1997 part 6
Hafiz
Adilah dan sekeluarga bercadang nak beraya di kampung aku, di Air Putih. Nak merapatkan hubungan yang pernah renggang satu ketika dulu.
Sementara Kak Jehan beraya di Wijayapura bersama suaminya, Saiful (sebab dia menteri, kena beraya dengan Perdana Menteri pada hari pertama), Adilah nak biasakan diri dengan kampung aku.
Walaupun pada awal dulu, mak aku semacam membantah, tapi selepas membeli macam-macam kepada semua orang dalam kedua-dua belah family, aku berjaya merapatkan silaturahim mak dan adik aku dengan keluarga Adilah.
"Assalamualaikum!"
"Waalaikumsalam! Eh, Pak Wan Radzi, Mak Wan, jemputlah masuk!" kata mak aku, ceria. Maklumlah, dapat set pinggan mangkuk Arcorpal baru.
Baru aku faham, kenapa si malaon celaka tu bila dah pakai kereta Jaguar, dah bercinta dengan anak tengku, dia jadi berlagak.
Sebab duit ni kuasa. Dengan duit kau mampu buat suka hati kau. Tapi suka hati tu, tengok hati kau jugak, kalau hati kau baik macam aku, takpelah.
Macam aku, aku suka hati bila tengok masjid kat kampung aku ada karpet baru sempena Hari Raya, masa bulan puasa aku bayar zakat harta, zakat fitrah untuk seluruh keluarga, belikan baju untuk orang miskin, anak yatim.
Dalam aku sibuk memantau harga stok saham syarikat aku atas dunia ni, saham akhirat pun aku kena pantau juga. Barulah wasatiah, macam apa Tok Aki dan Haji Syaaban ajar aku.
Aku ingat lagi, Jimmy kata pada aku, "kau ni tolong orang kampung kau mengalahkan YB, kau nak masuk politik ke?", aku dah berulang kali cakap, aku tak berminat nak masuk politik.
Ada je semua parti ajak aku join parti dia, paling ketara, mestilah Haji Syaaban, suruh aku masuk Gagasan Ummah. Lagi pulak bakal bapak mentua aku pun, orang kuat Gagasan Ummah.
Tapi aku cakap pada dorang, aku memang tak pandai nak berpolitik. Aku nak kerja, jadi kaya, tolong orang ramai, sebab tak perlu jadi ahli politik pun kau boleh tolong orang.
Masa aku dapat upfront RG50 juta, lepas tolak kos apa semua, aku dapatlah dalam RG2.5 juta, duit tu aku buat benteng sungai berserta jeti. Nama jeti tu sekarang Jeti Samsudin Sulaiman Salleh Merah, nama arwah bapak aku.
Benteng sungai tu sebab kawasan kampung aku ni kerap banjir. Masa Haji Syaaban jadi ahli parlimen ni, dapat pun tak berapa sangat pun bantuannya.
Jadi, kalau aku ada duit, kenapa aku tak bina je tu semua? Karang kalau banjir kampung aku, mak aku juga susah.
Adilah pun sekarang dah mula rekrut wartawan yang baru graduan. Memandangkan nak masuk Wijaya TV atau TV Angkasa ni pun ramai yang nak try jadi wartawan, jadi banyak juga yang menduga kerja jadi wartawan di Suara Gelanggayu.
Nampak tak, sebenarnya aku tak faham datang dari mana stereotaip ni, kalau asal kaya je, kena jadi jahat. Bila aku cakap, dengan duit, kau boleh buat suka hati - bukanlah maksud aku, kau boleh suka hati aniaya orang atau sakitkan orang.
Membuat kebaikan pun suka hati juga kalau hati kau baik.
"Awak, roti jala serawa durian!" kata Adilah, tarik-tarik baju aku. Aku cakaplah, orang Air Putih memang semua benda nak makan dengan durian. Kalau boleh, roti lipat dua tu pun nak letak durian.
"Dila, kenalkan, ini Hidayah," aku perkenalkan Adilah dengan jiran sebelah aku, yang bawa setalam lauk dari rumah sebelah.
"Apa khabar..."
"Baik..."
"Ni kenapa Dayah muram je raya ni, senyum la sikit," aku tegur.
"Penat..."
"Penat, rehatlah. Dari pagi tadi buat kerja?"
Hidayah cuma diam sahaja. Mood perempuan ni kalau tengah teruk, jangan banyak tanya.
Adilah ada cerita pada mak aku, tentang apa yang berlaku. Ditambah pulak dengan aku tunjuk laporan berita yang Adilah buat, berita perempuan kena sihir, kes ilmu pengasih, santau dalam Suara Puncak Jayanya, jadi tunjukkan pada mak aku.
Mak aku daripada kata dia "perempuan jahat, tido dengan jantan" kepada "kesiannya Dila, kalau mak, tak tahu la mak rasa".
