PETA MISTERI
"Aku dah berjaya dapatkan peta tu!" Akash terus melompat turun dari pagar sekolah sambil tersenyum jahat.
"Erh! Kita tak sepatutnya ambil peta tu! Kita tak sepatutnya berada di sini!" Hawa tiba-tiba menjerit marah. Wajahnya ditekup, tertekan, sumpah dia menyesal mengikut mereka?
"Habis kau ikut kami siapa suruh?" Putra menjeling Hawa yang sudah terduduk mengenang kebodohannya sendiri.
"Aku tak tahu! Aku risaukan kau orang! Bencilah, tak perlulah cari harta tu. Tak pernah dengar cerita ke ramai orang hilang dalam pencarian tu? Kalau tidak, peta itu takkan dikunci rapat dalam bekas kaca tau!" Hawa diserang panik. Putra, Akash dan Yusuf terus menepuk dahi.
"Hawa sayang, peta tu diletakkan di dalam bekas kaca sebagai pameran. Sekolah kitakan penuh dengan sejarah sampai ada muzium. Biasa lah tu letak dalam bekas kaca. Yang kau nak menangis melalak fikir bukan-bukan ni kenapa? Aku dah cakap jangan ikut kami, kan? Kau tu yang gedik." Yusuf mula membebel. Hawa meneruskan tangisannya, sesungguhnya dia takut. Takut untuk pergi, takut juga untuk membiarkan kembarnya itu pergi bersama Putra dan Akash sendiri.
"Lagipun, semua yang hilang tu akhirnya ditemui semula. Mereka hanya sesat. Tiada apa yang akan berlaku. Jom, buruklah kau nangis!" Yusuf terus menarik tangan Hawa.
"Weh, peta ni pelik sangat lah. Dia hanya tunjuk satu jalan." Putra mula bersuara selepas meneliti peta itu. Peta itu kemudian dibentangkan agar Yusuf dan Akash dapat melihatnya.
"Kejap, kita sudah berada di titik pertama. Hanya ini pokok rambutan tua yang ada di belakang sekolah seperti dalam gambaran peta ini. Kemudian, berjalan 100 meter ke arah 200° dan peta ni juga ada cakap... pandanglah ke arah cahaya, kerana setiap cahaya itu datangnya dari sebuah permata. Namun berhati-hati dalam melihat cahaya, engkau bakal—" Tidak sempat Yusuf menghabiskan bacaan, Akash terus merampas peta itu semula.
"Tak payah baca bendalah buang masa tu. Petunjuk dah ada." Kompas yang melekat pada peta itu terus digerakkan.
Apabila dia menemui arah yang hendak dituju, terus dengan bangganya dia mendahului mereka bertiga. "Jom!" Mereka hanya mengangguk. Sudah biasa dengan sikap Akash yang sentiasa yakin dengan dirinya sendiri.
Walau sudah jauh berjalan, Hawa masih musykil dengan peta itu. Tidak mungkin harta karun dapat dicari semudah ini. Kecualilah hartanya hanya seringgit dua.
"Akash, nak tengok peta tu, boleh?"
"Ambillah, kau pandu kami." Peta itu dihulurkan dengan berhati-hati, tak mahu jarum merah itu berganjak dari arah utara.
Namun apabila tiba di tangan Hawa, jarum itu tiba-tiba berputar sehingga akhirnya berhenti di arah yang bertentangan.
"Eh kenapa ni?" Akash terkerut, sedangkan kedudukan kompas tadi tidak berbeza. Kenapa tiba-tiba tertukar?
"Kau ambil balik lah, tangan aku besi kut." Hawa masih cuba bergurau.
Namun walaupun sudah berada di tangan Akash, kompas itu masih berputar-putar dan tidak menunjukkan arah yang sama lagi.
"Aku syak kompas ni rosak. Sebab tu mereka semua sesat!"
Tiga lelaki itu terus mencarut. "Habis macam mana?" Putra meramas rambutnya. Kusut!
"Meh sini kejap peta tu. Aku rasa aku nampak sesuatu tadi." Apabila peta itu di tangan Hawa, dia terus berlari semula ke pokok rambutan tadi.
Kompas tadi diratakan pada tangannya.
"Jangan guna kompas tu, kompas tu rosak!" Akash merengus.
