Bab 6
LENA Maya terganggu apabila terasa pipinya diusap oleh seseorang. Sebaik saja dia membuka mata, wajah Dani yang muncul di hadapannya. Lelaki itu sedang duduk di sisinya.
“Abang...” Disebabkan Maya bangun secara mendadak, kepala Maya terasa sangat pening. Dani segera meraih bahu Maya. Kepala Maya dipicit perlahan.
“Pening ke?”
“Sikit...”
Terpejam kedua mata Maya. Terasa nikmat saat jemari kasar itu singgah di pelipisnya. Selepas Dani keluar, tubuhnya terasa berbahang. Mungkin kesan dari kakinya yang terluka tadi dia mengalami demam.
“Badan Maya panas ni,” rungut Dani tanpa sedar.
Maya tersenyum lega. Nada suara lelaki itu tidak setegang tadi. Mungkin marah Dani sudah surut. Maya angkat wajahnya. Rahang Dani disentuh lembut. Senyuman manis turut dihadiahkan buat si suami.
“Maaf sebab menyusahkan abang. Baru hari kedua kita berkahwin, Maya dah susahkan abang. Maya tak sengaja nak kecilkan hati abang tadi.”
“Ehmmm… abang nak ambil panadol sekejap. Tunggu sini.”
Dani bergegas keluar dari bilik mereka. Maya toleh ke arah kakinya. Kawasan yang terkena jahitan tadi semakin berdenyut-denyut. Mengeluh Maya. Hendak berjalan pun dia tidak mampu. Perut Maya juga sudah terlalu lapar.
Mahu saja dia mengadu kepada Dani. Tetapi dia tidak berani kerana lelaki itu masih berkecil hati dengannya. Nanti dia dituduh mengada-ngada pula. Perutnya yang berbunyi sedikit disentuh perlahan.
Tiba-tiba Maya terbau sesuatu. Dani muncul bersama sepinggan mi goreng mamak dan segelas air suam. Panadol diletakkan di atas meja. Terkebil-kebil mata Maya melihat makanan yang dibawa oleh Dani.
“Makan. Abang beli di kedai mamak tadi. Abang tahu Maya tak makan lagi sejak kita balik dari hospital.”
“Susah-susah aje. Terima kasih, abang.” Ceria wajah Maya. Tertelan air liur Maya melihat mi goreng mamak yang masih panas itu.
“Nak abang suapkan?”
“Eh, tak apa. Maya boleh suap sendiri.”
Laju Maya mengambil garfu di tangan Dani. Pinggan yang terisi mi goreng mamak tadi diletakkan di atas riba. Dengan lafaz Bismillah, satu suapan masuk ke dalam mulutnya.
“Ehmmm... sedap. Abang beli dekat mana?”
“Abang beli di kedai kegemaran Maya.”
Terus berubah wajah Maya. Perlahan-lahan dia mendongak ke arah Dani.
“Abang tahu?”
“Err... abang cuma teka aje. Maya kan selalu dating dengan Hakim dulu dekat situ.”
Maya tersenyum kelat. Masih banyak perkara yang Dani tidak tahu tentang rahsianya.
“Abang keluar dengan siapa tadi?” soal Maya sambil menjamah makanan.
“Hakim. Tapi dia cuma temankan abang. Sejak dah jadi ayah ni, perangai dia memang menyakitkan hati.”
Tergelak Maya. Entah apalah yang disakat oleh Hakim tadi.
“Hakim cakap apa sampai abang marah sangat ni?”
“Dia ungkit kisah lama. Kisah peminat misteri abang.”
Tersedak Maya. Dani lekas menghulurkan air minuman kepada Maya. Belakang tubuh Maya diusap perlahan.
“Makan tu jangan gelojoh sangat.”
“Errr…. siapa peminat misteri abang?” soal Maya sebaik saja keadaannya reda.
Dani angkat kedua bahunya. Melihat reaksi Dani seperti itu, sudah jelas suaminya tidak berminat tentang peminat misteri itu.
“Abang memang tak nak tahu ke siapa dia?”
“Tak perlulah. Untuk apa? Lagipun abang tak suka dia ganggu abang dulu. Buang masa dan duit aje.”
Luka dikaki Maya yang masih berbalut itu ditilik sedikit. Keluhan nipis terkeluar dari bibir Dani. Jujur dia tidak suka melihat Maya tercedera.
“Sakit lagi?”
Maya mengangguk perlahan. Seleranya mati setelah mendengar penjelasan Dani. Kini baru dia faham punca Dani tidak pernah membalas surat-suratnya dulu.
