Bab 5

Aliyah memandang keluar tingkap rumahnya, mengelamun memikirkan apa yang dihantar oleh anak buahnya, Khairul minggu lepas. Aliyah kenal benar dengan orang yang dilihatnya di dalam gambar itu. Siapa lagi kalau bukan anak kepada teman rapatnya di kampung bersama dengan anak daranya.

Malahan, Aliyah sudahpun mendapatkan kepastian dari Maisarah sendiri. Kalau benar apa yang sedang terjadi, Aliyah merelakan dengan harapan anaknya itu tau menjaga diri dan supaya anaknya yang seorang itu tidak bersedih lagi. Ingin saja Aliyah menelefon Maya namun Aliyah tau Maya sibuk. Dia tidak ingin menganggu, tidak ingin menjadi terlalu mengongkong kerana dia tau anaknya itu berjiwa bebas. Aliyah juga merasakan seperti tidak layak untuk bertanya khabar sedangkan selama ini, dia jarang sekali hendak mengambil tahu tentang anaknya itu.

Mungkin salahnya juga kerana melebihkan Abhar ketika mereka membesar. Aliyah tidak pernah menyangka dirinya tersalah langkah apabila membiarkan saja anak sulungnya itu berdikari sendiri dan menganggap Maya tidak terasa. Baru sekarang dirinya tahu yang anaknya terlampau banyak memendam perasaan setelah terjumpa diari lama milik Maya di dalam biliknya.

Sejak sekolah menengah Maya sudah duduk di asrama. Aliyah dan suaminya, Ahmad jarang sekali hendak bertanya khabar anaknya itu. Apabila Maya balik ke rumah setelah berbulan-bulan, tidak dijemput pula. Dibiarkan terkontang-kanting menaiki bas sendiri. Di rumah pula, sentiasa dimarah dan disuruh mengulangkaji serta menolong membuat kerja rumah. Mungkin juga kerana Maya itu anak sulung jadi mereka menganggap dia sudah besar dan boleh melakukan segalanya sendiri namun hakikatnya adalah sebaliknya, Maya masih memerlukan perhatian dan kasih sayang.

Memang wajar lah kalau dia tidak begitu rapat dengan anak perempuannya itu. Namun begitu, Maya tetap anak yang baik yang cantik akhlaknya walaupun kekurangan kasih sayang darinya dan suaminya. Maya tetap melayan dia dan suaminya dengan sangat baik.

Lain pula yang boleh dikatakan untuk anak yang ditatang bagai minyak penuh sejak dari kecil lagi. Sedangkan anak yang disisihkan itulah yang membawa kebanggaan untuknya sekeluarga. Tidak seperti Abhar yang sering dimanjakan itu.

"Ibu! Ibu! Mana pulak ibu ni?!" Abhar menjerit-jerit menyentakkan Aliyah dari lamunannya.

Aliyah bangun dari tempat duduknya di dapur lalu berlari anak menuju ke ruang tamu. Terlihat anaknya sudah terlentang duduk di atas sofa.

"Ya Har? Kenapa ni? Tak dapat kerja lagi ke?" Aliyah bertanya sebaik saja dia duduk di sofa bersebelahan dengan sofa yang menempatkan Abhar yang membaringkan badannya.

Abhar meletakkan tangannya menutup muka. Kemudian dia meraup wajahnya kasar sebelum menghela nafas panjang. Wajahnya pulak memerah mungkin kerana kepanasan ataupun marah dan mungkin juga keduanya sekali.

"Ibu pun dah tau kan? Kenapa perlu tanya lagi?" Abhar menjawab dengan kasar sekali tanpa memandang wajah ibunya. Langsung tidak memikirkan tentang perasaan ibunya itu.

Aliyah terkedu dan menekur lantai.

"Takpe... belum rezeki Har lagi lah tu. Ibu ada masak ayam merah tu, ada atas meja. Har makan lah. Tukar dulu baju tu, boleh ibu basuh." Aliyah memujuk Abhar sambil tersenyum hambar.

Abhar hanya menurut kemudian dia berlalu pergi. Aliyah mengeluh panjang. Salahnya juga terlalu memanjakan Abhar. Tambahan pulak dia anak lelaki. Sampai ke tua semuanya Abhar tak reti buat. Nak masak? Memang tak. Nak cuci baju? Nak cuci pinggan? Lagilah tak. Bila ditegur mula lah marah tak tentu pasal. Hempas barang sana sini macam anak dia anak dato' boleh beli semua. Tapi kalau hendak dimarah lebih-lebihan dia tidak sampai hati pulak. Abhar kan anak bongsunya.

Aliyah mengeluh lagi. Dia tersenyum sinis. Dulu kalau Maya boleh pulak dia marah-marah, boleh pulak dia menghukum anaknya itu, boleh pulak dia menyuruh anaknya membuat kerja rumah. Kalau keputusan sekolah tidak memuaskan, pasti akan disuruh ulangkaji, tidak boleh tidur selagi tidak faham bahan yang dipelajarinya. Tiada pula dia kesian kepada Maya.

