1986 part 9
Sebentar tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Azmi Ibrahim menuju ke Istana Negara untuk menghadap kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Gelanggayu, Sultan Aminul Rashid Jalaluddin Shah al-Daulah, untuk membubarkan Parlimen Gelanggayu.
Beliau akan ke Seri Bendahara untuk sidang media berkenaan pembubaran Parlimen.
Kenderaan Perdana Menteri dilihat sudahpun tiba di perkarangan istana.
--
Azlan
"Ada apa ni?" Aziz tiba-tiba tanya aku.
"Perdana Menteri nak bubar Parlimen. Tak lama lagi ada pilihanraya."
Aziz yang dari tak minat politik, turut duduk sebelah aku.
Gelanggayu ada 10 buah negeri, yang ditadbir oleh seorang Sultan. Ia terdiri dari Negeri Wilayah Utara, Melaut, Ketil, Geri, Kenidiri, Air Putih, Sepetang, Seri Kencanapuri, Lingga dan Wijayapura selaku ibu negara.
Walaupun semua negeri ini bernaung atas kuasa Tuanku Sultan, negeri-negeri ini mempunyai autonomi sendiri dalam menentukan cukai, isu tanah, air dan sebagainya.
Sistem ini telah diamalkan semenjak zaman Gandawa lagi, selepas Raja Gautama menyatukan seluruh tanah ini dibawah pemerintahannya, dia menyerahkan tanah jajahannya itu kepada panglima-panglimanya yang setia dalam peperangan, dan melantik mereka sebagai Datu, iaitu seperti Rector Provinciae jika di Rom, Pasha seperti di Uthmanniyah, atau Khan jika dalam tamadun Mongol.
Semua ni sudah berjalan ribuan tahun, dan kemasukan Islam ke Gelanggayu menjadikan sistem ini disadurkan dengan ciri-ciri keislaman.
Sehingga British datang pada 1816 dan menjajah Gelanggayu, sebelum merdeka pada tahun 1949, Datu kini dikenali sebagai Gabenor.
"Aku pening nak faham apa kau cakap ni, Lan?" kata Aziz memandang aku dengan keliru.
--
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Selepas menghadap Ke Bawah Yang Maha Mulia, Sultan Aminul Rashid Jalaluddin Shah al-Daulah, Sultan Gelanggayu, baginda berkenan untuk membubarkan Parlimen, dan seterusnya menurut Perlembagaan Gelanggayu, akan diadakan pilihanraya bagi melantik Ahli Parlimen Gelanggayu yang baru.
Saya juga menasihatkan para Menteri Besar untuk bertemu dengan Gabenor masing-masing, untuk membubarkan Dewan Negeri di negeri masing-masing.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah.
--
Datuk Seri Azmi hadir di ibu pejabat Parti Persekutuan sebaik sahaja mendapatkan keizinan Tuanku Sultan membubarkan Parlimen.
Mereka sudah menentukan calon-calon dua bulan sebelum pilihanraya, namun masih ada yang tidak berpuas hati.
Datuk Seri Imad, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden, dikatakan meletakkan semua calon-calonnya di tempat yang mudah menang, sementara pro Rahizan di tempat yang majoritinya kubu kuat pembangkang.
Datuk Seri Azmi duduk sahaja di tengah, melihat pertengkaran antara kem Datuk Seri Imad dan Datuk Seri Rahizan.
"Imad, duduk kejap. Rahizan, duduk."
Azmi bangun dan berdiri. Dewan yang bingit tadi terus sunyi sepi.
"Parti ini berdiri menentang tirani yang memusatkan kuasa untuk orang yang tertentu. Telah diagih-agihkan pada semua, baik kerusi Parlimen, kerusi Gabenor, kerusi Ahli Negeri. Kenapa nak berkelahi?"
"Datuk Seri, saya berdiri di sini, bukanlah kerana saya tak puas hati dengan pucuk pimpinan, tetapi akar umbi merasakan Datuk Seri Imad telah menyalahgunakan kuasanya dalam parti," kata Datuk Seri Rahizan dalam hujahnya.
"Apa yang kau nak tuduh aku ni!" Datuk Seri Imad menggelegak darahnya, sampai dia hempuk meja.
"Sabar, Mad," Datuk Seri Azmi menenangkan timbalannya.
"Datuk Rahizan, kalau Datuk Imad menang, Parti juga menang. Datuk juga orang parti. Jadi, apa masalahnya dengan list tu?" kata Setiausaha Agong parti, Datuk Yusri.
"Pilihanraya ni dia letak muka orang yang suka dia, di tempat yang senang nak menang. Orang saya kena bertanding di tempat yang susah. Mana keadilan?" Datuk Rahizan merayu pada Datuk Seri Azmi.
"Masalahnya Datuk Rahizan, masa agih kerusi tempoh hari, kamu tak beritahu saya pasal ni. Ni dah bubar, baru nak cakap," kata Datuk Yusri selaku Setiausaha Agung.
