1989 part 6

Azlan

Faiz sedang mengendalikan radio kampus, dan baru sahaja terima sebuah bungkusan dari abangnya dari Seattle.

"Terbaiklah, barang Subpop sudah mari! Green River, Melvins, jap, Nirvana? Ni band baru aku dengar ni."

Din dan Hafiz sedang petik gitar. Aku pulak sedang membelek vinyl yang ada dalam kotak arwah abah aku, yang aku punggah dari rumah semalam.

Aku perhatikan sahaja Hafiz yang kekok memegang gitar. Geram betul aku tengok dia punya cara pegang gitar ni. Bapak bekas penyanyi pop yeh yeh, tapi anak main gitar bunyi macam gampang. Bising betul bunyi sumbang ni.

"Bak sini gitar tu! Kau reti main gitar ke tak ni?" aku tanya Hafiz.
"Tak, aku tak tahu."
"Bapak kau tak ajar? Bukan bapak kau dulu penyanyi pop yeh-yeh ke, Samsudin Karim?"

Faiz dan Din terkejut.

"La, bapak kau penyanyi pop yeh-yeh ke, Fiz? Asal kau main gitar macam aku nak hempuk je kepala kau dengan gitar ni?" kata Faiz.
"Mana aku tau, bapak aku tak ajar aku main gitar. Dulu masa dia jadi penyanyi, dia ada skandal dengan satu artis ni, sampai hampir nak bercerai-berai family aku dibuatnya," kata Hafiz.

Kesian juga dengar cerita Hafiz ni. Aku pun pegang gitar dan mainkan intro Master of Puppets dari Metallica.

"Weh, terrornya kau main gitar?" tanya Hafiz.
"Lah, bukan hari tu masa kat kedai printing ibu aku, ayah kau ada cakap ke yang ayah aku ajar dia main gitar?" tanya aku.
"Wei, kau ni tanya soalan bodoh la Fiz. Dia kan Mat Danger Digital Tribe tu," kata Faiz.
"Apasal kau pakai helmet sambil main keyboard atau gitar?" tanya Hafiz.
"Ala, Buckethead main gitar letak bucket KFC kat kepala, aku pakai helmet la. Tu trademark aku. Aku tak nak orang nampak aku la..."

Tiba-tiba pintu studio diketuk. Ada gadis comel, memakai blaus polkadot merah jambu dan jaket denim warna putih, gaya seperti penyanyi citypop Jepun, Miki Matsubara.

"Assalamualaikum, tumpang tanya, ini studio radio Kolej 18?" tanya gadis tu.

"Waalaikumsalam, ya, sini studio radio Kolej 18. Ada apa boleh saya bantu?" kata Hafiz yang berlumba dengan Din nak menyambut gadis tu.

"Saya Wan Adilah dari Suara Kampus, nak temuramah dengan Mat Danger."

Din dan Hafiz mengalah, dan terus tunjuk ke arah aku. Gadis tu terus melangkah ke arah aku, dan menghulurkan salam.

"Hi, saya Adilah, dari Suara Kampus."
"Azlan," aku salam.
"Ada masa tak? Saya nak temuramah sikit untuk artikel saya minggu depan."
"Okay, boleh."

Din dan Faiz berbisik sesama sendiri.

"Mesti budak masscom ni. Budak masscom je yang jenis comel-comel macam ni. Muka bakal masuk TV."
"Betul tu. Bakal jadi pembaca berita, lepas tu kahwin dengan Datuk," kata Din.

Aku jemput wartawan akhbar kampus ni untuk duduk.

"Faiz, meh la sekali. Tu yang jadi DJ sekarang ni, Faiz nama dia. Yang dua orang ni, Din dan Hafiz," aku memperkenalkan semua krew.

"Ada lagi sorang, Hanis namanya. Yang tu dia tak datang, sebab ada hal," kata Din.

"Baiklah, awak selesa saya panggil Mat Danger, atau Azlan?"
"Ni untuk artikel pasal apa ni?"
"Tentang pilihanraya kampus. Sebab nama awak dah ada dalam senarai calon, jadi saya fikir saya nak interview awak."

