Bab 10

SUDAH sebulan Maya menghantar surat perletakan jawatannya sebagai pensyarah. Pada awalnya memang dia agak berat hati tetapi Maya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Mungkin lebih baik dia berhenti kerja jika itu yang mampu menggembirakan hati Dani. Selama sebulan ini, Maya dan Dani bergilir-gilir bermalam di rumah kedua ibu bapa mereka.

Menurut Dani, dia masih dalam proses membeli rumah. Tentang hal itu, Maya menyerahkan saja keputusan ke tangan suaminya. Hari ini, Maya pulang lebih awal sedikit. Sampai saja di rumah, dia terus ke dapur. Tersenyum Maya melihat Puan Maznah sedang sibuk menyediakan minum petang.

“Ibu…”

Puan Maznah berpaling ke belakang. Api dapur ditutup setelah siap menggoreng cucur bilis.

“Awal balik hari ni.”

“A’ah. Kepala Maya pening. Tu yang balik awal.” Maya duduk di kerusi makan. Kepala yang sedikit pening, dipicit perlahan.

“Dah ada isi agaknya,” seloroh Puan Maznah.

Tegak terus tubuh Maya.

“Hishh… ke situ pula. Maya cuma migrain aje, ibu. Belum ada lagi isinya.” Maya menjeling manja. Tak mungkin dia berbadan dua sedangkan baru minggu lepas dia datang bulan.

“Manalah tahu, anak ibu ni bunting pelamin.”

Maya segera menyibukkan diri dengan membantu menyediakan air minuman. Tidak mahu lagi ibu bercakap tentang soal zuriat. Dia dan Dani tidak pernah merancang. Mereka hanya berserah segalanya kepada Yang Maha Esa.

“Ibu buat cucur bilis lagi.”

“A,ah. Ni kan kegemaran Dani. Hari tu ibu buat, laju aje dia makan.”

Maya tersenyum kelat. Malu kerana dia sebagai isteri tidak sedar tentang kegemaran si suami. Walaupun mereka sudah lama berkawan sebelum berkahwin, masih ada banyak perkara yang Maya tidak tahu tentang Dani. Kadang-kadang Maya merasakan Dani terlalu perahsia orangnya.

“Maya tak tahu pun kegemaran Dani, ibu.”

Puan Maznah menjeling ke arah Maya. Jelas wajah si anak kelihatan tidak bermaya. Dia berjalan dan berdiri di sisi Maya.

“Sekarang Maya dah ada peluang untuk tahu tentang suami sendiri. Ibu dulu, sama juga macam Maya. Ibu selalu tanya ayah, apa yang dia suka, apa yang dia tak suka. Dalam rumah tangga ni, kita kena selalu berkomunikasi supaya tak ada salah faham.”

Maya mengangguk faham. Mungkin silapnya juga kerana tidak pernah cuba mengambil tahu tentang Dani. Selama mereka berkawan dulu, pernah dia beranggapan, Dani tidak suka berkawan dengan mana-mana perempuan. Mungkin disebabkan dia teman wanita Hakim, barulah Dani selesa berkawan dengannya.

“Bila hari terakhir Maya bekerja?” soal Puan Maznah.

Terhenyak Maya. Perlahan-lahan dia berpaling ke sisi. Tertelan air liur Maya.

“Ibu tahu?”

“Ayah yang beritahu ibu. Itu pun sebab Dani yang berbincang dengan ayah dulu. Dia beritahu, nak Maya berhenti kerja dan ikut dia berpindah.”

Tergamam Maya. Baru hari ini dia tahu tentang perkara ini. Dani pernah berjanji akan menceritakan tentang perbualannya bersama ayah. Boleh pula Maya terlupa untuk bertanya tentang hal tersebut.

“Ibu tak kisah ke Maya berhenti kerja?” Serba salah Maya dibuatnya.