Terus jadi mak. Aku belum lagi akad lagi ni.
Haji Syaaban, Pak Wan Radzi dan Uncle Nasrul rancak bersembang, tentang isu politik semasa, tentang apa move yang perlu dilakukan dalam berdepan dengan perang politik Azmi-Rahizan yang akan berlanjutan.
Ustazah Zabedah pulak, mula-mula macam tak suka Adilah, tapi lama-lama dia pulak sibuk tanya kisah-kisah masa dia jadi wartawan kat Wijaya TV dulu.
Sebab dia suka aku belikan dia baju kurung baru untuk raya tu. Kalau tak beli tu, nanti bersungut la, cakap aku tak ingat jiran sebelah.
Jimmy cakap, lepas solat raya, dan bersama keluarga, dia akan datang rumah aku untuk beraya. Sambil tu dia nak tengok ladang kopi dia. Raya-raya ni pun dia nak kerja juga.
Hanya gambar abah di atas TV tinggal dalam kenangan. Al-Fatihah, abah. Harap Hafiz banggakan abah.
--
"Haaa, beratur, beratur!" Ali duduk dengan baju Melayu hitam, duduk kat kerusi plastik, menghulurkan gaji bonus kepada pekerja-pekerja di samping sampul duit raya.
"Steady la, duit raya RG200!" kata sorang anak buah dok mengendap sampul duit raya.
"Ali!" jerit Azham, keluar dari kereta.
"Bang Az! Meh, datang, jemput datang!"
Izham dengan Kak Maria, dengan anak dia yang berumur 5 tahun, dan 3 tahun pun datang di open house restorannya.
Ali takde kampung, dia pun tak ingat rupa bapak dia, dan lari dari rumah sejak umur 9 tahun.
Ali membesar di jalanan. Kerja dia copet duit orang, mengemis tepi jalan, kumpul botol, surat khabar dan sekali sekala jadi mat ragut. Kemudian bila dia jumpa Pengetua, Pengetua bawa dia jumpa Azham, Azham bagi dia kerja gulung rokok.
Kemudian perlahan-lahan dia naik ranking dalam gangster, dan akhirnya jadi ketua.
Jadi, bila dia akhirnya dapat bagi duit raya kepada anak buah, hatinya rasa lega.
"Makin bagus business kau ni," Izham menepuk bahu Ali.
"Ala, Abang Iz juga bagi modal. Jangan la puji macam ni, segan saya ni."
"Aku puji sebab bagus la. Aku bagi modal, kau sekarang boleh berdiri sendiri. Ali, aku rasa, kau dah boleh pegang kawasan ni. Aku lepaskan kat kau. Pandai-pandai kau jaga kawasan ni," Bang Iz senyum memandang Ali.
"Ish, jangan la cakap gitu. Karang tunggang langgang, marah pulak Abang Iz nanti."
"Kau pegang kawasan ni ya? Aku percaya kau," Izham tepuk bahu Ali.
"Kalau abang dah cakap camtu, okay la. Thank you, bang."
Ali sebenarnya berlakon depan Izham. Sebenarnya, dia punya geng Kisida (Ayam Hitam dalam bahasa Survanabhumi) tu dah takluk berapa geng dah. Cuma mereka low profile dan semua memang ba'iah pada Ali.
Tapi Ali belum merasakan masanya dah tiba untuk bertindak. Dan nak mencari mana mak dia yang dah lama dia tinggalkan.
--
Azlan
Hari Raya aku tahun ini, ialah hari dimana juga aku bertunang dengan Mina. Pada hari kedua belah keluarga, Aziz pulak tersangkut dengan salah seorang pekerja rumah Tengku Ariffin, Asmah namanya.
Jadi, dalam aku bertunang, Aziz akhirnya bertemu cintanya.
Aku rasa pelik acara pertunangan ni dilangsungkan pada hari raya, tapi takde surah atau hadis larang pun.
Kami plan akan kahwin tahun depan, dan sempena Piala Dunia di Perancis tahun depan, kami berenam (family kedua-dua belah) akan bercuti bersama-sama kat sana.
Abang aku minat bola, dan peminat pemain bolasepak Brazil, Ronaldo. Ibu pula teringin nak tengok Eiffel Tower. Suzaine nak balik kampung, rindu keluarga.
Tengku Ariffin, selaku CEO Wijaya TV, sudah semestinya sibuk selaku broadcaster Piala Dunia.
Aku dan Mina nak bermadu asmara.
Pagi raya, keluarga Mina semua berhari raya di rumah Pengetua. Semua orang pergi, kecuali aku. Jadi, aku ajak ibu aku untuk beraya di rumah Mak Su.
"Dah la tu, ibu. Maafkanlah Mak Su. Jom, kita beraya rumah dia?"
Sempena hari raya, ibu pun berlembut hati dan nak ikut aku beraya di rumah Mak Su dan Uncle Daniel.
