SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 4
HARI ini, Marina kembali bertugas setelah tiga hari bercuti. Pada mulanya dia ingin merehatkan dirinya dengan rasa penat kerja dan mengambil masa untuk menyiapkan manuskrip novelnya. Tetapi lain pula yang jadi. Kerjanya bukan setakat menulis novel dan menguruskan suami tetapi perlu menguruskan Insyirah dan Nasuha juga.
Hari ini, dia bangun seawal subuh untuk masakkan makanan buat Insyirah sepanjang dia berada di sekolah. Jika mahu tunggunya, petang nanti baru dia dapat pulang. Memang sudah tidak sempat untuknya mengejar pulang ke rumah pada waktu tengah hari seperti yang dirancangkan Ikram.
Rasa tanggungjawabnya pada Insyirah dan juga Nasuha, semua urusan rumah di siapkannya sebelum ke tempat kerja. Tentang Ikram, dia tidak begitu risau. Ikram selalu makan di luar sahaja, bila turun ke pejabat. Kadangkala, malam baru dia pulang ke rumah dan hanya pada hari minggu sahaja, masa Ikram di habiskan di rumah.
Tugasnya sebagai pembantu pra, pada pendengaran ianya cukup mudah. Tugasnya pasti sudah hanya membantu guru pra. Itu pada dasar bila dilihat daripada pandangan mata, kerjanya begitu mudah. Tugasnya ini, memerlukan kesabaran yang tinggi dan juga kepandaiannya dalam hal anak-anak. Karenah anak-anak kecil perlu dilayannya. Dia bagaikan seorang ibu untuk berpuluh pelajar di situ. Menjaga kebajikan dan makan mereka itu tanggungjawab yang perlu dipikulnya.
"Rina ada masalah ke?"sapa teman setugasnya cikgu NurAini, yang juga guru pra sekolah.
Marina menggelengkan kepalanya. Kini cikgu NurAini, satu-satunya teman baiknya. Segala masalah pasti akan dirujukkan kepada cikgu NurAini.
"Letihlah kak."rungut Marina.
"Kenapa? Menulis sampai tak tidur ke?"soal cikgu NurAini.
"Tak tahulah, Rina nak cakap macam mana."belakang tengkuknya dipicit-picit. Kepalanya memang terasa berat.
"Habis tu, bergaduh dengan Ikram?"
Kepalanya digelengkan. Bukan sebab itu. Sebenarnya dirinya begitu letih. Insyirah seakan mahu mengambil kesempatan dengan layanan baik yang di berinya. Semua kerja dari yang kecil, semua dia yang perlu uruskan. Takkan sampai hendak basuh berak, tukar lampin pun, hendak harapkan dia. Dia bukannya orang gaji Insyirah. Tetapi tuan kepada rumah yang ditumpangi Insyirah.
"Ceritalah. Lagipun takda siapa pun di sini."waktu tengahari begini, memang sudah tiada lagi anak-anak murid di kelas. Semuanya sudah pulang sejak jam 12 tengahari tadi. Kini hanya tinggal cikgu NurAini dan juga Marina sahaja.
"Ikram bawa adik iparnya balik rumah kami."terang Marina.
"Oh, itu masalahnya?"
Marina mengetap bibirnya. Adakah rungutannya ini, nampak seperti dia seorang yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan? Dia cuma ingin melepaskan lelahnya dan runsing di hatinya sahaja. Hendak di luahkan kepada Ikram, balik-balik Ikram mintanya bertolak-ansur dengan Insyirah. Katanya, kesian Insyirah kerana suaminya tiada di sisi.
Satu persatu kisah yang berlaku, Marina ceritakan kepada cikgu NurAini. Punca yang menyebabkan dia jadi begitu.
"Takkan dia tak boleh tinggal dengan keluarga dia?"tanya cikgu NurAini.
"Katanya, keluarga dia tak ada. Semua pergi ke Sabah."
"Habis tu, saudara-mara yang lain tak ada ke?"
Marina menjungkitkan bahunya. Dia tidak berapa tahu sangat tentang hal itu. Lagipun Marina dan Insyirah tidaklah begitu rapat sebelum ini. Bila Insyirah mahu menumpang di rumahnya, dia juga terkejut. Ini semua kerana hati budi baik Ikramlah.