“Itu keputusan Maya. Ibu cuma boleh bagi nasihat. Kalau Maya rasa itu yang terbaik, ikutlah cakap Dani. Cuma ibu risaukan Maya…”

Maya menarik nafas dalam-dalam. Sudah diagak perkara ini pasti akan merunsingkan Puan Maznah.

“Apa yang ibu risaukan?”

“Ibu risau Maya tak ikhlas berhenti kerja. Dari dulu lagi ibu tahu ini cita-cita Maya sejak dari kecil.”

Terkesan juga Maya dengan jawapan Puan Maznah. Jujur dia masih lagi bersedih setelah meletakkan jawatan.

“Antara kerja dan suami, Maya pilih suami. Dani cakap, dia mampu nak tanggung Maya.”

Tentang hal sebenar, biarlah menjadi rahsia. Sejarah kehidupan Dani ditinggalkan ibu kandung, mungkin menjadi punca Dani trauma untuk membenarkan dia bekerja.

“Ibu sokong setiap keputusan Maya. Yang penting Maya bahagia.” Kepala Maya yang masih bertudung itu diusap penuh kasih. Hanya doa yang dititipkan agar Maya sentiasa bahagia.

“Ibu…”

“Ehmmm…”

“Ibu pernah menyesal berkahwin dengan ayah?”

Terdiam Puan Maznah. Dia duduk di kerusi yang ada di sebelah Maya. Wajah Puan Maznah kelihatan teragak-agak untuk bercerita.

“Kalau ibu tak nak cerita…”

“Ibu menyesal,” celah Puan Maznah.

Tercengang Maya. Tak berkelip dia mendengar jawapan si ibu.

“Ibu menyesal sebeb terlalu pentingkan diri sendiri dulu. Maya pun tahu, ayah masa tu dah ada keluarga sempurna. Tapi Ibu tergamak paksa ayah ceraikan ibu Sarah.” Bergenang tubir mata Puan Maznah.

Maya segera merangkul bahu Puan Maznah. Terasa bersalah kerana mengungkit kisah lama.

“Ibu lupa, suami tu hanya pinjaman Tuhan. Selepas arwah ayah Maya meninggal, ayah tiri Maya datang untuk merawat luka di hati ibu. Ibu tamak dan tak nak berkongsi kasih. Ibu takut ayah lebihkan anak sendiri berbanding Maya. Kalau boleh diundurkan masa, ibu sanggup melutut di kaki arwah ibu Sarah untuk berkongsi kasih.”

“Ibu, jangan cakap macam ni. Arwah dah lama tak ada. Maya tak patut tanya soalan macam tu.”

Puan Maznah tersenyum kelat.

“Ingat pesanan ibu. Suami tu hanya pinjaman saja. Walaupun mungkin dia dah jadi milik kita, andai ditakdirkan kita perlu berkongsi kasih, kita perlu reda,” kata Puan Maznah dengan penuh makna.

Terdiam Maya. Bermadu? Maya tak sanggup bermadu andai perkara itu terjadi. Mungkin inilah perasaan Sarah ketika dia pernah berniat bergelar isteri kedua Hakim.

❤️❤️❤️❤️

SELEPAS makan malam, mereka sekeluarga bersantai di ruang tamu. Maya menyediakan air minuman panas untuk mereka sekeluarga.

“Abang, air.” Maya menghulurkan secawan teh panas kepada Dani.

Dani tersenyum sedikit. Belum sempat Maya ingin ke dapur, tangannya ditarik agar duduk di sebelahnya. Ternaik kening Maya.

“Duduk sini. Abang ada perkara nak bincang.”

Berdebar dada Maya. Kedua ibu bapanya turut memandang ke arah mereka. Jarang Dani ingin berbual seperti ini. Pasti ada perkara penting yang hendak dibincangkan.

“Ayah, ibu… Dani ada perkara penting nak beritahu.”

“Apa dia?” soal Encik Syuib.

“Dani nak bawa Maya berpindah ke Johor bulan depan.”

Tegak tubuh Maya. Perlahan-lahan dia menoleh ke wajah si suami. Puan Maznah dan Encik Syuib saling berpandangan.

