55

.
.
.

"Sayang."

Dari bilik tidur, dapat aku dengar suara Jungkook memanggil aku dari bilik laundry yang bersambung dengan bilik kami. Katanya nak gosok baju awal malam ni sebab malas nak bangun awal untuk gosok baju esok pagi sebelum ke kolej.

Kebetulan pula aku baru selesai mandi. Setelah lengkap berbaju, baru saja aku hendak pergi kepadanya, dia pula dah masuk ke dalam bilik mencari aku.

"Awak ada nampak kemeja biru sa—"

Terdiam terus dia bila nampak aku. Tahu sebab apa dia terdiam, aku hanya sengih sambil pusing-pusing setempat depan dia. Show off kemeja biru dia yang dah selamat tersarung pada tubuh aku. Bukan tu saja, sweatpants kelabu dia pun aku rembat.

Dengan kandungan aku yang hampir mencecah lapan bulan ni, memang dah tak ada baju atau seluar yang muat untuk aku. Kalau ada pun cuma sehelai dua, semua dah habis aku guna. Bila semua tengah dibasuh, baju seluar Jungkook lah jadi mangsa. Macam sekarang.

"Yerim, stop, stop. Jangan pusing-pusing macam tu, tergolek nanti. Ish."

Tergelak aku bila cukup cemas dia menghalang aku dari terus berputar di hadapan dia. Tangannya menarik lembut sepasang tangan aku agar menghadapnya.

"Habislah kemeja saya kalau tiap malam awak guna. Nanti saya nak pergi kolej pakai apa? Kotak?"

Tergelak lagi aku mendengar omelannya. Gaya macam marah tapi cukup lembut, comel betul bila tengok dia buat-buat garang macam ni.

"Saya suka pakai baju awak. Selesa. Bau macam awak."

Jujur aku memberitahunya buatkan dia tersenyum.

"Rasa macam awak tengah peluk saya." Sambungku lagi buatkan senyumannya kian melebar.

"Gediknya dia. Saja nak menggoda saya?" Usiknya pula. Seperti sudah menjadi kebiasaannya semenjak aku mengandung ni, pasti dirinya akan menyentuh lembut pucuk hidungku buatkan aku tersenyum.

"Habis tu esok saya nak pakai apa ni pergi kolej?" Soalnya dengan tangannya masih menggenggam erat tanganku.

"Tak payah pergi kolejlah. Duduk je rumah dengan saya."

Niat hanya untuk mengusiknya, lembut aku meminta seraya menggoyang-goyang perlahan tangannya yang sejak tadi menggenggam tanganku sebelum kami sama-sama berbalas senyuman.

"Jangan minta saja-saja, saya buat betul-betul nanti."

Lebih berani dia menyakat aku buatkan aku tersengih seraya laju menggeleng. Takut!

Tergelak dia melihat reaksi aku.

Tanpa menunggu lama, tangannya aku lepaskan sebelum langkah aku atur ke almari pakaian kami, meninggalkan dia yang masih memerhati aku.

Kini tanpa mempedulikan dia yang sudah ada di sisi aku. Barisan kemejanya yang tergantung rapi di dalam almari aku selak satu per satu.

Tersenyum aku bila nampak kemeja putih miliknya. Sehelai kemeja putih dan seluar slack hitam miliknya aku keluarkan lalu tanpa menghiraukannya lagi, langkah aku atur ke bilik laundry. Ternyata tanpa disuruh, langkahnya tetap diatur mengikuti aku dari belakang.

"Nak buat apa tu?"

Soalnya walhal jelas dia nampak yang aku sedang menghidupkan suis seterika.

"Nak gosok baju untuk suami saya."

Tersenyum dia mendengar jawapan aku namun renungan matanya jelas pedulikan aku. Risau betul kalau-kalau aku kepenatan sedangkan apalah sangat setakat menggosok baju ni?