"Rina serba-salah nak cakap. Tak cakap, Rina juga yang makan hati. Sekarang ni tak ada privacy."
"Hmm, iyalah. Ada orang luar. Kak Aini rasa, cuba Rina cakap baik-baik dengan Ikram. Apa yang Rina rasa...apa yang Rina tak puas hati... Cakap aje pada Ikram."nasihat cikgu NurAini.
"Rina dah cakap, kak. Dia minta Rina bersabar. Bertolak-ansur dengan adik ipar dia tu. Kak Aini pun tahu kan, Rina jenis yang macam mana? Rina ni bukannya kejam sangat, tapi Rina cuma nak kehidupan kami tak terganggu dengan kehadiran orang luar."luah Marina lagi. Kecil hatinya pada Ikram, sebenarnya masih bersisa. Bukannya Ikram mahu mengerti pun, jika semua itu diluahkan kepadanya.
"Rina sabar ajelah. Rina pun, kena juga jaga kesihatan diri. Patutlah mata kuyu aje. Mesti letih sangat, kan? Tambah-tambah lagi hari ni mula kerja balik."hanya cikgu NurAini sahaja mengerti akan perasaannya. Sebab itu, Marina selesa meluahkan gelisah hatinya itu kepada cikgu NurAini yang sudah dianggap seperti kakaknya sendiri.
"Memang kena sabar ajelah, jawabnya. Lama-lama nanti takut terlebih makan hati. Jiwa yang sakit kak. Mana dokumen yang akak nak Rina hantar ke pejabat tadi? Biar Rina hantarkan."Marina mematikan bualan kisah rumah tangganya di situ. Takut juga, nanti terlebih pula bercerita perihalnya sekeluarga. Cukup-cukuplah setakat itu sahaja.
"Boleh ke? Kalau tak boleh, biar akak yang hantarkan sendiri nanti."
"Tak apa, kak. Lagipun ini, memang tugas Rina. Mari sini Rina hantarkan."kertas-kertas yang sudah siap di masukkan ke dalam fail, disambut Marina. Dia terus berlalu keluar dari bilik darjah yang kemas dengan berwarna-warni coraknya.
Perlahan Marina mengatur langkahnya ke bilik pejabat yang berada di tingkat 2, blok B bangunan sekolah. Difikirannya masih lagi memikirkan keadaan Insyirah dan Nasuha di rumah. Agaknya apa yang Insyirah lakukan di rumahnya? Bersendiri pula?
"Maaf! Saya tak perasan tadi."kalut suara lelaki memohon maaf darinya. Fail yang di bawanya, yang terjatuh ke lantai itu, diambilnya kembali.
"Tak apa. Saya pun salah juga."Marina mengukir senyuman buat lelaki yang berdiri di hadapannya itu. Rasanya tidak salah, diberikan satu senyuman. Senyuman itukan, satu sedekah. Tag nama yang tertera di sebelah kanan dada lelaki itu diperhatikannya. Tertera nama Muiz Lukman. Mungkin dia juga guru di sini. Tapi tidak pula, dia pernah berjumpa dengannya sebelum ini.
"Maaf. Saya pergi dulu. Maaf ya."
Marina hanya menghantar lelaki itu dengan pandangan matanya. Dia juga mengatur langkahnya ke arah blok B. Arah yang sama di tuju lelaki yang bernama Muiz Lukman. Dokumen itu perlu di hantarnya segera. Masih banyak lagi kerjanya di kelas yang tertangguh.
Setibanya di pejabat, Marina terus berikan dokumen yang di bawanya tadi kepada kerani sekolah, iaitu Kak Hamidah. Sempat juga dia berbual-bual kosong dengan Kak Hamidah. Sekali lagi, dia bertembung dengan lelaki yang berlanggar dengannya tadi, keluar dari pejabat guru besar.
Muiz Lukman menghampiri Marina dan Kak Hamidah yang rancak berbual. Ditegur Kak Hamidah ramah.
