SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 8

INSYIRAH berasa puas. Dapat juga dia merobohkan benteng kebahagiaan yang sudah lama termetrai ini. Semua musnah dengan kata fitnah yang ditaburnya. Puas sekali, bila Ikram tidak mempercayai Marina. Ikram lebih percayakan dirinya daripada Marina, isteri Ikram sendiri. Dia berjaya, membuatkan dua kekasih itu makin berjauh hati.

"Padan muka kau, Rina. Kau ingat aku nak sangat berbaik dengan kau. Aku pun nak hidup senang jugak. Aku pun nak rasa bahagia jugak. Sepatutnya aku yang perlu dapat Ikram."

Laju pintu bilik dikuak kasar. Marina terus menerjah masuk ke dalam. Kali ini kesabarannya tidak dapat ditahan-tahan lagi. Apa yang baru didengarinya tadi, memang membuatkan hatinya bertambah-tambah sakit hati. Rupanya Insyirah sudah berniat jahat dari awal datang ke rumahnya. Kenapa dia tidak mahu percaya dengan naluri wanitanya. Jika dia percaya dengan apa yang dirasakannya selama ini, pasti semua ini tidak akan terjadi.

"Syirah!"

Insyirah menjuihkan bibirnya, bila melihat Marina sudah menapak ke arahnya. Dibalas kembali tolakan Marina.

"Apa Syirah buat ni? Syirah sengaja buat abang dan akak macam ni?"

Insyirah mencebik. Dia tersenyum. Betullah semua itu. Memang dari awal lagi, dia sudah berniat untuk merancang hubungan dua suami isteri itu musnah.

"Kalau betul pun kenapa? Kau tak puas hati?"Insyirah sudah menunjukkan taringnya yang sebenar.

"Apa salah akak pada Syirah?"

"Tak payahlah nak soal. Kalau aku jawab semua tu pun, tak guna. Bukannya boleh pulihkan hubungan kau dan Ikram."bongkak sekali Insyirah dengan jawapannya itu.

"Sampai hati Syirah, buat macam ni. Kebaikan yang akak bagi, ini yang Syirah balas?"

"Tak payahlah nak buat baik. Itulah penyakit bodoh namanya. Kau tu terlalu baik, jadi senanglah aku nak pijak-pijak kepala kau tu."muka lantai juga dipijak-pijaknya. Kemudian tawanya dilepaskan.

"Kau memang melampau Syirah!"tergenggam jemari Marina. Jantungnya sudah berkocak kencang. "Kau nak apa dari aku? Kau nak apa? Kau nak duit, kau cakap aje. Aku boleh beri berapa aje yang kau nak? Aku boleh beri!"Marina sudah hilang sabarnya. Kuat suaranya berbalah dengan Insyirah. Jika Insyirah memijak kepalanya, takkan mahu dibiarkan sahaja. Dia perlu mempertahankan haknya.

"Hmm, menarik."Insyirah seakan berfikir.

"Cakap! Kau nak berapa?"

"Aku nak...hmm..aku nak Ikramlah."

Pang!

Satu tamparan diberikan. Laju sahaja nafas Marina. Insyirah memang sudah melebih. Permintaannya itu tinggi melangit. Mana boleh diberikan suaminya itu kepada Insyirah. Lagipun Insyirah masih isteri kepada Idlan. Walau sekali pun, Insyirah tiada ikatan dengan Idlan mahupun sesiapa pun, tak mungkin dia mengizinkan semua itu berlaku.

"Kau memang melampau! Aku beri betis, kau nak peha pula."bentak Marina geram.

"Kalau betis sahaja mana cukup. Kalau boleh bukan setakat betis atau peha. Semuanya aku nak. Baru puas."

Sakit hati sekali Marina dengan jawapan Insyirah. Memang benar apa yang cikgu NurAini kata. Aku perlu berhati-hati dan berjaga-jaga dengan Insyirah. Tetapi kerana yakin Insyirah adalah saudaranya, di tepiskan segala syak wasangkanya. Tetapi itu semua ini memakan dirinya pula.

"Aku nak kau keluar dari rumah aku, sekarang jugak. Aku nak kau berambus dari sini! Berambus!"

BERGEGAS Marina pulang ke rumahnya, bila mendapat panggilan daripada Ikram. Terpaksalah dia menyusahkan cikgu NurAini sekali lagi.

Langkah segera diaturkan ke dalam rumah. Melangkah ke dalam sahaja, sudah kelihatan Ikram dan Insyirah yang meribakan bayinya. Ikram tidak lepas, memandang Marina bagaikan mahu ditelan.

Wajah Insyirah yang terus tertunduk itu, direnungnya. Ini mesti Insyirah sudah mengadu kepada Ikram, dirinya sudah menghalau Insyirah keluar. Beg pakaian Insyirah yang ada di situ, mengukuhkan lagi tekaannya.

