018 ❃ GRISHARADIN LUA KIHARIAN

Awan berarak dengan perlahan. Namun pergerakkan yang dialami olehnya terasa begitu laju. Malah dirinya turut terasa kekok. Ini merupakan kali pertama Grisharadin Lua Kiharian (Selalu dipanggil dengan panggilan Grisha) menaiki kenderaan manusia. Dirinya menaiki kereta api berwap. Jujur kata dia tidak begitu selesa. Sudahlah bayaran tambangnya mahal. Tak apalah, sekurang-kurangnya Grisha tidak mabuk. Dirinya lebih selesa menunggang naganya, Kuran. Bukankah terasa lebih bebas apabila menunggang seekor naga yang mampu membelah udara dilangit.

Malang sekali, sahabatnya melarangnya bersungguh-sungguh. Menurutnya manusia dipenempatannya agak takut dan akan menjadi gila apabila melihat seekor naga. Pasti mereka, khususnya golongan kanak-kanak akan terpekik terlolong apabila melihat kehadiran Kuran nanti. Silap hari bulan nanti naga itu akan menelan mereka. Kuran tidak suka suasana bising.

Grisha menghembuskan keluhan kasar.

"Manusia bodoh..."

Suara gadis bunian itu kedengaran sekadar berbisik sambil menyilangkan kakinya. Itulah yang selalu diluahkan apabila ia berkaitan dengan manusia. Pelik bagaimana sahabatnya mampu memilih manusia sebagai sahabat. Apatah lagi sahabatnya itu merupakan satu-satunya bunian di penempatan manusia. Ganjil terasa Grisha bagaimana sahabatnya mampu hidup sedemikian.

Sedang Grisha asyik memikirkan itu, jari-jemarinya mula memintalkan rambutnya yang hitam bersinar. Seratus tahun yang lalu, rambutnya tidak ubah seperti lelaki. Malah perangainya juga mengalahkan lelaki. Namun itu semua berubah sejak kakandanya menasihatinya.

"Adinda sudah pun menginjak dewasa. Waktu adinda untuk menerima pasangan sudah pun tiba. Kakanda tidak sabar untuk menanti mana-mana teruna bertuah untuk merisik adinda. Sebelum itu ada baiknya adinda ubah penampilan adinda. Apa kata mulakannya dengan rambut adinda?"

Grisha tersenyum saat fikirannya menerawang jauh di langit, terkenangkan kata-kata kakandanya. Mana tidaknya, sejak rambutnya dibela, Grisha kerap kali ditegur oleh golongan lelaki bangsanya.

Tiba-tiba Grisha menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Apalah...masih terlalu awal untuk aku memikirkannya."

Jemarinya ligat memintalkan rambutnya yang kini sudahpun singgah di tulang belikatnya.

"Masih terlalu awal aku untuk..."

Kata-katanya dibiarkan tergantung begitu saja. Pipinya mula berona merah tiba-tiba.

Tidak mahu membuang masa memikirkan itu, matanya memberikan tumpuan pada pemandangan melalui jendela kereta api. Pandangan matanya dihadiahkan  hamparan luas sebuah lembah. Ia merupakan sebuah lembah yang diselubungi oleh pohon-pohon epal. Warna merah jelas kelihatan disebalik celah daun hijau yang segar. Gadis bunian itu menelan air liurnya. Lidahnya kecur melihat pemandangan itu. Tidak dia duga keindahan alam mampu membuat dirinya begini.

🍎

Kini Grisha telah tiba di Eplé.

Kakinya perlahan membuka langkah keluar dari kereta api tersebut. Tidak ramai penumpang yang turun ke stesen Eplé. Tidak sepertinya, para penumpang yang lain sibuk memunggah bagasi mereka. Grisha pula hanya membawa sebuah tas galas. Grisha merupakan seorang yang serba ringkas.

Matanya melilau mencari seseorang yang dijanjinya untuk berjumpa. Namun kelibatnya tidak kelihatan.

Grisha tidak selesa menjadi perhatian orang ramai. Tidak perlu teka lagi, semua adalah kerana matanya yang berwarna merah. Mata yang merenung matanya semuanya dengan pandangan mata yang pelik.

Apa yang pelik?!

Biji matanya bundar dan merah!

Apa bezanya dengan epal yang bulat dan merah?

Sepatutnya penduduk Eplé tidak akan berasa pelik dengan rupa dan warna matanya.

Manusia bodoh.

Warna yang dianggap sebagai nasib malang. Bangsa bunian juga tidak terkecuali. Namun tidak seperti manusia, bunian tidak memandang serong padanya. Khabar mengatakan bahawa bangsa manusia sanggup membutakan mata anaknya jika ia berwarna merah. Membunuh juga merupakan salah satu pilihan mereka.

Urghhhh.... apa boleh buat? Manusia bodoh.

Tidak mahu mengundang perhatian, gadis itu membawa dirinya ke satu sudut stesen dimana kurangnya manusia berlegar. Tunggulah disitu bersendirian.

Lima minit berlalu...

Tiada apa-apa pun yang dinantikan Grisha tiba. Dengan itu si gadis bunian mulalah merungut sendirian. Mata merahnya galak perhatikan persekitaran.

"Tak guna Sylvan... Sengaja buat aku ternanti-nanti.."

Gadis bunian itu menghembuskan nafas kasar.

"Serupa bodoh seperti manusia!"

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top