"Maaf, kalau tak salah, cik ni la yang saya terlanggar tadi."Muiz Lukman mula menegur. Marina hanya mengangguk. Sekali lagi sedekah senyuman di berikan.
"Cikgu Muiz, bukan cik, tapi puan. Nanti terbekenan isteri orang, susah pulak."sampuk Kak Hamidah dengan sengehan yang melebar. Dia perasan, Muiz Lukman bagaikan terpegun bila melihat Marina.
"Isy, Kak Dah ni. Ada-ada ajelah."malu Marina. Mukanya yang putih itu, mula kemerah-merahan.
"Oh, maaf. Puan rupanya. Ingatkan masih cik. Nampak feminin, macam belum kahwin."Muiz Lukman menggarukan kepalanya yang tidak gatal. "Maaf ya, tadi. Puan..."
"Marina!"laju Kak Hamidah memperkenalkan Marina kepada Muiz Lukman.
Marina menyambut dengan tawa kecil. "Tak perlulah nak panggil saya puan. Rasa macam puan besar pulak. Panggil aje Rina."
Muiz Lukman menganggukkan kepalanya. "Saya Muiz Lukman. Cikgu baru di sini. Hari ni, tiga hari saya mengajar di sini. Panggil aje saya Muiz."terang Muiz Lukman.
"Rina ni, pembantu Pra Gemilang."sibuk sahaja Kak Hamidah. Dia pula yang menjawab lebih-lebih. Marina hanya tersenyum melihat gelagat Kak Hamidah. Tidak habis-habis dengan cerianya. Memang ceria sahaja, bila ada Kak Hamidah di sini, membangkitkan kesuraman.
"Kak Dah ni, laju aje jawab ye."sinis Muiz Lukman.
"Kak Dah tolong jawab."
"Rina minta diri dululah, Kak Dah...cikgu Muiz. Banyak lagi kerja yang Rina nak siapkan."Marina meminta untuk pergi. Pagi tadi, dia ada berjanji dengan cikgu NurAini, ingin membantu menghias kelas pra Gemilang.
"Rina!"
Muiz Lukman kini jalan seiring dengan Marina. Cepat juga langkahnya mengejar Marina ke bawah. Marina hanya buat-buat biasa. Di mana sahaja, pasti akan ada kenalan dan juga teman. Lagipun tidak salah, jika dia mempunyai ramai teman ditempat kerja. Bukannya dia berselingkuh di belakang suaminya. Dia tahu batasnya sebagai seorang isteri.
"Maaf ya tadi. Tak tersengaja langgar awak tadi."sekali lagi Muiz Lukman mengambil kesempatan ini, meminta maaf kepada Marina. Selepas berlanggar tadi, hanya sempat meminta maaf gitu-gitu sahaja. Ada kesempatan ini, dia ingin mohon maaf dengan lebih jelas.
"Saya okeylah. Tak ada apa-apa. Lagipun awak dah minta maaf tadi kan?"
Muiz Lukman menganggukkan kepalanya. "Awak dah lama kerja di sini?"soal Muiz Lukman.
"Dah empat tahun. Cikgu pulak, mengajar di sini, okey ke?"soal Marina pula.
"Bolehlah, sementara nak biasa. Sebelum ni, saya mengajar di Sabah. Dapat tukar ke semenanjung pun, saya dah cukup bersyukur. Dapat jugak, tinggal dekat dengan keluarga."
Marina menganggukkan kepalanya. Dia mengerti. Patutlah dia bertukar ke sini, dia sudah pun berkeluarga. Memang itu yang terbaik buat Muiz Lukman dan juga keluarganya. Tidaklah perlu berjauhan lagi. Detik Marina di dalam hati.
"Seronok ke jadi pengasuh anak-anak di pra? Mesti letih kan, nak layan karenah mereka." Muiz Lukman memberi pendapatnya sendiri. Dia sendiri mengerti, tugas sebagai pembantu pra. Apatah lagi, sesetengah anak murid yang masih belum cerdik. Basuh beraknya, pun mesti di buat Marina.
