065 ❃ BISA TUSUKAN FITNAH
Irama senandung syahdu itu kedengaran,
Disenandungkan sepenuh hati,
Dan apabila kenyataan itu menyergah jiwa, aku sangka aku akan menemui ajal.
Apakah senandung itu adalah milikku?
Telah aku dikhabarkan bahawa kucupan bibirnya telah termeterai.
Dimeterai dengan belaian lembut.
Sesungguhnya kenyataan itu adalah satu sakit yang parah,
Sangkaku dia adalah milikku,
Dan ternyata aku hanya impikan sebuah kebahagiaan,
Ternyata kehidupan itu memedihkan.
Aku dikhabarkan bahawa hidupnya indah bersama pilihan hati.
Seindah taman di musim bunga.
Dan ketahuilah bunga akan layu.
Dan aku tertanya-tanya adakah dia akan sentiasa tersenyum bersamanya.
Seperti seringkali dia tersenyum padaku.
Apakah aku masih mampu meraih senyuman daripada sesiapa?
Bukankah senyuman itu milik aku?
Bukan sekadar senyuman.. tetapi kasih dan cinta itu.
Adakah aku akan memilikinya?
Seandainya aku adalah permata kaca yang jatuh dari langit.
Adakah aku akan disambut dengan sepenuh kasih.. atau sekadar dibiarkan jatuh berderai.
Apakah daya ingatan aku sudah menghilang?
Alpa aku akan khayalan kebahagiaan.
Aku bukanlah permata mahupun serpihannya.. Aku hanyalah arang yang hitam dan kotor.
Wahai harapan, aku cuma berharap agar aku tidak terlalu berharap.
♥
Fernand menyelak helaian sebuah buku yang lusuh. Segala suara hatinya dipendamkan di atas helaian itu.
"Dhak.. aku terlupa kau ada di samping aku."
Bayangan cahaya lilin meliuk-liuk menari pada wajahnya.
"Segala rasa pedih aku luahkan pada atas kertas.. rasanya aku patut luahkan pada kau kan?"
Fernand melirikkan pandangan matanya pada Dhak.
Dhak perlahan-lahan duduk di sisinya di atas lantai kayu.
Fernand membelai kepala Dhak.
"Aku tulis suara hati aku.. Aku kesal kerana terlalu berharap. Marira bukan milik aku. Namun, aku terpaksa akui. Aku bukan sesiapa untuk dimiliki. Sekurang-kurangnya aku bahagia melihat dia bahagia..walaupun aku cemburu. Tapi aku sedar manusia hina macam aku tak layak untuk sesiapa.."
Fernand merenung cahaya lilin.
Dhak menurunkan telinga berbulunya tanda simpati dan sedih
"Tapi aku bahagia kerana Marira tidak membenci aku kerana kelahiran aku. Marira terima aku sebagai manusia yang hina...Marira tak benci aku kerana aku memiliki mata yang bewarna merah.... cuma.."
Kata-kata Fernand tersangkut. Air liurnya ditelan perlahan.
"Cuma.. Marira benci aku kerana..aku cuba membunuh..."
Fernand tersenyum.
"Aku Fernand cuba untuk membunuh kerana cemburu.. dan kerana itu.. Marira benci aku."
"Marira benci dan tak percayakan aku kerana aku cuba membunuh.."
Mata merah Fernand berkaca-kaca merenung cahaya lilin.
"Aku cuba bunuh kandungannya bersama lelaki tu.."
Fernand ketawa kecil. Jari jemarinya perlahan-lahan melurutkan rambutnya kebelakang.
"Bodoh.. Marira bodoh. Kau perempuan bodoh!!!"
Fernand tiba-tiba meninggikan suaranya.
Lelaki itu pantas berdiri sehinggakan kerusinya terjatuh. Tumbukkan dihentakkan pada meja.
''Kenapa kau percaya semua tu!?"
"Kenapa kau percaya! Aku tak akan buat perbuatan hina tu!"
Tangannya pantas menepis lilin sehingga tercampak. Ruang kamar itu serta-merta menjadi gelita seraya cahaya lilin terpadam.
Dhak mula tertunduk ketakutan.
"Dan Marira..akhirnya kau mati jugak!"
Tangan Fernand meramas kertas yang mengandungi bait luahan hatinya. Buku itu dikoyak dua dan dilemparkan! Kertas-kertas bertaburan.
"Ya! Aku tahu aku manusia hina!"
Fernand melemparkan kerusi pada jendela sehinggakan pecah berderai!
"Aku tahu aku diiringi kegelapan! Aku alat untuk dipijak! Dihina! Dikutuk! Dihamun! Hinalah aku!"
Fernand mula hilang kawalan. Menjerit seorang diri bagaikan dirasuk kehibaan yang melampau.
Meja diterbalikkan dan ditendang. Segala barang habis bertaburan jatuh.
Wap dingin tidak henti-henti kelihatan keluar di hujung mulutnya.
Untuk seketika Fernand tiba-tiba terkaku berdiri di dalam kegelapan.
Fernand meraup wajahnya. Nafasnya tercungap-cungap. Dadanya jelas kelihatan turun naik.
"Hinanya aku... hina... ..sehinggakan saat aku nak selamatkan nyawa kau pun...... kau percayakan aku... "
Bibir Fernand terketar-ketar menahan sebak.
Lututnya turut mengigil. Perlahan-lahan kedua lututnya rebah menyentuh lantai.
"Bukan aku...bukan aku yang lakukan semua tu...."
Fernand terus meraup wajahnya, tertunduk di atas lantai kayu yang usang di ruang kamar yang gelita.
Perlahan-lahan Dhak menghampiri Fernand. Hidungnya perlahan-lahan menyentuh kepala Fernand.
Perlahan-lahan juga Fernand mengangkat wajahnya. Disinari cahaya sang rembulan yang menyelinap melalui jendela, wajah anjing berbaka husky itu kelihatan.
"Dhak..."
Anjing separa jadian itu menghampiri Fernand lebih dekat.
Terus Fernand mendakap tubuh gebu haiwan berbulu itu.
Pedihnya hati apabila kau tidak mampu meraih kepercayaan kerana sesuatu yang bukan kau lakukan.
Pedihnya jiwa apabila kau dibenci kerana sesuatu yang bukan kau lakukan...
Bisa tusukan fitnah amatlah memedihkan.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top