SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 7
SEKALI lagi terjadi pertelingkahan antara Marina dan Ikram. Disangkakan cemburu Ikram kepadanya akan berakhir begitu sahaja, rupanya tidak. Ikram kembali bertandang ke sekolah, semata-mata ingin berjumpa dengan lelaki yang bernama Muiz Lukman.
Nama itulah yang bermain dibutir bibir Marina semalam. Dan lelaki itulah yang bertandang semalam ke rumahnya. Apa yang disangkakan Ikram adalah benar. Lelaki itu menipunya, untuk mengelak.
Marina hanya tertunduk membisu. Terpempan dengan tindakan Ikram kali ini. Tangan Ikram sudah berani hinggap ke pipinya. Terasa pedih dan berpinar sahaja, bila tangan Ikram yang lebar itu singgah kuat dipipi.
Airmata yang menitis tidak mampu untuk melembutkan hati amarah Ikram. Sangkanya hubungan mereka yang sudah pulih pagi tadi akan terus berterusan, berlaku sebaliknya. Ikram sekali lagi bersikap dingin dengannya.
"Seronoklah sebab dapat tipu abang?"
Marina menggeleng. Tidak mengerti dengan apa yang dimaksudkan Ikram. Rasanya sudah tiada apa-apa lagi yang disembunyikan Marina kepada Ikram. Semuanya sudah diceritakan. Hubungan mereka berdua juga sudah pulih dan Ikram sendiri sudah memaafkannya.
"Mesti korang berdua seronok gelakkan abang. Senang-senang korang berdua tipu abang."mendatar sahaja kata-kata Ikram. Kecewa.
"Rina tak faham. Apa maksud abang?"entah kenapa, sejak kebelakangan ini airmatanya itu mudah sangat gugur? Entah kenapa, hatinya selalu terguris?
"Faham atau buat-buat tak faham?"bulat mata Ikram jegilkan ke arah Marina. Jelas Ikram betul-betul naik angin.
"Abang cakap aje. Apa kesalahan Rina pada abang?"
"Sanggup Rina tipu abang. Siapa lelaki yang bertandang ke rumah kita semalam? Muiz Lukman? Siapa dia? Kekasih Rina?"bertalu-talu soalan itu diajukan kepada Marina.
"Dia bukan sesiapa, bang. Dia cikgu sekolah. Kami memang tak ada apa-apa hubungan. Sumpah, bang."tangan kanannya diangkat tinggi. Berani sumpah dengan apa yang tidak dilakukannya. Dirinya tidak bersalah. Untuk apa dia takut dengan kesalahan yang tidak dilakukannya.
"Kalau tak ada apa-apa, kenapa dia cari Rina di rumah semalam? Tak tahu, Rina isteri orang?"
"Muiz tahu Rina dah kahwin."
"Dah tahu, Rina isteri orang, kenapa masih mahu ganggu? Sudah tak ada perempuan lain yang nak diganggunya?"tidak senang hati Ikram. Marina pun satu, jika tidak melayan, takkanlah cikgu Muiz Lukman ingin mengganggunya.
"Abang cuma salah faham aje tu."
"Dah jelas Rina. Sah-sah korang berdua tipu abang. Mesti korang berdua dah berpakat. Abang izinkan Rina berkerja bukan sebab untuk berikan Rina peluang bercinta dengan lelaki lain."Ikram terus dengan bebelannya. Selepas berjumpa dengan Muiz Lukman, hatinya terus terbakar. Apatah lagi, lelaki yang Marina maksudkan rupanya lelaki yang bertandang ke rumahnya semalam.
Hatinya belum puas, walaupun muka Muiz Lukman lebam ditumbuknya. Baginya itu masih belum cukup. Mujur ada pengawal yang menjaga di situ. Kalau tidak, memang teruk Muiz Lukman dikerjakannya.
"Kenapa nak dibuka kembali cerita semalam? Kan kita dah sama-sama janji takkan sentuh lagi hal salah faham tu."
Tidakkah Ikram mempercayai dirinya? Selama tiga tahun perkahwinan ini, takkan Ikram langsung tidak memahaminya. Sepatutnya Ikram tahu, betapa mendalamnya cinta itu buatnya. Tidak perlu dipersoalkan lagi akan kejujurannya.
"Argh! Itu sebelum abang tahu, cerita yang sebenaranya."dengus Ikram kasar.
"Cerita apa lagi, bang? Kan semuanya dah selesai. Rina ingat lepas pagi tadi, kita akan terus berbaik. Tapi lain pulak yang jadinya."mendatar sahaja luahan hati Marina itu diluahkan.
"Muiz tu, kekasih Rina kan?"tuduh Ikram.
