SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 10

MARINA keluar dari mahkamah dengan ditemani cikgu NurAini dan juga keluarga Ikram. Kini mahkamah telah memutuskan, talak yang disebutkan Ikram sudah jatuh. Dengan bersaksikan hakim dan para hadirin, semuanya sudah disahkan.

Kini sudah tiada apa-apa lagi ikatan yang menyatukan dua hati yang pernah berjanji untuk sehidup semati itu. Janji itu hanya tinggal begitu sahaja. Kebahagiaannya bersama Ikram hanya satu persinggahan buat dirinya.

Kaca mata hitam yang terus melekap di mukanya dibiarkan sahaja. Dia tidak mahu, sesiapa memandang airmatanya itu.

"Rina, apa pun kita masih tetap bersaudara."Zaidah kakak kepada Ikram terus memeluk erat Marina. Dia juga tidak menyangka, hubungan Marina dan Ikram terputus ditengah jalan.

Marina menganggukkan kepalanya. Mukanya dan muka Zaidah dilaga-lagakan. Tidak sanggup berpisah dengan keluarga yang cukup baik dengannya. Walaupun terputus sekali hubungannya dan Ikram, itu tidak bererti hubungannya dengan keluarga Ikram akan terputus juga.

"Kenapalah jalan ini yang kamu pilih Ikram?"kedengaran suara puan Salmiah lemah. Kecewa dengan keputusan yang dibuat anaknya Ikram. Sayang sekali hubungan yang terbina selama ini. Apatah lagi Marina merupakan menantu yang cukup baik buat dirinya. Puan Salmiah tidak kisah, walaupun Marina masih belum berpeluang mempunyai anak. Tetapi kenapa perlu hingga berpisah.

"Dah tak ada jodoh mak."jawab Ikram. Tidak pula kelihatan wajahnya itu sedang bersedih.

"Mak..."Marina menggelengkan kepalanya. "...jodoh antara kami tak panjang. Tak perlulah, mak persoalkan semua ni lagi. Rina redha..."

Puan Salmiah terus memeluk Marina. Laju airmatanya itu gugur. Dia tidak sanggup melepaskan Marina. Baginya Marina merupakan menantu yang cukup baik. "Mak sayang kamu Rina."luah Puan Salmiah.

"Rina pun sayang mak. Rina dah anggap mak macam mak Rina sendiri."tidak dapat disembunyikan lagi rasa duka dihatinya itu. Airmatanya itu terus berlinangan.

Pada waktu yang sama, matanya menghantar Ikram yang pergi jauh darinya. Ikram berbual dengan seseorang dengan telefonnya. Tersenyum wajahnya. Tidakkah dia sedih dengan perpisahan ini?

"Jangan lupa jenguk-jenguk mak nanti."muka Marina dipegangnya.

"Insya-Allah, mak. Nanti ada masa, Rina datang jenguk mak. Akak pun, nanti kalau ada masa, kita jumpa lagi ye."matanya beralih pula ke arah Zaidah. "Mak, Rina minta ampun, minta maaf. Maafkan Rina, kalau sepanjang Rina jadi menantu mak, Rina ada berkasar atau sakitkan hati mak."

Puan Salmiah menganggukkan kepalanya. Dikucup wajah Marina berkali-kali. Tidak sanggup rasanya, dilepaskan Marina pergi dari hidupnya. Tetapi dia perlu terima semua ini. Marina dan anaknya Ikram, tiada apa-apa hubungan lagi.

SUDAH setahun Marina hidup sendiri tanpa Ikram. Banyak yang perlu ditempuhinya sepanjang bermulanya perpisahan mereka berdua. Dia perlu belajar hidup sendiri, tanpa suami di sisi. Tiada lagi belaian seorang suami. Semuanya sudah berakhir setahun yang lalu.

