Bab 3 (Part 1)
INAI yang menghiasi di jari jemarinya direnung lama. Hanya tinggal beberapa minit lagi dia bakal disatukan dengan Dani. Perasaannya semakin gementar. Sejak kejadian dia menyerahkan hadiah Puan Alya tempoh hari, dia perasan sikap Dani semakin berubah.
Tanpa sedar, senyuman manis terukir di bibirnya. Lelaki itu lebih prihatin berbanding dulu. Jujur perasaan cinta Maya terhadap Dani kembali berbunga.
“Maya…”
Laju Maya toleh ke arah pintu.
“Ya, ibu.”
“Sarah nak jumpa Maya,” kata Puan Maznah sebelum meninggalkan dua beradik tiri itu.
Sarah masuk ke dalam bilik dengan wajah yang manis. Dia duduk di sisi Maya. Mereka saling berpelukaan.
“Cantiknya Kak Maya.”
“Cantik ke?”
Laju Sarah mengangguk. “Kak Maya memang cantik dari dulu lagi. Bertuah Encik Dani dapat Kak Maya.”
Tergelak Maya. Bertuah? Jika Sarah tahu tentang kisah silamnya, pasti wanita itu tidak akan bercakap begitu. Maya mengeluh perlahan. Tiba-tiba Maya merasakan dirinya tidak layak bergelar isteri Dani.
“Kenapa ni Kak Maya?” Pelik Sarah dibuatnya. Tiba-tiba saja wajah Maya bertukar mendung.
“Kak Maya cuma teringatkan kisah lama.”
Terdiam Sarah. Sudah tentu kisah silam itu melibatkan dia dan Hakim. Walaupun perkara itu sudah lama berlalu, masing-masing masih sukar melupakan hal itu.
“Kak Maya minta maaf. Terlalu besar dosa Kak Maya dulu. Kak Maya hampir runtuhkan rumah tangga Sarah dan Hakim.”
“Tak perlu ungkit kisah lama lagi. Semua tu kita jadikan iktibar. Kami dah lama maafkan Kak Maya.”
Maya pandang Sarah. Wajah Sarah kini jelas kelihatan lebih bahagia.
“Terima kasih sebab Sarah sanggup maafkan Kak Maya. Patutlah Hakim pilih Sarah. Sarah terlalu baik.” Pipi adik tirinya dielus lembut.
Sarah tersenyum malu. Sejak kejadian hampir setengah tahun yang lalu, dia dan Hakim semakin bahagia. Tiada lagi rahsia di antara mereka. Kisah lama sudah menjadi sejarah untuk mereka.
“Percaya tak kalau Kak Maya cakap, Hakim bukan cinta pertama Maya?”
“Ha?”
Tergelak Maya melihat mata Sarah yang agak bulat itu. Nampak sangat wanita itu turut terkejut.
“Sebelum Kak Maya kenal Hakim, Kak Maya pernah sukakan seseorang.”
“Siapa?” Laju Sarah menyoal.
Tubuh Sarah ditarik rapat ke arahnya. Maya membisikkan sesuatu di telinga Sarah. Tercengang Sarah. Mulutnya terbuka luas.
“Ini rahsia kita. Jangan beritahu sesiapa. Janji?” Maya terlalu percayakan Sarah. Tidak ada masalah jika dia berkongsi rahsia besarnya dengan Sarah.
“Baiklah. Sarah janji.” Ketawa mereka saling bergabung. Sarah masih lagi tidak percaya Maya sukakan lelaki lain sebelum Hakim.
“Boleh Kak Maya tanya soalan?” soal Maya setelah ketawa mereka reda.
“Tanyalah.”
“Sarah masih bencikan ayah?”
Sarah tersenyum nipis. Perlahan-lahan dia menggeleng.
“Tak. Perasaan benci tu dah hilang bila kita ikhlas maafkan seseorang. Ayah tetap ayah kandung Sarah walaupun dia pernah lukakan hati Sarah. Apa yang berlaku di antara ayah dan ibu Sarah dulu, Sarah anggap mereka tak ada jodoh.”
Terdiam Maya. Situasi yang dialami Sarah dan Dani hampir sama. Tapi kenapa lelaki itu masih membenci Puan Alya?
“Semudah itu aje Sarah maafkan ayah?”
“Tipulah kalau Sarah boleh maafkan ayah. Tak… lama Sarah ambil masa. Semuanya disebabkan nasihat abang. Selagi dalam hati kita ni ada rasa dendam, hidup kita tak akan pernah tenang. Sarah tak nak hidup dalam keadaan tak tenang. Lagipun, ayah dah lama menyesal dengan kesalahan lama. Tak salah Sarah bagi peluang kepada ayah untuk sayangkan Sarah. Sarah pun dah ada anak. Sarah tak nak Hadid kecewa kalau Sarah masih berdendam dengan darah daging sendiri.”
Tersentuh hati Maya. Sikap Sarah sudah tentu mewarisi arwah ibunya. Terlalu banyak ujian yang pernah dilalui oleh Sarah dulu. Malah dia turut terlibat untuk menyakitkan hati Sarah dulu. Perbualan mereka terhenti sebaik saja pintu bilik di ketuk. Puan Maznah muncul dengan wajah ceria.
“Maya, jom turun. Rombongan pengantin lelaki dah sampai.”
Makin berdebar dada Maya. Sarah di sebelah turut tersenyum. Puan Maznah berdiri di hadapan Maya dan Sarah. Masing-masing terdiam seketika.
“Ibu…” Bergetar nada suara Maya. Kedua tangan Puan Maznah digenggam kemas. Hampir saja Maya menangis. Selepas ini pasti hubungan mereka akan berubah sedikit.
“Kenapa sedih ni? Inikan hari paling bermakna untuk anak ibu. Ibu doakan anak ibu bahagia sampai akhir hayat.” Berkaca tubir mata Puan Maznah. Hari yang ditunggu selama ini sudah tiba.
“Maya minta maaf kalau pernah kecewakan ibu dulu…” Maya terus merangkul tubuh Puan Maznah. Mereka saling berpelukan.
Sarah yang melihat situasi itu turut berasa sebak.
“Sarah…”
Tersentak Sarah. Lekas dia menyeka air mata di pipinya.
“Sarah juga anak ibu.” Bahu Sarah dirangkul mesra.
“Dan adik Kak Maya yang sentiasa manis,” seloroh Maya sambil mencuit hidung Sarah.
Gugur juga air mata Sarah. Tanpa segan silu, dia menangis di hadapan dua beranak itu. Sungguh dia bahagia kerana dapat menumpang kasih seorang ibu dari Puan Maznah.
🥰
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top