1988 part 2
"Ini scanner kau?" kata Merlina sambil cekak pinggang.
"Ye la, ni mesin scanner."
"Woi, ni bukan mesin scanner. Kau nampak tak telefon ni? Kau ni darjah berapa?"
"Aku darjah empat."
"Darjah empat pun tak reti beza antara scanner dengan mesin faks! Buang masa aku je."
"Tak sama ke?" tanya Kimi.
"Memang tak la, ni mesin faks! Nak hantar gambar kat pejabat boleh la. Mesin scanner, kau boleh masukkan gambar dalam komputer. Lepas tu baru print kat mesin printer. Takkan tu pun kau tak tau?"
"Aku ingatkan boleh scan dalam ni."
"Kepala hotak kau! Jap, aku cari idea jap," Merlina garu kepala.
Kimi rasa bersalah sebab memberi harapan palsu kepada Merlina.
"Bak sini sticker mi udang ayah kau, meh aku tengok dia cetak kat mana?" tanya Merlina.
Kimi bawa sekeping kertas sticker dengan lambang syarikat mi udang ayahnya. Merlina baca cetakan kecil di bawah kertas sticker.
"Dicetak oleh Syarikat Penerbitan Bakti" berserta nombor telefon.
"Hah, kau call nombor ni, lepas tu kau tanya berapa harga quotation untuk print sticker. Tanya kalau design sendiri berapa. Custom berapa. Eh, aku ni darjah dua je tau, apasal aku boleh tau semua benda ni ek?"
"Entah, mana aku tau?"
"Apa je yang kau tau. Lekas, kau call nombor ni. Apa ni, nak jadi business partner aku, tapi tak tau beza mesin scanner dengan mesin faks. Geram betul la aku dengan kau ni!"
--
Minggu Orientasi, Universiti Wijayapura, Semester 1, 1988.
Dalam universiti, lelaki semester satu adalah darjat terendah dalam kalangan pelajar. Perempuan semester satu direbut senior.
Padahal aku sama umur dengan mereka, aku masuk lambat je.
Tapi disebabkan aku ni turun dari kereta Pengetua, aku tak perlu beratur dan ikut minggu haluan siswa macam mereka tu. Aku ada pengecualian sebab Pengetua kata pada Naib Canselor, tak ada siapa boleh ragging aku kecuali dia.
Aku tak pernah percaya pembahagian kelas mengikut tahun. Bagi aku ni sistem yang bodoh. Pada aku, semua orang tak kira umur layak masuk universiti, asalkan dia berbakat dalam bidang yang nak dipelajari.
Natasha sudah semester tiga, masih menarik ramai perhatian abang senior, dan bila Natasha datang memeluk aku masa hari pertama, sudah pastilah aku sudah mula dipandang slack abang senior.
Senior lagi tak puas hati bila melihat Natasha pimpin tangan aku dan hayun-hayunkan tangan aku. Aku jeling tepi, dan nampak abang-abang senior tu makin panas.
Aku terus cium dahi Natasha. Brother tu blah.
"Dah blah dah mamat tu?" tanya Natasha.
"Dah, kahkahkah!"
"Dari dulu nak try orang. Menyampah betul," Natasha memeluk pinggang Azlan.
Universiti Wijayapura, yang dimodelkan berdasarkan Collége de Sorbonne di Perancis, adalah universiti awam tertua di Gelanggayu.
Di sini aku masuk di Kolej 18, kolej paling elit antara semua kolej penginapan. Disebabkan kemasukan aku ni kerana surat aku kepada Perdana Menteri, orang yang nampak aku, ada perasaan gerun.
Walaupun aku semester satu, darjat aku dah macam budak semester tiga, sebab ada je ramai classmate aku budak semester tiga.
Lagu Sweet Child O' Mine berkumandang dalam bilik dorm aku. Aku bertemu dengan Hafiz, room mate aku.
Dia ni budak statistik dan mengkaji data, suka dengar lagu rock, terutamanya rock kapak. Berasal dari Air Putih, negeri yang berada di pertengahan Sungai Raya, sungai yang terpanjang dan terlebar di seluruh Gelanggayu serta bersebelahan dengan Temasik.
"Azlan," aku salam dengan Hafiz, dan letakkan barang aku atas katil, dan masukkan cadar aku ke tilam.
