SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 2

SEJAK pulang petang tadi, Ikram lain sahaja. Marina sangat perasan akan perubahan suaminya itu. Ikram asyik diam dan termenung. Marina tahu, Ikram pasti bimbingkan keadaan ibunya di kampung yang bersendirian, dan juga risaukan keadaan adik kesayangannya itu.

Air kopi o panas yang sudah dibancuhnya, dihidangkan dengan cucur udang yang dibuatnya tadi.

"Abang, jemputlah makan dan minum. Rina buatkan cucur kegemaran abang ni."Marina duduk disebelah Ikram. Hanya menunggu, saat bila, Ikram akan menceritakan apa yang sudah berlaku kepada keluarganya. Itu sikap Marina, dia tidak akan menyoal akan masalah keluarga suaminya itu, sehinggalah Ikram sendiri yang akan membuka mulutnya sendiri. Marina sudah faham dengan sikap suaminya, jika disoal, tiada jawapan yang akan diberinya, melainkan dia sendiri yang akan menceritakannya kepada Marina. Sebab itu, Marina mengambil langkah untuk terus berdiam sahaja. Tiga tahun ini, Marina sudah cukup mengenali siapa suaminya itu.

"Terima kasih, sayang."

"Sama-sama. Rina tahu, abang balik ni, mesti lapar. Oh ya, abang pergi ke mana tadi? Rina call tak berangkat. Abang keluar dating?"usik Marina. Padahal dia sudah tahu, ke mana suaminya itu pergi. Sengaja ingin menguji suaminya itu.

"Abang balik rumah mak tadi. Ada hal sikit."

"Hal apa tu?"soal Marina lagi.

"Tak ada apa-apalah. Adalah hal sikit."

Marina menjuihkan bibirnya. Sudah diagaknya. Ikram tidak akan menceritakan masalahnya itu kepadanya. Namun itu tidak membuatkannya untuk berkecil hati. Ianya merupakan satu kebiasaan baginya.

"Mak sihat?"soal Marina setelah soalannya tadi, dijawab dengan tidak sejujurnya. Mungkin Ikram masih belum bersedia untuk menceritakan semua itu. Biarlah, dia mengambil masa.

"Alhamdulillah, sihat. Oh, lupa pulak. Mak kirim salam kat sayang."cucur udang dicicah sos dimasukkan ke dalam mulutnya.

"Waalaikumussalam... alhamdulillah. Abang balik sana, bukan nak cakap kat Rina. Kalau tak, boleh Rina pergi sekali."Marina sahaja berbasi-basi dengan Ikram. Sudah pergi tidak berajak, inikan mahu di bawanya pergi.

"Abang tak sampai hati nak kejutkan Rina. Lagipun Rina tidur nyenyak sangat. Kesian pulak nak kejutkan."satu alasan yang cukup baik untuk diterima.

"Rina tak apa-apa. Kalau abang kejutkan, Rina bangun aje. Macamlah Rina ni tidur mati. Tak apalah. Nanti kalau abang nak balik rumah mak, ajaklah Rina sekali. Nanti mak cakap, Rina tak mahu balik kampung pulak."sengaja diada-adakan suara rajuk sedikit. Dijeling manja ke arah Ikram.

Ikram menyambut jemari Marina, lalu dikucupnya. "Maafkan abang, sayang. Nanti abang balik kampung, abang beritahu Rina."pandai Ikram memujuk Marina. Marina membalas pujukan itu dengan senyuman.

"Janji tau!"

"Iya sayang. Hmm, tadi kat kampung, Insyirah ada." cerita Ikram.

"Oh, Idlan ada dengan Insyirah dah tinggal dengan mak ke sekarang ni?"sengaja Marina menyoal Ikram, bagaikan tidak tahu apa-apa tentang Idlan. Padahal semua cerita itu, sudah pun masuk ke dalam poketnya. Cuma pura-pura tidak tahu sahaja.

"Eh, taklah. Singgah sekejap aje. Idlan minta tolong abang hantarkan Syirah balik rumah tadi."

"Jadi abang hantarkan?"

Ikram menganggukkan kepalanya. Siapa lagi yang mahu menghantar Insyirah dan bayi mereka itu pulang, jika bukan dirinya. Idlan berharap padanya untuk membantu segala urusan. Jika ada apa-apa masalah, abang Ikramlah yang akan dijadikan rujukannya. Sebagai seorang isteri, siapalah dia untuk menghalang dua hubungan saudara itu, walaupun jauh di hatinya kurang senang. Mendiamkan diri adalah cara yang terbaik buatnya.