Marina hanya tersenyum dengan telahan Muiz Lukman. Biasalah itu semua. Bukanlah pembantu pra jika tidak mahu buat kerja itu semua. Itulah satu tugas yang perlu di lakukannya, bila tiba saat-saat sebegitu. Ikram pernah memintanya berhenti sahaja menjadi pembantu pra sekolah, tapi dia tetap mahu menyandang tugasnya itu. Masih mahu mencari pengalaman. Lagipun bosan tinggal sendiri di rumah tanpa teman. Menjadi pembantu pra, sekurang-kurangnya dia dekat dengan anak-anak itu semua.
"Biasalah cikgu Muiz. Kalau dah nama pengasuh tu... memang nak kena layan karenah mereka semua. Cuma mampu tak mampu aje. Kalau tak mampu nak buat semua tu, dah lama saya berhenti."jawab Marina sambil tertawa kecil.
"Iyalah. Baguslah macam tu. Baiklah Marina, saya pun ada kerja yang nak di selesaikan. Nanti kita jumpa lagi."Muiz Lukman meminta untuk pergi.
"Insya-Allah cikgu."
Muiz terus berlalu, meninggalkan Marina yang terus melangkah ke kelasnya dan Muiz Lukman pula, membelok ke blok C. Perkenalan mereka berakhir di situ sahaja.
Jumpa lagi? Kenapa perlu berjumpa lagi? Dia nak jumpa dengan aku lagi? Argh! Kenapa pulak, aku nak fikirkan yang bukan-bukan pulak. Memang sudah kerja satu tempat. Pasti ada waktunya kami akan berjumpa lagi. Detik Marina sendiri.
Kelas pra Gemilang yang nampak ceria itu, terus di hampirinya. Pintu yang sentiasa terkuak luas itu terus di majunya. Melangkah masuk ke dalam. Cikgu NurAini sudah pun mula menghias kelas itu tanpa menunggunya.
"Kenapa tak tunggu Rina aje kak?"tegur Marina, bila melihat cikgu NurAini sibuk menghias bilik kelas itu sendiri.
"Tak apalah. Akak buat apa yang patut dulu. Lagipun bukannya susah pun."
"Kalau macam tu, kita buat sama-sama ya kak."Marina mengambil kertas origami yang di buat pelajar pra Gemilang. Ditebuk lubang kecil di setiap bahagian atas origami itu. Agar mudah di masukkan benang dan digantung.
"Rina dah okey ke? Nanti pitam pulak kat sini. Akak tak larat nak angkat nanti."seloroh cikgu NurAini.
"Rina baik-baik ajelah kak. Jangan risaulah. Kuat lagi ni. Hm, kak! Sekolah kita ni, ada cikgu baru ya?"sudah tahu, disoalnya pula. Semacam tidak kena sahaja soalannya itu.
"A'a. Cikgu Muiz Lukman. Kacak orangnya."sambut cikgu NurAini.
"Hmm, dah kenal pun."
"Amboi, cepatnya kenal. Oh, pergi lama-lama tadi, ada sesi kenallah?"usik cikgu NurAini.
"Kenal sikit-sikit aje kak. Lebih-lebih nanti, ada pulak orang marah."sambut Marina dengan sengehan melebar. Dia terbayangkan suaminya Ikram saat ini. Jika Ikram tahu, di sekolahnya ada guru kacak, pasti sekali lagi dia akan cemburu. Sebelum berkahwin, Marina menjadi wanita idaman para guru di sini. Siapa yang tidak mahukan gadis yang lemah-lembut dan manis seperti Marina. Ramai yang mengintai Marina sebelum ini.
"Kalau Ikram tahu, ada cikgu baru, mahu di siasatnya pulak nanti. Takut nanti terbekenan kat isterinya yang cantik ni."
"Akak ni, ke situ pulak."
Telefon bimbitnya yang berbunyi nyaring dengan lagu Be Mine dari Tasha Manshahar itu dijawabnya. "Akak tak boleh baliklah Syirah. Nanti petang baru akak balik."
Cikgu NurAini hanya mendengar sahaja perbualan rakan setugasnya itu. Dia sudah dapat mengangak, siapa yang telefon Marina.
"Iyalah. Tengok macam mana nanti."panggilan terus di matikan. "Fuh!"keluh Marina sambil kepalanya yang tidak sakit itu dipicitnya. Masalah betul birasnya itu.