"Saya boleh buat sendiri, sayang. Awak rehatlah."

"Tak apa, biar saya buat. Dah lama saya tak buat semua ni untuk awak, rindu. Kalau tak bila lagi saya nak gosokkan baju suami saya ni? Sedih saya kadang-kadang tengok awak gosok tak halus."

Tergelak perlahan dia mendengar bebelanku seraya langkahnya diatur perlahan mendekati aku. Aku hanya membiarkan bila dirinya mengambil tempat berdiri di belakangku.

Baru saja aku hendak menoleh saat terdengar dirinya menutup suis seterika, niat aku terbantut tika merasakan dirinya memelukku dari belakang. Lega saat tangannya diletakkan di bawah perutku, menampung bebanan dan berat perutku.

"Yerim."

"Hmm?"

"Masa awak jatuh dari langit dulu, sakit tak?"

Senyuman aku tahan, menahan tawa bila mendengar pick up line darinya yang dirasakan kelakar.

"Kenapa tanya macam tu?"

"Yalah, awak kan bidadari buat saya. Sebelum awak jumpa saya, mesti awak duduk dekat langit dulu kan, menunggu masa untuk berjumpa dengan saya."

Akhirnya tersenyum juga aku mendengar usikannya.

"Mengada-ngada." Komenku pendek walhal suka dilayan seperti ini.

Terdengar desahan nafasnya perlahan, dia tersenyum..

"Awak hadiah terindah buat saya, Yerim.."

Bisiknya perlahan. Tak semena-mena hati perlahan-lahan diterpa rasa sebak. Getaran suaranya tika membisikkan kata-kata itu padaku, seolah-olah membisikkan sekali rasa hiba di hatinya.

"Entah apa akan jadi pada saya kalau awak tiada, Yerim.."

Mata mula dirasakan panas dan membahang tika mendengar bisikannya yang satu ini, luahan hatinya yang cukup melemahkan aku.

"Setiap hari saya bangun dari tidur hanya untuk melihat awak di sisi saya.. Sehari tanpa suara dan senyuman awak, saya rasa kosong.. Awak kekuatan untuk saya, juga kelemahan buat saya.. Betapa takutnya saya untuk kehilangan awak suatu hari nanti sehinggakan ada masanya saya berharap, biarlah saya yang pergi dulu sebelum awak.."

Tubir mata dirasakan semakin sarat dengan air mata sehinggakan mengaburi penglihatanku. Dada dirasakan sesak menahan tangisan dari terlepas.

"Inikah yang awak rasa masa saya sakit dulu Yerim? Masa awak tahu, bila-bila masa saja awak akan kehilangan saya?"

Perlahan-lahan mata aku pejamkan, membiarkan air mata aku gugur, satu per satu, mengalir perlahan membasahi pipiku tika rasa sebak semakin menguasaiku.

"Dalam beberapa bulan ini saja, beberapa kali saya melihat awak dalam kesakitan.. Betapa luluhnya hati saya setiap kali melihat awak menangis dalam kesakitan.. Lebih memilukan bila melihat awak masih mampu untuk tersenyum.. Tak sakitkah apa yang awak rasai selama ini Yerim? Tak risaukah awak dengan diri awak sendiri?"

Dengan mata yang masih terpejam, air mata aku biarkan mengalir perlahan.

"Saya harap ini hanya mimpi buruk buat saya.. Saya harap bangunnya saya dari mimpi ini, awak masih ada dengan saya, dengan anak-anak kita.."

"Awak akan cuba sehabis mungkin untuk sentiasa ada dengan kami kan?"

.
.
.

"Jungkook."

"Hmm.."

"Bangunlah.."

"Esok saya kerja, sayang.. Tidurlah.."

"Bangunlah, sekejap je. Please."

"Hmm. Dah bangun dah ni. Cakaplah, nak apa.."