"Tak! Muiz bukan sesiapa pun. Cubalah abang faham dan percaya isteri abang sendiri. Rina ni isteri abang. Takkan Rina nak buat semua tu, dibelakang abang."sungguh tersentuh dan terluka hatinya, bila Ikram mengesyaki hati dan perasaannya. Tidakkah Ikram tahu, betapa mendalamnya perasaan sayangnya.
"Kalau bukan kekasih, siapa? Kekasih gelap?!"
"Ya Allah, bang! Apa yang abang merepek ni? Sepatutnya abang faham diri Rina. Sepatutnya abang kenali siapa diri Rina. Ini tidak, abang tuduh Rina bukan-bukan. Abang tuduh perkara yang betul-betul Rina tak buat."suaranya sudah tenggelam dengan esakan. Bila dirinya disyaki suaminya sendiri, memang dia cukup kecewa. Hatinya cukup terluka dan terguris. Kepercayaan Ikram padanya, bagaikan sudah terbang ditiup angin. Mudah sahaja ia pergi menghilang begitu sahaja.
INSYIRAH menyediakan sarapan untuk hari ini. Rajin pula dia hari ini. Tidak seperti hari-hari sebelum ini. Walaupun Marina melarang Insyirah dari melakukan semuanya, Insyirah tetap tidak mengendahkan.
Marina juga berasa pelik melihat kerajinan Insyirah hari ini. Bangun pagi sahaja, sarapan pagi sudah pun siap terhidang.
"Kenapa Syirah buatkan semua ni?"soal Marina. Tidak menyangka, Insyirah akan menyediakan sarapan pada pagi ini.
"Alah, kak. Syirah rasa tak sedap hatilah pulak. Sudahlah Syirah menumpang di rumah akak. Semua akak yang buatkan untuk Syirah. Hari ni, biar Syirah yang buat semua tu. Lagipun Syirah pun dah rasa sihat. Tak sedap hati pulak, dah dua minggu di sini, akak yang buatkan semua tu."lembut sahaja, Insyirah menuturkan bicaranya.
"Terima kasihlah Syirah, susahkan diri. Tapi tak perlulah nak buat semua ni lagi. Selagi Syirah tak habis pantang, janganlah Syirah susah-susahkan diri. Akak ada, boleh buat semua tu."
"Tak ada apa-apalah kak. Dan satu lagi, Syirah perasan. Akak dengan abang Ikram macam ada masalah. Akak dengan abang Ikram bergaduh lagi ke?"soal Insyirah, walaupun dia sudah tahu kedudukan sebenarnya yang terjadi antara Ikram dan Marina. Sengaja dia ingin menyakitkan hati Marina lagi dengan soalannya itu.
Marina diam. Wajahnya kembali suram. Dia juga tidak tahu, kenapa hingga ke saat ini, hubungannya dan Ikram sudah tidak seperti dahulu. Sekelip mata sahaja Ikram berubah sikap padanya. Marina tidak dapat mengelak lagi, dengan apa yang berlaku ini. Ikram sendiri yang seakan menjauhkan diri daripadanya.
"Akak bergaduh dengan abang kan?"wajah Marina dipandang simpati. Jemari Marina digenggamnya rapi. Cuba memberi semangat kepada Marina.
"Akak tak tahulah Syirah, apa dah jadi dengan hubungan kami berdua ni. Abang asyik dingin aje. Abang pun macam dah tak kisah dekat akak lagi. Mungkin dia dah tak sayangkan akak lagi."Insyirah dipandangnya kosong. Hingga ke saat ini, dia begitu makan hati dengan layanan Ikram kepadanya. Takkan semua kemarahannya itu, dibawa hingga berminggu?
"Maafkan Syirah kak. Mungkin kehadiran Syirah ni, yang membuatkan akak dan abang Ikram bergaduh. Maaflah kehadiran Syirah, menyusahkan akak."Insyirah menyalahkan dirinya dengan apa yang sudah berlaku antara pasangan suami isteri itu.
"Syirah tak salah. Semua ni terjadi sebab salah faham dan cemburu abang. Abang terlalu percayakan orang lain, berbanding akak isterinya sendiri. Akak kecewa sebenarnya dengan abang."
"Sabarlah kak. Tuhan kan sentiasa dengan orang yang benar."
Marina membalas dengan senyuman hambar. Jauh ingatannya kepada suaminya Ikram yang bekerja luar. Kenapalah hingga ke saat ini, Ikram langsung tidak menghubunginya? Tidak rindukah Ikram kepadanya.
"Oh, lupa pulak kak. Semalam abang Ikram ada call Syirah. Mungkin hari ni, abang balik."cerita Insyirah.