"Kenapa?"
"Syirah, biras saya tu. Nak saya balik sekejap."terang Marina. Wajahnya yang tadi sudah nampak sikit ceria, kembali suram.
"Apa dia nak?"
"Minta saya mandikan anaknya."terang Marina.
"Ya Allah! Nak mandikan anak pun tak pandai. Buat anak pandai, nak jaganya tak reti. Belajar-belajarlah sama."Cikgu NurAini pula yang merungut melebih Marina. Marina hanya menyambut kata-kata itu dengan senyuman kelat.
"Tak tahulah saya kak."
"Habis tu, Rina nak balik ke? Kalau nak balik, pergilah balik. Sekarang pun, waktu rehat. Sempat kalau Rina nak balik sekejap."cikgu NurAini memberi cadangan.
"Kalau Rina balik, akak tak kisah ke?"
"Sekejap aje kan?"
Marina menganggukkan kepalanya. Sekejap sahaja, dia akan pulang. Lagipun waktu kerjanya sama juga pekerja am yang lain.
"Baliklah."
"Kak Aini tak apa-apa ke?"
"Tak apa-apalah. Lagipun nanti kita boleh sambung balik."
Senyuman diberikan kepada cikgu NurAini. Cikgu NurAini selalu memahaminya. Sekali lagi, cikgu NurAini bertolak ansur dengannya.
KERETA Viva , milik Marina tersadai di tepian jalan. Waktu begini pula, keretanya itu mahu membuat hal. Sudahlah waktu rehatnya tinggal 30 minit sahaja. Jika tahu Insyirah mahunya pulang, dari awal-awal rehat tadi dia sudah pulang. Sudah hampir waktu rehatnya, baru Insyirah telefon meminta bantuan. Tidakkah itu, ingin menyusahkan diri namanya.
Bonet kereta bahagian depan di bukanya. Hanya mampu memandang sahaja. Dia mana tahu menahu tentang kereta. Yang dia tahu, hanya memandu sahaja. Jadi begini, terloponglah melihat kerosakan yang sendiri dia tidak tahu apa puncanya.
Tayar keretanya itu ditendang berkali-kali. Mulut mungilnya yang comel itu, tidak habis-habis membebel pada kereta yang sahih tidak bersalah itu. Geram! Marah! Semuanya sudah merajai dirinya. Hanya 1 kilometer sahaja lagi, keretanya buat hal. Jika berjalan, penat jugalah yang dapat.
Perlahan kereta Perdana silver berhenti di bahu jalan. Mungkin ada yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya. Sesusuk tubuh dengan berkaca mata hitam keluar dari perut kereta menghala ke arahnya.
"Kereta awak rosak ke?"
Marina mengamati wajah itu sekali imbas sahaja. Jika tidak salah, itu cikgu Muiz Lukman. Asyik terserempak dengannya sahaja hari ini.
"Hmm, tak tahulah rosak apa? Tiba-tiba aje meragam."terang Marina.
Kali ini Muiz Lukman menyangkutkan kaca matanya di hujung kepalanya. Makin terserlah ketampanannya itu. Patutlah Muiz Lukman menjadi sebutan hangat di sekolah. Rupanya cikgu itu begitu sempurna wajahnya. Tapi bagi Marina, ketampannan paras rupa itu, tidak memberi apa-apa makna buatnya. Apa yang penting hatinya baik. Contoh terdekat, pastinya Ikram suaminya.
Jam ditangan dipandangnya. Sudah 10 minit masa itu berlalu begitu sahaja. Sempatkah dia hendak kembali ke sekolah semula? Rungut Marina, jauh di dalam hatinya.
"Awak nak ke mana ni?"soal Muiz Lukman.
"Saya nak balik rumah sekejap. Ada hal."resah Marina, bila melihat waktu mula berginjak dari saatnya.
"Jauh lagi ke rumah awak?"
"Tak jauh sangat. Lagi 1 km aje."
"Dekat dah tu. Taman Delima ke?"Muiz Lukman meneka.
Marina menganggukkan kepalanya.