"Kenapa Idlan tak bawa isteri dia balik?"

"Alah, kebetulan abang melawat Syirah di hospital dan dia boleh keluar wad. Alang-alang abang dah ada situ, Idlan minta abang hantarkan. Takkan Idlan nak bawa isteri dia balik naik motor buruk tu."sambut Ikram. Masih juga merahsiakan perkara yang sebenarnya.

Bila Ikram menceritakan tentang Insyirah, jatuh rasa simpati pula pada birasnya itu. Dalam pantang, si suami pula di tangkap polis. Meringkuk di dalam penjara. Harap tidak ada sesuatu buruk yang berlaku. Hanya itu yang mampu di doakannya untuk Insyirah.

"Syirah pantang di rumah mak ke?"

"Taklah. Dia berpantang di rumah orang tuanyalah. Takkan sayang tak tahu, Syirah dengan mak bukannya ngam sangat pun. Mak memang nak jaga, tapi Syirah tak mahu. Nak cakap apa?"terang Ikram. Rupanya tidak habis lagi, degil Insyirah itu. Dari awal perkahwinan sehinggalah sudah ada anak, dia masih dengan keras kepalanya.

"Kesian mak. Teringin nak jaga menantu dan cucunya, tapi orang tak sudi pulak."

"Nak buat macam mana? Kita bukan boleh paksa."

"Kalau iya pun, takkan sampai macam tu sekali. Agak-agaklah sikit. Idlan pun satu, langsung tak nasihat isteri dia tu. Biar aje apa yang isteri dia buat."Marina masih ingat lagi, Idlan mengamuk pada ibunya kerana ibunya menegur isterinya itu. Bukan setakat mengamuk, malah di maki orang tuanya sendiri, semata-mata ingin membela isteri.

"Abang dah nasihatkan Lan. Tak tahulah, dia dengar cakap abang ke tak."jelas wajah Ikram begitu keruh.

"Abang kenalah tegas sikit dengan Lan tu. Jangan diikutkan sangat rentak Lan. Nanti dia pijak kepala."pesan Marina. Dia kembali masuk ke dapur. Melihat cucur udang yang masih berada di atas dapur. Sibuk berbual, terlupa pula. Mujur cucur udangnya itu tidak hangit.

Api yang terpasang itu, terus dipadamnya. Cucur udang yang baru diangkatnya, diletakkan ke dalam pinggan dan di simpan di bawah tudung saji. Kakinya kembali melangkah ke ruang tamu. Ikram masih lagi seperti tadi. Terus termenung dan bermuram.

"Abang kenapa? Balik tadi asyik termenung aje. Ingatkan siapa pulak tu?"usik Marina, seraya duduk di sebelah suaminya. "Abang ada masalah, ceritalah kat Rina. Mana tahu, Rina boleh tolong kurangkan beban abang tu."

Ikram tetap mahu berahsia. Kepalanya digelengkan. Senyuman terus bermain diwajahnya.

"Takpalah. Suka sangat nak berahsia dengan isteri sendiri. Abang pergi rehat ajelah. Rina nak sambung buat kerja rumah ni. Lusa Rina nak mula kerja balik."sudah dua hari Marina mengambil cuti. Esok dia akan kembali ke sekolah sebagai pembantu pra.

"ABANG, kau tolonglah tengok-tengokkan isteri dan anak aku, sepanjang aku kat dalam ni."Idlan meminta pertolongan Ikram untuk menjaga isterinya Insyirah dan juga anaknya, Nasuha.

"Insya-Allah, aku akan tengokkan isteri dan anak kau tu. Tapi satu aje yang aku nak minta dari kau Lan."

Idlan memandang Ikram redup.

"Aku tak mahu, lepas ni kau ambil lagi benda-benda tu. Kesian bini dan anak kau tu. Berubahlah. Demi isteri dan anak kau."nasihat Ikram. Dia tidak mahu selepas menerima hukuman, Idlan kembali kepada sikap lamanya.

"Insya-Allah, bang. Aku takkan ulang semua tu lagi. Masa aku di sini, tolong jenguk dan bantu apa yang perlu. Tambah-tambah lagi, Syirah dalam pantang sekarang ni. Aku risau juga, kalau dia tertekan."bimbang Idlan dengan kesihatan isterinya. Dalam keadaan sebegini, banyak perkara yang boleh berlaku.

