Bab 13

Keesokan paginya, Muhammad menghantar Maya pulang ke rumah menggunakan kereta Maya. Pintu rumah Maya dibuka dan sebelum Maya dan Muhammad masuk ke dalam rumah, Mimi terlebih dahulu menyambut mereka.

Mimi menggeselkan badannya pada kaki Muhammad dan juga Maya. Muhammad mencangkung di hadapan Mimi lalu diangkat Mimi dan diletakkan di bahu persis seperti menggendong anak.

"Mimi! Dah lama tak jumpa dengan daddy kan?" Muhammad berkata kepada Mimi sebelum menggomol-gomol Mimi yang gebu itu.

"Apa daddy daddy? Ni anak saya!" Maya mengomel kepada Muhammad.

Muhammad tertawa kecil.

"Laa... dah awak mummy jadi saya daddy lah!" Muhammad membalas pula dengan cerianya.

Maya tidak menghiraukan Muhammad, matanya memandang pada Mimi yang berada di bahu Muhammad yang sedang menggaru-garu belakang telinga Mimi. Mimi pula apa lagi, memang elok saja di dalam dakapan Muhammad.

"Mimi lapar ya?" Maya berkata pada Mimi yang digendong oleh Muhammad itu sambil menutup pintu pagar tapi masih dibiarkan pintu rumah terbuka.

Maya dan Muhammad berjalan menuju ke dapur. Crackers Mimi dituangkan ke dalam mangkuk Mimi yang sudah kosong. Mimi yang berada di bahu Muhammad serta-merta meronta untuk turun apabila mendengar bunyi crackers dituang ke dalam mangkuk.

Sebaik saja tiba di hadapan mangkuknya, Mimi terus sahaja melahap crackersnya itu. Mungkin dia sangat lapar sekali kerana tidak makan malam semalam.

Maya tersenyum memandang Mimi yang sedang makan. Maya duduk di sebelah Mimi dan bersandar pada dinding, kehadiran Muhammad dilupakan dan dia terleka memerhatikan Mimi. Dielus-elus bulu putih Mimi yang lebat dan panjang itu. Badan Mimi juga semakin besar. Memandangkan Mimi adalah baka kucing Maine Coon, Mimi mempunyai tubuh yang agak besar dari kucing biasa.

"Comelnya." Muhammad berkata, pandangan matanya ditujukan kepada Mimi dan Maya. Entah apa yang comel, Mimi atau Maya. Mungkin juga keduanya.

Maya yang tersedar keterlanjurannya itu segera berdiri. Maya berdeham beberapa kali, ingin menghilangkan rasa gemuruh di dalam dada. Tidak pernah dia berdua-duaan di dalam rumah bersama lelaki ajnabi.

"E-er... awak letak je la barang saya dekat atas meja sana." Maya menunjuk pada meja makannya yang berada di sebelah Muhammad.

Muhammad yang menyedari ketidak selesaan Maya itu terus saja meletakkan beg galas di meja tersebut. Muhammad mengorak langkah ingin keluar daripada kediaman Maya.

Sebelum meninggalkan rumah, sempat Muhammad berpesan, "Kunci pintu rumah ni. Nanti malam saya datang lagi untuk bagi makanan malam awak. Jangan lupa makan ubat tau. Sebelum makan ubat makan dulu. Saya ada belikan awak ayam merah dengan nasi tomato, tinggal panaskan je tengah hari nanti. Ingat, saya sayang awak."

Hati Maya berbunga-bunga mendengar kata-kata Muhammad itu. Pipinya juga sudah berubah warna dan debaran di dada kian terasa. Terasa seperti ada yang mengambil berat tentangnya. Terasa amat disayangi. Muhammad juga semakin galak memgucapkan kata-kata manis seperti itu. Tidak malukah dia? Adakah Maya patut memberikan Muhammad peluang? Sungguh, dia tidak mempercayai dirinya untuk membuat keputusan.

Setelah menghantar pemergian Muhammad, Maya cepat-cepat mengambil telefon bimbitnya lalu dia menelefon ibunya. Dia baru teringat untuk menelefon ibunya. Pasti ibunya sangat risau memandangkan Maya sudah berjanji untuk pulang semalam. Maya berdoa di dalam hati agar segalanya baik-baik saja.

"Assalamualaikum ibu. Ayah macam mana? Okay tak?" Maya memberi salam dan tanpa buang masa, dia terus bertanyakan keadaan ayahnya.