"Oh, kebetulan pulak. Saya pun tinggal di Taman Delima. Bolehlah awak tumpang saya. Kereta awak ni, nanti saya minta kawan saya tolong tengokkan. Lagipun kedai dia depan tu aje."Muiz Lukman memberikan cadangan. Tidak salah, jika dia menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan. Apatah lagi, Marina juga salah seorang temannya juga.
"Eh, tak apalah. Saya boleh ambil teksi. Tak pun, saya boleh jalan kaki."Marina menolak. Dia tidak mahu, menyusahkan Muiz Lukman nanti.
"Tak susahnya. Lagipun satu jalan. Satu taman. Lainlah saya nak menghala ke lain. Marilah saya tumpangkan."Muiz Lukman mempelawa Marina. Pintu keretanya itu sudah dibukakannya untuk Marina. Serba-salah juga Marina ingin menapak masuk ke dalam.
"Awak jangan takutlah, Rina. Saya ni orang baik."
Teringat pula kepada suaminya Ikram. Perangai Muiz Lukman, persis suaminya juga. Suka memuji-muji diri sendiri.
"Masuk ajelah. Saya nak hantarkan aje. Lagipun kita kan jiran tetangga. Jiran sekerja. Tak salah membantu."
Marina akur. Dari raut wajah Muiz Lukman, dia sudah dapat membaca, lelaki itu baik orangnya. Tetapi benarkah tekaan mata dan mindanya itu? Argh! Apa yang hendak di risaukan. Muiz Lukman salah seorang teman sekerjanya. Alih-alih, wajah itu juga akan dijumpanya di sekolah nanti.
"Terima kasih sebab sudi tumpangkan saya."
"Sama-sama. Tak jadi masalahlah."Muiz Lukman mengukirkan senyumannya. Jika gadis-gadis diluar sana pandang senyumannya itu, pasti ada yang rebah.
Sepanjang perjalanan, Marina banyak memandang ke arah luar tingkap. Dia segan. Dan kalau boleh dia tidak mahu melebih-lebih. Berdua begini pun, ada yang ke tiganya. Siapa lagi kalau bukan iblis.
"Rina dah lama tinggal di Taman Delima?"soal Muiz Lukman, mematikan sunyi sepi.
"Sejak kahwin. Rumah tu, suami saya dah beli sebelum kami kahwin lagi. Sekarang tinggal di Taman Delima dah 3 tahun jugak la."terang Marina. Sengaja dia membangkitkan tentang suaminya.
"Oh, lama jugaklah. Saya ni, baru minggu lepas masuk."terang Muiz Lukman dengan diselangi tawa nipisnya.
"Oh...entah-entah kita ni berjiran."
"Itulah. Entah-entah kita berjiran. Kalau berjiran, bolehlah kita pergi sekolah sama-sama."Muiz Lukman begitu ramah sekali. Seperti sudah lama mengenalinya pula. Marina tidak rasa kekok berbual-bual bersama Muiz Lukman. Cuma di kawal batas-batasnya.
"Kalau pergi bersama, nanti timbul fitnah pulak cikgu. Lebih baik kita aturkan perjalanan kita sendiri masing-masing."
Muiz Lukman tersengeh lebar. Ada benar juga kata-kata Marina. Apatah lagi, Marina statusnya pula isteri orang. Jika bukan isteri orang sekali pun, memang tidak manis di pandang. Lainlah mereka berdua memang saudara terdekat.
"Lorong mana rumah awak?"
"Lorong 3. Rumah hujung sekali."terang Marina.
"Oh, rumah saya lorong 4. Mujur tak bersebelah."Muiz Lukman melabuhkan tawanya. Bukan main ceria sekali Muiz Lukman.
Kereta perdana silver itu berhenti betul-betul di pagar banglo dua tingkat itu. Sampai juga Marina ke rumahnya. Kalut Marina keluar dari perut kereta. "Terima kasih cikgu. Tolong tumpangkan saya."
"Sama-sama."senyuman tetap mekar di wajahnya. "Marina!"kuat nama penuh Marina di panggil Muiz Lukman.