“Pindah?” Hampir tak terkeluar suara Maya.

“Ya, abang ditukarkan ke sana. Tentang hal rumah, abang dah uruskan.”

Tertelan air liur Maya. Jujur dia masih terkejut dengan perkara ini. Wajah kedua ibu bapanya dipandang dengan rasa serba salah.

“Ehmm… baguslah. Mungkin dah tiba masanya kamu berdua hidup berdikari. Bila kali terakhir Maya bekerja?” soal Encik Syuib.

“Err… minggu depan. Insya-Allah, Dani dah uruskan perkara penting di sini. Maya cuma bersedia aje untuk ikut Dani ke sana, ayah.” Bahu Maya ditarik rapat ke arahnya.

Maya sekadar tersenyum kekok. Puan Maznah hanya berdiam diri saja. Melihat wajah keruh Puan Maznah, Maya dapat mengagak ibunya pasti sedang bersedih.

Setelah selesai berbincang, mereka semua masuk ke dalam bilik. Maya terus berbaring di atas katil tanpa memperdulikan Dani. Sungguh dia berjauh hati dengan tindakan suaminya.

Sebaik saja lampu bilik terpadam, Maya terus memejamkan mata. Sengaja dia tidur membelakangi Dani walaupun dia tahu perkara itu satu kesalahan.

“Sayang…”

Terasa pinggangnya dirangkul dari arah belakang. Mendengar perkataan sayang dari bibir Dani, hampir saja benteng kemarahan Maya runtuh.

“Marahkan abang?” Bisik Dani di telinga Maya.

“Kenapa tiba-tiba kita nak berpindah?” Akhirnya terlepas juga soalan itu. Wajahnya masih membelakangi Dani.

“Abang terima tawaran yang lebih baik. Tak salah abang terima untuk masa depan kita.”

“Abang patutnya berbincang dengan Maya.”

“Kan kita dah berbincang malam ni,” laju Dani menjawab.

Maya segera berpaling ke arah  Dani.

“Tak sama. Abang patut beritahu Maya sebelum kita beritahu ayah dan ibu. Mereka mesti terkejut.

Dani menghembus nafasnya sedikit kasar. Dia bersandar di kepala katil dengan wajah yang tegang.

“Jadi Maya tak nak ikut abang ke sana?”

“Bukan macam tu…”

“Kalau Maya tak nak ikut abang, abang takkan paksa.” Dani terus berbaring tanpa menunggu jawapan Maya.

Matanya terpejam rapat. Dia cuba menahan diri dari meninggikan suara di hadapan Maya. Memang dia sudah merancang untuk membawa Maya jauh dari keluarganya. Dia tidak mahu rahsia besarnya sampai ke pengetahuan Maya.

“Abang…”

Dani masih lagi membisu. Dia dapat merasakan kepala Maya sedang bersandar di dadanya.

“Tempat seorang isteri di sisi suami. Maya akan ikut abang ke mana abang pergi. Maya cuba terasa hati sebab abang tak bincang hal penting ni dengan Maya dulu.”

Hati yang panas terus menjadi sejuk saat mendengar penjelasan Maya. Tubuh Maya dipeluk dengan erat. Satu ciuman diberikan di dahi licin itu.

“Maya setuju ikut abang?”

Maya mengangguk perlahan. Dia tidak ada pilihan selain bersetuju saja. Sebagai seorang isteri, dia perlu taat kepada Dani selagi perkara itu tidak memudaratkan.

“Terima kasih sayang. Terima kasih. Abang janji, kita akan hidup dengan bahagia di sana.”

Tanpa sedar, air mata Maya mengalir di pipi. Tidak tahu samaada dia patut gembira atau bersedih dengan situasi yang sekarang. Sungguh dia tersepit sejak bergelar isteri Dani.

❤️❤️❤️❤️❤️❤️❤️

Esok hari terakhir pra tempahan🕺

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top