"Kita dah pernah jumpa, mungkin kau yang tak ingat," kata Hafiz.
"Ye ke?"
"Aku rasa dua kali kita jumpa. Satu masa kau kecik, bapak kau kawan bapak aku. Dia bawak kau dan aku ada rumah. Lagi satu, masa di pejabat Kementerian Pendidikan."
"Ohhh ya..."
"Tahniah sebab menang anugerah tu."
"Tak patut ucap tahniah pun."
"Kenapa?"
Aku malas nak cakap apa sebabnya.
Hafiz pula bawa komputer TRS-80, dan bila dia habis pasang, dia tekan butang on komputer tu, komputer tu berwarna.
Agak mengagumkan, ni adalah teknologi yang terbaru.
Selepas kemas katil, susun baju dan susun buku di meja, aku duduk sebentar menghilangkan hangat bilik.
Nampak Hafiz sedang main Oregon Trail, permainan komputer yang popular pada zaman ini. Aku rasa semua mat nerd ada satu perangai.
Macam Luqman, Hafiz ni pun sejenis anti sosial, atau socially awkward.
Aku terus berjalan ke koridor untuk mengambil angin. Sedang aku melepak, aku nampak gadis yang sedang menghidai kain.
Eh, Hanis?
Aku beranikan diri, berjalan depan dia. Tapi aku pura-pura tak nak tegur.
"Nak ke mana tu?" tanya Hanis sambil dia menghidai kain.
"Bilik air."
"Hihi, tu bilik air perempuan lah. Bilik air lelaki sebelah sana," kata Hanis, ketawa kecil.
"Kolej berapa?"
"Kolej 16, awak?"
"18."
"Wow, bukan calang-calang. Budak Eighteen. Budak Eighteen ni selalu ramai crush," Hanis senyum sambil sorokkan muka dengan bakul.
"Pergi dulu ya," Hanis terus cium pipi aku, kemudian terus pergi.
Aku tergamam. Risau juga aku kalau Natasha pasang spy kat sini. Dulu sampai Mastura pun tahu.
--
Lagu Man In The Mirror dari Michael Jackson berkumandang semasa Ali sedang mengelap meja di sebuah gerai di Medan Selera Panorama.
Fauzan buka restoran tomyam dan makanan laut di situ, selepas cukup modal untuk berniaga di situ.
Langkah pakej stimulus yang dilakukan Menteri Kewangan, Tengku Razak selepas krisis kemelesetan ekonomi tahun lepas nampaknya semakin berhasil.
Sempat juga dia praktis moonwalking dan spinning macam Michael Jackson.
"Ali, kau jangan berpusing-pusing sini lah, nanti orang nak bawa pinggan mangkuk terlanggar kau nanti.
Belum apa-apa, dia moonwalk dan terlanggar awek belakang yang kerja gerai sebelah.
"Ha, aku dah cakap dengan kau dah," Fauzan geleng kepala tengok perangai Ali.
"Sorry, sorry!"
"Eh, takpe."
Fauzan geleng kepala je. Mujurlah awek tu bawa kain buruk je. Kalau bawa air panas tu, dah menggelupur nanti.
"Siapa nama?" perempuan tu tanya Ali.
"Ali, nama kau?"
"Rozana."
"Macam lagu Search pulak."
Perempuan tu tersipu-sipu malu.
"Pandai ya, menari macam Michael Jackson."
"Tak la, takdelah pandai. Kalau pandai, tak terlanggar."
Rozana tersengih-sengih lepas tu masuk dapur.
"Dah, sah angau kau ni Ali!" Fauzan dari belakang, tergelak.
Ada dua orang dari Parti Persekutuan Nasional bertemu Fauzan, dan bersalam-salaman.
"Zan, Tok Aki sihat?"
"Sihat je. Ada apa ya?"
"Datuk Hizan, dia kata dia nak datang sini. Kamu ada orang tak, tolong angkat-angkat speaker semua?"
"Ali, sini jap!"
Ali berjalan menuju ke Fauzan.
"Kau nak kerja angkat speaker, susun meja semua tak? Datuk Hizan bagi upah lima puluh ringgit sehari," kata orang parti tu.
