Aliran Puing
Aliran puing itu,
Datang menghempas tenaga,
Berpadu dan memadu sinergi,
Menggarit akar dan juga bongkah granit,
Menajak sekali batang-batang balak,
Yang sudah berlonggok di matau tepi sungai,
Sisa batang balak itu,
Yang sepatutnya tegap berdiri,
Menampung dan menampan tenaga air,
Menyerap segala aliran cecair yang terkondensasi,
Mengepung titis-titis komulonimbus,
Akhirnya kini rimba hilang daripada pandangan,
Maka pada detik akhirnya,
Aliran puing itu,
Menerjah ke anak sungai,
Tanpa sebarang perasaan belas kasihan.
Aliran puing itu,
Datang dengan suatu tenaga yang tak terduga,
Berenang laju tanpa sesiapapun menjangka,
Menderu-deru melampiaskan dendam amarahnya,
Menghentam jejambat konkrit,
Menangguk pasir lodak dan sedimen sungai,
Mengkakis tebing sehingga memuntah isinya,
Kayu-kayan, akar banir dan juga lumpur merah,
Terpelosok dan terpelanting di merata-rata,
Sehingga menerjah ke binaan tempat tinggal dan reban ayam,
Tinggal rata segalanya,
Yang tinggal hanyalah sehelai sepinggang.
Aliran puing itu,
Menghempas ke perkarangan binaan kemanusiaan,
Menghambat nyawa insan-insan yang polos,
Menggigit perasaan kesedihan jiwa-jiwa yang kehilangan,
Dalam kesejukan malam penuh pengharapan,
Meruntuh khazanah cerita berbilang keluarga,
Menghilang insan yang tidak berdosa,
Menghancur segala harta benda,
Dan juga jiwa raga rakyat jelata,
Picisan demi picisan,
Seakan-akan jasad ini tidak berharga sekupang pun,
Akibat kerakusan tangan-tangan manusiawi,
Yang hanya pandai menunggang agama dan bangsa,
Yang sanggup melihat rakyatnya derita,
Demi sesuap jawatan dan juga kuasa,
Demi kepentingan duniawi semata-mata.
Aliran puing itu,
Kita tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu,
Kita tidak pernah terfikir akan asbab dan akibatnya,
Hanya kerana kuasanya musang king yang kian bermaharajalela,
Hanya kerana kuasanya cengal yang kian meroket uangnya,
Sehingga sanggup menghambat rimba raya sehingga rata,
Tiada lagi penebat aliran puing ini,
Yang tinggal hanyalah penyesalan,
Yang tidak mungkin dapat dibalik masa,
Dan dibalut derita kesedihan dan kepiluan,
Insan-insan yang kehilangan nyawanya.
Hdin Hafizuddin, 5 Julai 2022
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top