Bab 1
PINTU bilik dibuka perlahan. Kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan. Senyuman di bibir Aufa semakin lebar. Kasut tumit tinggi miliknya dipeluk kemas. Dia perlu berhati-hati keluar dari rumah ini. Takut juga kalau ada sesiapa sedar tentang kehilangannya malam ini.
Sampai saja di tingkat bawah, Aufa bergegas ke dapur. Dia perlu keluar melalui pintu dapur. Belum sempat dia membuka pintu itu, keadaan di dapur bertukar terang. Terjatuh kasut di tangannya saat melihat Encik Adam sedang merenungnya dengan tajam. Tertelan air liur Aufa.
“Nak ke mana?”
“Errr… Aufa… Aufa…”
“Pergi ke ruang tamu sekarang.”
Aufa merengus kasar. Sejak bila pula orang tua itu terpacak di dapur? Kepalanya diketuk geram. Lekas dia mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Mesej dikirimkan kepada Gina. Dia tidak mahu gadis itu menunggunya di sini. Tak pasal-pasal gadis itu akan dimarahi oleh papa sebentar nanti.
“Aufa!” Bergema suara Encik Adam.
Tergesa-gesa Aufa melangkah ke ruang tamu. Dress singkat di tubuhnya cuba dilabuhkan sedikit. Takut juga dia melihat pandangan papa yang tajam sebentar tadi.
“Sejak bila Aufa berani keluar dari rumah ni tanpa kebenaran papa?”
Terdiam Aufa. Wajahnya masih tunduk menekur lantai.
“Jawab!”
“Ishhh… papa ni bisinglah. Nak kejutkan satu rumah ke?” Bengang juga Aufa.
Mencerlung anak mata Encik Adam. Dia berdiri di hadapan anak bongsunya. Mahu saja dia memukul Aufa. Makin menjadi-jadi perangai Aufa.
“Papa dah pernah bagi amaran. Jangan jejakkan kaki ke tempat maksiat tu. Kenapa masih degil? Sekarang dah berani pakai pakaian tak cukup kain.”
“Aufa bosanlah. Tak cukup lagi ke papa paksa Aufa ikut cakap papa. Sebelum ni, papa desak Aufa terima anak kawan baik papa sebagai suami. Kami dah selamat bertunang pun. Sekarang ni Aufa cuma nak masa sendiri dengan kawan-kawan.”
Sakit juga hati Aufa. Sudahlah dia masih muda lagi. Baru berusia 21 tahun. Tapi sudah dipaksa bertunang dengan orang yang dia tak kenal. Suruh sajalah kakaknya yang berkahwin dulu. Pelik betul.
“Jangan nak kurang ajar dengan papa. Papa buat semua ni untuk pastikan masa depan Aufa terjamin. Ada suami yang baik. Sepatutnya Aufa bersyukur dengan pilihan papa.”
Aufa tergelak sinis. Punggungnya dihempas kasar di atas sofa.
“Baik konon. Aufa tak pernah pun jumpa lelaki tu. Kalau dia serius nak kahwin dengan Aufa, kenapa tak munculkan diri?”
“Kan papa dah cakap dia sekarang ada di luar negara. Minggu depan dia dah balik untuk uruskan syarikat keluarga dia. Kak Anis pun kenal dengan tunang Aufa,” celah Encik Adam.
Pertunangan Aufa sudah lama berlangsung. Namun sehingga sekarang, Aufa masih menunjukkan sikap tidak puas hati terhadap keputusannya.
“Habis tu, kenapa tak kahwinkan aje Kak Anis dengan lelaki tu? Tak pasal-pasal Aufa yang jadi mangsa. Kalau mama masih hidup, dia mesti tak setuju dengan keputusan papa.”
“Aufa!”
“Apa? Betullah apa yang Aufa cakap. Papa lebih pentingkan Kak Anis dari Aufa. Aufa pun anak papa tapi kenapa semua yang Kak Anis nak, papa tunaikan?”
“Sebab Anis tak pernah bagi masalah kepada papa. Sebelum nak salahkan orang lain, tilik diri sendiri dulu. Papa dah banyak habiskan duit untuk Aufa belajar. Tapi apa yang Aufa balas?”
Aufa berdeham perlahan. Malu apabila perkara itu diungkit.