"Itu kau jangan risau. Setiap bulan aku akan bagi belanja untuk Syirah dan beli apa-apa yang patut untuk anak kau tu."

"Terima kasih, bang. Aku banyak terhutang budi dengan kau. Kau banyak tolong aku. Terima kasih."Idlan tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada Ikram. Banyak bantuan Ikram hulurkan sepanjang dia menjalani hukuman di penjara. Baru beberapa hari di sini, dia sudah rasa susah dan siksanya bila berada di dalam. Sudahlah makanan yang di beri tiada sebarang rasa. Setiap masakan rasa yang sama sahaja. Tanpa rasa garam ataupun gula.

"Hari ni, isteri kau dah boleh keluar hospital."terang Ikram tentang khabar Insyirah.

"Alhamdulillah. Abang kau tolong ambil Syirah boleh? Tolong hantarkan dia balik rumah mertua aku."

"Kenapa tak balik rumah mak je. Mak boleh jagakan."cadang Ikram. Lagipun emaknya pernah menyuarakan hasratnya itu kepada Ikram.

"Tak payahlah, bang. Nanti Syirah tak selesa. Lain pulak jadinya nanti."

"Kenapa kau tak mahu? Kan mak sendiri yang nak jaga."

"Abang pun tahu, Syirah dengan mak, bukannya ngam sangat. Aku risaulah. Hantar aje balik rumah mertua aku. Senang."

Ikram menganggukkan kepalanya. Bersetuju, Insyirah tidak dihantar ke rumah mertuanya. Persengketaan antara Insyirah dan emaknya itu, sebenarnya biasa-biasa sahaja. Insyirah sengaja ingin membesar-besarkan keadaan.

"Abang jangan lupa. Selalu jenguk-jenguk isteri aku."pesan Idlan lagi, sebelum abangnya Ikram pergi. Waktu melawatnya juga sudah hampir tamat. Hanya itu sahaja yang sempat dipesannya, sebelum dia di bawa kembali ke dalam bilik kurungan.

IKRAM meraup wajahnya. Terimbas kembali pertemuannya dengan Idlan kelmarin. Serba-salah juga dirinya bila mengimbaskan kembali permintaan adiknya. Permintaannya hanya kecil. Idlan cuma mahu dia menjenguk Insyirah dan juga Nasuha, serta membantu apa yang patut. Itu semua bukanlah satu masalah buatnya.

Perlukah dia terus berahsia apa yang sebenarnya telah berlaku ini kepada pengetahuan Marina. Ikram rasa bersalah. Dia banyak menipu Marina dalam hal keluarganya. Marina pula, tidak pernah mendesaknya untuk menceritakan sebarang masalah keluarganya, walaupun dia dapat menghidu.

"Abang, kenapa ni? Tak tidur ke?"Marina kembali ke kamar. Menjenguk Ikram.

"Eh, sayang. Dah siap kerja rumah?"soal Ikram.

"Ada sikit lagi. Abang tak tidur ke? Rehat-rehatkan badan tu."

"Abang tak boleh tidur."terang Ikram. Dia bangun dari baringannya. Kali ini, dia duduk dihujung birai katil. Jemari Marina di capainya.

"Rina..."lembut nama isterinya itu disebut. Matanya tidak berkerdip memandang tepat ke mata Marina.

Marina tersenyum. Sedikit keningnya dijungkitkan. Meminta Ikram meneruskan sahaja. Senyuman terus mekar terukir.

"Abang minta maaf."lembut sahaja kata maaf itu bermain dibibirnya.

Berkerut wajah Marina. Untuk apa, Ikram mohon maaf darinya? Adakah Ikram ada melakukan kesalahan kepada dirinya? Tertanya-tanya Marina.

"Abang ada buat salah apa dengan Rina?"soal Marina.

"Abang tipu Rina."

Marina mencebikkan mukanya. Sengaja dicebik mukanya itu, agar nampak seperti sedang merajuk.

"Bukan niat abang nak tipu Rina. Tapi abang tak bersedia nak ceritakan pada Rina."keruh wajah Ikram itu kembali menyinar.

"Abang beritahu ajelah. Salah apa yang abang dah buat pada Rina, sampai rasa bersalah sangat."

"Sebenarnya abang balik rumah mak sebab ada masalah. Sebab tu, abang tak ajak Rina sekali."terang Ikram sejujurnya. Sampai bila, dia perlu berahsia dengan Marina lagi. Lama kelamaan, Marina akan tahu juga nanti.

