SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 3
TANPA berbincang dengan Marina, Ikram membawa Insyirah dan juga Nasuha pulang ke rumahnya. Semuanya di lakukan tanpa pengetahuan Marina. Terkejut Marina, bila Ikram pulang bersama-sama dengan Insyirah dan juga bayinya. Terkesima Marina tidak terkata apa-apa.
Makin terkejut Marina, bila Ikram beritahu, sepanjang berpantang, Insyirah akan terus tinggal bersama mereka berdua. Tindakan Ikram kali ini, sedikit sebanyak membuatkan Marina kurang senang dan terguris.
Marina tidak mampu berkata apa-apa lagi. Insyirah sudah pun di bawa ke rumah, takkan mahu di halau Insyirah keluar pula. Dia tidaklah sekejam itu, hingga mahu menghalau Insyarah dan bayi kecil itu.
"Ini bilik Syirah."Marina menunjukkan bilik yang selama ini kosong tidak berpenghuni itu. Kehadiran Insyirah dan Nasuha, dapat mengisi kekosongan kamar itu dari terus sepi. Masih banyak lagi kamar yang tidak berpenghuni.
"Wah, besarnya bilik ni. Terima kasih."
"Sama-sama."
Insyirah masuk ke dalam dengan hati-hati. Perlahan sahaja langkahnya. Mungkin masih terasa sakit luka jahitannya itu. Duga Marina melihat Insyirah yang berjalan begitu perlahan. Beg pakaian Insyirah, dibantu Ikram bawa ke dalam. Di letakkan dihujung katil.
"Terima kasih, abang Ikram. Terhutang budi Syirah dengan abang."
Marina hanya diam sahaja. Tidak mencelah.
"Akak pun, Syirah ucapkan terima kasih, sebab sudi tumpangkan Syirah di sini. Tak sangka pulak, last minit, keluarga Syirah nak ke Sabah. Mahu tak mahu, Syirah terpaksa susahkan akak dan abang."lembut sungguh bicara Insyirah. Berbeza sekali dengan seperti yang diperkatakan Zaidah. Takkan Zaidah pula yang mereka-reka cerita. Lagipun Marina pernah melihat dengan matanya sendiri, Insyirah bersikap kasar dengan ibu mertuanya. Mungkin dia sudah berubah.
"Tak apalah, Syirah. Apa gunanya kita bersaudara."Ikram memang seorang abang dan saudara yang baik. Baik tidak mengira sesiapa pun. Huluran bantuan selalu diberi dengan mudah, tidak mengira masa. Tidak kira dia berada dalam keadaan susah sekali pun, dia pasti akan membantu. Itulah sikap Ikram yang tidak dapat dikikis hingga ke hari ini.
"Terima kasih bang."sekali lagi ucapan terima kasih itu kedengaran. Entah ke berapa kali ucapan terima kasih itu di sebut Insyirah.
"Kami keluar dulu, Syirah rehatlah. Kalau nak apa-apa beritahu Kak Rina. Tapi hari ni ajelah, sebab esok akak dah nak masuk kerja."beritahu Marina. Ikram pun satu. Sudah tahu, dirinya mahu mula kerja esok, kenapa di bawa balik Insyirah ke rumah mereka. Bukannya Ikram tidak tahu. Sengaja ingin mencari masalah. Ngomel Marina di dalam hati.
Ikram membuntuti Marina dari belakang. Pinggang Marina yang dipaut ditepis Marina. Menolak tangan itu, dari terus merangkul pinggangnya.
"Kenapa ni, sayang?"tanya Ikram. Bukannya dia tidak mengerti perasaan isterinya, sengaja dibuat-buat tidak tahu.
Masam mencuka muka Marina. Badannya dipeluk erat. Mulutnya sudah muncung. Duduknya pula, jauh bertentangan daripada suaminya. Tanda protesnya pada Ikram.
"Sayang kenapa ni?"
"Kenapa abang bawa balik Syirah, tak tanya Rina dulu? Sesuka hati abang je, nak ajak Syirah tinggal dengan kita."ngomel Marina. Dijeling tajam ke arah Ikram.
"Alah, orang tengah dalam kesusahan. Kita tolong ajelah. Lagipun dia adik ipar abang jugak. Bukan orang lain pun dengan kita."jawab Ikram.
