Bab 10
Siling kamarnya dipandang tanpa berkedip. Muhammad masih tidak mampu melelapkan matanya. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang emosi tapi di dalam hatinya, dia menangis memikirkan arah hubungannya dengan Maya. Terasa sakit di dalam hati apabila orang yang dicintai tidak menerima huluran cinta kita. Adakah selama ini Muhammad terlalu syok sendiri? Adakah selama ini Muhammad tersalah tafsir? Adakah selama ini Muhammad perasan dan sebenarnya cintanya hanya bertepuk sebelah tangan?
Rasa pening di kepala semakin menerjah. Muhammad memalingkan tubuhnya ke kanan lalu memejamkan mata. Terbayang wajah Maya yang sedang tersenyum kecil memandang dirinya. Bayangan Maya yang membebel marah kerana Muhammad yang suka bergurau senda seperti berlayar-layar disebalik kelopak matanya.
Muhammad mencelikkan matanya. Sekali lagi air mata jantan Muhammad berjaya mengalir membasahi pipi. Entah berapa kali dia menangis hari ini. Semuanya kerana cinta kepada seorang wanita bernama Amaya Iman. Jika Muhammad tahu begini rasa sakit hati yang dirasakan apabila bermain cinta, sungguh dia akan lebih berhati-hati.
Muhammad bangun dari pembaringan lalu mencapai telefon bimbitnya. Jam dilihat dan rupanya sudah masuk waktu subuh. Muhammad berdiri lalu berjalan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan beribadah kepada sang pencipta.
Muhammad meraup wajahnya mengaminkan doa. Air mata yang mengalir dek kerana rasa sakit yang tidak tertanggung itu dikesat. Puas hatinya dapat mengadu pada yang esa.
Muhammad nekad menginginkan penjelasan atas apa yang berlaku. Setelah apa yang dicurahkan buat Maya, rasanya dia berhak untuk mengetahui kebenarannya. Dia ingin berjumpa dengan Maya.
Begitu susah kah Maya untuk memahami kehendak dirinya? Tidakkah Maya tahu yang dia sudah lama memendam rasa? Kenapa Maya ingin menyeksa mereka berdua walhal Maya pun turut sama mencintainya?
Muhammad yakin. Setiap kali dia memandang tepat pada mata itu, ada rasa cinta dan sayang Maya untuknya. Muhammad nekad, dia ingin memiliki Maya walau dengan apa cari sekalipun.
🦁🦁🦁
Katrina memandang wajah Jihan yang sudah merah merona itu. Dahinya berkerut mendengar suara garau lelaki yang menjadi teman sekerjanya selama 3 tahun itu, memaki Jihan oleh kerana tersilap letak fail yang diinginkannya.
"Jihan... kenapa ni?" Katrina bertanya Jihan dengan penuh prihatin setelah Muhammad beransur pergi.
"S-saya..." Hanya itu yang mampu Jihan tuturkan sebelum tangisan dihamburkan dihadapan Katrina.
Katrina terkedu melihat Jihan yang sudah menangis teresak-esak akibat ditengking oleh Muhammad. Terbit rasa kasihan dalam hatinya melihat keadaan Jihan. Mujurlah hari ini tidak ramai pengunjung dan klinik ketika ini sedang sepi.
Katrina menyuruh Jihan untuk duduk dan dia mencuba sedaya upaya untuk menenangkan Jihan. Setelah beberapa minit, tangisan Jihan mula reda.
"Saya tak tau kenapa doktor Mad marah saya macam tu. Dia mintak fail pesakit dia yang nama Mimi tapi puas saya cari memang takde. Bila saya cakap takde, dia tengking saya." Jihan menjelaskan kepada Katrina, nada suaranya bergetar-getar mencuba untuk menahan tangisan
Katrina hanya mendiamkan diri seketika, dahinya berkerut memikirkan masalah ini. Tidak pernah pula Muhammad marah teruk seperti ini. Malahan Muhammad adalah seorang lelaki yang sentiasa murah senyuman dan sentiasa tenang.
Katrina menyuruh Jihan untuk berehat seketika sementara dia menasihatkan Muhammad yang sudah beredar masuk ke dalam ruangannya.
"Mad, kau kenapa ni Mad? Tiba-tiba je marah tak tentu pasal dengan si Jihan. Menangis teruk dia. Kau ada masalah apa ni?" Katrina bertanya Muhammad yang sedang meraup kasar wajah yang pucatnya itu.
Wajah Muhammad kelihatan tidak berseri, tiada sinar di matanya, lalu tiada senyuman manis menghiasi bibirnya. Tambahan lagi dengan eyebag, menyerlahkan kelesuannya.
"Aku tak tau kenapa aku marah Jihan." Muhammad berkata sejujurnya. Sebenarnya, hatinya sudah dihurung dengan rasa bersalah.