"Dia dengan puak-puak ideologi songsang ni daripada dulu menyusahkan orang! Kenapa tak join je parti sekular macam Parti Jujur tu? Parti pemuja Attaturk!" kata Datuk Seri Imad.
"Sudah, Mad, Rahizan. Kita dah nak pilihanraya ni. Bersatulah kalau nak menang. Kerusi mudah ke, kerusi susah ke, kita akan cuba menangkan. Insya-Allah," kata Datuk Seri Azmi selaku Presiden parti.
Datuk Seri Azmi keluar dari dewan mesyuarat dengan pening kepala. Macam mana nak menang kalau ada dua orang paling berpengaruh dalam parti mula dah bertelagah.
Dia naik kereta, dan mula sakit kepala. Balik ke rumah isteri pertama, Datin Seri Maznah Ali.
Sampai di rumah, anaknya Rahman sudah menunggu. Datuk Seri Azmi keletihan, dan lepaskan butang baju Melayunya.
"Macam mana meeting tadi, bah?"
"Pening kepala abah tengok Datuk Rahizan dengan Datuk Imad bergaduh."
"Makan ubat dulu, bah. Bawak bertenang."
"Nak bertenang apanya, kalau abah tau macam ni, takdenya abah bubar Parlimen."
"Takpe, kita uruskan soal funding dulu. Ni Man nak bincang dengan abah ni."
Mereka berdua berbincang sehingga ke larut petang, dan rumahnya dikunjungi oleh banyak pemimpin parti, penderma, dan calon-calon yang mahu meminta wang untuk dana pilihanraya.
Kalau nak relax betul-betul, pergi ke rumah isteri kedua.
--
Pengetua duduk seorang diri membaca surat khabar. Dia rasa Tengku Norman sudah mula mengasak, atau sekurangnya, Wan Radzi dan Sayap Kuning sudah mula mengatur langkah.
Nampak bukan main lincah lagi si Imad ni bergerak. Bukan itu sahaja, Imad ni juga pegang kumpulan Gagak Merah buat masa ni.
Pengetua tahu ada beberapa langkah yang kurang selesa perlu dilakukan.
Dia suruh Datuk Rahizan dan Datuk Hamdi untuk berjumpa dengannya. Buat masa ni biarkan sahaja Imad menyusun orangnya.
--
"Nampaknya Imad dah mula mencantas saya, Pengetua. Macam mana ni?" tanya Datuk Rahizan.
"Biarkan dia cantas kau dulu. Kemudian aku akan cipta krisis dalam masa terdekat ni. Bila kedudukan dia sebagai Timbalan Perdana Menteri berdepan dengan krisis, aku ada fasa seterusnya. Kau bertenang dulu, Hizan."
"Parti Jujur, macam mana pula, Pengetua?" tanya Datuk Hamdi.
"Rileks dulu. Satu masa nanti aku akan gerakkan korang pula. Kita kena naikkan Rahizan dahulu jadi Timbalan Perdana Menteri, cantas orang Datuk Imad, kemudian kalian akan bergabung. Itu sahaja caranya untuk cantas Azmi. Tapi kalau Sayap Kuning ada move lain, aku kena tukar move juga," kata Pengetua.
"Baik, Pengetua."
--
Azlan
Sebenarnya, perjumpaan tu bukanlah Datuk Seri Azmi nak berjumpa dengan aku sangat, tapi lebih nak berbincang dengan Datuk Abdullah dan Datuk Mohd Nor untuk detail untuk kontraktor pembinaan ibu negara baru tu.
Aku, Mrs Birgitt dan Natasha dihantar ke Pulau Bayu, lokasi perlancongan di negeri Kenidiri. Memandangkan Datuk Abdullah menjadi funder kuat Datuk Seri Azmi, dan mengikut Perdana Menteri tu dalam usaha berkempen dan merapatkan diri dengan pemimpin negeri.
Pagi-pagi hari, Natasha buka lagu kuat dan bersenamrobik. Dia pakai spandex hijau fluorescent dan baju senam robik warna pink. Lagu Let's Go Physical Olivia Newton John.
Aku cuma duduk di beranda, sambil melihat permandangan laut. Tempatnya cantik, tapi tak secantik di Teluk Tenang, kampung aku.
Birgitt pula membaca majalah wanita di ruangan deko rumah.
Walaupun keluarga Natasha melayan aku dengan baik, aku masih rasa terasing. Jadi aku terus keluar resort, berjalan kaki ke jeti nelayan berhampiran.
Aku nampak nelayan sedang menjala ikan, bunyi bot sedang bergerak menuju ke Teluk Chendana.
Jadi aku mula berjalan seorang diri, dengan rokok berada terselit di telinga. Aku berjalan hingga ke sebuah warung berhampiran jeti nelayan.
Aku duduk, kemudian aku pesan kopi o. Bunyi burung-burung dengan enjin motor bot, dan deruan ombak di sekeliling.
Cantik tempat ni. Tapi, kalau tempat ini dibangunkan, apa jadi pada nelayan-nelayan ni? Di mana mereka nak tangkap ikan bila kawasan perindustrian mula dibina di sekeliling kawasan ni?