Marina sudah tidak sanggup memandang ke belakang lagi. Hatinya hingga ke saat ini, begitu kecewa dengan keputusan Ikram yang tetap mahu berpisah dengannya. Sangkanya kehadairan Ikram ke rumah keluarganya, ingin memujuknya kembali pulang ke sisinya. Rupanya sebaliknya yang berlaku. Ikram mahu, masalah ini diselesaikan dimahkamah.

Makin remuk dan hancur hatinya itu, bila dia dapat tahu, Ikram dan Insyirah akan di satukan minggu depan. Semua khabar itu, diketahuinya dari Zaidah. Rupanya Insyirah sudah bercerai dengan Idlan dengan tuntutan fasakh. Selepas sahaja, habis edah Insyirah, mereka berdua mahu terus di satukan.

Komputer ribanya yang terus terpasang itu, dipandangnya kosong. Jemarinya mula bermainkan rentak di keyboard.

SETELAH CINTA ITU PERGI...

Aku tidak akan menoleh ke belakang lagi,

Kisah lalu antara aku dan dia, biarlah terus bersemadi..

Aku tidak mahu cinta itu hadir lagi...

Kerana cinta bagiku..ia amat menyakitkan.

Hanya itu yang termampu ditaipnya, pada masa ini. Hari ini, dia tidak mampu untuk menyambung kembali manuskrip yang perlu dieditnya. Masih belum lagi ada penghujung pada novelnya ini. Melalui kisahnya itu, dicoretkan sebuah cerita untuk dikongsikan bersama dengan pembaca. Kisah dirinya dan Ikram di adaptasikan ke novel. Dia mahu kongsikan pengajaran ini kepada semua peminat yang membaca novelnya.

Marina bangun dari duduknya. Kakinya melangkah ke balkoni biliknya. Mengambil angin malam. Nafasnya ditarik sedalam-dalamnya dan dilepaskan perlahan. Hatinya yang tadi sedikit terusik, sedikit tenang.

Langkahnya kembali ke dalam bilik, bila telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Di tarik nafasnya sedalam-dalamnya, sebelum panggilan di jawab.

"Waalaikumussalam..."salam yang diberi itu dijawabnya.

"Sibuk ke?"soal Muiz Lukman jauh ditalian.

"Taklah. Kenapa?"

"Begini Rina, esok saya nak minta tolong Rina sikit. Agaknya boleh tak?"

Marina tersenyum sendiri. "Awak nak saya tolong apa?"

"Begini, lusa saya nak buat kenduri doa selamat. Saya dengar Rina pandai masak."

"Jadi..?"

"Saya nak minta Rina tolong masakkan untuk jamuan pada malam tu. Boleh?"

Marina tertawa nipis. Kenapa pula dia yang Muiz Lukman pilih? Masih ramai lagi yang pandai memasak. Pakej katering yang ada pun banyak yang boleh ditempahnya.

"Boleh tak?"

"Ada-ada ajelah cikgu ni. Dalam ramai-ramai dalam dunia ni, yang pandai masak, kenapa saya jugak yang cikgu pilih?"

"Sebab cikgu Aini yang bagi cadangan. Katanya masakan Rina sedap. Teringin jugak, saya nak makan masakan Rina tu."

"Cikgu nak saya masakkan untuk jamuan, atau untuk cikgu rasa?"soal Marina dengan tawa kecil. Sejak Marina sah berpisah dengan Ikram, Muiz Lukman berani mendekatinya sebagai teman. Kini tiada siapa yang menghalang hubungan persahabatan mereka berdua.

"Dua-dua sekali. Boleh tak? Saya dah kempunan ni."

"Apa yang susah sangat. Mintak ajelah isteri cikgu masakkan. Masakan dari air tangan isteri kan lebih sedap."

Kali ini, Muiz Lukman pula ketawa. Gelihati. "Saya mana ada isteri. Kalau ada isteri, baik saya suruh isteri yang masakkan."

