Maya tersenyum kelat.

“Teringatkan kisah lama.” Wajahnya disembam ke dada Dani. Terasa tenang berada di dalam pelukan suaminya. Bau haruman tubuh suaminya dihirup dalam-dalam.

“Kita sama-sama ada sejarah yang tak indah ketika kecil. Dan Maya harap, untuk masa akan datang, kita sama-sama usaha menjadi lebih baik dari pengalaman lalu. Boleh?”

Wajah Dani terus berubah. Terkesan juga dia dengan setiap luahan isterinya. Pasti Maya teringatkan kenangan ketika di usia kecil. Dia pernah mendengar dari Encik Syuib yang Maya pernah melalui kehidupan yang sukar ketika kecil.

“Abang akan bahagiakan Maya kan?”

“Insya-Allah. Kita akan bahagia.” Tubuh Maya dipeluk kemas.

“Esok, abang ada rancangan apa?”

“Entah. Berkurung dalam bilik hotel aje kut.”

Hampir ternganga Maya. Maya angkat wajahnya. Kepalanya digeleng laju.

“Tak naklah berkurung dalam bilik ni. Bosan…”

“Abang tak bosan. Macam-macam kita boleh buat.” Dani tayang senyuman miang.

Dek terlalu geram, pinggang Dani dicubit geram. Mengekek Dani ketawa.

“Janganlah main-main. Kita ada dua hari aje lagi cuti. Nanti kita dah sibuk dengan kerja.” Cuti Maya hanya tinggal beberapa hari saja. Dikesempatan ini, Maya ingin meluangkan masa bersama Dani. Selepas ini, pasti masing-masing sibuk dengan kerja.

Ketawa Dani semakin reda. Bercakap soal kerja, dia baru teringatkan sesuatu. Dia perlu berbincang sesuatu dengan Maya.

“Jom kita duduk di sana. Ada perkara abang nak bincang.”

Maya sekadar menurut. Bathrobe di tubuhnya diikat kemas. Mereka berjalan bersama dan duduk di kerusi yang disediakan di balkoni. Pemandangan pada malam itu sangat cantik. Ditambah lagi dengan cahaya lampu di seluruh bandar.

Bahu Maya ditarik rapat ke arahnya. Mereka sama-sama duduk di atas kerusi untuk mengambil angin di situ.

“Nanti kalau kita ada rumah sendiri, Maya nak ada balkoni menghadap permandangan cantik. Malam-malam, kita boleh berbual sambil tengok permandangan.”

“Tapi abang dah beli rumah lain.”

“Ha?”

“Yang tu kita bincang lain kali. Sekarang ada perkara penting abang nak bincang.”

“Abang nak cakap apa?”

“Pasal kerja.”

Berkerut dahi  Maya. Dada berdegup laju. Tak tahu kenapa Maya dapat merasakan perbincangan mereka nanti bukan sesuatu yang baik.

“Abang nak Maya berhenti kerja.”

Tergamam Maya. Wajahnya terus berubah riak. Terkejut dengan permintaan Dani yang tak masuk akal itu.

“Berhenti kerja?” soal Maya tanda tidak percaya.

“Ya, secepat yang mungkin.”

“Abang bergurau kan?”

“No.”

Kali ini Maya segera menjarakkan tubuhnya. Sungguh Maya tidak faham punca Dani memberikan arahan seperti itu.

“Tapi kenapa?” Hampir tak terkeluar suara Maya.

Dani berdeham perlahan. Dia sedar mungkin keputusannya ini sangat mementingkan diri sendiri. Tapi dia cuma mengambil langkah berhati-hati. Dia tidak mahu Maya mengikut sikap wanita itu.

“Abang nak Maya jadi surirumah tangga. Abang mampu untuk jaga Maya. Tak perlu lagi bekerja.”

“Tapi kerja ni cita-cita Maya sejak dari dulu lagi,” tekan Maya.

“Itu dulu. Sekarang dah lain.”