"Masalahnya, esok siapa nak tengokkan Syirah? Kan esok Rina dah kerja. Abang ni, bukan nak bincang dulu dengan Rina."sambung Marina lagi. Memang tidak puas hati sekali.
"Sebelum pergi kerja dan balik kerja, Rina tengokkan la. Bukannya susah sangat pun. Sebelum pergi kerja, Rina masak siap-siap. Tak pun, tengahari tu, Rina baliklah kejap. Lagipun rumah kita dekat aje dengan sekolah."balas Ikram. Mudah sahaja dia berfikir. Entah apa yang berada di fikiran suaminya sekarang. Sehingga mahu menyusahkan diri dan juga dirinya.
"Bukan Rina tak mahu. Tapi letihlah bang. Di sekolah dengan anak-anak murid pra, balik rumah nak sambung kerja lagi. Rina ni, dah kena mengasuh anak-anak kat sekolah yang macam-macam ragam ada."rungut Marina.
"Merungut ke?"sinis Ikram.
"Bukan merungut. Tapi takut tak mampu nak buat semua tu. Rina ni bukannya cikgu, boleh balik awal."
"Tolong ajelah. Orang dalam kesusahan. Nanti kita susah, mereka pula tolong kita."
Berketap gigi Marina. Entah kenapalah suaminya itu terlalu baik. Hingga teguran dan bantahan Marina, semua di tepisnya. Marina mula tidak mengerti dengan sikap Ikram kali ini. Sikapnya berbeza daripada sikapnya sebelum ini. Bagaikan ianya satu perubahan baru buatnya.
"Rina turun dulu. Nak masak apa yang patut kat Syirah."sinis sahaja kata-kata Marina dan terus berlalu pergi. Ikram sempat menyambut lengan isterinya. Lalu dibisiknya sesuatu.
"Sayang janganlah, tunjuk sikap begini pada Syirah. Nanti berkecil hati pula Syirah."
Marina tersenyum sinis ke arah Ikram. "Kecil hati orang lain abang kisahkan. Kecil hati Rina ni, ada abang kisahkan?"Marina terus berlalu meninggalkan Ikram. Serba-salah Ikram dengan penerimaan Marina. Salahnya juga, kerana membuat keputusan tanpa bertanya kepada Marina. Dia juga sudah berjanji dengan Idlan untuk menjaga Insyirah dan bayinya. Dia kini tersepit di tengah-tengah. Antara isterinya dan juga simpati pada Insyirah.
HIDANGAN untuk Insyirah selesai juga di masaknya. Sup ikan haruan sahaja yang di masaknya buat Insyirah. Ikan haruan baik untuk penyembuhan luka-luka dalaman atau luaran. Kebetulan, di hadapan rumahnya ada jiran yang menjual ikan haruan secara kecil-kecilan. Tidak susah untuk Marina mendapatkannya.
Ikram datang memeluk Marina yang sibuk membasuh pinggan mangkuk di dapur. Satu kucupan terus hinggap ke pipi isterinya. Cuba memujuk rajuk isterinya itu.
"Jangan ganggu Rinalah bang. Sibuk ni."ngomel Marina.
"Selalunya, tak apa-apa pun. Kenapa hari ni tak boleh?"rungut Ikram.
Marina terus-terusan menolak tangan Ikram yang cuba memeluknya.
"Sayang janganlah marah lagi. Merajuk kuatlah sayang ni."bisik Ikram di sebelah telinga Marina. Sekali lagi ciuman diberikan ke pipi Marina. Merah muka Marina. Laju tangannya menampar-nampar tangan suaminya.
"Teruklah abang ni. Abang ingat, dengan beri kucupan ni, Rina maafkan abang. Tiada maaf bagimu!"rajuk sekali Marina. Dijeling tajam ke arah Ikram. Laju langkahnya ke arah ruang tamu. Langkahnya itu, di kejar Ikram dari belakang.
"Merajuklah sangat. Buruklah muka sayang kalau merajuk."usik Ikram. Seronok melihat gelagat isterinya merajuk. Setakat mana Marina dengan rajuknya itu. Habis kuat, sekejap lagi, okeylah dia. Getus Ikram. Yakin sekali dengan tekaannya.
Suara tangisan bayi yang kuat kedengaran membuatkan mereka terdiam. Kuat sekali, tangisan Nasuha hingga kedengaran ke bawah.
