16 | Dusta
Bibir bawah digigit kuat. Rasanya tak sesakit seperti yang hati aku rasakan kini. Perlahan-lahan bibir bawah dilepaskan sebelum bebola mata aku bergerak mencari anak mata dia.
Dia masih setia memandang aku seperti tadi.
"Aku..."
Laju tangan aku naik dan tapak tangan diberhentikan tepat di depan wajahnya. Dan kata-katanya terputus.
Mata terpejam, nafas ditarik panjang kemudian aku menghela perlahan. Kedengaran agak berat.
"Ucapan maaf kau kedengaran saja mahal, tapi hakikatnya murah." Aku berkata tenang seraya tangan diturunkan ke sisi.
Redup pandangannya menusuk hingga ke kalbu.
Tolonglah jangan...
Aku lemah.
"Aku maafkan kau." Sejurus itu, aku melangkah pergi meninggalkan dia jauh di belakang.
Kerana hanya itu yang dia dambakan dari aku. Hanya itu, bukan lagi hati atau jiwa ini. Buktinya, dia tidak mengejar.
Entahlah.
Entah kenapa, kalimat aku maafkan kau yang dia gilakan.
Bodoh.
Tapi tak mengapalah. Aku juga seorang pendusta sepertinya. Mana mungkin golongan pendusta seperti kami layak untuk tidak memaafkan. Sombong.
Sudah terlalu banyak perkara yang aku dustakan.
Hati.
Perasaan.
Air mata.
Jiwa.
Raga.
Diri sendiri.
Sakit, ya Allah. Perih. Pedih. Tak tertanggung lagi.
Satu demi satu gerabak kenangan melalui landasan memori aku. Semuanya tak mampu terhapus walaupun jarum jam kian merapuh, tak mampu lagi untuk bergerak ke saat seterusnya.
Sudah terlalu lama.
Bukan jemu, cuma letih.
Orang kata dia tinggalkan kau sebab dah jumpa perempuan yang lebih lawa.
'Orang kata masa kecil buruk, dah besar cantik.' Itu balasan dari aku sebelum gelak kedengaran.
Gemuknya, kau.
'Mak aku masak kan sedap.' Sekali lagi gelak menyapa gegendang telinga.
Gelapnya kulit, kau.
'Coklat lagi manis berbanding tepung, okey.' Disambung dengan tawa besar.
Ya, aku baik-baik saja. Hinalah, cacilah, kutuklah, aku baik-baik saja. Lemparkan saja kata-kata yang kedengaran biasa tetapi sebenarnya berbisa.
Aku tak heran.
Oh, tidak.
Sekali lagi aku berdusta.
Apa lagi yang aku mahu dustakan? Apa lagi yang aku... dia... dan kau... mahu dustakan?
Orang kata kalau ada yang menipu, pasti akan ada hati lain yang terkesan.
Untuk perjalanan hidup aku...
Aku berdusta, dan hati aku yang...
Merana.
Terluka.
Terhiris.
Luka berdarah tanpa henti.
Aku dambakan kemaafan daripada...
Diri sendiri.
Aku minta maaf, Kristal.
***
-140719-
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top