"Kenapa abang minta Rina balik. Rina bukannya boleh keluar sesuka hati. Kalau guru besar tahu, teruk Rina kena tindakan."Marina duduk disofa bersebelahan Ikram.

"Syirah cakap, Rina halau Syirah keluar."

Soal Ikram seraya itu, Marina memandang Insyirah. Tersenyum sinis Marina. Ianya seperti yang difikirkannya. "Memang Rina halau Syirah keluar. Rina lakukan semua ni bersebab."dijeling Insyirah yang terus tertunduk. Membuat muka simpati. Makin menyampah bila Insyirah terus berpura-pura dengan lakonannya.

"Kenapa Rina buat macam tu?"

"Sebab Rina tak suka Syirah tinggal dengan kita lagi. Keluarganya kan dah balik dari Sabah. Biarlah Syirah balik. Mak dia ada."jawab Marina. Kali ini, Marina tidak akan berlembut lagi. Hatinya sudah berani bersuara. Dia tidak mahu Insyirah terus memijak kepalanya.

"Tak apalah, bang. Betul cakap kak Rina tu. Syirah ni cuma menyusahkan abang dan akak aje."

"Apa Syirah cakapkan ni? Abang dah janji dengan Idlan nak jaga Syirah dan Nasuha. Takkan abang nak lupa pula?"

"Syirah tinggal di mana-mana pun, kita boleh tengokkan dia jugak nanti. Tapi kalau mahu terus tinggal di sini, Rina tak benarkan, bang. Abang tak tahu, siapa sebenarnya Syirah ni."

"Syirah tahu, akak dan yang lain, memang tak sukakan Syirah. Akak dan kak Zaidah memang tak sukakan Syirah dari dulu lagi. Syirah tahu, dulu Syirah ni teruk, jahat...tapi Syirah dah berubah. Hidup ini, mesti ada perubahan ke arah kebaikan. Begitu jugak dengan Syirah."airmata dusta mudah sahaja gugur dipipinya.

Marina menggelengkan kepalanya. Bijak sungguh Insyirah merencanakan rancangannya. Lagaknya seperti apa yang dicakapkan. Pagi tadi lain sikapnya dan dihadapan Ikram pula, lain sikapnya.

"Abang jangan percayakan Syirah. Semua yang dia cakapkan tu rekaan. Rina tak akan halau Syirah kalau tak bersebab."

Ikram memandang Marina redup. Kesal dengan sikap isterinya itu. Marina terbawa-bawa masalah mereka berdua dan dilepaskan semua itu kepada Insyirah.

"Sebab apa?"

"Sebab dia ada niat jahat. Dia nak porak-perandakan rumah tangga kita. Abang jangan percayakan Syirah. Demi kepentingan kita berdua, Syirah perlu keluar dari sini."jelas Marina.

Tidak berkelip mata Ikram memandang Marina. Kemudian Ikram bertepuk tangan sambil tersenyum sinis kepadanya. "Tak sangka, isteri abang sanggup buat begini. Demi menutup kesalahan diri sendiri dan kecurangan diri, sanggup salahkan orang yang ada. Apa yang dah menghasut Rina sekarang ni?"

Marina tidak menyangka begitu kuat impak hasutan Insyirah kepada Ikram. Sehinggakan apa yang dikatanya langsung tidak dipercayai. Mengapa Ikram boleh jadi seperti orang bodoh? Tidak tahu menilai mana yang betul ataupun salah. Ikram seperti sudah buta untuk menilai siapa dirinya. Bukan sehari dua mereka berdua hidup bersama, tetapi sudah tiga tahun. Tiga tahun bersama belajar mengenali antara satu sama lain. Dan dalam tiga tahun bersama itu, rupanya Ikram tidak mengenali dirinya selama ini. Ikram kabur.

Hati isteri mana yang tidak hancur dan kecewa, bila suami sendiri lebih mempercayai orang luar berbanding dengan dirinya sendiri. Rasa kebahagiaan itu musnah, dan terus tenggelam di bawa ombak badai. Luluh hati seorang isteri, tidak dikisahkan si suami. Apa erti hubungan ini, jika beginilah yang harus ditempuhinya. Dia sudah tidak kuat menghadapinya, walaupun berkali cuba dipertahankannya.

"Apa yang dah menghasut Rina? Atau apa yang dah menghasut abang?! Abang sedar tak, Rina isteri abang. Abang patut bela Rina, bukannya Syirah."hatinya sakit tidak terkata. Memang rasa sakit itu terasa jauh dilubuk hatinya. Tidak dapat digambarkan betapa sakitnya tika ini.

Pang!

