+ 008

— ✯ —

Pagi yang ceria, seceria seorang Hashaf Mikael pada setiap hari. Sangat kontra dengan wajah Mikayla sekarang yang memonyok dari rumah. Tudungnya yang tidak jadi merosakkan mood dia pagi ini.

"Kau kenapa?" soal Mikael. Tengok wajah Mikayla, adik dia boleh membuatkan dia murung. Nak pergi sekolah pun dah terdedah dengan aura negatif yang kuat.

"Tengok ni! Tudung aku tak betul sebab kaulah!" Bahu Mikael ditolak kasar. Pagi tadi, Mikael selamba badak pergi duduk tudung dia yang sudah terhampar elok di atas sofa. Tak tahulah sengaja ke bukan sengaja.

Mikael buat tak endah. Telefon dari saku seluar dikeluarkan. Satu gambar ditangkap dari iPhone X miliknya.

Mikayla terpempan di situ. Kurang asam betul Mikael! Muka selekeh macam ini dia pergi tangkap.

"Padam balik." Mikayla berkata tegas.

"Tak nak. Aku nak buat stock untuk send kat grup family waktu birthday kita nanti." Mikael membuat muka. Jelingan tajam Mikayla tidak dipedulikan.

"Bak sini telefon kau!" Telefon Mikael cuba dirampas. Dengan pantas, Mikael mengelak, tangannya diangkat. Setakat adiknya yang berketinggian 160 cm itu, apalah sangat.

Malas ingin bergelut dengan Mikayla, Mikael terlebih dahulu melarikan diri. Mikayla mengejar. Pandangan orang lain yang memerhati gelagat mereka berdua diketepikan.

"Eh, asal ni?"

Tidak semena-mena, pergerakan Mikayla terhalang. Seakan ada satu beban yang berat di belakangnya. Secepat mungkin dia menoleh dan Mikayla terbungkam.

Rantai kunci miliknya tersangkut pada saku beg jejaka di depannya. Patutlah berat semacam, dia terseret gergasi tinggi sekali rupanya.

"Sorry, awak. Sekejap, saya cuba lepaskan." Menggigil tangan Mikayla cuba melepaskan rantai kuncinya. Pipi sudah merona merah.  Suasana yang sangat awkward bagi dia.

Lelaki itu mengeluh. Dan itu membuatkan Mikayla semakin cuak. Kenapalah susah sangat nak lepaskan?

"Lepas. Biar aku buat." Suara Daniel membuatkan Mikayla menurunkan tangan. Perlahan dan tenang Daniel mencuba. Akhirnya, rantai kunci Kamado Tanjiro memegang pedang berjaya dilepaskan.

"Terima kasih." Tanpa menunggu balasan daripada Daniel, Mikayla terus melangkah pergi.

Mikael yang bersandar pada dinding memandang pelik adiknya yang berlalu pergi tanpa menghiraukan dia di sini.

"Dah kenapa?" Bukan ke Mikayla nak belasah dia tadi? Kenapa pula tak jadi?

Mikayla terus menuju ke kelasnya. Dahinya ditepuk. Memalukan betul!

Daniel di sebelah sana meraup rambutnya ke belakang, menampakkan dahinya yang luas buat seketika. Satu keluhan berat dilepaskan.

Rasa sangat tak selesa bila berada dekat dengan perempuan. Diana lain.  Hubungan mereka bukan setakat sepupu saja malah mereka adalah adik-beradik susuan. Sebab itu rapat semacam. Nak luku kepala semua boleh.

Hasya Mikayla. Sempat juga dia mengerling sekilas tag pelajar perempuan itu tadi.

Kepalanya digeleng sekilas. Haraplah tak jumpa dia lagi. Bukannya Daniel tak perasan pipi merah Mikayla tadi. Kalau jumpa lagi, dia yakin suasana akan 1000 kali ganda awkward.


— ✯ —


"Uish, masuk!!" Mikael menjerit.

Mikael dan Levi melepak di gelanggang basketball selepas mengenyangkan perut di kafeteria. Boleh luruh jantung pelajar yang lalu-lalang apabila Mikael tiba-tiba memekik.

Gelanggang di sebelah turut digunakan pelajar lain. Mikael tak nak kacau. Kerja dia memang asyik berkepit saja dengan Levi.

"Kalau ada geng Aryan kan bagus." Mikael pass bola kepada Levi.

"Tapi sekarang bukan waktu rehat dia orang." Mikael berkata lagi. Bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga waktu rehat meraka lebih awal.

"Airel?" Levi menyoal.

"Heh. Airel? Nak terserempak dengan dia pun payah.  Muncul bila ada latihan je dia tu," balas Mikael. Tangannya menampar bola pada gelanggang beberapa kali.

"Itu bukan Airel ke?"

Mikael mengalihkan pandangannya pada arah yang ditunjukkan Levi. Airel berjalan, belakangnya seperti biasa ada saja beg gitarnya.