“Nanti abang mandikan Maya. Kaki Maya tak boleh kena air lagi. Tunggu seminggu baru boleh kena air.”
Bulat mata Maya. Dani nak mandikan dia? Hampir tercekik mi goreng yang ada di mulutnya.
“Err… tak apa. Maya boleh mandi sendiri.”
“Jangan nak mengada. Nak berjalan pun tak boleh, macam mana nak bergerak?”
Maya kehilangan ayat. Memang dia sukar berjalan tanpa bantuan Dani. Tapi pada masa yang sama dia tak sanggup dimandikan oleh Dani. Walaupun Dani suaminya, dia masih berasa malu untuk berhadapan dengan situasi itu.
“Malu dengan abang?” soal Dani bersama senyuman nakal.
Maya tidak menjawab. Dia tunduk sambil menguis mi goreng di pinggan.
“Kita dah jadi suami isteri. Tak perlu nak malu lagi. Dah lupa semalam abang dah tengok semuanya,” sakat Dani.
“Abang!” Laju Maya menampar bahu Dani. Matanya mencerlung tajam.
Tergelak Dani. Sampai bergegar tubuh lelaki itu ketawakan Maya. Tercengang Maya. Rasanya ini kali pertama dia melihat suaminya ketawa. Bukan mudah untuk dia melihat Dani seperti sekarang.
“Pernah tak orang puji abang ni kacak?”
“Ha?” Mati ketawa Dani.
“Lepas ni abang jangan ketawa depan perempuan lain. Maya tak nak.”
Dani garu kepala yang tidak gatal. Tiba-tiba saja Maya meminta sesuatu yang pelik.
“Abang dengar tak?”
“Okay. Abang dengar.”
Maya tersenyum lebar. Dia segera menghabiskan makanannya. Melihat Maya yang berselera, timbul rasa bersalah di hati Dani kerana membiarkan Maya dengan perut kosong.
“Abang minta maaf. Abang tak ada niat nak keluar dari rumah tadi. Tapi hanya itu saja cara untuk sejukkan hati abang.”
“Maya faham. Abang cuma nak bersendirian. Betul tak?”
Dani mengangguk sedikit. Rambut panjang Maya yang terjuntai di hadapan, diselit ke belakang telinga isterinya. Selepas menghabiskan mi goreng di pinggan, Dani mengambil ubat di atas meja.
“Makan ubat ni.”
“Err... Maya dah okay. Rasanya tak perlulah makan ubat.”
“Ni antibiotik. Untuk elak jangkitan kuman pada tempat jahitan. Badan Maya dah panas ni.”
Dahi Maya dijamah sedikit. Makin mencuka wajah Maya. Kaki Maya semakin berdenyut-denyut. Mungkin juga kesan bius tadi sudah beransur hilang.
“Maya tak suka makan ubat.”
“Dah 32 tahun pun, masih takut makan ubat,” ejek Dani.
“Bukan takutlah. Cuma tak suka aje.”
Dani sembunyi senyum. Maya menjeling geram. Ubat di tangan Dani dirampas kasar. Dalam keadaan terpaksa, dia menelan juga ubat itu. Hampir saja Maya termuntah dengan bau ubat yang agak kuat itu. Dani yang faham keadaan Maya, segera menghulurkan sebiji gula-gula berangin yang dibelinya tadi.
“Kemam gula-gula ni. Bagi hilangkan rasa loya tu.” Gula-gula berangin itu disumbat ke mulut Maya. Laju saja Maya mengemam gula-gula itu.
“Ehmmm...” Sampai terpejam mata Maya menikmati gula-gula pudina itu.
“Dah hilangkan rasa pahit?”
Maya mengangguk sambil tersengih.
“Dulu masa abang kena makan ubat, papa akan bagi gula-gula berangin. Cara tu memang berkesan.”
Semasa dia jatuh sakit, terlalu banyak ubat yang perlu ditelan. Setiap ubat yang dimakan, pasti akan dimuntahkan gara-gara bau yang kuat. Disebabkan itu, papa menggunakan cara seperti tadi untuk mengatasi masalah Dani.
“Abang...”
Lenyap terus bayangan kisah lama saat tangannya digenggam oleh seseorang.
“Abang sakit apa dulu?”
“Errr... tak ada apa. Abang bawa pinggan ni ke bawah. Maya berehat dulu. Nanti nak solat Zuhur, abang kejutkan.”