Marina hanya terus memandang Ikram. Mahu Ikram teruskan sahaja. Dengan riak wajahnya itu sahaja, Ikram sudah mengerti. "Ini mesti sebab Lan, kan?"soal Marina.

Ikram menganggukkan kepalanya. Tanda tekaan Marina itu tepat sekali. "Lan ada dalam penjara."terang Ikram.

Marina langsung tidak terkejut dengan cerita yang baru Ikram sampaikan kepadanya. Dia lebih awal tahu daripada itu lagi. Semuanya sudah di ketahuinya dari Zaidah.

"Kenapa?"soal Marina bersahaja.

"Sebab dadah."terang Ikram.

"Tak berubah lagi? Hari tu, cakap dah tak mahu ambil semua tu lagi."sinis sahaja kata-kata Marina.

"Entahlah, sayang. Abang pun tak tahu nak cakap macamana lagi."

"Kan Rina dah cakap kat abang. Jangan percaya sangat dengan Lan. Bulan-bulan minta duit kat abang, sebab nak duit belanja tak cukup nak beli benda alah tu la. Rina ni, bukannya nak bersangka buruk. Tapi jangan berlembut sangat. Naik lemak mereka tu nanti."sekali Ikram membuka cerita tentang Idlan, terus Marina mula menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Lama sangat ianya dipendam.

Ikram hanya membatu. Tahu Marina sudah melepaskan apa yang disimpan. Dia mengerti sekali dengan sikap isterinya. Jika ada perkara yang disentuhnya, mulalah panjang berjela yang akan dibebelnya.

"Iyalah. Abang salah. Manjakan sangat Lan tu."mengaku Ikram.

"Tahu pun salah. Kita ni, sebagai kakak dan abang, perlulah pandai. Jangan ikut sangat cakap mereka tu, melainkan apa yang dicakapkan mereka untuk kebaikan. Rina bukan nak abang membenci Idlan atau menghasut apa-apa. Cuma Rina nak abang tegas."sambung Marina lagi. Diakuinya, dia memang kurang senang dengan Idlan. Marahnya kepada Idlan, masih bersisa hingga ke saat ini, walaupun sudah bertahun-tahun kisah itu berlalu.

"Abang tahu, sayang masih marahkan Lan?"Ikram dapat membaca apa yang berada di fikiran isterinya itu. Idlan pernah mencuri wang simpanan Marina yang belum sempat di simpan ke dalam bank dan juga barangan kemasnya. Semuanya lesap di ambil Idlan, gara-gara ketagihnya dengan dadah.

"Memang Rina marahkan Lan. Tapi sampai bila, Rina nak berdendam? Tak gunanya Rina berdendam dengan Lan dan Rina cuba bagi peluang untuk terima perubahannya sebelum ni. Tapi apa dia dah buat? Dia ulangi semua tu, bang. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Sudah tu, langsung tak rasa nak minta maaf dengan Rina."luah Marina akan kekecewaannya kepada Idlan.

"Harap kali ni, Lan menyesal."

"Insya-Allah. Kita hanya mampu berdoa untuk perubahan dia. Sekarang semua tu, terletak pada dirinya sendiri. Terpulanglah pada Lan, jalan mana yang nak dipilihnya."mendatar sahaja Marina berbicara kali ini. Kalau boleh, mahu sahaja dilupakan rasa amarahnya itu kepada Idlan. Bukannya dia tidak mahu berdamai dan melupakan perbuatan Idlan. Baru sahaja hatinya lembut mahu memaafkan Idlan, dia kembali mencalarkan hatinya.

"Dan satu lagi..."kata-kata Ikram terhenti. Lama dia memandang tunak wajah isterinya yang lembut itu.

Marina menyambut pandangan itu. "Apa?"soal Marina lembut.

"Idlan minta tolong kita tengokkan Syirah dan Nasuha."terang Ikram. Seikutnya, Idlan hanya mengamanahkan Insyirah dan Nasuha kepada Ikram. Tapi disebalik kata-katanya itu, Idlan menyerahkan Insyirah dan Nasuha di bawah pantauan bersama.

"Boleh je bang. Setakat nak tolong tengok-tengokkan tu. Lagipun Syirah bukan sesiapa pun. Biras Rina jugak. Nasuha pulak anak buah kita jugak. Boleh je."tanpa rasa was-was, Marina setuju sahaja. Dia tidak kisah, jika Insyirah meminta bantuannya. Dia sudi membantu, tetapi tidaklah melebih. Sekadar yang termampu.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top