"Airel! Jom ah sini!" Tak lain tak bukan memang Mikael yang jerit. Tak mungkinlah Levi nak keluarkan suara sekuat itu.

Airel menoleh. Dia mematikan langkah, matanya bertentang sekejap dengan anak mata coklat Mikael. Tanpa sepatah kata, dia meneruskan langkah.

"Kurang ajar, dia palau aku." Bebola matanya berguling ke atas.

"Kau rapat dengan semua orang ke kat SK tu?" Levi menyoal. Dia melabuhkan punggung pada bangku. Mikael turut berbuat demikian.

"Kira bolehlah. Tapi Daniel dengan Airel tu tak sangat," balasnya.

"Asal?"

"Johor." Mikael menjawab. Levi jadi dungu sekejap.

Tawa Mikael terhambur. Soalan Levi dijawab.

"Kau tengoklah Airel tu macam mana tadi. Dia kurang sikit bergaul, aura dia tu pun agak menyeramkan." Telefon dari saku seluarnya dikeluarkan sambil bercerita.

"Daniel tu pula, agak pendiam sedikit. Sebab dia senior, aku tak beranilah nak cakap banyak. Takut nanti tiba-tiba satu penumbuk melayang kat muka aku." Levi tergelak. Kemesraan Mikael ni boleh tahan annoying dia kalau Mikael sendiri tak kawal.

Levi mengangguk setuju. Betullah apa yang Mikael cakap. Berdasarkan pemerhatian dia latihan lepas, dapat dia lihat Daniel yang agak pasif dan Airel yang beku. Tapi main basketball serius power teruk.

"Kapten pula macam mana orangnya?" tanya Levi lagi.

"Banyak pula kau tanya eh?" Mikael mengecilkan matanya.

"Saja nak tahu." Bahu Levi diangkat sedikit.

Mikael sepi buat sementara. Tangannya menari di atas skrin telefon, membalas mesej seseorang.

"Kalau kapten, okay, aku boleh ngam. Dia tak menakutkan pun, cuma serius bila main basketball je. Anaqi tu kira hotstuff sekolah jugalah."

"Hotstuff?"

"Come on! Dia rupa pun ada, baik lagi, pandai pulak tu, dalam SK pun jadi kapten," puji Mikael berbakul-bakul. Agak terlalu jujur di situ. Levi pun tak menafikan fakta itu. Anaqi memang handsome.

"Aku tak tahu kau tahu ke tak, tapi aku cakap sajalah. Anaqi tu anak Cikgu Afieya, cikgu Addmath kita." Ternganga Levi yang mendengar.

"Serius?" Mikael mengangguk.

"Ramai sebenarnya yang crush kat kapten kita tu. Tapi tulah kalau Anaqi couple, tak fasal-fasal kena sebat dengan Cikgu Afieya." Levi berdekah ketawa, Mikael pun turut serta. Seriuslah, sampai macam tu sekali?

"Mika." Satu suara menghentikan riang tawa Levi dan Mikael.

Mikael bangun menghadap perempuan yang berada di pagar gelanggang basketball. Levi memanjangkan leher untuk melihat siapakah gerangan itu.

"Itulah kau, badmood sangat pagi tadi sampai dompet tertinggal kat kereta pun tak perasan," bebel Mikael kepada adiknya.

Tercebik sedikit bibir Mikayla. Nak bagi balik ke tak nak? Dia datang sini bukan nak dengar Mikael membebel.

"Nak bagi ke nak bebel ni...." Mikayla membuat muka malas.

Mikael menyeluk saku seluarnya. Dompet berwarna biru pastel dihulurkan kepada pemiliknya.

"Kau mesti cuak kan? Takut dompet hilang kat sekolah."

"Gila tak cuak? Dahlah pagi tadi aku terlanggar orang sebab kau." Akhir ayat Mikayla sedikit perlahan membuatkan Mikael tiba-tiba menjadi pekak.

"Apa kau cakap?"

"Tak ada apalah." Kepalanya digeleng. Memori memalukan dia dengan seorang lelaki pagi tadi sehabis boleh dia nak lupakan.

"Siapa ni?" Levi menyoal, berdiri di sebelah kiri Mikael. Sesaat dua, mata Mikayla dan Levi bersabung.

"Adik aku," jawab Mikael.

"Dah kau pergi sana." Adiknya dihalau.

"Terima kasih." Mikayla mengangkat sedikit dompet miliknya sebelum berlalu pergi.

"Kau ada adik?" Soalan Levi Mikael balas dengan anggukan.

"Form berapa tu?"

"Sebaya. Adik kembar." Selamba Mikael menjawab. Tak perasan Levi di sebelah terkesima sekali lagi.

"Kau ada kembar? Kenapa aku tak tahu?"

"Aku lupa nak cakaplah tu. Tapi sekarang kau dah tahu kan?"

Gila. Banyak benda yang Levi belajar hari ini.

[ bersambung ]

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top