Dani segera keluar dari bilik itu. Dia tidak mahu Maya bertanyakan tentang penyakitnya. Maya menarik nafasnya dalam-dalam. Ternyata Dani masih enggan berkongsi masalah dengannya.
🌹
SUDAH beberapa hari berlalu sejak kejadian kaki Maya tercedera. Selang sehari, dia terpaksa dibawa ke klinik untuk melihat keadaan jahitan di kaki.
Minggu hadapan akan diadakan majlis resepsi di sebelah keluarga suaminya. Harap-harap keadaan di kakinya akan cepat pulih. Seksa juga dia terpaksa berjalan dalam keadaan menahan sakit.
Teringat layanan Dani beberapa hari yang lepas, hati Maya kembali berbunga. Hubungan mereka juga semakin mesra. Tidak sangka dalam dingin sikap suaminya itu, terselit juga sisi romantik. Terasa dirinya cukup bertuah kerana hanya dia saja yang mendapat layanan istimewa itu.
“Tersenyum apa tu?”
Terperanjat Maya. Tidak sedar sejak bila Dani muncul di dalam bilik.
“Tak ada apa.”
Dani menanggalkan semua pakaian di tubuhnya sebelum melilit tuala di pinggang. Berbahang wajah Maya. Lekas dia mengalihkan anak matanya ke arah lain. Selamba betul Dani separuh berbogel di hadapannya sekarang. Jika ditegur, pasti dia yang akan dikenakan pula.
“Jom...”
“Ha?”
Maya mendongak ke arah Dani. Pelik melihat Dani menghulurkan tangan ke arahnya.
“Masa untuk mandi. Kejap lagi dah Maghrib.” Dani berura-ura ingin mencempung tubuh Maya pula.
Maya lekas menghalang. Sejak kakinya sakit, memang dia terpaksa dibantu oleh Dani. Malah mandi bersama sudah terlalu kerap dilakukan. Itu belum ditambah lagi dengan sikap suaminya yang suka mengambil kesempatan.
“Kenapa?” Ternaik kening Dani.
“Err... kaki Maya dah makin okay. Maya boleh mandi sendiri.” Tersengih-sengih Maya.
“No! Selagi kaki tu tak sembuh, abang mandikan. Come...”
Sekali angkat saja, tubuh Maya yang kecil itu sudah berada di awangan. Leher Dani dipeluk kemas. Terpaksalah Maya mengalah. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.
“Abang...”
“Ehmmm…” Tubuh Maya diletakkan di atas singki. Selamba saja dia mencabut satu persatu butang baju isterinya.
“Tadi Maya ada terjumpa tiket ke Langkawi. Abang ada kerja dekat sana ke?” Bibir dikemam menahan rasa debar. Dia tidak sengaja terjumpa tiket itu di dalam beg pakaian Dani.
“Ya tapi tak jadi.”
“Kenapa?”
“Kaki Maya tak baik lagi. Abang cadang nak bercuti dengan Maya di sana.”
Tercengang Maya.
“Maksud abang, honeymoon?”
Melihat anggukan Dani, perasaan Maya sedikit kecewa. Walaupun sudah banyak kali dia ke sana, perasaan untuk bercuti bersama Dani pasti agak berbeza.
“Tak payah nak sedih. Tunggu majlis resepsi kita selesai, kaki Maya dah baik, baru kita bercuti.”
Terus ceria wajah Maya. Leher Dani dirangkulnya dengan erat.
“Betul ke abang?”
“Ehmmm...” Gumam Dani. Pakaian Maya sudah berjaya ditanggalkan.
“Terima kasih, abang. Sayang abang.” Bertalu-talu pipi Dani dicium.
Tertelan air liur Dani. Turun naik halkumnya dengan godaan Maya. Malah perkataan sayang di bibir isterinya itu, menambahkan rasa debar di dada.
“Sayang?”
“Yalah. Mestilah Maya sayang abang. Abang sayang Maya?” Sengaja Maya ingin mengusik Dani.
Wajah Dani yang tampak kemerahan itu dipandang dengan senyuman nakal. Tak salah jika dia mengusik Dani kali ni.
“Abang sayang Maya tak?” soal Maya sekali lagi. Wajah Dani ditiup perlahan.
“Nak tahu abang sayang ke tidak, mari abang tunjukkan,” bisik Dani dengan penuh menggoda.
Tak sempat Maya ingin menyoal, bibir Dani sudah selamat mengunci bibirnya. Hanya bahasa tubuh Dani sahaja yang menyampaikan rasa kasihnya terhadap isteri tersayang.
Pratempahan berbaki lagi 8 hari. Boleh wasap 0129284568
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top