"Panggil Azlan pun boleh."
"Baik, kita mulakan dengan soalan santai ya? Boleh ceritakan latar belakang Azlan secara ringkas?"

"Nama saya Azlan bin Muhammad Niat."
"Kejap, Muhammad Niat ni, pemain catur negara tahun 1950an dan 1960an tu ke?"
"Ya, itu ayah saya. Sayangnya dia dah meninggal dunia tahun 1976 akibat kemalangan jalan raya."
"Maafkan saya. Al-Fatihah."

Selepas bertafakur membaca Fatihah untuk disedekahkan ke arwah ayah, aku menyambung menjawab wawancara.

"Saya berasal dari Puncak Jaya.."
"Puncak Jaya? Di mana ya?"
"Seksyen 14."
"Awak pernah kerja di Pasaraya Sri Intan kan? Dan awak ingat tak dulu kita selalu jumpa kat pasar malam?"

Aik, lebih pulak wartawan ni kenal aku?

"Ya, jadi cashier kat situ."
"Saya dah agak dah! Dulu saya dan kawan sekolah lepak situ, nampak awak."
"Sekolah mana dulu?"
"Raja Permaisuri Mariam."
"Saya KMW," kata aku.
"Ooh, budak Kolej Melayu rupanya awak ni. Baik, awak sekarang tahun berapa di fakulti mana?"
"Tahun kedua, Fakulti Geopolitik dan Perhubungan Antarabangsa."
"Kenapa awak nak bertanding pilihanraya kampus tahun ni?"
"Saya melihat masalah utama dalam kampus ini ialah masalah elitisme, dan jarak antara pelajar dan pentadbir tersangatlah luas. Dengan ilmu saya belajar di fakulti, saya akan cuba gunakan untuk merapatkan hubungan tersebut dengan menyertai pilihanraya ini."

"Apakah manifesto yang awak akan bentangkan sekiranya awak terpilih menjadi ahli majlis perwakilan pelajar?"

"Saya tidaklah mahu berjanji sangat, sebab takut tak tertunai. Tapi salah satu harapan sayalah, sebab ia bergantung kepada pihak universiti, agar kita adakan kelas komputer dari kalangan pelajar. Dengan kelas komputer, kita boleh belajar benda asas komputer seperti Lotus 123, kerana masa depan adalah komputer."

Adilah tekun menulis nota. Faiz, Din dan Hafiz pandang terus pada aku.

"Sebentar ya, cik Adilah."
"Baik."

Aku terus ke meja Faiz. Berbisik.

"Kau jangan ingat aku nak bocorkan apa-apa. Kau rilek. Tujuan aku supaya aku nampak macam ada visi dan misi, lepas tu barulah aku boleh mohon geran universiti. Dengan duit geran tu, kau boleh buat modal beli komputer, kemudian buat duit dengan ajar benda basic pasal komputer. Lepas tu barulah kau alirkan duit tu pada projek kita."

Faiz mengangguk setuju.

"Kau ni memang otak ahli politik."

Faiz, Din dan Hafiz berbincang di tepi kemudian aku kembali duduk di kerusi sofa.

"Sampai mana tadi?"
"Kelas komputer."
"Okay, kelas komputer tu idea saya yang pertama. Yang keduanya saya mahu cadangkan agar diadakan satu pusat aktiviti pelajar. Masalah utama pelajar ialah apabila nak buat aktiviti, mesti nak kena mohon Dewan Tuanku Canselor. Dewan tu kalau ada event, macam sekarang ni, musim konvokesyen, dah susah nak apply. Jadi dengan adanya pusat aktiviti pelajar di kolej-kolej, pelajar bolehlah membuat aktiviti dengan kos yang rendah disamping dekat."
"Boleh tak Azlan beritahu, apa pendirian politik Azlan?"
"Maksud Cik Adilah?"
"Kiri ke, kanan ke."
"Saya tak ada kiri kanan. Pendirian saya ialah pragmatik. Yang mana boleh jalan, yang tu kita akan buat."
"Apakah komen Azlan tentang kenyataan Gerakan Pelajar Islam (GPI) bahawa setiap pelajar wanita harus bertudung?"
"Saya berpendapat tudung itu adalah syarak, dan hukum Allah perlu dijunjung. Tetapi, saya juga berpendapat ia haruslah dididik dengan hikmah. Pihak lelaki juga perlu mengawal mata daripada mengikut nafsu."

