Bab 4

KAYLA mencari kelibat Aryan di kawasan kolam renang. Pasti Aryan sedang duduk bersantai di sana kerana tempat itu merupakan tempat kegemaran Aryan.

Sayup-sayup Kayla terdengar suara Aryan sedang menyanyi sambil bermain dengan gitar. Perlahan-lahan Kayla melangkah ke arah Aryan yang masih belum sedar akan kehadirannya di situ.

“Abang!” Jerit Kayla sambil memeluk erat leher Aryan.

Terkejut Aryan dengan sergahan Kayla.

“Kayla!”

Tangan Kayla yang masih berlingkar di lehernya cuba dileraikan. Bergetar naluri lelakinya apabila terbau wangian milik Kayla. Selamba sahaja Kayla duduk di sebelah Aryan sambil tergelak lucu.

“Bila Kayla nak balik ni? Nanti daddy risau pula,” soal Aryan sambil cuba menahan rasa debar di dada.

“Macam tak suka aje Kayla ada dekat rumah ni....” Masam wajah Kayla.

“Bukan macam tulah niat abang. Salah ke abang tanya?” Pelik pula dia melihat sikap Kayla yang mudah sensitif sejak akhir-akhir ini.

“Abang nyanyi lagu apa tadi? Nyanyilah untuk Kayla,” pinta Kayla.

Kayla sengaja menukar topik perbualan kerana tidak mahu bercakap tentang Encik Malik. Dia sebenarnya tidak mahu masalahnya terdedah.

“Malaslah...” Aryan tayang wajah selamba.

“Kedekutlah abang ni. Pinjam kejap gitar tu…”

Teragak-agak Aryan menyerahkan gitar itu kepada Kayla. Takut juga jika Kayla ingin merosakkan gitar kesayangannya itu.

“Nak buat apa?” soal Aryan dengan rasa curiga.

“Bagilah dulu…”

Gitar itu terus dirampas dari tangan Aryan. Tersenyum Kayla apabila gitar itu berada di tangannya. Aryan hanya memerhati telatah Kayla yang sedang cuba bermain dengan gitarnya.

“Kayla nak mainkan satu lagu untuk abang. Abang nak dengar?”

Terus Aryan ketawa lucu. Perutnya ditekan menahan rasa geli hati.

“Jangan buat lawaklah, Kayla. Kayla mana pandai main gitar,” sindir Aryan.

Makin tercabar pula Kayla dengan sindiran Aryan. Bibirnya diketap menahan geram.

“Kalau Kayla dapat main gitar ni, macam mana?”

“Abang akan tunaikan permintaan Kayla…” Laju Aryan memberikan tawaran.

“Baik, jangan menyesal…”

Kayla tersenyum senget. Dia mula menyelesakan kedudukan gitar di atas ribanya. Tanpa pengetahuan Aryan, sudah dua bulan dia belajar sendiri bermain gitar semata-mata untuk memberi persembahan kecil buat Aryan.

“Selamat hari jadi... Selamat hari jadi... Selamat hari jadi, abang... Selamat hari jadi...”

Senyap. Terkedu Aryan kerana tidak menyangka Kayla dapat memetik gitar itu sambil menyanyikan lagu hari jadi. Walaupun hanya sekadar lagu ucapan hari jadi, ia sudah mampu membuatkan Aryan berasa kagum dengan kebolehan Kayla.

“Selamat hari jadi abang.” Ucap Kayla dengan nada yang manja.

“Err... terima kasih. Macam mana Kayla boleh main gitar ni?” soal Aryan ingin tahu.

Perlahan-lahan Kayla mendekatkan bibirnya ke telinga Aryan. Berdebar dada Aryan saat kedudukan mereka semakin rapat.

“Rahsia…”  Bisik Kayla sambil mengekek ketawa.

Terus Kayla berlari masuk ke dalam rumah. Terpinga-pinga Aryan ditinggalkan bersendirian. Tanpa sedar, senyuman lebar terukir di bibir Aryan.

💕💕💕💕💕💕💕💕💕

RAMBUT yang masih basah dilap sehingga kering. Setelah siap memakai baju tidur, sejadah dihampar untuk menunaikan solat Maghrib. Di penghujung solat, Aryan sentiasa memohon kepada Allah S.W.T supaya ahli keluarganya sentiasa dipanjangkan umur serta dimurahkan rezeki.

Selepas mengaminkan doa, sejadah dilipat kemas. Seperti biasa, pada waktu begini Aryan akan membuat ulangkaji pelajaran. Belum sempat dia ingin membuka beg sekolah, dia ternampak ada sebuat kotak kecil di atas meja belajar.

“Siapa pula yang bagi dekat aku ni?” Berkerut dahi Aryan.

Berhati-hati dia membuka balutan kotak itu. Saat dia membuka kotak kecil itu, matanya terpaku melihat sepasang jam tangan berjenama mahal. Malah, jam tangan itu merupakan jenama kegemaran Aryan. Segera dia mencari kad atau surat di dalam kotak itu. Ada sekeping kad yang terselit di dalam kotak itu.

Selamat hari jadi abang...
Semoga panjang umur dan Kayla harap abang dapat capai segala impian abang. Harap abang suka jam tangan ni. Kayla sayang abang.