“Aufa tipu papa. Kononnya pergi belajar tapi habiskan masa berhibur dengan budak-budak liar. Sampai dibuang kolej pun, Aufa masih tak ada rasa malu.”
“Okey. Aufa mengaku salah dulu. Aufa tak suka belajar. Papa yang paksa.”
“Senang betul alasan Aufa. Habis tu, kalau tak nak belajar, nak jadi apa? Aufa ingat papa ni mesin duit. Tak perlu bekerja, duit jatuh dari langit.”
Terkulat-kulat Aufa. Selama ini, memang dia selalu saja menghabiskan wang papa. Buat apa dia perlu bekerja sedangkan wang papa masih banyak.
“Mulai hari ni, papa akan sekat kak kredit Aufa. Ini hukuman untuk Aufa sebab berani langgar perintah papa.”
“Papa!”
“Sudah! Papa tak nak dengar lagi. Naik ke bilik sekarang.”
Aufa terus berdiri sambil menghentak kaki. Laju kakinya berlari naik ke tingkat atas. Ketika di tangga, dia terserempak dengan Anis.
“Aufa…”
“Aufa tak ada mood nak cakap apa-apa sekarang. Tepilah.” Tubuh Anis ditolak kasar.
Masuk saja ke dalam bilik, beg tangannya dicampak kasar. Turun naik nafasnya menahan rasa marah. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Laju kakinya melangkah ke arah laci meja solek. Kad nama seseorang dikeluarkan.
“Tengku Riyadh Bin Tengku Raid.”
Mencebik bibir Aufa. Dia langsung tidak berkenan dengan sikap lelaki itu. Semasa hari mereka bertunang, lelaki itu tiada di sini. Hampir tiga bulan mereka bertunang, bayang lelaki itu belum pernah muncul.
“Tak ingin aku kahwin dengan kau. Kau sombong sangatkan. Kau belum kenal lagi siapa Aufa Batrisya.”
Kad nama itu direnyuk kuat. Kali ini, biar dia sendiri berhadapan dengan lelaki itu. Biar lelaki itu sedar pertunangan ini dilangsungkan bukan kehendak hatinya.
💐
TAK berkelip mata Gina melihat penampilan Aufa. Dari atas hingga ke bawah, anak matanya masih menilik pakaian yang melekat di tubuh sahabat baiknya. Laju dia mencubit pipi sendiri. Sah dia tak bermimpi.
“Kau pakai apa ni?”
“Kenapa? Buruk sangat ke?”
Gina tepuk dahi sendiri. Kalau nak menyamar pun, agak-agaklah. Teruk sangat baju yang dipakai oleh Aufa. Seluar jeans terkoyak di bahagian lutut. Besar pula tu. T-shirt lusuh yang tersarung di tubuh Aufa mengalahkan kain buruk saja. Rambut panjang Aufa disembunyikan di sebalik topi.
“Kalau nak bandingkan dengan mak cik cleaner tu, aku rasa mak cik tu lagi bergaya. Agak-agaklah Aufa. Pergi tukar baju,” gesa Gina.
“Tak perlu. Memang itu pun tujuan aku. Aku nak si Tengku tu celik sikit mata. Biar dia menyesal bertunang dengan aku.”
Jatuh kedua bahu Gina. Pelik juga dia dengan keputusan Aufa. Sebelum ini, Aufa memang tidak pernah berjumpa bakal suaminya. Kononnya dia tidak mahu berkenalan dengan lelaki itu. Hari ini lain pula rancangannya.
“Kenapa tiba-tiba nak jumpa dia?” Gina sudah mula memandu.
“Sebab aku nak balas dendam.”
“Ha?” Mujur saja dia tidak tertekan brek kereta. Wajah Aufa tanpa solekan itu dipandang sekilas.
“Selama ni aku aje yang kena ikut cakap papa. Semua yang aku buat salah. Sepatutnya Kak Anis yang bertunang dulu. Aku ni baru 21 tahun. Tiba-tiba kena paksa kahwin. Kau tak rasa pelik ke keluarga Tengku tu pilih aku?”
“Betul juga cakap kau.” Gina turut bersetuju dengan luahan Aufa.
Anis dan Aufa hanya berbeza enam tahun. Tak silap Gina, Anis kenal bakal suami Aufa. Malah mereka pernah bersekolah di tempat yang sama. Namum masing-masing terputus hubungan apabila lelaki itu belajar di luar negara.