Adilah terus menulis dengan tulisan shortform.

"Apakah pendapat Azlan tentang keadaan rusuhan di Jerman Timur sekarang?"
"Manusia disumpah untuk menjadi bebas, kata Jean Paul Sartre..."
"Macam mana eja, maaf."
"J E A N..."
"Jean..."
"Ejaannya jean, sebutannya djzon."
"Baik, lagi?"
"Paul...P A U L..."
"Macam Paul McCartney?"
"Ya. Sartre. S A R T R E. Sebutannya sart sahaja."
"Baik, teruskan."
"Menurut Jean Paul Sartre, manusia itu disumpah menjadi bebas. Selepas sekian lama mereka hidup di belakang Tembok Berlin, saya percaya lama-lama rakyat akan memberontak dan mahukan kebebasan. Jadi, ia bukan sahaja akan berlaku di Jerman Timur sahaja, bahkan di Poland, Romania, Bulgaria, atau Soviet Union sendiri. Saya percaya lagi lima tahun, Soviet Union akan tidak wujud lagi."

Sampai situ, Adilah berhenti menulis.

"Soviet Union tak wujud? Susah nak bayangkan tu," kata Adilah.
"Sebuah kuasa, apabila terlalu jadi tirani, ia akan dijatuhkan. Macam tu juga dengan apa yang berlaku di Arroyo dua tahun lepas."
"Baiklah, itu sahaja. Tapi saya ada satu lagi soalan tambahan."
"Apa dia?"
"Sudi tak awak keluar tengok wayang dengan saya? Cerita Kiki Delivery Service dari Studio Ghibli?"
"Hah? Cerita apa tu?"
"Hari Ahad depan, ada tayangan premier di sana. Saya perlu buat artikel pasal cerita tu. Saya ada dua tiket."
"Kenapa ajak saya?"
"Kalau awak sudilah," Adilah tunduk, nampak mukanya yang merah.
"Okay, ada tiket lagi? Saya nak ajak girlfriend saya."

Kedengaran tepukan dahi dari tepi. Aku tau Din dan Faiz sedang curi dengar temuramah aku dan Adilah.

"Dah ada girlfriend ke?" suaranya agak tenggelam.
"Ya. Natasha Abdullah. Budak final year."
"Tapi awak tahun dua?"
"Belajar tahun dua, umur baya final year sekarang. Skip setahun. "Takpelah, tanya je."
"Baiklah, terima kasih Cik Adilah sebab menemuramah saya."
"Kalau tak tengok wayang, awak sudi tak kalau kita keluar makan? Ada mi udang Kuala Sepetang yang sedap kat Jalan Hassan."
"Bila tu?"
"Lepas ni? Saya belanja."
"Okay."
"Saya tunggu awak di bawah."

Sebaik sahaja Adilah keluar, ramai-ramai sekeh kepala aku.

"Bodohlah kau ni, nampak sangat dia minat kau. Rugilah kau!" kata Faiz.
"Ada sebab kenapa ramai makwe kejar suami dan boyfriend orang berbanding orang single. Gerak dulu," aku terus pakai Ray-Ban Aviator aku dan keluar dari studio.

Aku bukan apa, aku nampak macam Hafiz suka je dengan budak perempuan ni. Dah la hari tu crush dengan Hanis kena reject, aku bagi la dia peluang. Takkan semua perempuan aku nak sapu.

Tapi dia ajak aku makan mi udang ni, mesti ada niat sesuatu.

Ada udang di sebalik mi.

--

Kami berdua duduk berdepan di restoran mi udang Kuala Sepetang. Adilah pesan tiga mangkuk mi udang.