"Waalaikumsalam Maya. Ayah e-er okay je ni ha depan ibu ni. Semua okay dekat sini. Kamu okay tak? Semalam kata nak balik rumah?" Aliyah sudah mula gelabah kerana takut Maya akan bertanya lebih lanjut tentang suaminya. Sudahlah telefon bimbit diletakkan dalam mod speaker agar suaminya yang duduk berhampiran dengannya dapat mendengar sekali.

Sebenarnya, dia cuma ingin Maya pulang ke rumah kerana hujung minggu ini Maisarah ingin menghantar rombongan untuk merisik Maya. Terpaksalah dia mencipta alasan kerana tahu anaknya pasti tidak akan pulang jika Aliyah memberitahu hal sebenar. Ngam pulak suaminya sakit kaki kerana terseliuh di kebun. Jadi diberitahu lah pada Maya yang Ahmad sedang sakit agar Maya pulang dengan cepat.

"Alhamdulillah. Lega hati Maya mendengarnya. Maya okay je ibu. Semalam Maya demam sikit. Hmm kalau dah takde apa-apa Maya letak dulu ya ibu? Kalau ada apa-apa bagitau Maya ya?" Maya berkata pada ibunya, lega hatinya mendengarkan yang ayah nya baik-baik saja.

Maya memberi salam lalu menutup telefon bimbit. Perut yang terasa pedih kerana belum diisi itu dipegang. Lauk yang ada di dalam bekas plastik yang berada di atas meja makan dipandang dengan penuh selera sebelum ayam merah dan nasi tomato dalam bekas plastik itu dimasukkan ke dalam mangkuk kaca untuk dipanaskan di dalam microwave.

Sementara menunggu lauk panas, Maya memandang sekeliling rumahnya yang kelihatan sedikit berdebu itu. Hari ini Maya akan mengemas, Maya bercadang dalam hati.

Ramai yang ingat orang yang kemurungan ini hanya akan diam dan duduk di bucu bilik dan tidak akan melakukan apa-apa selain menangis tapi itu adalah salah. Orang yang murung seperti Maya sentiasa saja merasa malas. Malas untuk melakukan apa-apa kerana bagi mereka, tiada apa-apa lagi yang hendak dilakukan kerana lambat-laun mereka akan mati juga. Dalam erti kata lain, mereka sudah tidak bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, Maya seringkali mengisi masanya dengan melakukan sesuatu agar dia tidak memikirkan masalahnya.

Bagi Maya, Mimi si kucing kesayangan menjadi salah satu alasan untuk dia tidak menyerah kalah dengan penyakitnya. Selain itu, Maya juga sentiasa mengisi masanya. Dan itu jugalah sebabnya Maya sering kali pulang lewat ke rumah dan jarang sekali mengambil cuti.

Tidak dinafikan, ketika Maya berada di titik paling gelap dalam hidupnya, dia pernah mencuba untuk mengakhiri hayatnya sendiri tapi Maya bersyukur kerana percubaannya selalu saja gagal. Kerana jika tidak, pasti dia tidak akan berpeluang untuk bertemu dengan Nisa, Mimi dan juga Muhammad.

Kini, tanpa dia sedari, Muhammad juga menjadi salah satu penyebab untuk dia melawan penyakitnya. Muhammad telah berjaya meruntuhkan benteng di sekitar hatinya dan telah berjaya memahat namanya di dalam hati Maya. Muhammad yang datang tanpa diduga seperti angin kencang yang menggegarkan kehidupan Maya. Muhammad yang sentiasa ada untuk menerangi dan mewarnai kehidupannya yang gelap gelita serta menjadi peneman agar dia tidak lagi kesunyian.

Maya juga tidak sentiasa bersedih. Ada kalanya dia juga bergembira, ketawa riang bersama-sama rakan yang lain. Ada kalanya dia juga bisa marah, wajahnya berona merah menahan gelodak di dalam dada. Oleh kerana itu, agak sukar untuk mengenal pasti orang yang menghidapi kemurungan.

Ding!

Bunyi lonceng yang datang dari microwave itu menyentakkan Maya dari lamunannya yang terasa sangat panjang itu. Maya mengorak langkah menuju microwave, bau dari ayam masak merah seakan-akan memanggilnya.

Note:
Bab ini agak sukar untuk saya tulis kerana banyak benda yang berkait dengan penyakit yang dihidap oleh Maya. Saya hanya menulis berdasarkan apa yang saya tahu sahaja. Jika ada salah silap, saya mohon maaf dan tegurlah saya. Terima kasih yang sudah sampai sehingga ke tahap ini. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Dan Batin semua! ❤️❤️❤️

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top