Sedikit berginjak Marina dengan tamparan Ikram. Sekali lagi Ikram menamparnya. Pada saat ini, Marina sudah rasa betapa gelapnya dunia ini. Kebahagiaannya begitu mudah sekali diragut.

"Puas hati abang? Abang buat Rina macam Rina ni bukan sesiapa pada abang. Abang tak pedulikan langsung hati dan perasaan Rina. Abang lebih tergamak biarkan Rina sakit dengan segala perbuatan abang ni. Terima kasih, bang. Kerana abang betul-betul dah buat Rina kecewa. Rina kecewa dengan abang! Abang kejam!"kuat suara Marina menjerit. Beg tangannya yang diletakkan disisi terus digapainya. Sudah tidak sanggup dan tidak tahan.

"Rina, sebaik aje kau melangkah keluar dari rumah ni, aku ceraikan kau!"

Ungkapan Ikram itu, seiring dengan langkahnya. Marina sudah tidak mengalih kebelakang lagi. Dia terus mengatur langkahnya.

Didalam keretanya, Marina melepaskan segala tangisannya itu. Kuat dia meraung kesedihan. Tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Ikram sudah melepaskan talak. Hingga begitu sekali Ikram perlakukan dirinya.

"Ya Allah, dugaan apakah ini? Kau kuatlah aku. Aku tidak cukup kuat untuk menghadapi semua ini."keretanya yang tadi meluncur laju, dihentikannya di bahu jalan. Dia terus menangis sepuas-puasnya.

"Abang... kenapa abang buat Rina macam ni. Apa salah dan dosa Rina pada abang? Mana janji abang pada Rina? Mana diri abang yang dulu? Mana semua tu?"

Bergetar badan Marina dengan esakan dan tangisannya yang tidak mampu dilawannya. Ianya terlalu besar untuk dihadapinya.

"Ya Allah, aku tak cukup kuat untuk hadapi semua ni. Aku tak cukup kuat."

Stereng keretanya itu dihentakkan berkali-kali. Melepaskan geramnya. Marina cuba menenangkan dirinya. Kereta yang sudah lama berlabuh di bahu jalan mula bergerak. Kawasan sekolah di masukinya. Laju langkahnya mengatur ke kelas.

Cikgu NurAini dicarinya. Terus badan cikgu NurAini dipeluknya dan melepaskan segala tangisnya di bahu cikgu NurAini. Tidak berhenti tangisannya itu, malah ianya makin menjadi-jadi. Mujur pada waktu ini, pelajar sudah pun tamat sesi persekolahan. Jika tidak, pasti anak-anak itu melihat kesedihannya itu.

"Rina...Rina...kenapa ni dik?"soal cikgu NurAini lembut. Belakang Marina diurupnya lembut.

"Kak Aini..."Marina cuba menerangkan, tetapi dia tidak mampu. Tangisannya itu, tetap mahu berlagu kuat.

"Kenapa ni? Cakap kat akak."

"Ikram ceraikan Rina kak. Ikram ceraikan Rina."terang Marina lemah.

" Astagfirullah-Al-Azim!"cikgu NurAini mengurup dadanya. Terkejut dengan apa yang baru disampaikan Marina. "Sabar Rina. Sabar ya dik."cuba dipujuk Marina, tetapi makin teresak Marina dibuatnya.

"Ikram dah ceraikan Rina. Apa salah Rina? Kenapa semua ni terjadi pada Rina?"

"Shhh...istigfar banyak-banyak. Cuba bertenang."

Marina menggelengkan kepalanya. Mana mungkin dia boleh bertenang. Dia kini bermain dengan perasaan sedih, kecewa, hampa, terluka...semuanya sudah menjadi satu. Itu yang

membuatkan hatinya bertambah parah.

Marina terus menangis. Tidak dipedulikan pujukan cikgu NurAini. Hatinya begitu sakit. Sakit tidak terkata. Hubungan yang dibinanya bersama Ikram atas dasar cinta, akhirnya berkecai dengan mudah begitu sahaja.

"Ingat Tuhan. Mengucap!"

Marina terus tunduk ke lantai. Tangannya diraup ke muka. Cuba beristigfar dan mengucap berkali-kali. Kali ini, Marina sedikit tenang.

"Rina sabar. Ceritakan pada akak pelan-pelan."

Marina menceritakan semuanya dengan terperinci kepada cikgu NurAini. Diceritakan semua itu dengan ditemani linangan airmata. Hatinya sedikit lega, bila semua itu dapat diluahkan. Rasa beban itu, sedikit berkurang.

"Ya Allah. Apa yang dah menghasut Ikram ni? Inilah yang akak takut sangat."cikgu NurAini pun tidak tahu hendak katakan apa-apa lagi. Semuanya sudah terjadi. Tetapi masih ada waktu dan masih berkesempatan hubungan suami isteri itu diselamatkan.

