098 ❃ DUNIA DAN LANGIT
Sila dengar lagu di atas untuk lebih penghayatan.
💓
Kisah antara aku dan kau adalah bagaikan kisah antara dunia dan langit.
Dunia yang mendongak merenung langit.
Langit yang tertunduk merenung dunia.
Walau renungan tidak pernah berpisah, jarak antara dunia dan langit tidak pernah berkurangan.
Bersatunya dunia dan langit hanyalah melalui titisan air hujan.
Saat dunia ditimpa titisan duka air mata langit. Menggigil menahan dingin jurang perpisahan. Perit dipanah petir derita berbisa dari langit.
Telah aku pelajari tentang kisah kasih sayang antara dunia dan langit. Penderitaan itu ada saat dunia cuba untuk berhubung dengan langit.
Cinta yang sebenar kadangkala tidak akan bersatu.
Namun, tidak akan bersatu, tidak bermakna ia akan berakhir.
Marira,
Aku tahu Marira sudah dimiliki.
Aku tahu aku bukan untuk Marira.
Aku tahu aku bukan untuk sesiapa.
Aku berundur demi kebahagiaan sang langit.
Biarkan dunia merekah menahan teriknya pancaran sang suria bersandarkan langit yang indah.
Akan aku simpan rasa kasih ini jauh di dalam kerak dunia.
Moga rasa kasih dan cinta aku akan terus menyala untuk bangkit dan melindungi dia yang aku sayang.
Aku tak boleh mati.
Aku perlu halang Arvius. Marira tidak boleh dibawa pulang dari alam roh.
dan aku juga perlu hidup.
Ada nyawa yang perlukan kebebasan.
Dhak.
Belum sampai masanya untuk Dhak pergi ke alam roh.
❃
Darah yang bersatu dengan salji perlahan-lahan mengalir masuk semula ke dalam tubuh Fernand.
Kulit wajahnya kian memucat kerana kekurangan darah. Organ jantung di dalam tubuhnya yang berkecai perlahan-lahan bercantum semula.
Mati itu ternyata menyeksakan.
Ilmu kegelapan ternyata bukanlah sebuah permainan. Saat untuk hidup semula juga penuh dengan penderitaan.
Tubuh Fernand masih lagi terkulai di atas tanah bersalji. Tidak bernafas. Matanya merahnya terkaku. Lelaki malang itu dikotori dengan darahnya sendiri.
Bersendirian dan terasing dari penghuni dunia. Saat hidup bersendiriran. Mati juga bersendirian.
"Tuan..."
Dhak menghampiri Fernand dengan langkah yang amat lemah. Air matanya bergenang. Mujur dia berjaya temui mayat Fernand. Nafasnya tercungap-cungap.
Tertumpah air matanya melihat keadaan tuan pewarisnya yang penuh dengan penghinaan.
Kakinya terasa begitu lemah dan akhirnya kedua lututnya menyentuh tanah bersalji. Dhak mula teresak-esak di sisi mayat Fernand. Sedu-sedan kedengaran memecahkan dunia malam yang sepi.
Deras air matanya mengalir sehinggakan makhluk genit itu tertelen semula air mata yang telah singgah di bibirnya.
Kenapa? Apa yang telah berlaku? Siapa yang begitu kejam dan biarkan tuan pewarisnya mati begini?
"Saya akan teman tuan kat sini sampai tuan hidup semula."
Dalam hiba Dhak berbisik perlahan. Anjing jadian itu membuka jubah tebal berkerudungnya dan menyelimutkan tubuh Fernand. Biarkan tubuhnya hanya sekadar membaluti ekornya yang gebu.
Dhak menyeka air matanya. Sedu-sedan masih tersisa.
Sebentar tadi, dirinya tiba-tiba menjadi lemah dan terus rebah kerana sesuatu telah menimpa Fernand. Dirinya akan mati sekiranya Fernand mati. Namun, Dhak terjaga saat apabila tubuh Fernand bertindak melalui proses untuk hidup semula.
Sama situasinya ketika Fernand ditembak siluman sebelum ini. Mungkin kali ini proses Fernand untuk hidup semula lebih lama memandangkan keadaannya begitu parah.
Tubuh Dhak juga masih terasa lemah. Namun, dirinya nekad untuk berada di sisi Fernand sehinggalah tuan pewarisnya terjaga dari lena.
❃
"Dhak......"
Fernand meneguk sisa darahnya sendiri.
Beberapa hari sudahpun berlalu, Denyutan nadi mula kembali. Namun, Fernand masih dalam keadaan yang amat lemah. Nafasnya tercungap dan singkat bagaikan ikan yang terlantar di daratan.
Terlalu lemah sehinggakan jari pun tidak mampu digerakkan.
Menitis air mata Dhak melihat Fernand sudah kembali bernyawa. Dirinya juga tidak terkecuali. Semakin lemah. Tidak makan mahupun minum kerana setia di sisi Fernand.
"Perlukan bantuan?"
Suara seorang lelaki memecahkan sepi kegelapan. Saat Dhak menitiskan air mata, tanpa dirinya sedar, seseorang telah datang menghampiri.
Dari belakang tubuh Dhak ditutupkan dengan jubah tebal musim sejuk oleh lelaki tersebut.
Dhak terkedu. Perlahan-lahan dia mendongak dan merenung wajah si pemilik suara.
Seorang manusia berambut hitam lebat yang berkaca mata telah hadir untuk menyelamatkan dirinya buat kali kedua.
"Tuan pemilik kafe coklat?"
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top