Kring! Kring!

Telefon rumah berbunyi. Aliyah bingkas bangun dan berjalan menuju meja yang menempatkan telefon rumah. Telefon diangkat dan disapa si pemanggil dengan salam.

"Waalaikumsalam. Ibu apa khabar? Duit cukup lagi tak? Ayah macam mana? Semua sihat ke? Abhar dah mula kerja?" Maya bertanya khabar, bertubi-tubi soalan diberikan kepada ibunya.

Memang setiap minggu Maya akan menelefon ke rumah untuk bertanya khabar. Tapi jarang sekali pulak dia pulang ke rumah kecuali pada hari raya aidilfitri. Boleh dihitung dengan satu tangan berapa kali setahun dia akan pulang kerumah keluarganya. Namun begitu, Maya tidak pernah lupa memberikan wang belanja kepada ibunya, ayahnya dan juga Abhar.

"Alhamdulillah semua sihat. Duit semua cukup lagi. Abhar belum dapat kerja lagi Maya. Tu je la masalahnya." Aliyah mula membuka cerita.

"Takpelah ibu. Nanti dapat lah tu. Belum ada rezeki." Maya membalas pula acuh tidak acuh.

Sebenarnya Maya bukan tidak tahu dengan sikap Abhar yang terlalu manja itu. Kurang ajar pulak tu. Tapi Maya malas hendak mengambil tahu lagi. Anak kesayangan ibunya yang seorang itu bukan boleh ditegur lebih-lebih.

Dua beranak itu berbual untuk beberapa minit lagi. Aliyah menceritakan tentang Ahmad yang tidak henti-henti menguruskan kebunnya itu. Ayah Maya persara askar manakala ibunya pula suri rumah.

Aliyah meletakkan gagang telefon.

"Ibu ni kalau tak bandingkan Har dengan kakak tu memang tak boleh kan?" Kata Abhar tiba-tiba dari belakang Aliyah dengan nada marah.

Aliyah berpaling lalu mengerutkan dahi.

"Har cakap apa ni? Bandingkan apa pulak? Ibu cuma cerita dengan kakak yang Har belum dapat pekerjaan je." Aliyah menjawab.

"Puas hati la kan kakak tu? Boleh menunjuk-nunjuk dengan Abhar. Hantar duit lah apa lah? Ingat Har ni hadap sangat duit dia yang berapa keping je tu. Mesti dia cakap Abhar ni bodoh lah kan? Sampai sekarang tak dapat kerja? Dulu pun terpaksa masuk uni swasta sebab tak cukup point. Ye lah kakak tu je lah yang pandai." Abhar tidak puas hati, dalam hati menahan amarah yang membuak-buak. Entah kenapa tapi Har memang anti sungguh dengan kakaknya itu. Entah dimana lah silap si kakak.

"Menunjuk-nunjuk apa pulak ni Abhar? Astaghfirullah. Boleh tak kalau tak buruk sangka dengan kakak?" Aliyah menegur Abhar pula dengan lembut.

"Menangkan sangat la kakak tu ibu! Tengok anak ibu tu. Balik pun berapa kali je setahun. Entah dia buat apa dekat KL tu ibu. Kalau dia tu kena tangkap basah, mengandung anak luar nikah ibu jangan cakap Har tak bagitau ibu." Har bercakap, mulutnya tiada insurans dan seperti biasa, tidak mengambil kira perasaan orang lain.

Pang!

"Kamu tak tau apa-apa tu boleh diam je Abhar! Jangan kurang ajar sangat sampai nak fitnah orang." Aliyah memarahi Abhar setelah melayangkan tamparan percuma untuk Abhar.

Pertama kali dalam hidupnya, dia menampar anaknya sendiri. Menampar Abhar pulak tu.

Abhar tersenyum sinis memandang ibunya. Abhar mula menepuk tangan.

"Ibu bela sangat lah anak ibu tu." Abhar berkata dengan kasar sekali lalu dia berlalu pergi meninggalkam rumah itu. Hatinya membengkak dan perasaan benci itu semakin menggunung buat kakaknya.

Sempat lagi Abhar menepis pasu bunga kaca yang terletak di atas meja yang menempatkan telefon rumah. Pecah berderai pasu kaca itu ketika ianya jatuh ke lantai. Mengucap panjang Aliyah, air mata berharga mula mengalir di pipi.

Nota:
Takut nak tengok reaction korang sebab tak semua indah buat Maya dan Muhammad hehe. Tak tau best ke tak chapter ni sebab just nak bagi insight pada relationship Maya dengan keluarga dia.  Thank you yang sudi baca! Jangan lupa vote dan komen.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top