"Kenapa tu? Teruk sangat menangis?"soal Marina. Terus kakinya melangkah menaiki anak tangga dan terus berlalu ke bilik Insyirah. Kakinya terus melangkah masuk ke dalam bilik yang menempatkan Insyirah dan juga bayinya.
"Kenapa ni, Syirah?"soal Marina risau. Dihampiri Insyirah yang mendodoi Nasuha dengan goyangan badannya.
"Tak tahulah, kak. Tiba-tiba aje menangis."terang Insyirah. Dia juga tidak tahu, bagaimana harus di buatnya. Lagipun ini pertama kali Nasuha menangis sebegini teruk.
"Mari sini akak tengok."hati-hati Marina mengambil Nasuha dari dukungan Insyirah. Nasuha tetap terus menangis. "Dia lapar ke?"soal Marina.
"Syirah dah bagi tadi. Tapi Nasuha tak mahu. Lampin pun, Syirah baru aje tukar."cerita Insyirah. Risau melihat keadaan anaknya.
"Kenapa ni sayang? Perut kembung agaknya?"Marina meletakkan Nasuha di bentangan tilam. Perut Nasuha dipegangnya lembut. Memang terasa keras sekali, perut si kecil itu. "Kembung ni, Syirah. Ada minyak telon tak? Akak nak sapukan di perut Nasuha."
Kalut Insyirah memunggah beg pakaiannya. Mencari minyak yang di minta birasnya. Minyak telon Babyku diberikan kepada Marina.
Minyak itu dipicit ditelapak tangannya, lalu disapu ke perut Nasuha. "Ambil barut bagi akak."arah Marina.
Insyirah masih terkebil-kebil. Barut yang terikat di badannya, dibuka dan diberikan kepada Marina.
"Ya Allah, Syirah. Bukan yang ini. Barut untuk baby tak ada ke?"soal Marina.
Perlahan Insyirah menggelengkan kepala. Bagaimana rupa barut itu pun dia tidak tahu. Tidak pula dibeli barangan bayi itu secukupnya. Idlan hanya membeli kain lampin, minyak telon dan juga tiga helai pakaian sebelum Insyirah melahirkan.
"Tak ada ke Syirah? Habis tu, apa yang ada?"soal Ikram pula. Dari tadi matanya tidak lepas memandang barangan yang dipunggah dari dalam beg pakaian Insyirah itu. Yang dilihatnya, cuma kain lampin, dua helai pakaian bayi dan minyak telon. Itu sahaja yang dapat dilihatnya. Keperluan bayi yang lain-lain tidak pula kelihatan.
"Ini ajelah bang. Ini aje yang abang Lan beli."
Marina hanya menggelengkan kepala. Itu sahaja keperluan yang di belikan Idlan untuk anak mereka. Selama ini, duit yang di minta daripada Ikram katanya untuk membeli keperluan bayi, digunakan untuk keperluannya yang lain. Idlan...Idlan.. Kenapalah begini sikap kau. Kesian Nasuha dapat ayah seperti Idlan.
"Tak apalah. Rina sekejap nanti, Rina temankan abang beli barang keperluan Nasuha. Kesian Nasuha. Ayah tak belikan barang untuk Nasuha. Nak Kena ayah ni."Ikram berbual dengan Nasuha yang sudah mula dibuai lena.
"Kembung perut Nasuha ni, Syirah. Itu dah lena pun. Lepas ni, Syirah turun makan. Jangan makan lewat-lewat. Nanti perut masuk angin. Kesian kat anak."pesan Marina. Dia berpengalaman juga menjaga ibu berpantang. Dahulu, dia sering membantu mak sunya menjaga sepupunya yang sedang berpantang. Banyak juga yang dipelajarinya di situ.
"Betul cakap Kak Rina tu, Syirah. Pergilah makan. Kak Rina buat sup ikan haruan kat Syirah."bukan main lagi Ikram bercerita apa yang di masak isterinya itu.
"Iyalah kak..abang. Syirah turun makan."
"Hmm, Syirah tunggu sini ajelah. Biar akak bawa nasi dengan sup ke atas. Makan di sini sahaja. Teruk sangat tengok Syirah nak jalan tu."simpati pula melihat keadaan Insyirah. Terbit juga rasa kasihan itu. Marina turun ke dapur dan menyiapkan hidangan untuk dihidangkan kepada Insyirah di bilik. Ikram pula sudah bersiap-siap untuk keluar sebentar nanti.