"Kejap. Ha, sini! Mari sini tengok. Ada satu cahaya atas kompas ni." Hawa berkata, dia mula teruja!
Akash ternganga. Namun cepat-cepat dia kembalikan semangatnya. "Baik, 100m kan? Aku tembak pada pokok rambutan yang besar lain macam tu, jom!"
Mereka menyahut dan terus berlari ke arah pokok tersebut.
"Tiada apa di sini." Putra merengus. 3 jam mereka terbazir begitu sahaja!
"Bak sini peta, aku rasa ada petunjuk yang tak terungkai lagi."
Akash yang sudah terbaring pasrah hanya memberikan peta itu kepada Putra.
"Jika cahaya itu, arah. 100m itu jarak. Kenapa dia bagi 200 darjah?"
"Aku tahu! Itu bukan 200°! Itu 2000. Agak kedengaran gila tapi aku dah kira buah rambutan ni. Setiap tangkai ada 20 biji, dan di pokok ini ada 100 tangkai buah rambutan! Kecuali satu tangkai ni, ada 21. Aku tak tahu dimana logiknya, beratus-ratus tahun pokok ini ditinggalkan, takkan buahnya tidak bertambah berkurang? Tapi... Cuba tarik tangkai yang itu." Jarinya tertunjuk pada satu tangkai rambutan yang berada di sebalik rimbunan daun itu.
Tak menunggu lama, terus Yusuf melompat dan menariknya. Tiba-tiba satu laluan terbuka luas di bawah kaki mereka sehingga mereka terus jatuh tergelongsor memasukinya.
Mereka berempat menjerit ketakutan sebelum punggung mereka disapa oleh lantai konkrit yang sejuk.
"Hohoho!"
Mereka berempat berpaling ke belakang dengan terkejut. Ada manusia!
"Tak sangka generasi Y masih ada lagi manusia yang cerdik pandai seperti kalian." Seorang pak cik tua berpakaian askar yang sudah lusuh ketawa di atas kerusi rodanya. Mungkin bekas tentera.
"Mestilah. Keturunan saya memang cerdik pandai, pak." Akash riak seperti biasa.
"Uhuk, jadi mana harta karunnya?" Putra yang dari tadi laparkan harta bertanya. Nafsunya sudah gian ingin menghidu bau wang!
"HOHOHO!" Bekas tentera itu ketawa semakin kuat.
"Harta karunnya ada di dalam. Ini adalah sebuah kubu istana lama british. Namun siapa yang memasukinya, tidak akan mampu keluar semula. Kalian hanya mahu harta, bukan? Masuklah mencari harta itu, harta yang manusia seperti aku dan kalian dambakan. Cahaya harta yang kalian cari, cahaya yang terus membutakan mata kalian. Mungkin kalian pernah baca ayat ni, berhati-hatilah dalam melihat cahaya, engkau bakal buta hati walau terdengar indahnya sahaja. Malah buta mata apabila melihat ke arahnya."
Yusuf tersentak. Itu ayat yang Akash melarangnya baca kerana dianggap membuang masa!
Buta hati... kerana apabila terdengar keindahan kekayaan itu, mereka berempat sanggup berbuat apa sahaja. Menipu ibu dan ayah, menceroboh dan mencuri.
Dan buta mata, kerana apabila mereka dapat harta yang mereka cari ini, dunia mereka terus gelap. Terperangkap di sini dalam 'cahaya' yang sungguh terang, kekayaan yang sungguh tidak terjangkau dek akal... namun tetap tidak mampu memberi mereka bahagia. Malah menambah sakit!
"Arh!" Akash menghempas peta itu ke lantai. Tiba-tiba, peta itu menghilang bagaikan debu.
"Dan peta itu peta sumpahan. Menyumpah seranah mereka yang sentiasa tamak dan gila akan harta. Jadi pergilah, pergi nikmati cahaya kamu." Sinis lelaki itu berkata sebelum hilang ke dalam istana bawah tanah itu, meninggalkan keempat-empat mereka yang semakin lemah diasak sesal.
Words : 998 tak termasuk perkataan yang di-bold-kan.
TAK ADVENTURE LANGSUNG! NAK BUAT YANG BARUUUUUUUU
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top