Preteks
1408
Pertempuran antara puak Tengku Ismail dan Tengku Ishak berlangsung hampir di seluruh pelusuk negeri. Puak Tengku Ismail mempunyai kelebihan kerana mendapat sokongan daripada beberapa kerajaan besar seperti Suvarnabhumi, Majapahit dan Dinasti Ming.
Sementara yang menyokong Tengku Ishak adalah kuasa-kuasa tempatan seperti Acheh, Siak, Kampar, Inderagiri, Pattani dan Bolkiah, yang mengiktiraf Tengku Ishak sebagai pewaris takhta Sultan Muzaffar Alauddin Syah, Sultan Gelanggayu yang mengasaskan kerajaan Islam, setelah sebelumnya kerajaan ini beragama Buddha.
Keturunan mereka datang dari keturunan Raja Gautama yang telah membuka kota Wijayapura sejak ribuan tahun yang lalu, dan dikatakan datang dari keturunan Alexander The Great yang menakluk Bharat pada ketika itu.
Alkisahnya, Sultan Muzaffar ketika itu sedang gering, mewariskan cincin Raja Gautama kepada Tengku Ishak, untuk menjadi Sultan Gelanggayu yang seterusnya.
Tengku Ismail, yang sulung tidak berpuas hati. Baginda bersama Temenggung, Wan Demang berkomplot untuk merampas kuasa dari Tengku Ishak, sebelum baginda Sultan Muzaffar mangkat.
Sultan Muzaffar mempunyai sebab mengapa dia lakukan perkara yang sebegitu. Kerana Tengku Ishak merupakan seorang yang warak dan hidupnya berzuhud, sesuai dengan wataknya menjadi seorang Sultan.
Tengku Ismail pula suka berfoya-foya, suka mabuk dan suka berjudi, membunuh orang yang tidak bersalah serta suka merampas anak dara orang untuk melampiaskan nafsunya.
Maka tiba suatu hari, mangkatlah Sultan Muzaffar dan sejak itu bermulalah perang saudara. Kisah klasik politik Melayu - adik beradik berebut tanah, berebut takhta.
Hari sebelum pertabalan Tengku Ishak menjadi Sultan, Wan Demang telah mencuri cincin dari Tengku Ishak ketika baginda sedang lena beradu.
Cincin Raja Gautama itu disarungkan ke jari Tengku Ismail, dan cincin itu dikatakan mempunyai saka yang dipanggil sebagai Saka Godang, yang melindungi si pemiliknya.
Maka berlangsunglah perang saudara di seluruh Gelanggayu. Dengan bantuan kerajaan-kerajaan besar, askar Tengku Ismail memburu semua penyokong setia Tengku Ishak.
Tengku Ishak mempunyai seorang sahabat yang bernama Sayyid Muluk. Sayyid Muluk ini berasal dari keturunan cendikiawan Bukhara yang lari akibat penaklukan Mongol di kotanya. Moyangnya merupakan seorang perpustakawan yang mengumpul semua ilmu-ilmu yang dikumpul oleh Ibnu Sina sejak zaman Abbasiyyah, dan membawa khazanah ilmu itu daripada dibakar tentera Mongol.
Moyangnya berganti datuknya ketika dia Kabul, meneruskan perjalanan untuk mengelakkan dari diserang tentera Mongol, berjalan hingga ke kerajaan Pala, belayar dari Teluk Bengal menuju ke Melaut.
Ayahnya pula meneruskan budaya menyebarkan ilmu dengan menjual kitab di pasar pelabuhan di Wijayapura, pada era Sultan Muzaffar baru memeluk Islam. Sultan Muzaffar kemudiannya gemar membeli kitab-kitab dari situ, sebelum apabila dewasa, Sayyid Muluk menjadi imam besar masjid di Wijayapura.
Disebabkan pengaruh Sayyid Muluk yang begitu besar akibat kedudukannya sebagai imam besar terhadap rakyat jelata, ini menimbulkan fitnah dari golongan yang membencinya, seperti Wan Demang.
Wan Demang, Temenggung kepada kerajaan Sultan Muzaffar, memberitahu bahawa Sayyid Muluk ini seorang Syiah yang membawa ajaran sesat dan memesongkan. Baginda Sultan tidak mengendahkannya, maka kerana itu Wan Demang berpakat dengan Tengku Ismail.
Wan Demang kemudiannya menubuhkan Sayap Kuning, anggota yang terdiri dari golongan hulubalang istana untuk menguasai politik istana.