Beberapa minit kemudian, Marina membawa dulang yang diisi dengan nasi panas dan juga sup ikan haruan yang masih panas. Elok orang berpantang makan, makanan yang masih panas-panas begini. Tidaklah perut masuk angin nanti.
"Makanlah, Syirah. Nanti kalau dah sudah, tinggalkan aje di sini. Balik nanti, akak ambil semua ni. Syirah jangan bergerak banyak-banyak."pesan Marina bagaikan pakar sekali dalam bidang ini. Sedangkan dia sendiri tidak pernah merasakan saat-saat begini.
Kerana sibuk melayan Insyirah, rajuknya pada Ikram terus hilang begitu sahaja. Mudah sahaja, jika Marina merajuk. Ikram tidak perlu bersusah-payah memujuk, kerana rajuknya itu akan reda sendiri.
NASIHAT Marina supaya tidak banyak bergerak, tidak di endahkan Insyirah. Kakinya galak melangkah di dalam setiap ruangan rumah itu. Melihat kekemasan rumah dan juga kemewahan abang iparnya dan juga isteri. Cemburu melihat kehidupan Ikram dan Marina yang sedikit senang, berbanding dirinya.
Hidupnya hanya menumpang di rumah usang milik keluarganya sahaja. Ibunya yang bekerja sebagai penjual gerai makanan, hanya mendapat wang cukup-cukup sahaja untuk di belanja. Mereka ke Sabah pun, kerana ditaja bakal suami adik yang menetap di sana. Hujung minggu ini, adiknya Linda akan berkahwin dengan anak jutawan dari Sabah. Dia pula hanya bersuamikan lelaki yang bekerja buruh sahaja. Duit cukup-cukup sahaja.
Berada di rumah banglo yang sebesar ini, sudah membuatkannya berasa begitu gembira. Sekurang-kurangnya dia dapat juga merasakan kesenangan di sini. Apatah lagi, Marina yang melayannya bagaikan tuan pemaisuri. Emaknya sendiri tidak melayannya sebaik ini. Tapi tidak bagi Marina.
"Hmm, kalaulah Idlan macam ni jugak, mesti aku hidup mewah. Tak perlulah aku nak susah macam sekarang. Dapat suami pun, tak boleh harap."bising Insyirah sendiri.
Setiap sudut rumah itu, dilihatnya. Memang selesa! "Kan lagi bagus, kalau Ikram tu suami aku."galak Insyirah mengusik barangan berharga yang terdapat di dalam rumah itu. Bingkai potret sahaja, sudah disalut dengan emas. Mesti Ikram banyak duit, hingga sanggup berhabis untuk membuat bingkai gambar perkahwinannya dan Marina sebegitu. Ternganga luas mulut Insyirah. Tidak terkata apa-apa kali ini.
Bunyi kereta di luar rumah, menyedarkan Insyirah. Segera dia melangkah masuk ke biliknya kembali. Membaringkan kembali badannya ke tilam.
Beberapa ketika kemudian, kedengaran suara mesra pasangan suami isteri bergurau. Bahagia sekali mereka berdua. Sekali-sekala kedengaran mereka ketawa riang. Dahulu dia dan Idlan begitu juga, tetapi sejak Idlan berada di dalam penjara, dia tidak merasakannya lagi.
"Syirah tak tidur ke?"soal Marina, sejurus masuk ke dalam bilik Insyirah. Mata Insyirah, melekap di ayat-ayat buku novel yang dibacanya.
"Eh, akak. Bila balik, tak perasan pulak."pura-pura Insyirah.
"Baru aje sampai ni. Ini semua barang-barang untuk baby. Baju, stokin, selimut...semuanya ada. Nanti abang Ikram bawa naik yang lain-lain." Baju bayi yang dipilihnya tadi, di keluarkan satu persatu. Tidak dapat belikan untuk anak sendiri, belikan pada anak buah pun jadi. Asalkan dapat merasa kenikmatan membeli belah barangan keperluan bayi.
"Banyaknya kak. Susah-susahkan akak dengan abang aje."berbasi-basi Insyirah. Di dalam hati, dia begitu senang sekali dengan layanan suami isteri itu. Terus tinggal di sini pun, dia tidak kisah, jika begitu baik layanannya.
"Tak ada apa-apalah. Seronok borong semua ni tadi."masih jelas kegembiraan di wajah Marina. Memang puas dan seronok. Terasa belikan untuk anak sendiri pula.
