Bab 8

Ramai rakan-rakan sekerja Dani dan Maya, hadir di majlis mereka. Walaupun ahli keluarga Dani tidak ada, majlis tetap meriah dengan kehadiran pelajar di kolej.

Keluarga mentua Sarah turut hadir di hari bahagia Maya. Maya sebenarnya agak kekok berhadapan dengan keluarga Hakim. Semasa dia bercinta dengan Hakim dulu, belum pernah lagi dia berpeluang berjumpa dengan mereka. Dari jauh, Maya dapat melihat ibu Hakim sedang berbual mesra dengan Sarah.

“Pandang siapa?”

“Ha?”

“Ralit sangat tengok Sarah. Kenapa?” Wajah manis isterinya yang disolek nipis itu, ditatap lama. Maya kelihatan anggun mengenakan gaun labuh berwarna putih. Sesuai dipadankan dengan tuxedo putih di tubuh Dani.

“Maya tengok keluarga Hakim. Kali pertama Maya kenal keluarga Hakim.”

Berkerut dahi Dani.

“Dah lama bercinta, takkan sekali pun Hakim tak pernah kenalkan.”

Maya tersenyum kelat. Hanya gelengan sahaja yang diberikan. Dani melihat ke arah keluarga itu. Jelas terpancar wajah ceria Hakim bermain dengan anaknya, Hadid.

“Sebab tu Maya minta untuk berpisah dulu?”

Terus berubah wajah Maya. Silapnya juga kerana tiba-tiba teringatkan kisah lama. Tidak sepatutnya dia mengungkit kembali sejarah cintanya yang tidak kesampaian itu. Lengan Dani dirangkul mesra.

“Lupakan aje. Yang penting, Maya dah ada abang,” kata Maya dengan nada yang manja.

“Jangan ingat lagi tentang dia. Dia dah jadi sejarah Maya,” tegas nada suara Dani mengingatkan Maya.

“Baik. Abang jangan risau. Dalam hati Maya sekarang, hanya ada nama abang.” Maya kenyitkan mata sambil tersenyum manis.

Dani turut tergelak. Pipi putih Maya dicubit geram. Bagi Dani, kisah cinta Maya yang lalu, sudah berakhir. Yang penting adalah sekarang.

“Kaki sakit lagi tak?”

“Alhamdulillah, dah kurang. Cuma kecewa tak dapat nak pakai kasut ala cinderella tu,” rungut Maya.

Disebabkan luka di kakinya masih ada, dia hanya boleh memakai kasut biasa saja. Mujur saja gaun yang dikenakan agak labuh. Kecewa juga Maya kerana tidak dapat memakai kasut tumit tinggi kegemarannya itu. Banyak juga wang yang dihabiskan untuk menempah kasut itu sebelum majlis ini berlangsung.

“Nanti kaki tu dah baik, pakai ajelah.”

“Betul juga. Nanti boleh Maya pakai bila nak pergi kerja.”

Senyuman Dani terus berubah kendur. Bercakap soal kerja, Dani hampir terlupa untuk berbincang sesuatu yang penting dengan isterinya.

“Malam nanti abang ada hal penting nak bincang.”

“Hal apa?”

“Tunggu malam nanti,” kata Dani sambil menepuk perlahan belakang tapak tangan Maya yang berada di lengannya.

Cemberut wajah Maya. Satu sikap suaminya yang dia tidak suka, selalu saja membuatkan dia tertanya-tanya.

“Dahagalah. Maya nak ambil air.”

“Tunggu sini. Biar abang yang ambil.”

Maya sekadar mengangguk. Kakinya sudah lenguh kerana berdiri terlalu lama. Hendak berjalan pun dia sudah tidak larat. Maya duduk di kerusi yang ada di situ. Sesekali dia tersenyum ke arah tetamu yang hadir. Ada juga yang datang berjumpa dengannya untuk bergambar.

Maya memandang di sekeliling dewan itu. Tiba-tiba anak mata Maya ternampak kelibat Encik Damian keluar dari dewan dalam keadaan tergesa-gesa. Terus Maya berdiri tegak. Tanpa sedar, langkahnya laju mengejar ayah mentuanya itu.

Sebaik saja Maya berada di luar dewan, Maya ternampak Encik Damian sedang bercakap dengan seorang wanita. Maya tidak nampak wajah wanita itu kerana terlindung di sebalik tubuh Encik Damian. Makin berdebar dada Maya melihat Encik Damian memeluk wanita itu.

Perlahan-lahan Maya mendekati Encik Damian. Langkahnya terhenti saat wajah wanita itu jelas di pandangan matanya. Laju dia menekup mulutnya.

“Tak mungkin…”

Tiba-tiba kedua pasang mata itu memandang ke arahnya. Masing-masing berdiri kaku.

❤️

BERKERUT dahi Dani. Puas dia mencari kelibat isterinya tetapi masih tidak kelihatan. Baru lima minit dia meninggalkan Maya, wanita itu sudah hilang. Dani segera pergi ke arah kedua ibu bapa mentuanya yang sedang berbual di meja tetamu.

“Ayah…”

“Ha, Dani. Mana Maya?”

“Err… Dani pun tengah cari dia ni.”

“Dia pergi tandas agaknya,” celah Puan Maznah.

Dani semakin tidak senang duduk. Dia beredar dari situ untuk mencari isterinya lagi. Belum sempat dia melangkah keluar dari dewan, Maya muncul bersama Encik Damian.