"Kereta Rina, nanti saya minta kawan saya tarik ke kedai. Dan kalau ada apa-apa, saya call bagitahu Rina."
Marina menganggukkan kepalanya dengan secalit senyuman.
"Nanti jumpa lagi."
Marina terus masuk ke dalam perut rumah dengan terkocoh-kocoh. Kalut dia melangkah ke dalam dan terus naik ke atas.
"Syirah!"panggil Marina.
"Iya kak. Syirah ada di dapur ni."jerit Insyirah dari bawah.
Nasuha begitu lena sekali. Marina mengatur langkahnya ke dapur, mendapatkan Insyirah yang sedang menjamu makanan yang di masaknya pagi tadi.
"Di sini rupanya Syirah. Akak ingat, Syirah ada atas."Marina melabuhkan punggungnya di sebelah Insyirah.
"Laparlah kak."gelojoh sekali Insyirah makan. Marina hanya tersenyum melihat gelagat Insyirah. Bagaikan setahun tidak makan lagaknya.
"Nyenyak sekali Nasuha tidur?"
"Hmm..."air masak suam diteguknya laju. "Lepas mandi tadi, terus dia tidur kak."
"Siapa yang mandikan?"berkerut wajah Marina. Tadi bukan main lagi, mintanya pulang segera. Sampai di rumah, katanya sudah mandi pula.
"Abang Ikram."
Laju sahaja darah berderau naik ke kepala. Ikram? Kenapa pula dia balik pada waktu tengahari? Selalunya Ikram memang tidak pernah pulang. Takkan Insyirah telefon Ikram, minta bantuannya?
"Abang Ikram balik ke tadi?"
Laju Insyirah menganggukkan kepalanya. "Kebetulan lepas call akak, abang balik. Abang Ikram balik ambil failnya yang tertinggal tadi. Jadi Syirah minta abang Ikram tolong."
"Abang Ikram mana pandai."Marina masih ragu-ragu.
"Kami mandikan Nasuha sama-sama. Nasuha, Syirah pegangkan dan abang Ikram yang jiruskan Nasuha."makin panas hati Marina mendengar cerita Insyirah. Sampai begitu sekali. Dipujuk hatinya agar tidak berprasangka yang bukan-bukan.
"Oh. Kalau dah selesai, tak apalah. Akak nak kena masuk kerja pulak nanti ni. Kalau ada apa-apa, Syirah calllah akak awal-awal sikit. Syirah tak ada apa-apa dah kan, nak minta tolong akak?"
Insyirah bagaikan berfikir. Lama juga dia merenung wajah Marina kosong. "Hmm, boleh tak akan belikan Syirah bekalan untuk Syirah makan, sepanjang akak dan abang tak ada."minta Insyirah.
"Hmm, iyalah. Nanti akak belikan, apa yang Syirah boleh makan. Akak pergi dulu ye."Marina melangkah keluar dari perut rumahnya.
"Alamak! Kereta aku, kan rosak. Macam mana aku nak ke sekolah pulak ni?"Marina terlupa. Perlahan ditepuk kepalanya.
Telefon bimbitnya yang berada di dalam beg tangannya di ambil. Nombor telefon Ikram di dail.
"Abang ada kat mana ni?"terus Marina menyoal. Sudah lupa untuk memberi salam.
"Abang on the way nak ke pejabat. Kenapa ni sayang?"
"Rina ada kat rumah ni. Kereta Rina pulak rosak. Ada tepi jalan. Tapi Rina dah minta orang tolong hantarkan ke kedai tadi."cerita Marina.
"Habis tu?"
"Rina nak ke sekolah semula, bang. Abang patah balik, ambil Rina. Boleh?"
"Sayang, abang dah lambat ni. Tak sempatlah kalau nak patah balik. Abang ada meeting sekejap nanti. Sayang telefon teksi ye. Sorry sayang."
"Takkan tak boleh?"
"Tak boleh sayang. Abang dah lambat ni. Sayang panggil teksi."
"Iyalah. Rina panggil teksi aje."panggilan terus di matikan begitu sahaja.