Perang saudara berlangsung selepas kemangkatan Sultan Muzaffar, dengan kekuatan askar Tengku Ismail, membuatkan Tengku Ishak berundur sehingga ke suatu tempat yang bernama Teluk Tenang.
Tengku Ishak kemudian berkahwin dengan penduduk tempatan, dan melahirkan tiga orang anak - dua putera dan seorang puteri.
Dan ketika berehat di tepi pokok selepas bermain kejar-kejar dengan adiknya, putera nombor dua terjumpa dengan puteri bunian yang mahu membawanya ke alam bunian.
Puteri bunian itu kemudiannya memberi ciuman, dan bersumpah bahawa keturunan putera kedua itu akan menjadi tampan dan para gadis akan tergoda dengannya.
Dalam peperangan terakhir di Kuala Melaut, Tengku Ishak mati ditikam tombak beracun, dan Sayyid Muluk ditangkap dan dibawa ke Wijayapura untuk dihukum bunuh.
Tengku Ishak sebelum syahid, menyerah kalah dengan Tengku Ismail, dan Tengku Ismail berjanji tidak akan mengganggu keturunan Tengku Ishak di Teluk Tenang.
Sayyid Muluk kemudian menulis kitab ramalan yang menjangkakan, keturunan keenambelas Tengku Ishak akan menggulingkan kerajaan Tengku Ismail kerana kejahatannya, dan menubuhkan kerajaan rakyat.
Kerajaan rakyat itu tidak dijelaskan, tetapi menurut penafsiran, ia adalah seperti pemerintahan republik di era zaman Rom.
Sayyid Muluk dihukum pancung, dan Tengku Ismail dimahkotakan sebagai Sultan Gelanggayu di atas kapal yang bernama al-Daulah.
Maka dengan itu nama kerajaan itu adalah kerajaan Gelanggayu al-Daulah.
Sementara itu, tulisan yang ditulis Sayyid Muluk bersebaran dari satu rumah pasung ke satu rumah pasung, pengikut-pengikut setia Tengku Ishak seperti Datuk Paduka Seri, Yom Puteh dan pengikut lain, menanti apakah ramalan itu benar.
Menurut dalam ramalan itu juga, yang akan memimpin kerajaan rakyat itu juga adalah putera kedua, memandangkan Tengku Ishak adalah putera kedua.
Putera sulungnya pula akan menjadi pelindung kepada putera kedua, dan membina angkatan tentera yang tidak terkalah oleh sesiapa dan setia dan wala' kepada pemimpinnya.
Dua orang putera ini akan menjadi dua orang adik beradik paling berpengaruh dan berjaya menumbangkan keturunan Tengku Ismail.
Dalam kitab itu juga ada mengatakan, di dalam keturunan Tengku Ismail juga akan ada seorang pembelot keluarga al-Daulah yang akan bekerjasama dengan keturunan Tengku Ishak ini.
Disebabkan terdapat cerita-cerita bahawa ketika Sayyid Muluk dipancung, terdapat saksi menyaksikan darah yang terkeluar dari tengkuknya berwarna putih, Wan Demang menjadi bimbang kisah ramalan ini menjadi benar.
Akan tetapi keturunan Wan atau Tengku Ismail dilarang sama sekali melintasi Teluk Tenang dengan senjata, maka keturunan Tengku Ishak hidup di Teluk Tenang dan menjadi petani dan nelayan di kawasan itu sejak tamatnya perang.
Lebih kurang empat ratus tahun kemudian, British tiba di Wijayapura untuk membantu keluarga al-Daulah yang ketika itu sedang ada konflik dengan kerajaan Suvarnabhumi.
Kerajaan Suvarnabhumi mendakwa golongan Lamas adalah tertakluk kepada mereka, dan berlangsunglah Perang Lamas pada sekitar 1820.
British mula campur tangan dalam hal ehwal politik di Gelanggayu selepas itu, kemudian keluarga al-Daulah akur dengan British kerana terlalu banyak berhutang.
Disebabkan itu, muncul gerakan Melayu yang tidak berpuas hati dengan keluarga al-Daulah yang bersetuju bekerjasama dengan British tanpa merujuk kepada kehendak rakyat.
Mereka ini dipimpin oleh Dahalan Jamaluddin, keturunan Tengku Ishak yang kesebelas, atau dikenali sebagai Tok Siak Gagak Merah. Dahalan menubuhkan persatuan silat Gagak Merah, yang berlandaskan dari turun temurun dari zaman Tengku Ishak lagi.
Cucu Dahalan, Tok Zainal, mempunyai dua orang anak lelaki, iaitu Atan dan Kassim.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top