Perasaan marah yang berpunca dari keretakkan hubungannya dengan Maya itu dihamburkan pada Jihan. Pada kebiasaannya, Muhammad lebih bijak dalam mengawal emosi dan tidak akan mencampur-adukkan hal kerja dengan hal peribadi.
"Maaf Kat sebab aku tak dapat kawal emosi aku." Muhammad berkata pada rakan kongsinya itu.
"Baik kau mintak maaf dengan si Jihan tu. Takpe harini biar aku je tutup klinik. Kau baliklah. Dah nak pukul 5 ni." Katrina berkata kepada Muhammad setelah dia menghela nafas panjang.
Katrina memandang Muhammad yang berlalu pergi. Baru-baru ini Jihan bercerita yang Muhammad sedang rapat dengan seorang wanita. Memang nampak keceriaan yang terpancar pada wajah Muhammad kebelakangan ini. Mood nya juga lebih ceria dari biasanya. Namun, hari ini Muhammad datang ke klinik dengan wajah muram dan tiada seri mengejutkan Jihan dan juga Katrina.
🦁🦁🦁
Muhammad duduk di dalam keretanya yang diletakkan diluar pagar apartment Maya. Mata melilau sekeliling kawasan, berharap dapat menangkap bayangan Maya. Kelihatan kereta Mitsubishi Mirage milik Maya elok tersadai di tempat letak kereta. Sudah hampir 2 jam Muhammad duduk di dalam keretanya, menunggu kemunculan Maya.
Akhirnya, Muhammad memutuskan untuk pulang kerumah memandangkan hampir masuk waktu isya'. Muhammad mengeluh panjang. Adakah Maya tidak bekerja?
Mesej-mesej yang dihantar kepada Maya semenjak semalam juga tidak dibalas. Hanya satu tick sahaja tanda mesej tidak diterima.
🦁🦁🦁
Maya menuang crackers untuk Mimi ke dalam mangkuk khas Mimi. Bulu kucing putih itu dielus lembut sambil Maya duduk bersandar pada dinding. Dia terjebak dalam dunianya sendiri. Sudah 2 hari dia menangis, mengenang nasib dirinya. Rasa sakit di hatinya berjuta kali lebih sakit dari yang dirasakan apabila dapat tahu yang Faris menduakannya. Mungkin kerana pada ketika itu, hati Maya sudah bukan untuk Faris lagi.
Maya memandang sepi meja makan yang kosong. Tiada rasa untuk menjamah makanan. Maya pun berdiri dengan perlahan-lahan dan tangannya berpaut pada dinding. Kepalanya yang terasa berdenyut-denyut itu dibiarkan. Maya berjalan menuju ke bilik tidurnya. Badan diletakkan di atas katil lalu dia berselebung dalam selimut dek kerana kesejukan padahal penghawa dingin tidak dibuka.
Maya memejamkan matanya seerat mungkin namun dia tidak bisa terlelap. Yang timbul hanyalah bayangan wajah Muhammad yang menghiasi kelopak matanya. Wajah Muhammad seperti tattoo yang selamanya menghiasi kelopak matanya, membuatkan dia sukar untuk melelapkan mata. Memori dan kenangan mereka bersama juga tidak putus-putus terlayar di minda.
Maya menangis pilu. Dadanya yang sakit ditumbuk beberapa kali. Air mata yang mengalir dibiarkan saja. Sudah puas dia menyeka air matanya. Kalau ini yang terbaik, kenapakah hatinya sakit? Hatinya sungguh berat untuk merelakan kepergian Muhammad walaupun dia tahu ini adalah yang terbaik untuk mereka berdua.
Maya memandang meja tepi katilnya lalu laci dibuka perlahan. Botol obat-obatan yang sudah lama tidak diambil itu dipandang sekilas. Dia menyelongkar laci itu untuk mencari obat tidur. Botol-botol obat-obatan yang tersusun rapi berantakan, sama seperti dirinya kini.
Penutup botol dibuka. Dituang obat tidur ketapak tangan sehingga hampir penuh tapak tangannya itu. Pil-pil tersebut dibawa menghampiri mulutnya. Dia ingin mengakhiri penderitaannya ini. Terlalu sakit untuk dia hadapi seorang diri. Dia tidak ada tempat bergantung.
Tatkala pil-pil obat itu hendak ditelan, mindanya terbayang Muhammad yang menangis sayu. Terbayang wajah ibu dan ayahnya yang menangis membuatkan Maya terjeda. Dia memuntahkan semula pil-pil tersebut dan menangis. Dia meraup wajahnya kasar lalu mukanya disembamkan pada bantal tidurnya. Malam itu, Maya sekali lagi terlelap kerana kepenatan dan tidurnya pula ditemani dengan air mata.
—
Nota:
😳👉🏻👈🏻👉🏻👈🏻 enjoy! thank you vote dan komen! 😭😭😭
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top