"Ok, bereh!" Ali tersenyum besar. Bukan senang bekas ahli tahanan pemulihan dadah macam dia dapat gaji sebesar ni.
Tapi senyumannya kendur, bila dia nampak tattoo diamond kecil warna hijau di pergelangan tangan.
"Hari Selasa ni, kau tolong Amar ni ya?" tanya Fauzan.
"Baik, abang Fauzan."
--
Balik kerja, Ali termenung di depan tangga rumah. Dia jadi serba salah. Mana lagi dia nak pergi kalau bukan di rumah Tok Aki? Apa je yang tinggal untuk dia kalau dia lari ke Wijayapura?
Membenci geng Diamond Hijau adalah tahap personal bagi Ali. Tapi kalau dia tak tolong abang Fauzan, dia nak pergi mana? Balik semula ke alam gangster?
"Termenung jauh nampaknya kamu ni, Ali," Tok Aki menyapa Ali dari belakang, menepuk bahu.
"Eh, Tok Aki. Tak tidur lagi?"
"Tok Aki belum boleh tidur. Fikirkan pasal apa tu?"
"Pasal kerja tadi. Hari Selasa ni, saya kena kerja dengan Abang Amar. Tapi..."
"Sebab dia dalam kongsi Zamrud?"
"Zamrud?" Ali kerutkan dahi.
"Budak muda macam kau panggil Diamond Hijau. Baya Tok Aki ni, panggil Zamrud."
"Tok Aki tau benda ni?"
"Kau ni budak Gagak Merah, kan?"
Berubah muka Ali bila mendengar Tok Aki cakap macam tu.
"Mana Tok Aki tahu?"
"Tattoo kamu tu."
"Tok Aki pun kongsi juga ke?"
Tok Aki geleng kepala.
"Dua-dua side pun ada kawan. Dua-dua side pun ada kepentingan."
"Tok Aki ni, macam Pengetua juga ke?"
"Sama, tapi tak serupa."
"Maksud Tok Aki?"
"Nampaknya banyak benda kau tak tahu ni, termasuklah tentang kisah ayah kau."
"Ayah saya?"
--
Pemilihan Parti Persekutuan Nasional pada tahun 1988 nampaknya semakin sengit. Pemilihan akan berlangsung dalam masa dua bulan dari sekarang, tetapi kempen antara kem Azmi dan kem Imad semakin tegang, dan ini melemahkan kerajaan yang nampaknya ramai yang pro-Imad.
Dari 200 perwakilan, dikatakan 130 orang akan mengundi Datuk Seri Imad dalam pemilihan kali ni. Datuk Seri Azmi, yang memimpin parti ini dan menjadi Perdana Menteri sejak 1981, dilihat underdog dalam pemilihan kali ini.
Selain itu, faktor kemelesetan ekonomi juga dilihat mengapa Datuk Seri Azmi akan kalah dalam pemilihan kali ini.
Kereta Datuk Rahizan berhenti di sebuah kelab golf di pinggir Wijayapura.
Datuk Rahizan terus sahaja bertemu dengan setpol Datuk Seri Azmi, Datuk Sidek.
"Sidek, Datuk Seri ada?"
"Ada, Datuk Rahizan. Datuk Seri tunggu Datuk Rahizan dari tadi."
Datuk Rahizan berjalan mengikut belakang Datuk Sidek menuju ke tea house di kelab golf itu.
Kelihatan sandwich yang dipotong tiga segi, scone dan manisan yang lain di meja. Lagu-lagu klasik juga dimainkan.
"Datuk Rahizan," Rahman, anak kepada Perdana Menteri bersalam dengannya.
"Ayah dah tunggu, jemput masuk."
Kelihatan Datuk Seri Azmi duduk bersama Datuk Abdullah, dan beberapa orang pemain utama dalam bursa saham Wijayapura.
"Apa khabar, Datuk Seri?" Datuk Rahizan bersalam, cium tangan.
"Duduk, Hizan. Aku ada satu taskforce untuk kau."
"Apa dia, Datuk Seri."
"Minggu depan kau akan ke Teluk Tenang, kan?"
"Ya, Datuk Seri."
