Teaser 1
Random bab💔
“Err... Tuan Lut tak nak balik ke? Dah lewat ni. Rasanya semua pekerja dah balik.”
Risau pula Daud melihat sikap gila kerja majikannya ini. Dahulu, memang Lutfi seorang yang kuat bekerja tetapi sejak kehilangan wanita itu, sikap gila kerja majikannya semakin menjadi-jadi.
“Saya nak bermalam di sana.” Mendatar sahaja nada suara Lutfi. Matanya terpejam rapat.
Dia tidak mahu pulang ke rumahnya hari ini. Jika dia pulang ke rumah keluarganya nanti, risau dia akan bersikap kurang ajar dengan orang tuanya. Balik ke rumahnya pula, kelibat wanita itu selalu sahaja muncul di ruang matanya.
Daud hanya mengeluh lemah. Sikap lelaki ini semakin dingin sejak enam bulan yang lepas. Seolah-olah separuh jiwa lelaki itu telah dibawa pergi bersama wanita itu.
Kereta terhenti seketika sebaik saja lampu isyarat bertukar merah. Sekali lagi Lutfi memandang ke luar tingkap. Saat matanya melihat kelibat seseorang, dadanya terasa hampir meletup.
Lama dia memerhati gerak geri wanita itu. Dia yakin matanya tidak berbohong. Lekas dia keluar dari kereta itu. Dia tidak mahu lagi kehilangan jejak wanita yang masih bergelar isterinya.
Tercengang Daud apabila majikannya tiba-tiba keluar dari kereta. Tak sempat dia menghalang, lelaki itu sudah mengejar seseorang. Lampu isyarat sudah bertukar hijau. Dalam keadaan serba salah, Daud terpaksa memandu kereta kerana tidak mahu mengganggu kenderaan yang lain.
Lutfi masih lagi tercari-cari kelibat isterinya. Dia yakin matanya tidak silap melihat. Walaupun kini wanita itu sudah berhijab, hatinya kuat menyatakan wanita itu ialah isterinya.
Lutfi cuba mencari di sekitar bangunan kedai. Tiba-tiba tubuhnya menjadi kaku. Lidahnya terasa berat untuk memanggil nama wanita itu. Melihat senyuman di bibir si isteri, jiwanya yang mati terasa hidup kembali. Perlahan-lahan kakinya melangkah mendekati wanita itu.
“Betul, cik. Buah tu dah habis. Esok mak cik simpankan kalau ada.”
“Takkan seulas pun tak ada? Saya teringin sangat nak makan buah tu, mak cik.”
Tersenyum penjual wanita itu seketika.
“Buah tu ikut musim. Sini dahlah dekat bandar. Memang payah nak dapat buah tu.”
Lutfi masing memasang telinga mendengar perbualan wanita itu. Hatinya semakin berdebar saat tubuh isterinya sudah berada di hadapannya. Ketika itu isterinya berdiri membelakanginya.
“Kalau ada, mak cik call saya boleh? Saya ada di sini sampai petang esok aje.”
“Mestilah boleh. Mengidam ya? Siapa nama anak ni?” Ramah orang tua itu bertanya.
Terdengar ketawa halus dari bibir isterinya. Lutfi terlalu rindu untuk terus mendengar gelak ketawa itu.
“Mawar Kasih. Mak cik panggil saya...”
“Mawar.”
Mati ayat Mawar saat terdengar suara garau itu. Tubuhnya sudah mula menggigil kerana terlalu takut. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang. Hampir terundur kakinya ke belakang. Mulutnya ditekup laju.
Tubir matanya terasa hangat. Spontan tapak tangannya mendarat ke perut. Takut jika kebahagiaannya yang satu ini turut dirampas pergi. Tergeleng kepala Mawar cuba menafikan pertemuan mereka.
Wajah Lutfi semakin tegang. Hatinya sakit melihat keadaan Mawar sekarang. Jelas perut yang sudah membesar itu adalah hasil dari benihnya. Tergamak Mawar merahsiakan daripada pengetahuannya. Bakal pewarisnya nanti!
Mawar segera melarikan diri. Dia tidak mahu kehidupannya dikawal oleh lelaki ini lagi. Baru beberapa langkah dia menapak, pinggangnya dirangkul ketat. Terjerit Mawar dengan perbuatan lelaki itu.
Mawar cuba melepaskan diri tetapi cepat sahaja Lutfi menarik tubuhnya sehingga dada mereka saling bertemu. Terhenti pergerakan Mawar. Terasa pucat wajahnya ketika ini.
“Tu... Tuan...” Bergetar nada suara Mawar.
Merah mata Lutfi menahan rasa marah. Perasaannya bercampur baur. Saat tapak tangannya mendarat ke permukaan perut si isteri, dia dapat rasakan kandungan wanita itu bergerak.
“Kenapa? Kenapa buat abang macam ni?”
Gugur juga air mata Mawar. Perkataan yang sudah lama dia idamkan dari bibir lelaki itu. Namun semuanya sudah terlambat. Walaupun mungkin baru sekarang Lutfi tersedar, Mawar tidak mahu lagi untuk terus berada di samping lelaki ini lagi.
“Kenapa, Mawar?” Lutfi jatuhkan dahinya ke dahi si isteri. Sungguh dia sangat rindukan kehadiran wanita ini.
“Tolong...”
Jeda seketika. Air matanya semakin deras mengalir. Bibirnya dikemam kuat. Sudah tiba masanya dia tamatkan semua ini.
“Tolong ceraikan Mawar.”
💔
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top