“Kenapa Tengku tu tak bertunang dengan kakak kau aje ya?” Muskil pula Gina dibuatnya.
“Itu yang aku nak serang si Tengku tu. Aku nak dia ubah fikiran. Tak terlambat lagi kalau dia pilik Kak Anis.”
“Bila sepatutnya kau dengan dia bernikah?”
Aufa angkat kedua bahunya tanda tidak tahu. Yang dia tahu, pertunangan mereka mungkin mengambil masa setahun atau dua tahun. Alasan yang diberi, bakal suaminya masih mahu bekerja untuk mencari pengalaman.
“Misteri betullah anak raja tu?”
Kuat Aufa ketawa. Anak rajalah sangat. Topi ditanggalkan dari kepala. Aufa mengikat rambutnya yang panjang supaya lebih kemas. Cermin dikeluarkan dari beg galas. Wajah tanpa solekan itu ditilik seketika. Senyuman penuh makna terukir di bibirnya. Tak sabar dia nak berjumpa lelaki itu. Topi dipakaikan kembali.
Hampir 15 minit kemudian, mereka tiba di bangunan pejabat lelaki itu. Berdebar dada Aufa. Harap-harap rancangannya berhasil. Menurut maklumat yang dia dapat, lelaki itu sudah seminggu masuk bekerja di sini.
“Kau tunggu aku.”
“Tunggu dulu. Kau pernah tengok muka dia tak?”
Terdiam Aufa. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Mana pernah dia berjumpa dengan lelaki itu.
“Tak pernahlah tu. Aduh… macam mana kau nak cari dia?”
“Apa susah, aku tanya ajelah pekerja dia dekat sana. Dahlah…aku keluar dulu. Tunggu aku tau.”
Aufa terus keluar dari kereta Gina. Nafas ditarik dalam-dalam. Bangunan tinggi di hadapannya dipandang seketika. Kaya juga bakal suaminya. Laju kakinya melangkah masuk ke dalam bangunan itu. Mata-mata yang melihat penampilan dirinya tidak dihiraukan. Yang penting misinya harus berjaya.
“Cik… saya nak jumpa Tengku Riyadh. Dia ada?”
Pekerja wanita di bahagian kaunter itu menilik penampilan Aufa. Rakan sekerjanya turut berasa pelik.
“Cik ada buat temujanji?” soal pekerja yang memakai tanda nama Juliza di dada. Wajahnya turut dimaniskan.
“Tak ada.” Selamba Aufa menjawab. Dia memandang ke sekeliling bangunan itu.
“Maaf. Tuan kami sibuk. Kalau tak ada temujanji, cik tak boleh jumpa.”
Berdecit lidah Aufa. Susah juga nak berjumpa lelaki itu. Alang-alang dia dah sampai ke sini, dia perlu juga berjumpa dengan Tengku Riyadh.
“Beritahu dia, bakal isteri dia datang nak jumpa.”
“Ha!” Bulat mata kedua pekerja di kaunter itu. Rakan Juliza di sebelah tayang wajah meluat. Tak mungkin bos baru mereka bakal berkahwin dengan budak pengkid.
“Err… siapa nama cik?”
“Aufa Batrisya.”
“Sekejap ya. Saya interkom tuan kami.”
Aufa mengangguk sedikit. Dia berjalan di kawasan lobi itu sebelum dipanggil naik ke tingkat atas. Semasa dia berjalan di kawasan lobi, anak mata Aufa terpandang gambar yang ada di situ. Terpaku Aufa melihat gambar yang ada di hadapannya.
“Tengku Riyadh …”
Boleh tahan kacak juga lelaki itu. Kalau tak memikirkan dirinya masih muda, sudah tentu dia gembira dapat berkahwin dengan lelaki kacak itu. Tapi Aufa masih belum bersedia.
“Cik Aufa.”
Laju Aufa berpaling ke belakang.
“Mari ikut saya. Saya hantarkan cik ke tingkat atas.”
Aufa menarik nafas lega. Nasib baik lelaki itu tidak menolak untuk berjumpa dengannya. Peluangnya semakin cerah. Dia perlu memastikan misinya berjaya hari ini.
🥰
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top