"Macam mana ni kak. Apa yang perlu Rina buat sekarang ni?"

"Nanti akak teman Rina pergi pejabat agama. Kita buat aduan dan rujukan dahulu."

Marina hanya mengangguk. Apa rancangan yang dicadangkan cikgu NurAini, akan diikutnya. Jika hendak berfikir sendiri dia memang sudah tidak berfikir dengan waras lagi.

TERKEJUT Muiz Lukman, bila bertembung Marina di muka pintu. Kakinya yang tidak jadi melangkah masuk ke dalam kelas pra Gemilang, masih terkaku di situ. Jelas dua wajah di hadapannya itu terkejut dengan kehadirannya. Muiz Lukman tidak sengaja mendengar perbualan Marina dan cikgu NurAini.

Pada mulanya dia hanya ingin memberikan kad ucapan ulangtahun perkahwinan milik Marina, yang dijumpainya di dalam keretanya. Petang kelmarin, baru dia berkesempatan mencuci keretanya dan terjumpa kad kecil itu terselit di bawah kerusi tempat duduk disebelah memandu. Ketika ke kelas itu, dia tidak sengaja mendengar perbualan dua sahabat itu.

"Maaf saya mengganggu."

"Cikgu Muiz? Ada apa?"soal cikgu NurAini.

"Sa..sa..saya..."kepalanya digelengkan. Kad kecil yang hendak diberikan tadi, disembunyikan dibelakang badannya. Rasanya tidak perlu, di berikan kad itu kepada Marina.

"Cikgu dengar ke, perbualan kami tadi?"soal cikgu NurAini.

Muiz Lukman memandang wajah keruh Marina. Wajah yang penuh dengan kesedihan itu. Dia tumpang simpati dengan apa yang terjadi kepada Marina. Dia tidak menyangka semua itu berlaku. Dan paling tidak dapat di maafkan, semua itu bermula kerana dirinya.

"Cikgu dengar ke, perbualan kami tadi?"soal cikgu NurAini sekali lagi.

Dengan wajah serba-salah, Muiz Lukman menganggukkan juga kepalanya. Dia bukan sengaja ingin mencuri dengar perbualan itu. Dia betul-betul tidak bermaksud apa-apa.

"Maafkan saya Rina..cikgu... Saya terdengar perbualan cikgu dan Rina tadi. Dan saya tak sangka, semua ni berlaku semuanya gara-gara diri saya."

Marina menggelengkan kepalanya. Muiz Lukman memang tidak bersalah dalam hal ini. Semua ini, kerana salah faham yang tidak pernah berakhir dan juga fitnah serta hasutan Insyirah. Muiz Lukman langsung tiada kaitan dengan perceraiannya dengan Ikram.

"Tapi semua tu, berpunca dari saya."

"Cikgu, saya sama sekali tak salahkan cikgu. Cikgu tumpangkan saya, hari tu pun atas dasar membantu. Cikgu tak buat apa-apa pun."Marina tidak mahu melibatkan Muiz Lukman dalam masalahnya, walaupun itu yang menjadi ingatan kepada Ikram hingga membenci dirinya.

"Saya tak sangka pulak, semua itu berlarutan sampai ke hari ini."

"Saya tahu, niat cikgu hanya ingin membantu. Saya yang sepatutnya minta maaf, sebabkan Ikram cederakan cikgu hari tu."

"Saya juga salah. Sepatutnya saya tak menipu malam tu. Sebabkan saya, masalah ni semakin parah. Kalau Rina nak, saya boleh jelaskan semuanya kepada Ikram."

Marina menggelengkan kepalanya. Dia tidak perlukan bantuan Muiz Lukman. Ianya hanya akan menambahkan masalah sahaja. Nanti Ikram kata, dirinya mengadu kepada Muiz Lukman pula. Dia tidak mahu, perkara ini terus dikaitkan dengan Muiz Lukman. Jika benar Ikram mahukan hubungan mereka kembali terjalin, pasti dia akan datang memujuknya kembali.

Cikgu NurAini hanya memerhati sahaja, dua susuk itu berbual. Memang patutlah Ikram cemburukan Muiz Lukman, kerana banyak kelebihan pada jejaka itu. Wajahnya yang tampan dan tinggi nilai budinya. Tuturnya juga lembut. Cikgu NurAini mentafsir diri Muiz Lukman dengan pandangan matanya.

"Cikgu tak perlu jumpa Ikram. Saya tak mahu, ianya jadi bertambah rumit. Maafkan saya. Saya ada hal. Saya tak boleh berbual lama."Marina meninggalkan Muiz Lukman yang masih terpaku di situ. Cikgu NurAini juga turut mengikut langkah Marina. Muiz Lukman pula terus berdiri dan tidak mampu berkata apa-apa lagi.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top