Marina diam. Pandangannya terus menapak ke wajah Insyirah. Ikram menelefon Insyirah? Mengapa Ikram tidak telefon dirinya? Apakah hubungan Insyirah dengan Ikram? Sehinggakan Ikram begitu lebih mementingkan Insyirah dari isterinya sendiri. Marina jadi penasaran.
"Abang call Syirah?"
Insyirah menganggukkan kepalanya.
"Apa yang abang cakap?"
"Abang cuma cakap nak balik hari ni. Dan dia cakap, dia rindukan Nasuha. Nanti sampai rumah, terus nak peluk cium Nasuha."cerita Insyirah. Langsung tidak dipedulikan hati Marina yang kini cukup terguris.
Ikram lakukannya seperti orang luar. Seperti dirinya sudah tidak bermakna apa-apa lagi. "Itu aje yang abang cakap?"soal Marina lagi.
Insyirah menganggukkan kepalanya. Senyuman terus mekar dibibirnya. Sekali-sekali Marina mencuri pandang melihat Insyirah dengan ekor matanya. Adakah Insyirah ada niat sesuatu?
"Akak kenapa tak makan lagi? Makanlah. Nanti lewat pulak, akak pergi kerja."Insyirah mempelawa Marina menjamu makanan yang dimasakkannya tadi.
Setelah selesai bersarapan. Marina terus keluar. Lagipun dia sudah terlewat untuk beberapa minit. Tanpa sebarang pesanan kepada Insyirah, Marina terus berlalu.
Insyirah hanya memerhati Marina keluar dari kawasan rumah melalui jendela yang tirainya sudah terbuka luas. Satu senyuman mekar di wajahnya. "Bagus! Kau akan terus sengsara Marina. Kebahagiaan kau, aku akan rampas dari genggaman kau. Tunggulah masanya!"Insyirah terus ketawa. Puas dengan rancangan yang diaturkannya selama ini. Rancangannya benar-benar berjalan dengan baik.
Bunyi kereta diluar rumah. Sekali lagi dia memandang ke luar melalui jendela. Kereta Ikram sudah memasuki ke kawasan rumah. Tanpa berlengah lagi, Insyirah terus ke dapur. Pinggan mangkuk yang banyak terhimpun disinki, dicucinya. Perutnya pula dipicit-picitkan. Dia tahu, Ikram pasti akan ke dapur sebentar nanti.
"Aduh!"makin kuat memegang-megang perutnya, sambil mengaduh kesakitan.
"Eh, Syirah. Kenapa ni?"
"Aduh, sakit perut bang."mengerang kuat Insyirah, bagaikan benar-benar sedang mengalami kesakitan.
Ikram menghampiri Insyirah. Dipapah badan Insyirah ke atas, hingga ke bilik. Direbahkan badan Insyirah ke katil.
"Syirah tunggu sekejap, abang call doktor."
"Eh, tak payahlah bang. Sikit aje ni."
"Sikit apanya kalau mengerang macam ni."
"Perut Syirah sakit, mungkin sebab banyak sangat buat kerja. Banyak berdiri."tipu Insyirah.
"Kenapa Syirah buat semua tu? Kan Kak Marina ada. Dia balik kerja nanti, dia buatlah semua tu."
Insyirah menarik muka sedih. Kepalanya digelengkan. Matanya mula berkaca. Mukanya kalut diraup lama.
"Hei, kenapa ni Syirah?"soal Ikram lembut.
"Kak Rina.. Kak Rina yang paksa Syirah buat ni semua. Seminggu abang tak ada, Kak Rina arahkan Syirah buat macam-macam."terang Insyirah dengan juraian airmata.
Berketap bibir Ikram. Tergamak Marina lakukan begitu kepada Insyirah. Bukan Marina tidak tahu, Insyirah bukannya begitu pulih lagi untuk membuat kerja-kerja rumah. Marina sudah melampau. Getus Ikram dalam hati. Kemarahannya kepada Marina makin membuak-buak.
"Abang nak ke mana?"kalut Insyirah menarik lengan Ikram. Menghalang Ikram pergi.
"Abang nak pergi jumpa Rina. Abang nak tahu, kenapa dia sanggup buat Syirah macam ni."
Insyirah menggelengkan kepalanya. "Jangan bang. Abang jangan buat hal di tempat kerja kak Rina. Kesian akak nanti. Malu dia nanti."pujuk Insyirah. Apa-apa pun, dia perlu menghalang Ikram pergi ke sekolah. Dia tidak mahu, banyak yang terlibat dalam perancangannya nanti. Dia tidak mahu rancangannya nanti bermasalah.