"Abang Alan! Mom, Abang Alan datang!" jerit Jessica, melompat-lompat pakai baju kebaya warna hitamnya.
Kelihatan Donita, Robin dan Zack rilek mengunyah satay sambil goyang kaki dengar lagu KRU Ooh La La. Apa la Uncle Danny ni, raya-raya pasanglah lagu raya.
Aku bersalaman dengan band The Polka Dots. Ibu masih tercegat depan gate.
"Mak Su!"
"Alan, my favorite nephew!" jerit Mak Su.
"Ada surprise. Cuba tengok luar."
Mak Su tergamam, akhirnya ibu datang juga ke rumahnya.
"Dik Su?"
"Kak Long!"
Suddenly, Mak Su pun berpelukan dengan ibu, macam jejak kasih dah lama tak jumpa adik beradik.
--
Geng pro-republikan semua berkumpul di rumah Pengetua. Hari ini, Pengetua masak nasi pilaf, disamping ketupat dan rendang yang diorder dari Restoran Haji Salleh, restoran makanan asli Melayu paling authentic di Wijayapura.
Ketupat dan rendang daging, disamping kambing golek juga disediakan. Shahrizal bersama keluarga dan anak lima orang, Shahril, Shahliza, Shereen, Shazwan dan Shahrul bersama isterinya, Sharifah Shamiza. Keluarga dia memang semua nama macam ni.
Tengku Ariffin dan keluarganya juga ada di sini, dan bersalaman dengan Pengetua. Majlis pertunangan Mina dan Azlan tadi, Pengetua maklum, tapi Pengetua tak nak tunjuk muka.
Gabenor Luqman, merayakan Hari Raya di rumah Gabenor, jadi mereka datang lewat sikit, selepas acara majlis berakhir. Dah jadi Gabenor ni kena lah pergi ke majlis rasmi.
Datuk Rahizan tiba selepas habis majlis rasmi, memandangkan dia Timbalan Perdana Menteri, dan terpaksa bersama Datuk Seri Azmi, walaupun dua tu sedang bergaduh.
Dan walaupun meriah dengan kehadiran orang ramai, Pengetua hanya duduk berdua dengan Tok Aki, bertarung catur di dapur.
"Dalam tahun depan, akan bangkit Revolusi Nasional," kata Pengetua.
"Aku tak nampak ia akan berlaku setahun, Yahya. Paling kurang, akan berlaku huru-hara selama 10 tahun," kata Tok Aki.
"Panjang lagi game ni. Datuk Seri Azmi pun dah jadi kain buruk," kata Pengetua.
"Lepas Sukan Komanwel ni, regime changelah. Cuma aku ada dengar perkara tak berapa sedap," kata Tok Aki.
"Tok Aki dengar apa?"
"Calon Perdana Menteri kau, si Rahizan."
"Kenapa dengan dia tu?"
"Kau pernah jadi Ketua Pengarah MARENA, mustahil kau takde telinga yang mendengar, mata yang memandang?"
"Tahu, tapi kita takde orang lain untuk sementara waktu ni."
"Hmm, tak dapat aku nak cakap apa lah. Kau silap susun, aku pulak yang akan buat move."
Pengetua hanya mengangguk.
--
Faridah datang ke rumah Hashim sempena hari raya.
Memandangkan kakaknya Marina tak ada di rumah, tinggal Merlina seorang, yang pakai baju raya tapi sedang ulangkaji matapelajaran untuk peperiksaan SPG.
"Kau ni raya-raya, bawak-bawak la berehat. Kau ulangkaji time raya ni dah kenapa?" tanya Faridah kepada Merlina.
"Aunty, hari ni Alan tunang dengan Tengku Mina ke?"
"Ye lah, aku baru balik dari Jalan Cendana."
"Ye ke...untunglah lepas ni aunty berbesan dengan kerabat."
"Besan? Tengku Ariffin tu kawan baik arwah laki aku."
"Ye lah."
"Kau kenapa ni? Macam kecewa je? Kau minat anak aku ya?" kata Faridah.
"Dia tak pandang saya pun, aunty. Ye lah, kulit saya tak cerah, gelap je. Dah pakai Fair and Lovely pun camtu je."
"Alah kau ni pun, kau tau tak, kau ni takde la buruk sangat, Mer. Okay la. Manis tu ada. Tapi, otak kau tu, power! Perempuan yang bijak, tak perlukan perhatian lelaki. Aku percaya, kau boleh berjaya nanti. Satu hari nanti, Azlan akan perlukan kau. Kau jangan bimbang pasal tu."
Merlina tahu Faridah nak sedapkan hati dia. Tapi dia terima sahaja takdirnya. Ye lah, walaupun dia sekarang dengan Kimi, dia pun takde hati dengan Kimi sebenarnya pun. Cuma sebab dia dah lama kenal.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top