"Oh, lupa pulak kak. Syirah ambil novel ni. Novel akak punya ya?"novel Cinta Tak Sempurna yang terletak di meja ruang tamu tadi sempat di capainya.
"A'ah. Novel akak. Baru beli semalam. Belum sempat baca lagi. Tapi kalau Syirah nak baca, bacalah dulu. Nanti dah habis, bagi akak pulak." Marina melayan Insyirah dengan baik sekali. Penyakit dari suaminya itu, sudah berjangkit pada dirinya.
"Terima kasih kak. Nanti dah habis baca, Syirah bagi akak balik."Lembut sungguh lidah Syirah. Andailah Marina tahu, dirinya sudah mengusik barangan rumahnya itu dan juga angan-angannya tadi, pasti luruh sahaja jantungnya itu.
"Eh, abang bawa apa pulak tu?"membulat mata Insyirah melihat Ikram masuk dengan membawa sesuatu bungkusan besar.
"Ini katil. Katil untuk anak buah pak ngah yang comel tu."
"Ya Allah. Apa yang susah-susahkan sangat. Nasuha boleh tidur dengan Syirah atas katil ni. Bukannya tak muat."padahal jauh di dalam hati, begitu melonjak-lonjak kegembiraan. Seronok melihat barangan yang tidak putus-putus di belikan oleh pasangan suami isteri yang kempunan mahukan anak. Bertuah badan.
"Untuk anak buah pak ngah. Pak ngah, tak kisah."teruja sekali Ikram memasang katil kecil itu untuk Nasuha. Selepas ini, bolehlah dipasang mainan di katil itu.
"Abang ni, tahu pasang ke tak?"Marina mencubit lengan suaminya lembut.
"Abang cubalah ni. Mana contoh tadi?"barangan yang sudah berselerak dipunggahnya lagi. Mencari kertas rujukan untuk memasang katil yang baru di beli.
"Ini! Apalah abang ni. Teruja aje lebih."
"Memanglah teruja. Teruja nak pasang ni. Nanti bolehlah sayang tidur dalam katil ni. Jadi baby abang sampai bila-bila."gurau Ikram. Gurauan Ikram disambut dengan ketawa mesra Marina.
"Mengada-ngadalah abang ni. Abang ajelah yang duduk dalam tu, sambil hisap puting."
Kedengaran ketawa dua pasangan suami isteri itu. Begitu bahagia sekali mereka berdua. Makin menebal bibit cemburu itu terasa jauh di lubuk hati Insyirah. Kenapa mereka berdua, begitu cukup sempurna? Bukan sahaja hidup senang, malah mewah dengan kasih sayang.
Andailah Ikram jadi miliknya, pasti bahagia itu akan menjadi miliknya juga. Tidaklah dia perlu makan hati dan cemburu lagi. Tapi bagaimana? Ikram adalah abang iparnya. Idlan pula adalah suaminya. Mereka berdua adalah saudara. Argh! Apa yang hendak di pedulikan, asalkan semua itu di milikinya. Mana boleh dia bersama Ikram, seandainya dia masih ada ikatan sah dengan Idlan. Hanya satu caranya, dia perlu di lepaskan. Tersenyum senang Insyirah.
"ARGH! Penatnya sayang. Picit belakang abang."arah Ikram. Badannya memang sudah terasa lenguh-lenguh. Penat berjalan, membeli barangan untuk Nasuha.
Marina menurut sahaja. Belakang suaminya itu dipicit-picit, walaupun badannya juga terasa lenguh-lenguh.
"Seronokkan tadi, sayang."
"Hmm.."wajah Marina yang tadi penuh dengan senyuman, mula berubah suram. Tiba-tiba sahaja, hatinya begitu tersentuh. Andainya barangan keperluan bayi tadi di beli untuk anak mereka sendiri, pasti lain rasa kenikmatannya itu. Pasti ianya lebih bermakna.
Tangannya yang tadi galak memicit-micit belakang suaminya itu terhenti.
"Kenapa ni sayang?"Ikram yang tadi berbaring, bangun sambil memandang wajah si isteri yang sudah mula bermuram. Matanya pula sudah mula berkaca. "Hei, sayang. Kenapa ni?"
Laju sahaja airmatanya itu gugur, bila Ikram terus menyoalnya begitu. Makin hatinya menjadi-jadi runtun pilunya. Badan suaminya itu terus dipeluknya. Meledakkan tangisan di dada suaminya.