"Minggu lagi satu, Datuk Seri Imad akan ke Sungai Banol untuk melawat pusat tahanan dadah kat situ. Aku nak orang kau menyelinap masuk dalam event ni, jab benda ni kat Datuk Seri Imad," kata Datuk Seri Azmi, menghulurkan kotak pada Datuk Rahizan.
"Apa ni, Datuk Seri?"
"Racun ini dinamakan sebagai Viper-X. Racun ni akan mengakibatkan kerosakan saraf."
Datuk Rahizan mengangguk faham. Datuk Seri Azmi mahu Datuk Seri Imad dibunuh.
"Mana dapat ni, Datuk Seri?"
"Aku tak boleh beritahu kau. Rahsia kerajaan. Cari orang yang sanggup buat kerja ni."
"Baik, Datuk Seri."
--
Dalam mengangkat speaker ke dewan, mata Ali memerhati kalau ada orang-orang Diamond Hijau yang memerhatikannya. Dalam tangannya ada pisau lipat, tunggu masa je nak tikam jika dia diserang.
Ali begitu paranoid bila nampak orang-orang yang lalu lalang. Dia cuba perhatikan pergelangan tangan orang, yang mana ada tanda lambang Diamond Hijau.
Amar berpuas hati dengan kerja Ali. Dia terus datang ke arah Ali, dan menghulurkan sekeping lima puluh ringgit seperti yang dijanjikan.
"Terima kasih, Ali. Kau memang lelaki budiman," Amar bersalam cangkuk pada Ali.
Muka Ali agak pucat.
"Rileks la. Datuk Rahizan nak jumpa kau."
"Nak buat apa?"
"Ada tugas khas."
--
Ali masuk ke dalam kereta BMW tinted hitam. Dalam kereta tu, di belakangnya ada Datuk Rahizan.
"Nama kau, Ali kan?"
"Ya, Datuk."
"Tinggal dengan Tok Aki."
"Datuk kenal dengan Tok Aki?"
"Kenal sangat. Camni, kau tau kan, Az langsung tak pedulikan kau. Kau masuk Sungai Banol, takde satu bayang orang Gagak Merah pun yang melawat kau."
Ali dah agak sesuatu yang dia dah rasa selama ni. Datuk Rahizan adalah ketua kongsi Diamond Hijau atau Zamrud.
"Aku tau orang Gagak Merah ni, setia orangnya. Tapi dalam permainan ni, orang setia selalu rugi. Kau tengok, dulu, kau pegang duit berkepok, sekarang, kau jadi tukang angkat speaker je. Kerja dengan Majlis Daerah, angkat sampah. Ali, dengar baik-baik, orang Gagak Merah, tak pedulikan kau."
Ali dah menggenggam pisau lipat kalau dia diancam apa-apa.
"Rilek, Ali. Dalam poket tu ada apa?"
Driver Datuk Rahizan dah keluarkan pistol jenis Glock 17. Diacukan pistol itu ke dahi Ali.
"Aku tau kau marah dengan kitorang pasal ayah kau. Tapi, bukan kitorang yang bunuh ayah kau. Yang bunuh ayah kau adalah orang Gagak Merah sendiri."
"Bohong!"
"Buat apa aku nak bohong, Ali? Untuk apa?"
"Kau bunuh ayah aku!"
"Apa kata kalau aku cakap yang bunuh ayah kau adalah orang-orang Imad sendiri, sebab ayah kau cepat naik dalam Gagak Merah, ayah kau dicantas?"
Ali menjadi keliru dengan kenyataan Rahizan.
"Bak sini briefcase tu," kata Datuk Rahizan.
Pemandu Datuk Rahizan menghulurkan briefcase tersebut.
"Dalam briefcase ni ada 100,000 ringgit Gelanggayu. Aku nak kau bunuh Imad dengan racun ni. Selesai kerja kau, aku nak kau ke Songkhla, Suvarnabhumi. Ibu kau ada di situ. Kau duduk situ sampai polis kata kes selesai."
Ali sekarang tahu yang Datuk Rahizan mahu mengupahnya untuk membunuh Datuk Seri Imad. Tapi dia serba salah. Dia setia dengan kumpulan Gagak Merah, dan apa akan jadi sekiranya dia bunuh ketuanya?
"Kau balas dendam kematian ayah kau dengan bunuh Imad. Kami tak ada kaitan dengan pembunuhan ayah kau, Ali."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top