Dani terus berdiri tegak dan berjalan ke hadapan. Kedua tangannya memegang palang balkoni.

“Apa yang lain? Kerja ni tetap tetap cita-cita Maya. Sama macam abang.”

“Sebab Maya dah jadi isteri abang sekarang. Abang tak nak isteri abang berkeliaran di luar lagi.”

Kaku tubuh Maya. Tidak percaya Dani sanggup bercakap begitu. Saat ini hanya satu yang terlintas di dalam fikirannya. Dani masih tidak percayakan dia.

“Abang tak percayakan Maya?”

Terpejam mata Dani. Mungkin di mata Maya, tindakan ini seolah-olah dia tidak percayakan Maya. Dia tidak peduli tentang tanggapan Maya. Apa yang penting, dia tidak mahu sejarah lama berulang.

“Abang percayakan Maya.”

“So apa masalahnya kalau Maya terus bekerja?”

“Sebab abang tak nak Maya jadi macam mama!”

Terhenjut bahu Maya. Terus dia berundur ke belakang. Pertama kali dia mendengar perkataan mama dari bibir suaminya. Dani meraup wajahnya dengan kasar. Ke hulu ke hilir dia berjalan. Tindakan Dani itu mencemaskan Maya.

“Abang…”

“Abang nak bersendirian.”

Belum sempat Dani ingin masuk ke dalam., Maya segera memeluk Dani dari arah belakang. Langkah Dani terus terhenti.

“Maya minta maaf. Maya tak ada niat nak bantah cakap abang. Bagi Maya masa. Permintaan abang ni, melibatkan masa depan Maya. Maya…”

“Masa depan Maya sekarang hanya abang. Lupakan dunia luar. Tak boleh ke Maya ikut cakap abang?” Dani terus berpaling menghadap Maya. Kedua pipi isterinya ditekap dengan tapak tangannya.

“Bagi Maya masa. Maya tak boleh berhenti macam tu aje. Abang pun mesti faham kan kerja macam kita ni, perlukan masa untuk berhenti.” Rahang Dani disentuh lembut.

“Sayang akan berhenti kerja kan?”

Hampir terjatuh rahang Maya. Pertama kali dia mendengar Dani memanggilnya sayang.

“Sayang?”

Merah wajah Dani. Dia sendiri tidak sedar ada menyebut panggilan itu. Segera dia berdeham menghilangkan rasa kekok.

“Abang panggil apa tadi?” soal Maya sekali lagi.

“Err… Maya dah dengar. Tak perlu abang nak ulang.”

“Nak dengar lagi,” rengek Maya. Bukan senang lelaki dingin seperti Dani bercakap sesuatu yang manis. Setiap kali Dani bersikap romantik, lealaki itu lebih suka menunjukkan dengan perbuatan. Berbeza dengan Maya yang suka menzahirkan rasa sayang dengan cara ucapan dan perbuatan.

“Dah lewat malam. Kita masuk tidur…”

Cemberut wajah Maya. Timbul idea nakal untuk mengenakan Dani.

“Kalau macam tu, Maya tak jadi nak berhentilah.” Sengaja Maya cuba mengugut. Ternyata ugutan Maya itu menjadi sebaik saja wajah Dani berubah tegang.

Dani merengus perlahan. Tubuh Maya ditarik rapat ke arahnya sehingga pucuk hidung Maya menyentuh hidung lelaki itu. Tercengang Maya.

“Abang sayangkan, sayang. My only wife.” Bibir basah Maya dipagut lembut.

Terpejam mata Maya. Ciuman yang perlahan bertukar semakin rancak. Tubuh Maya terus dicempung masuk ke dalam bilik sebaik saja ciuman terlerai.

“Kita sambung dalam bilik,” bisik Dani dengan nada menggoda.

Dek terlalu malu, Maya menyembunyikan wajahnya di sebalik leher Dani. Gelak ketawa mereka memenuhi kamar tidur mereka.

❤️

Tinggal 3 hari lagi👏🏼

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top