Keruh wajah Marina. Hatinya memang terasa sakit sekali. Rasa sebak sahaja. Insyirah tadi, boleh pula di bantunya. Sedang dia isterinya sendiri pun tidak mahu ditolongnya. Ikram jika dengan orang lain, bukan main sekali. Dengan dirinya, ada-ada sahaja alasan jika diminta bantuan.
Kali ini, Marina berkecil hati sekali dengan suaminya. Malah robek hatinya. Tambah-tambah lagi, bila mengingati apa yang di beritahu Insyirah kepadanya tadi.
Marina mengatur langkahnya menuju ke jalan besar. Jam ditangannya dipandang. Masih bersisa beberapa minit sahaja lagi waktu rehatnya. Perutnya juga masih belum terisi. Sibuk sangat dengan urusan orang lain, diri sendiri juga terbiar.
Mudah sahaja, airmatanya gugur ke pipi. Diseka airmatanya itu, daripada ianya dari terus menitis. Nanti dipandang, lain pula yang difikir.
Marina betul-betul berada di depan jalan besar. Menanti teksi yang lalu lalang. Semua teksi yang di tahannya, langsung tidak berhenti. Semuanya sudah penuh dengan penumpang. Dugaan sungguh hari ini.
Jam ditangannya berkali-kali dipandangnya. Mahu tidak mahu, cikgu NurAini di telefonnya. Beritahu masalah yang menimpa dirinya. Memberitahu, dia akan sedikit lewat balik ke sekolah. Tentang cikgu NurAini, dia tidak berapa kisah sangat. Takut guru besar yang tahu nanti. Dia juga yang susah. Guru besar Sahak, memang tegas orangnya. Bab-bab begini, dia begitu tegas.
"Eh, Rina. Awak buat apa di sini?"sapa Muiz Lukman.
Terkejut Marina dengan sapaan Muiz Lukman. Hari ini, entah ke berapa kali dia bertembung dengan cikgu kacak itu.
"Cikgu tak balik lagi?"
"Saya lepak kat kedai tu."muncung mulut Muiz Lukman ke arah bengkel kereta yang berada tidak jauh dari perhentian itu. Juga dilihatnya, kereta Vivanya sudah tersadai di dalam kedai itu. Cepat sekali.
"Saya tunggu teksi. Nak balik ke sekolah."terang Marina.
"Kenapa tak cakap, awak nak balik rumah sekejap aje. Kalau tak, saya boleh tunggu tadi."
"Eh, saya tak mahulah susahkan cikgu. Cikgu tumpangkan saya pun dah cukup baik."Marina tidak suka mengambil kesempatan. Cukuplah setakat itu bantuan. Dia tidak suka meminta lebih-lebih.
"Tak susahlah."
"Kereta saya, lambat lagi ke siap?"tanya Marina. Jika hanya 10 minit ke 15 minit, rasanya tidak salah dia menunggu. Sekurang-kurangnya dia ada alasan lewat ke sekolah.
"Esok! Yup, esok baru siap."
Sedikit sepet mata Marina. Panas yang memancarkan ke matanya, membuat matanya berasa bersilau. Tangannya menutup sedikit bahagian matanya.
"Saya hantarkan. Marilah!"pelawa Muiz Lukman sekali lagi.
Marina menggelengkan kepalanya. "Tak payahlah. Saya tahan teksi aje. Hah, itu pun teksi."tangannya melambai-lambai. Harapannya kali ini ada teksi yang berhenti.
Muiz Lukman hanya tersenyum sinis. Keningnya dijungkitkan berkali-kali. "Awak nak tunggu teksi lagi? Sekarang ni, memang susah awak nak dapat teksi."
Marina hanya diam. Betul, memang waktu begini susah hendak dapatkan teksi. Dari tadi, teksi yang ditahannya, langsung tidak berhenti. Takkan sekali lagi, dia mahu susahkan Muiz Lukman.
"Marilah saya hantarkan. Tak salah tolong rakan sekerja."
Marina akur. Sekali lagi, dia menerima pelawaan Muiz Lukman. Dia tiada alasan lagi untuk menolak pelawaan Muiz Lukman. Kali ini, dia memang memerlukan bantuan cikgu kacak itu. Mujur Muiz Lukman ada, sebagai penyelamatnya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top