084 ❃ JEMBALANG BURUNG HARPYJA

Dhak membuntangkan biji matanya. Kenapa? Kenapa pisau ini tercacak di atas medan sihir?

Pantas Dhak menarik keluar pisau tersebut. Pisau itu diamati. Harap-harap tiada apa yang memudaratkan medan sihir ini. Dhak semakin risau. Kenapa pisau ini dicacakkan begitu tepat di atas medan sihir ini? Kenapa? Kenapa? Adakah seseorang cuba lakukan sesuatu ke atas medan sihir ini.

Dhak berkerut. Telinganya bergerak-gerak. Ekornya meliuk perlahan. Pandangan matanya mengimbas kawasan sekeliling. Ya, dunia malam sememangnya gelap namun Dhak memiliki kebolehan untuk melihat di dalam gelap.

Jantung kecilnya mula berdegup kencang.

Bunyi libasan kepak tiba-tiba memecahkan kesunyian dunia malam. Dhak tersentak. Satu susuk badan seakan-akan burung separa manusia kelihatan bertenggek di dahan pohon.

Harpyja. Berwajah manusia namun berparuh. Memiliki tangan seperti manusia juga bersayap. Berkuku bagaikan taji burung. Separuh badan adalah manusia. Memiliki kemaluan seperti manusia sama ada jantan mahupun betina. Ia adalah jembalang spesis burung. Sehodoh-hodoh spesis burung. Harpyja handal menyambar dan gemar merobek-robek tubuh mangsanya sebelum di makan.

Dhak meneguk air liur. Jembalang burung Harpyja jauh lebih menakutkan berbanding vrykolakas. Harpyja sangat buas. Sifat kebinatangannya adalah lebih buas berbanding sifat kemanusiaan yang mereka ada. Raksasa burung.

Kepala Harpyja melentok sedikit merenung Dhak. Dhak tersentak namun masih membatukan lagi dirinya. Matanya merenung burung itu.

Sekelip mata jeritan nyaring burung itu memecahkan kesepian malam. Jantung Dhak bagaikan direntap. Sepantas kilat harpyja menerkam  kedua bahu Dhak dan menyambar tubuh Dhak. Dhak meronta di udara! Sebelum tubuhnya dibawa terbang Dhak melengkungkan tubuhnya dan menendang sekuat hati dada Harpyja sehinggakan cengkaman pada bahunya terlerai.

Dhak memiliki tendangan yang kuat. Itulah satu-satunya kelebihan yang Dhak paling hargai. Kakinya amatlah kuat untuk menendang dan juga berlari.

Tubuh Dhak bergolek jatuh di atas tanah bersalji.Dalam keadaan masih berbaring Dhak dapat lihat dengan jelas Harpyja kembali menerpa ke arahnya! Makhluk itu terlalu pantas menyerangnya!

Dhak hanya mampu menjulurkan pisau yang berada dalam genggamannya ke hadapan. Bilah yang tajam itu merodok dada harpyja.

Namun, semuanya belum berakhir malahan perbuatan merodok dada makhluk itu telah membuatkan harpyja itu bertambah agresif!

Dhak dan makhluk itu bergelut! Seluruh tubuh Dhak mula dipenuhi kesan luka dan berdarah akibat daripada kesan patuk dan juga kesan cakaran taji burung buas itu!

Dhak semakin sesakkan nafas! Burung itu berada di atas tubuhnya dan tidak henti-henti menyerangnya! Tubuh Harpyja itu pula dua kali ganda lebih besar berbanding Dhak.

Dhak dapat rasakan kulitnya dicarik-carik oleh paruh dan kuku bertaji burung itu. Bertambah bisa apabila kesan luka itu dilitupi salji yang dingin.

Darah Dhak mula merecik pada salji putih. Tidak putus-putus darah itu merecik.

Dhak semakin lemah untuk bergelut. Bunyi libasan kepak dan juga suara jeritan gila makhluk jembalang harpyja semakin menguasi minda Dhak.

Air mata Dhak mula mengalir. Dhak tidak mahu tertewas! Dia perlu melindungi medan sihir itu!

Dhak kecewa. Kenapa dirinya begitu lemah dan tidak mampu untuk berjuang? Benar kata mereka yang lain anjing adalah makhluk hina. Tiada siapa sudi mengambil dirinya sebagai makhluk seruan.

Anjing hanya layak untuk merempat dan menjamah sisa sampah. Tidak layak untuk menikmati erti kehidupan. Tidak mampu untuk berjuang apa-apa.

Kesetiaan seekor anjing tidak memadai.

Penglihatan Dhak semakin kabur.

Bunyi satu das tembakkan memecahkan suasana hiruk-pikuk oleh Harpyja. Darah merah makhluk itu tersembur saat tubuhnya terpelanting akibat tembakkan peluru pistol.

Dhak tercungap-cungap dalam keadaan yang begitu lemah. Siapa? Siapakah yang telah menyelamatkannya?  

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top