Maya yang sedar dirinya sedang diperhatikan, segera memaniskan wajah. Tidak mahu Dani mengesan sesuatu yang mencurigakan. Tangan suaminya diraih dan digenggam kemas.

“Pergi mana?”

“Tandas. Sorry sebab tak bagitau abang dulu.”

Dani menggeleng perlahan tanda tidak marah. Anak matanya terhala ke arah Encik Damian. Pelik melihat Maya ada di sisi Encik Damian.

“Papa pun pergi tandas juga ke?”

“Ha? Err… ya. Itu yang terserempak dengan Maya tadi.” Encik Damian tersenyum kekok. Dia duduk di kerusi kosong yang ada di situ. Dahi yang berpeluh dikesat dengan sapu tangan.

“Abang, Maya lapar.”

“Lapar lagi?” Tercengang Dani.

“Tapi Maya nak makan kuih aje.” Sengaja Maya cuba menarik perhatian Dani. Bukan dia tidak perasan wajah Encik Damian kelihatan agak cuak ketika ini.

“Ehmm… yalah. Tapi abang temankan aje. Abang dah kenyang.”

“Okay.” Tersengih-sengih Maya. Maya duduk di sisi Encik Damian.

Sebaik saja Dani pergi mengambil makanan, Maya segera menghadap Encik Damian. Sesekali anak matanya memandang di sekeliling. Takut juga jika ada yang memasang telinga.

“Kenapa papa tak beritahu Dani?”

Encik Damian menarik nafas dalam-dalam. Teragak-agak lelaki itu cuba memberikan penjelasan. Malu kerana diusia yang senja ini, dia masih lagi merahsiakan perkara yang penting ini.

“Cukuplah Maya tahu tentang hubungan kami. Ada sebab papa rahsiakan dari Dani.”

Terdiam Maya. Dalam fikiran Maya ketika ini hanyalah satu. Tak mustahil papa dan wanita itu masih ada hubungan. Siap berpeluk lagi. Jangan-jangan…

“Jangan cakap, papa dan…”

Tergamam Maya. Mulutnya ditekup laju. Isyarat mata diberikan kepada Maya sebaik saja ternampak Dani sedang berjalan ke arah mereka.

Laju Maya berpaling ke sisi. Dani muncul bersama sepinggan kuih di tangan. Wajah Maya berubah riak. Dia sebenarnya sudah terlalu kenyang. Terpaksalah dia cuba menghabiskan makanan itu walaupun perutnya sudah penuh.

“Ehmmm… ni karipap kegemaran papa. Makan, Maya. Kalau tak, papa habiskan,” seloroh Encik Damian sambil kenyitkan mata.

Dani sekadar tersenyum saja. Maya menarik nafas lega. Tahu yang orang tua itu ingin membantunya. Jika dia seorang saja yang menjamah kuih itu, pasti tidak akan habis.

“Makanlah. Tadi kata lapar.” Dani menyuap kuih karipap ke mulut Maya. Terpaksalah Maya menggigit sedikit kuih itu.

“Kita kongsi ya.” Kali ini Maya pula yang menyuap. Mereka berkongsi nakanan yang sama.

Sesekali anak mata Maya menjamah ke wajah suaminya. Nafas dihela dengan agak berat. Lama dia melihat wajah kacak Dani sehingga tidak sedar dirinya turut diperhatikan.

“Kenapa pandang abang macam tu?”

“Mata abang cantik…” Kali pertama Maya memuji anak mata suaminya yang berwarna biru itu.

Tergelak Dani. Jari jemari halus isterinya diraih dan dibawa ke bibir. Langsung tidak malu melakukan aksi itu di hadapan papa.

“Puji abang ni, ada nak minta apa-apa ke?”

Laju Maya menggeleng.

“Maya suka tengok anak mata abang. Kalau kita ada anak, mesti anak mata dia biru juga. Comel.”

Terbatuk Dani. Encik Damian yang sejak dari tadi hanya memasang telinga, sudah sembunyi senyum. Tidak mahu mengganggu pasangan itu, Encik Damian segera meminta izin untuk melayan tetamu. Merah wajah Dani.

“Anak?”

“Yalah. Abang tak suka ada anak ke?” Tegak terus tubuh Maya. Takut jika Dani tidak sukakan budak. Tapi Dani sangat manjakan Hadid. Sudah tentu suaminya inginkan anak.

“Suka cuma, tak terlalu awal ke kita cakap pasal anak?”

“Umur kita dah 32 tahun. Abang nak kita tunggu sampai bila?” soalan dibalas dengan soalan.

Dani berdeham perlahan. Tidak sangka perbualan mereka sudah menjadi serius. Bukan dia tidak bersedia tetapi sejarah hidupnya menjadikan dia masih belum bersedia bergelar ayah.

“Kita kan dah berusaha. Ada rezeki, adalah. Jangan terlalu fikirkan sangat.”

“Betul juga. Tekanan tak elok untuk hormon.” Tersenyum Maya. Dia menyambung kembali menghabiskan makanannya.

Dani tersenyum kelat. Minumannya diteguk habis. Anak? Bersediakah dia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah? Keluhan nipis terkeluar dari bibirnya. Sungguh dia masih tiada jawapan untuk soalan itu.

🥰

Tinggal lagi 5 hari❤️

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top