-Mikayla Delaila-

Tersenyum Aryan sebaik sahaja dia membaca kad ucapan itu. Dia masih teringatkan peristiwa petang tadi. Tertanya-tanya juga Aryan dari mana Kayla dapat belajar bermain gitar?

“Kayla... Kayla... suka sangat bagi kejutan dekat abang...”

Kotak hadiah itu disimpan ke laci meja. Dia mahu segera membuat ulangkaji. Esok sahajalah dia mengucapkan terima kasih kepada Kayla.

💕💕💕💕💕💕💕

BUKU latihan matematik yang telah disiapkan oleh Dhiya dikeluarkan dari beg sekolah. Kayla mahu cuba mengingati jalan kerja untuk setiap soalan yang diberi. Sejak dari sekolah rendah lagi dia sangat lemah dalam pelajaran terutamanya matapelajaran matematik. Belum sempat dia ingin membuat ulangkaji, terdengar bunyi pintu bilik diketuk.

“Kayla, boleh daddy masuk?” Sayup-sayup suara Encik Malik di luar bilik.

Kayla terus menutup buku latihan dan bergegas ke katil. Dia berpura-pura seperti sedang bermain dengan telefon bimbit.

“Masuklah daddy...”

Encik Malik mengeluh lemah saat melihat Kayla ralit bermain dengan telefon bimbit. Dia berjalan mendekati si anak dan duduk di tepi katil.

“Daddy ingatkan Kayla masuk bilik awal sebab nak study…”

“Penatlah daddy.” Kayla tayang wajah tak bersalah. Telefon bimbitnya tiba-tiba dirampas kasar oleh Malik.

“Apa ni daddy?” Rungut Kayla.

“Daddy nak bincang perkara penting dengan Kayla. Bagi perhatian bila daddy sedang bercakap.” Tegas Encik Malik memberikan arahan.

Kayla merengus kasar.

“Cakaplah. Kayla dah mengantuk ni,” gesa Kayla dengan nada yang malas.

Encik Malik menghulurkan beberapa keping kertas kepada Kayla. Kayla yang tidak mengesyaki apa-apa, terus melihat isi kandungan kertas tersebut. Wajahnya berubah pucat saat mengetahui isi kandungan kertas itu.

“Tak nak jelaskan pada daddy, apa yang Kayla dah buat?” soal Encik Malik dengan wajah yang tegang.

Kayla cuba berlagak tenang. Tidak mahu dirinya ditangkap sedang menipu.

“Kayla guna duit tu untuk beli hadiah Abang Yan. Daddy pun dah tahu kan pasal hadiah tu…”

Mujurlah sebelum ini dia sudah memberitahu kepada Encik Malik tentang hadiah yang ingin dibeli. Penjelasan Kayla itu langsung tidak memuaskan hati Encik Malik. Pasti ada sesuatu yang dilakukan oleh Kayla tanpa pengetahuannya. Wang yang digunakan oleh Kayla terlalu banyak.

“Tak mungkin hadiah yang Kayla bagi tu sampai RM2000. Lebih baik Kayla jujur dengan daddy?”

Pagi tadi selepas anaknya ke sekolah, dia melihat surat-surat yang tiba di rumahnya. Salah satu surat itu merupakan penyata kewangan Kayla. Tanpa pengetahuan Kayla, dia telah meminta pihak bank untuk menghantar penyata kewangan Kayla ke rumahnya setiap bulan.

Kayla semakin gelisah. Dia sendiri tidak sangka penyata akaun itu akan berada di tangan Encik Malik.

“Kayla beli barang peribadi. Hal kecil pun daddy nak bising. Itu kan duit Kayla.” Kayla masih lagi tidak mahu berterus-terang.

“Memang itu duit dari akaun Kayla tapi daddy yang masukkan duit tu untuk tujuan kecemasan Kayla nanti. Jangan terlalu boros Kayla...” Encik Malik cuba menasihati Kayla.

Hati Kayla semakin panas. Dia tidak suka Encik Malik menyekat kebebasannya.

“Daddy ni selalu nak marah-marah. Semua benda yang Kayla buat, ada je tak kena,” adu Kayla.

Encik Malik menarik nafasnya dengan berat. Hanya satu cara sahaja untuk dia mengajar Kayla supaya mendengar arahannya.

“Mulai hari ni, daddy tak benarkan Kayla keluarkan duit dari akaun Kayla tanpa kebenaran daddy. Kalau tak, daddy akan rampas kad ATM Kayla. Satu lagi, pastikan peperiksaan Kayla bulan depan, lulus semua subjek. Kalau masih ada yang gagal, daddy tak izinkan Kayla pergi ke rumah Aryan.”

Tergamam Kayla dengan hukumam yang dikenakan oleh Encik Malik.

“Tapi daddy…”

“Sudah! Daddy tak nak dengar alasan Kayla. Ingat pesanan daddy...” Encik Malik segera keluar dari bilik itu.

Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, Kayla terus mencampakkan bantal ke arah pintu bilik. Kertas penyata kewangan akaun yang masih berada di tangannya, dikoyak dengan penuh rasa geram. Turun naik nafasnya menahan marah.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu sebaik sahaja mendengar arahan Malik. Satu senyuman penuh makna terukir di bibirnya.

💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕

Bakal terbit dalam versi cetak. Tempahan dibuka sehingga 25/10. Berminat wasap'0129284568.
Rm38sm/ rm43 ss ( harga dah termsk pos).





Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top