KALI ini hati Marina makin robek. Dia tidak pernah menyangka, Insyirah mengkhianatinya. Prasangka hatinya sebelum ini, adalah benar. Layanan baiknya pada Insyirah di balas dengan tuba. Tergamak Insyirah memfitnahnya begitu.
Berkali-kali Marina menggelengkan kepalanya. Tidak mengaku dengan tuduhan yang Ikram perjelaskan kepadanya. Insyirah memang berhati busuk.
"Abang, apa yang Syirah cakapkan pada abang tu, semuanya tak betul. Itu semua fitnah."
"Fitnahnya apa, kalau macam tu? Kenapa Rina berubah teruk sangat ni? Tergamak Rina suruh Syirah buat semua kerja-kerja rumah. Kalau Rina tak mahu tolong tengokkan Syirah, cakap aje awal-awal. Tak payah abang minta Rina jagakan. Syirah tu amanah Idlan kepada abang. Rina tahu tak?"kuat badan Marina digoyangkan.
Bibirnya digigit kuat. Kali ini, entah ke berapa kali hatinya luruh dan hancur dengan sikap Ikram. Ikram lebih mempercayai Insyirah daripada dirinya sendiri. Semua perasaan yang dipendam dan disimpannya selama ini, tidak mampu ditahan lagi. Begitu menyiksakan.
"Amanah Idlan, abang ingat. Amanah abah untuk abang jaga Rina, abang tak ingat?"
Tangan Ikram yang mahu ditampar ke pipi terhenti, tepat-tepat di wajah Marina. Kuat tamparan itu mengenakan pipi Marina. Sedikit berganjak Marina dengan tamparan yang baru singgah di pipinya itu.
Pipinya yang terasa pedih, sakit itu, baginya tidak begitu siksa seperti mana hatinya rasakan kini. Hatinya begitu pedih dan sakit dengan perbuatan Ikram kepadanya. Memang Ikram sudah berubah dan tidak seperti dahulu lagi. Tiada lagi layanan baik dan tiada lagi kasih sayang yang di berikan. Yang ada setiap hari, hanya jamahan tengkingan dan amarah Ikram.
"Berani Rina nak kurang ajar dengan abang. Berani Rina menjawab?"kasar Ikram melayan Marina.
Pipinya yang rasa berpinar dan pedih itu terus dipegangnya. "Sampai hati abang buat Rina macam ni. Sebab Syirah, abang buat Rina macam ni. Rina ni amanah abah untuk abang. Amanah yang Allah berikan kepada abang. Boleh pula abang sia-siakan! Amanah yang Idlan berikan, senang-senang sahaja abang ikut. Siapa Rina buat abang? Abang lebih pentingkan orang lain daripada diri Rina."bergetar badan Marina. Suaranya terus ditenggelami dengan tangisannya. Laju kakinya mengatur langkah. Tidak dihiraukan lagi apa yang bakal terjadi. Hatinya betul-betul sakit.
"Nak ke mana?"
Marina tidak menjawab. Marina terus meredah masuk ke dalam bilik Insyirah. Apa yang bakal terjadi, biarlah terjadi.
"Syirah!"
Terus dihampiri Insyirah yang senang berbaring di katil. Bukan main lagi. Sudah di beri peha mahunya betis pula.
"Apa ni kak?"Insyirah menarik nafasnya, bila Marina menariknya kasar.
"Apa Syirah buat pada akak? Kenapa Syirah fitnah akak? Apa salah akak pada Syirah?"bertalu-talu soalan itu disoalnya. Genggamannya tadi dilepaskan. Mana mungkin dia mampu berkasar. Dia tidak sekejam itu. Jika mahu, diikutkan amarahnya itu, pasti ditampar dan ditolak Insyirah keluar dari rumahnya.
"Akak...tolonglah kak. Tolonglah jangan buat Syirah lagi. Kesiankanlah Syirah kak. Janganlah buat Syirah macam ni."wajah Insyirah yang melebar dengan sengehan, tiba-tiba sahaja berubah. Dia sendiri yang menapak kehujung kaki Marina. Merayu-rayu.
"Rina!"Ikram menarik Marina kasar. Dilihat dengan matanya dan didengari dengan telinganya sendiri. Insyirah merayu-rayu kepada isterinya, supaya tidak memperngapakan dirinya. Diheret Marina keluar dari bilik Insyirah.
"Abang, lepaskan Rina."
"Rina tak puas lagi ke, siksa Syirah? Tak puas lagi?"
Terduduk Marina selepas Ikram menolaknya kasar. Terhinggut badan Marina dengan tangisan yang makin kuat. Airmata yang makin laju membanjiri pipi, dibiarkan sahaja.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top