"Tiga? Lagi sorang siapa?"
"Kawan. Saiful nama dia. Dia boyfriend kepada kakak saya. Dia peminat Digital Tribe. Dia dalam perjalanan."

"Saya pernah makan mi udang ni," kata aku.
"Pernah ke sana?"

Aku geleng kepala.

"Awak memang orang Wijayapura? Tapi, Muhammad Niat, ayah awak, orang Melaut," kata Adilah lagi.
"Ayah dan ibu orang Melaut. Dari Teluk Tenang."
"Saya dari Sepetang. Orang teluk juga."
"Dari mana?"
"Nama tempat tu dulu, Teluk Lanun. Sebab di situlah para lanun berkumpul dan melanun kapal yang lalu lalang. Tapi sekarang dipanggil Teluk Menteri, sebab dulu orang daerah ni wakil rakyatnya pernah jadi menteri."
"Mungkin secara sarkastik tukar nama tu, sebab nak samakan lanun dengan menteri kot?"

Adilah ketawa, tutup mulut.

Mi udang diletak di atas meja bersama kopi susu dari daerah Bukit Tangan di Sepetang. Susu pula susu segar, bukan susu pekat.

"Suka kopi ni?"

Aku mengangguk.

"Tu Saiful dah datang."

Seorang lelaki memakai baju Pink Floyd Dark Side of The Moon dan seluar jeans datang bersalam.

"Saiful."
"Azlan."

Adilah terus menyampuk.

"Azlan ni lah Mat Danger kalau awak nak tahu."
"Adilah ni minat betul dengan bro. Daripada first demo lagi dia suka."
"Memandai la abang Saiful ni. Awak jangan percaya cakap dia ni. Sembang gebang."

Aku senyum sahaja.

"Kerja ke belajar?"
"Ni kedai pakcik saya. Sekarang ni belajar institut teknik kat sini. Belajar telekomunikasi. Maknanya nanti dah besar, kerja Telekom Gelanggayu lah."
"Nak tanya Saiful, boleh tak?"
"Silakan."

Saiful betulkan kerusi.

"Pernah dengar internet tak?"
"Ada, masa belajar kat institut. Kenapa?"
"Kau rasa, boleh ke internet takeover line telefon sekarang?"

Saiful senyum, cuba nak fikir.

"Tak tahu teknologi masa depan macam mana lah. Tapi boleh kalau kita ada kabel yang cladding dia bagus, dan mampu bawa data besar, boleh rasanya. Mahal tu."

"Tapi tak mustahil kan?"
"Tak ada yang mustahil dalam teknologi ni. Yang penting ada orang fikirkan masalah, kemudian cari jalan penyelesaian dari masalah yang ada tu. Bro study apa?"
"Geopolitik dan international relations."
"Bakal pegawai PTD Wisma Putra la ni. Bolehlah cik wartawan ni setiap hari interview," Saiful cuba mengusik.

"Dia dah ada girlfriend lah," kata Adilah, tersipu malu.
"Kita boleh je jadi kawan. Tapi saya perlukan lebih banyak interview untuk kempen MPP nanti."

--

Adilah

Azlan ni betul-betul dia tak ingat aku langsung. Sebenarnya kami dah pernah berjumpa pun seawal dia berusia dua tahun lagi, semasa itu Tengku Ariffin berkahwin dengan Suzaine, maknya si Mina ni.

Kemudian dalam umur tujuh atau lapan tahun ada beberapa kali aku cuba nak jumpa dia, tapi dia buat perangai kera sumbang dia.

Masa dia lapan tahun dan perform main gitar di British Council, lagu Queen Bohemian Rhapsody, aku pun ada kat situ menonton dia.

Dan dah beberapa kali aku hantar dia surat, tapi dia buang macam tu je.

Dia tak tahu yang masa dia kantoi bakar rumah cikgu dia dulu, bapak aku dah ada fail dia dah nak tangkap dia. Aku yang selamatkan dia. Aku yang bakarkan fail tu, supaya dia tak diapa-apakan.

Sebab aku cintakan dia dari awal pertemuan lagi. Memang tak sah lagi, Azlan adalah cinta abadi aku.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top