Tawa aku tahan bila dia menggumam kecil dengan mata terpejam. Walaupun ngantuk teruk, dia masih ingin menjaga hati aku.

"Jungkook.."

"Hmm.."

Dengan dirinya masih enggan membuka mata, pipinya aku kucup lembut dan perlahan, kiri dan kanan sebelum berakhir lama pada seulas bibirmya.

Tersenyum aku saat dirinya perlahan-lahan membuka mata tika bibirnya aku lepaskan. Untuk seketika kami hanya diam, berbalas renungan.

"Selamat hari jadi.."

Bisikku perlahan dengan senyuman untuknya. Terlihat bibirnya lambat-lambat mengukirkan senyuman untukku sebelum bantal ditarik menutupi wajahnya, kononnya malulah tu buatkan aku tertawa.

Bantal itu aku tarik sebelum terlihat dirinya tersengih. Tanpa menunggu lama, sekali lagi wajahnya menjadi mangsa ciumanku.

Dari ubun-ubun rambutnya turun ke hujung hidung mancungnya, beralih pada pipinya kiri dan kanan lalu berakhir lama pada seulas bibirnya yang masih memerah dek ciuman aku tadi.

Tersengih dia saat aku melepaskan ciuman kami. Telinganya mula terlihat kemerah-merahan.

"Jungkook!"

Aku terjerit kecil, terkejut sebelum kami sama-sama tertawa saat dirinya pantas bangun dari terus terbaring lalu tubuh aku ditolak lembut agar terbaring di atas katil. Dalam sekelip mata kami bertukar posisi.

Tak tunggu lama, terus dia membalas dendam. Mengucup lembut setiap inci wajahku, di tempat-tempat yang sama aku mengucup wajahnya tadi. Ubun-ubun rambutku, hujung hidungku, kedua-dua belah pipiku dan berakhir lama di bibirku.

Akhirnya, dengan rambutnya yang masih kusut baru bangun tidur, kami hanya diam berbalas renungan sambil tersenyum.

"Dah tua."

Tergelak dia mendengar usikanku.

"Tak apa, tua-tua pun ada yang sayang, kan?" Usiknya pula dengan kening sebelahnya terangkat buatkan aku tersengih.

"Siapa sayang awak?"

"Adalah orang tu. Pendek-pendek, banyak cakap."

Akhirnya, tawa kami sama-sama tercetus sebelum perlahan-lahan berganti dengan senyuman halus terukir di bibir masing-masing.

Dengan separuh tubuhnya berada di atas tubuhku, aku leka mengamati setiap inci wajahnya. Sama seperti aku, dirinya terlihat turut sama memerhati setiap inci raut wajahku. Rambutnya yang kusut aku elus lembut dan perlahan, mengemaskannya dengan hujung jari-jemari aku.

"Semoga hari jadi awak tahun ini bakal menjadi hari ulang tahun paling menggembirakan buat awak.." Ucapku perlahan dengan senyuman halus terukir di bibirku. Tanganku masih mengusap lembut rambutnya.

Terlihat dirinya tersenyum sebelum perlahan-lahan kepalanya mengangguk kecil.

"Cukup ada awak di sisi saya, saya gembira, Yerim.."

Senyuman tetap aku ukirkan walhal terasa hiba tatkala mendengar ungkapkannya yang satu itu.

Seolah-olah inilah kali terakhir aku dapat menatap tepat ke dalam anak matanya, tidak lepas sepasang mataku dari terus menatapnya.

"Maaf tak dapat sediakan hadiah yang istimewa buat awak.."

Tersenyum dia mendengar kata-kataku. Terasa tangannya mengelus lembut pipiku sebelum perlahan-lahan dirinya menggeleng.

"Tak perlu hadiah, awak saja adalah hadiah terindah buat saya.. Tak ada apa lagi yang saya mahukan dalam hidup saya selain awak.."