"Tak baik macam tu cikgu. Isteri dengar kecil hati nanti."

"Tak ada yang nak kecil hati. Yang besar hati, ada lah."sambut Muiz Lukman. "Macam mana Rina? Setuju tak, jadi chef saya Ahad ni?"

Marina diam. "Hmm, nantilah saya bagi jawapan."

"Okey, saya tunggu jawapan awak. Esok saya call. Selamat malam. Mimpi saya malam ni tau."

Belum sempat Marina menjawab, panggilan dari Muiz Lukman telah dimatikan. Marina tersenyum sendiri dengan keletah Muiz Lukman. Ada-ada sahaja cikgu muda itu membuatkan hatinya tercuit. Perlukah di terima permintaan Muiz Lukman?

MARINA menyusun buku teks anak buahnya Idham, untuk di bawa esok hari. Esok adalah hari ganti persekolahan. Marina sering meluangkan masanya bersama anak buah tunggalnya itu. Dia sering membantu Idham dalam pelajarannya, jika Idham ada di rumah orang tuanya. Hanya sekali-sekala sahaja, Idham akan tinggal di sini.

"Kamu tak tidur lagi Rina?"tegur Encik Razak, ayah Marina.

"Tak mengantuklah abah."

"Dah siap kerja menulis kamu tu?"

"Belum. Menulis ni, sampai bila-bila tak habis. Bila dah jumpa perkataan tamat, itu bermakna bermulanya kembali permulaannya, abah."

Encik Razak menganggukkan kepalanya. Kemudian wajah Marina direnung tunak. Setahun sudah, anaknya itu hidup sendiri. Dia bangga dengan Marina, kerana begitu kuat untuk menghadapi dugaan yang menimpa dirinya itu. Tetapi dia tahu, jauh didasar hati Marina, tersimpan 1001 kedukaan yang bersarang.

"Samalah dengan kehidupan kita ni, Rina. Selagi belum ada penamat kehidupan kita ni, selagi itulah kita mesti teruskan. Bila kisah lalu berakhir, kita mulakan kembali dengan kehidupan baru."bermakna sekali maksud kata-kata Encik Razak itu ditujukan kepada Marina.

"Abah nak Rina lupakan sahaja kisah lalu Rina dengan Ikram. Mulakan hidup baru Rina. Semua yang Allah rencanakan ini, semuanya dugaan. Abah tahu, Tuhan ingin berikan seorang lelaki yang lebih baik untuk anak abah ni."rambut Marina itu dibelai lembut. Encik Razak mahu Marina kuat. Dia mahu Marina terus jatuh dengan rasa kekecewaannya itu. Pada mulanya, dia juga turut kecewa dengan keputusan Ikram, melepaskan Marina. Tetapi bila memikirkan kembali, ianya lebih baik daripada hidup anak tersiksa.

"Insya-Allah, abah. Abah janganlah risau. Rina tahu, setiap yang berlaku ini ada hikmahnya."

"Rina carilah pengganti untuk mengisi kekosongan hati Rina tu. Carilah suami yang soleh dan dapat mendidik Rina menjadi isteri yang solehah."pesan Encik Razak.

Marina tersenyum kosong. Siapa yang mahukan dirinya lagi? Dia lebih rela hidup bersendiri daripada berteman. Pintu hatinya sudah tertutup buat insan bernama lelaki. Pintu hatinya sudah terkunci, dek kerana kisah lalunya bersama Ikram. Dia tidak mahu, kisah pilu dan duka itu kembali terulang.

"Masih belum tiba masanya lagi, abah. Rina belum bersedia untuk isikan kekosongan hati Rina ni."Marina beritahu sejujurnya. Dia tidak mahu berdolak-dalih dengan abahnya. Biar Encik Razak tahu, hatinya tidak mungkin di miliki oleh sesiapa pun pada saat ini. Rasa terluka itu begitu menyakitkan dan tidak mahu rasa itu kembali dirasakannya.