Kelihatan dua orang lelaki tua, mungkin peraih ikan sedang main dam haji.
"Kau undi apa?"
"Aku kalau Persekutuan letak Haji Ghani jadi calon, baru aku undi. Kalau letak muka budak bando aku tak kenal, aku undi rosak je. Kita nak YB yang biasa kita kerja dengan dia, bukan nak perubahan apa sangat pun."
Aku terfikir kata orang tua ni. Kenapa mereka tak nak berubah? Sampai bila nak sama macam tu? Tapi kalau berubah, berubah yang macam mana tu? Adakah semua perubahan tu baik?
"Parti Jujur ni mana jujur. Dia pembangkang. Nak bertanding pun kumpul duit derma kumpul-kumpul. Macam mana aku nak percaya orang miskin jadi YB? Baik yang dah sedia kaya. Kita nak minta tolong pun, dia boleh tolong. Kalau yang miskin ni kita pilih dia, terpaksalah makan rasuah. Sebab nak bertanding pun takde duit."
Aku sarapan pagi nasi goreng kampung. Harganya lima puluh sen, tapi cukup mengenyangkan. Aku takkan dapat nasi goreng kampung harga lima puluh sen kat Wijayapura. Paling koman seringgit lima puluh sen.
Selepas makan, aku berjalan kembali ke rumah, dan berjalan di tepi pantai, melihat permandangan. Nampak nelayan tersenyum membawa hasil laut yang banyak.
Di depan vila itu ada satu batu besar, dan aku duduk di situ sambil memandang laut.
Setiap kali pilihanraya, kita selalu bercakap "untuk rakyat", tapi yang selalu ditanya, professor, CEO, kroni menteri, wartawan, orang kuat media. Tapi tak pernah nak tanya nelayan, petani, orang kampung.
"Cuba teka siapa?" Natasha cuba nak main cak-cak dengan aku. Dengar suara nyaringnya dah tau siapa. Dia tutup mata pun, ketiak dia dah tau dah bau deodorant dia.
Dia memeluk aku dari belakang, kemudian mencium tengkuk aku.
"Nat, orang pandang la."
"Biarlah, dia jealous dengan you la tu."
"Bukan pasal jealous la, tapi pasal orang tua-tua tengok kita, tak elok."
"Biar la! I tak kacau dorang, kenapa nak sibuk?"
Aku dah malas nak argue. Kawasan penduduk Melayu 70 peratus macam ni kau nak cari pasal?
"Teluk Chendana kat situ je. Tak lama lagi, bila my dad punya project nak bina ibu negara baru kat sini, I nak beli tanah kat sini, lepas tu buat rumah. Tengok anak-anak berlari kat pantai. Buat BBQ, mesti seronok kan?"
Aku terdiam. Kecewa, tapi tak terkejut pun dia cakap macam tu.
"Kenapa diam?" Natasha cium telinga aku.
"Habis tu, orang kampung ni nak duduk mana?"
"I beli tanah, bukan rampas macam penjajah tu. You ni pun. I pun rakyat Gelanggayu."
"Ye lah, tapi you orang Wijayapura. Bukan orang kampung sini. Tak rasa sama je macam penjajah?"
Natasha memandang aku, sedikit aneh.
"I thought you are smart. Kenapa fikir macam ni? Think about economics. Kalau tempat ni jadi ibu negara, ia akan menjana ekonomi yang pesat, sebab strategik. You know this kan?"
"Yes, but how about them?" aku merujuk kepada nelayan yang sedang menjala di tepi laut.
"Nanti ada la peluang ekonomi baru. Mesti kat Pulau Bayu ni ada sektor perhotelan, banyak la peluang kerja nanti."
"Tapi nanti kalau semua nelayan kerja hotel, penduduk hotel nak makan ikan, ambik kat mana?"
"Beli lah!"
"Nak beli dengan siapa?"
"Supermarket la! Kan banyak jual ikan tu?"
"Dari mana ikan tu? Siapa yang tangkap ikan tu? Ikan tu dari laut loncat pergi ke supermarket ke?"
"Alan, I benci la you cakap macam tu. I tau la kena ada nelayan. Tapi jadi nelayan ni, miskin. Cuba you tengok nelayan tu. Nak makan sehari pun tak lepas dengan pendapatan tu," Natasha cuba menguatkan hujahnya.
"Kenapa tak nak kayakan nelayan? Kenapa nak kena ada orang tengah yang makan untung?"
"Sebab macam mana nelayan ni nak hantar ikan kat supermarket? Lori takde, apa takde. Pemborong ada tu semua."
"Kenapa tak biarkan nelayan tu sendiri jadi pemborong? Kenapa tak bagi nelayan tu je jual produk dia sendiri?"
"I hate to have a debate with you!" Natasha tolak bahu aku, dan terus blah menuju ke rumah resort.
Aku malas nak kejar. Sebab aku tahu aku betul. Jangan jadi lelaki lemah dengan menyerah kalah macam tu je.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top