Mata dirasakan panas dan membahang tika berbalas renungan mata dengannya namun senyuman masih cuba untuk aku kekalkan di hadapannya.

Kini perlahan-lahan tanganku beralih ke pipinya, mengusap lembut di situ. Semakin hari, semakin melimpah rasa sayang dan kasihku padanya sehingga dirasakan terlalu berat untuk meninggalkannya.

"Sepatutnya saya yang sediakan hadiah untuk awak hari ni.." Tuturnya perlahan dengan senyuman.

"Tahun lepas, tanggal yang sama, awak bertarung nyawa untuk dua bujang kecil kita.. Yang kita sangkakan hanya seorang, tiba-tiba keluar pula lagi seorang.." Sambungnya sebelum kami sama-sama tertawa perlahan.

"Terima kasih, Yerim.. untuk keluarga kecil kita.."

Hati dirasakan sebak, terharu. Tangannya yang sedang mengusap lembut pipiku, aku biarkan. Untuk seketika aku hanya diam, membiarkan tatapan mata kami saling bertaut lama.

Kini tangannya beralih pula pada atas perutku.

"Janji ni yang terakhir."

Tergelak aku bila selamba dia menabur janji sambil tersengih. Sementara dirinya merehatkan kepalanya di atas perutku, tanganku mengusap lembut rambutnya. Membiarkan jari-jemari aku bermain dengan rambutnya.

Tersenyum aku sepanjang mengusap rambutnya buatkan dia turut sama tersenyum dengan kepalanya masih direhatkan di atas perutku, menghadapku.

"Kenapa senyum?" Soalnya buatkan aku tersengih seraya menggeleng perlahan.

"Teringat masa awak tak ada rambut dulu."

"Ish, banyak-banyak kenangan, itu juga yang dia nak throwback." Rungutnya bagaikan anak kecil buatkan aku tertawa lagi.

"Saya teringat dulu awak suka pakai tuala atas kepala. Tidur pun mesti lilit tuala dekat kepala. Comel, macam baby."

"Tak naklah nampak comel depan awak. Saya kalau boleh nak selalu nampak handsome, manly depan awak. Baru macho."

Tergelak lagi aku dengar pengakuan dia yang saling tak tumpah macam budak-budak. Sambil mendengar bebelannya, tangan aku masih mengelus lembut rambutnya.

"Andai kata satu hari nanti saya kena botak, dah tak ada rambut, awak masih rasa saya cantik?" Soalku buatkan kepalanya diangkat, merenungku lama sebelum dia tersenyum.

"Kejap, bagi saya bayangkan."

Dengan sengihan dia merenung aku lama sebelum dia tergelak.

"Mesti comel. Tiap hari saya nak cium kepala awak sebab geram." Komennya sebelum kami sama-sama tergelak.

"Awak masih sayang dan cintakan saya ke nanti kalau saya botak?"

"Mestilah. Walau apa pun, awak tetap Yerim saya."

Tersenyum aku mendengar jawapannya.

"Kalau betullah satu hari nanti, saya kena botak, saya tak nak awak tengok saya tanpa sehelai rambut.. Gunalah apa cara sekali pun untuk tutup kepala saya asalkan awak tak nampak saya tanpa sehelai rambut."

Berkerut dahi dia mendengar permintaan aku.

"Kenapa cakap macam ni?"

"Saya nak sentiasa nampak cantik di mata suami saya."

Tersenyum dia mendengar jawapanku.

"Awak dah memang sentiasa terlihat cantik di mata saya, Yerim. Ada rambut atau tanpa rambut, awak tetap cantik di mata saya." Balasnya pula seraya mencuit lembut hujung hidungku sebelum kami sama-sama tersenyum.

"Awak sayang saya?" Soalku perlahan.

Tanpa jemu, dirinya tersenyum sebelum perlahan-lahan dirinya mengangguk.

"Sentiasa, sampai bila-bila.."







.
.
.








Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top