"Rina masih mengharapkan Ikram?"soal Encik Razak. Dia tahu, disebalik rasa kecewa dan luka anaknya itu, masih tersimpan sisa sayang kepada bekas suaminya. Seminggu juga, Encik Razak dan isterinya, terpaksa memujuk Marina agar terus kuat. Dalam masa seminggu disuntik kembali semangat kepada Marina agar bangun daripada jatuhnya.

Marina diam. Tidak menjawab pertanyaan daripada abahnya. Adakah benar, dia masih mengharapkan Ikram kembali ke sisinya? Adakah masih ada rasa kasih dan sayang itu kepada Ikram? Dia juga tiada jawapan untuk persoalan itu. Apa yang dia tahu, hatinya begitu hancur dengan sikap Ikram. Tak mungkin kemaafan itu diberikan lagi kepada Ikram.

"Rina masih mengharapkan Ikram?"soal Encik Razak lagi.

Marina menggelengkan kepalanya. "Rina tak mengharapkan apa-apa. Cuma pintu hati Rina, tertutup untuk terima sesiapa pun. Rina tak mahu, kekecewaan itu berulang lagi. Rina tak kuat nak hadapi semua itu sekali lagi."luahan hatinya itu, terluah juga. Ya! Itulah sebenarnya. Dia tidak mahu kekecewaan itu kembali menghancurkan hatinya.

"Jangan kerana Ikram, Rina nak terus bersendiri. Diri Rina masih muda. Rina layak untuk mendapat kebahagiaan."

"Tapi abah...Rina takut kebahagiaan itu hanya satu persinggahan. Bersama Ikram dahulu pun, Rina cukup bahagia. Tapi abah tengok sendiri, semua kebahagiaan itu musnah. Rina tak sanggup terluka lagi.. Rina dah serik dengan apa yang terjadi."perpisahan itu sungguh menyakitkan. Dia tidak mahu lagi, ianya terjadi.

"Kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan segala-galanya. Mungkin hanya sedikit sahaja kebahagiaan yang Rina kecapi bersama Ikram tetapi tidak mustahil kebahagiaan itu akan terus menjadi milik Rina suatu hari nanti. Mungkin ada lelaki yang dapat membahagiakan Rina suatu hari nanti. Percayalah cakap abah ni. Apa yang penting sekarang, Rina dekatkanlah diri pada Allah. Berserah diri kepada-Nya."

Marina hanya tersenyum hambar. Perlahan kepalanya dianggukkan. Kepalanya dilentokkan ke dada Encik Razak.

"Terima kasih, abah. Abah selalu berikan semangat untuk Rina. Rina sayang abah."tangan Encik Razak dikucupnya.

"Abah sayang Rina. Abah sayang anak-anak abah. Sebelum abah pergi, abah nak lihat anak-anak abah bahagia."

Kepalanya terlentok di dada Encik Razak diangkat, dan wajahnya mendongak ke arah Encik Razak. "Apa abah cakap ni? Janganlah cakap macam tu."manja sekali Marina. Memang dari kecil, Marina seorang anak yang manja. Kemanjaannya itu terbawa-bawa hingga ke hari ini.

"Abah cuma pesan. Takda maksud apa-apa pun."

Marina memandang tunak wajah Encik Razak lama. Badan Encik Razak dipeluknya. Dilabuhkan sekali lagi kepalanya di dada abahnya. Walaupun dia tidak menemui kebahagiaan dalam perkahwinannya sebelum ini, dia sudah memiliki kebahagiaan dari keluarga ini. Abah, emak, kakak dan abangnya, adalah kebahagiaan buat dirinya.

*** SUDAH BERADA DIPASARAN, KELUARAN OGOS 2014 ***

Nk risik2 boleh wasap nombor bawah ni naaa..

019-3729676 (cik shida)

013-4888095 (kak peah)

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top