"Shhh...sayang. Janganlah macam ni."
"Andailah kita punya anak seperti Syirah pasti makin bahagia hubungan kita." Diluah juga apa yang membuatkan, hatinya begitu terusik.
"Kenapa cakap macam tu sayang. Walaupun kita tak punyai anak, kita berdua cukup bahagia, kan sayang?"rambut Marina terus diurupnya. Ubun-ubun Marina terus dikucupnya.
"Tapi Rina teringin sangat punyai anak sendiri, abang. Dah tiga tahun kahwin, masih juga belum ada anak. Idlan dan Syirah yang baru setahun kahwin pun dah ada anak. Inikan kita abang."diluahkan lagi rasa gundah dihatinya.
"Sabarlah sayang. Nanti adalah rezeki kita berdua. Cuma masih belum sampai waktunya. Mungkin Tuhan nak berikan kita lagi masa untuk berdua-duaan."Ikram cuba memujuk Marina yang kesedihan.
"Maafkan Rina, sebab tak mampu berikan anak pada abang. Maafkan Rina, bang."Marina terus teresak-esak di dada Ikram. Lagu tangisnya itu tidak mampu terhenti. Makin galak ianya mengalunkan irama pilu.
"Sayang, abang tak kisah semua tu. Asalkan sayang ada di sisi abang pun sudah cukup untuk abang. Tentang anak, abang tak kisah. Bila-bila nanti, pasti ada rezeki kita. Cuma kita tak ada rezeki lagi. Sayang sabarlah dulu. Nanti mana tahu ada rezeki, kita dapat anak ramai."
"Tapi macam mana, kalau Rina tak dapat berikan abang anak sampai bila-bila?"kepalanya didongakkan. Memandang tepat ke wajah suaminya. Airmata yang masih bersisa, dibiarkan terus membasahi pipinya.
Laju jari telunjuk Ikram diletakkan di bibir Marina. Tidak mahu, Marina mengulangi bicara sebegitu lagi. Kata-kata itu tidak perlu lagi hadir di bibir Marina.
"Bagaimana semua itu terjadi? Sanggupkah abang hidup dengan Rina, tanpa ada pewaris?"tetap bergema soalan itu dibibirnya.
"Sayang, tolonglah jangan macam tu lagi."halang Ikram. Badan Marina kembali dipeluknya. Terasa sejuk sahaja, airmata Marina terasa di kulit badannya. Sungguh dia terasa juga, apa yang di rasakan Marina. Cuma ditahankan airmatanya itu dari terus menitis di hadapan isterinya.
"Kalau Rina tak dapat berikan abang anak jugak, abang kahwinlah lain. Sekurang-kurangnya ada juga waris untuk keluarga ni. Waris dari darah daging abang sendiri. Nanti ada juga, yang akan warisi perniagaan abang kelak."Marina sudah jauh berfikir.
Laju Ikram menggelengkan kepalanya. Tidak setuju dengan kata-kata Marina. Semua itu tidak akan berlaku. Apapun yang terjadi, dia akan berusaha mempertahan cintanya itu. Walau tidak punyai anak, mereka mampu kecapi bahagia itu bersama. Itulah janji cintanya.
"Sayang, cukuplah. Abang tak mahu dengar semua tu lagi. Sudah-sudahlah sayang. Apa-apa pun, abang akan terus menyayangi Rina. Abang akan terus bersama Rina, walau apa pun sekali keadaan kita. Sebab sayang begitu bermakna buat diri abang. Percayalah sayang."Ikram mula mengatur aya-ayat manis buat isterinya. Itulah yang dirasakannya ketika ini. Marina cukup bererti buat dirinya.
"Abang tak kisah?"
"Iya sayang."
"Rina pun sayangkan abang. Cintakan abang. Rina tak mahu kehilangan abang. Rina ingin terus hidup bahagia dengan abang buat selama-lamanya. Ingin jadi penyeri hidup abang selama-lamanya."sambut Marina dengan ayat-ayat madah cintanya itu.
"Iya, sayang. Abang janji. Abang takkan biarkan sayang sendiri. Kita akan terus bersama-sama."
"Terima kasih, abang."tangan Ikram terus dikucupnya. Dan Ikram membalas kucupan itu juga. Terasa hangat bila kucupan itu singgah di dahinya. Memang rasa bahagia itu, tidak pernah luntur daripada hati mereka berdua.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top