Bab 1

SAAT kereta Encik Malik tiba di hadapan banglo mewah milik sahabat baiknya Dato Syed Arman, lekas puteri tunggalnya melangkah keluar dari kereta. Tergeleng Encik Malik melihat telatah Kayla yang sentiasa tidak sabar jika bertandang ke sini.

“Umi! Walid!”

Kayla terus berlari menuju ke arah pasangan suami isteri itu yang sedang bersantai di halaman rumah.

“Kayla, dah sampai pun…” Datin Yasmin menyambut kehadiran Kayla dengan memeluk erat tubuh kecil itu.

Tersenyum Dato Syed Arman melihat telatah manja Kayla. Sejak Encik Malik kehilangan isteri lima tahun yang lepas, isterinya sudah menganggap Kayla seperti anaknya sendiri.

“Walid…” Tangan kecil Kayla dihulurkan kepada Encik Syed Arman.

“Comelnya Kayla hari ni. Ni mesti nak main dengan Abang Yan kan?” Usik Dato Syed Arman.

Malu-malu Kayla apabila diusik begitu.

“Betullah tu, Man. Dari pagi tadi lagi dok merengek nak datang ke sini. Maaf kalau aku ganggu masa keluarga kau hujung minggu macam ni…”

Serba salah juga Encik Malik kerana terpaksa menurut kehendak Kayla.

“Tak mengganggulah. Umi lagi suka Kayla datang ke sini.  Jom kita masuk ke dalam. Umi ada buat puding roti,” ajak Datin Yasmin.

Ceria wajah Kayla apabila mendengar pelawaan Datin Yasmin. Mereka melangkah masuk ke dalam rumah. Dato Syed Arman dan Encik Malik duduk berbual di halaman rumah.

“Lama kau tak datang rumah aku. Banyak kerja ke sekarang?”

“Boleh tahanlah. Kasian juga aku dengan Kayla. Terpaksa tinggal dengan pengasuh bila aku terpaksa bekerja sampai lewat malam.”

Dato Syed Arman mengangguk perlahan.

“Biarlah Min yang jaga Kayla. Dekat sini, ada Aryan dan Adel. Tak adalah Kayla tu bosan duduk dekat rumah,” tawar Dato Syed Arman.

Encik Malik tersenyum nipis. Segan kerana sudah acap kali dia menyusahkan keluarga sahabat baiknya itu. Arwah isterinya meninggal dunia selepas melahirkan Kayla. Hanya dia yang membesarkan anaknya sejak dari kecil lagi.

“Tak apalah, Man. Aku tak nak susahkan kau sekeluarga. Kasian juga dengan si Aryan tu nanti sebab asyik melayan kerenah si Kayla,” seloroh Encik Malik.

Ketawa mereka saling bergabung.

Sejak dari kecil lagi, Kayla sangat rapat dengan Aryan berbanding dengan anak perempuannya, Adel. Oleh sebab itu, Kayla selalu singgah ke sini demi Aryan.

“Kayla tu suka sangat main dengan Aryan. Dengan Adel tak pula macam tu,” tambah Dato Syed Arman dengan sisa ketawa yang masih ada.

“Harap-harap, janganlah sampai ke besar melekat macam tu...”

“Apa salahnya. Manalah tahu kalau anak kita tu berjodoh.”

Encik Malik sekadar ketawa lucu dengan gurauan sahabatnya. Dia tidak menolak jika perkara itu terjadi pada masa hadapan. Namun, dia sebagai orang tua tidak mahu memaksa jika perkara ini melibatkan soal hati dan perasaan. Biarlah anak-anak mereka membuat keputusan sendiri tentang pilihan hidup mereka.

💕💕💕💕💕💕💕💕💕

SELEPAS menjamah puding roti di dapur, Kayla segera mencari kelibat Aryan. Ketika di ruang tamu, Kayla terserempak dengan Adel.

“Kayla, bila sampai?” Adel yang baru turun dari bilik terus menyapa Kayla. Lengan Kayla dipeluk mesra.

“Baru aje sampai. Abang Yan mana?”

“Ada dekat bilik. Jom kita main babydoll. Semalam walid ada belikan kita babydoll baru,” ajak Adel dengan wajah yang teruja.

“Nantilah. Kita nak cari Abang Yan dulu,” tolak Kayla.

“Selalu macam tu. Asyik nak main dengan Abang Yan aje. Pergilah naik dekat atas. Adel tunggu Kayla dekat sini.” Masam wajah Adel.

“Okey.”

Laju kaki Kayla menaiki tangga rumah menuju ke bilik Aryan.  Sampai di bilik Aryan, dia segera mengetuk pintu bilik. Lama Kayla menunggu tetapi masih tiada sahutan. Akhirnya Kalya sendiri yang membuka pintu bilik itu. Makin lebar senyuman Kayla saat melihat Aryan masih lagi tidur dengan lena.

Perlahan-lahan Kayla melangkah masuk ke dalam bilik. Timbul idea nakal untuk mengenakan Aryan. Botol air yang berada di atas meja belajar segera dicapai. Setelah membuka penutup botol itu, Kayla merenjis sedikit air ke wajah Aryan.

Terus Aryan terjaga dari tidur. Bulat matanya memandang wajah Kayla.

“Kayla!” Aryan mengesat wajahnya dengan kasar.

Bergegar tubuh kecil Kayla kerana ketawakan Aryan. Walaupun Aryan hanya tua dua tahun darinya, Kayla selalu sahaja suka mengenakan lelaki itu.

“Dah pukul 10 pagi pun tidur lagi. Jomlah turun. Main dengan Kayla…”

Aryan menjeling tajam.. Geram kerana tidurnya diganggu pada hujung minggu begini.

“Abang!” Panggil Kayla dengan suara yang agak kuat apabila Aryan tidak mengendahkan dia. Sudah menjadi kebiasaan buat Kayla memanggil Aryan dengan panggilan abang sahaja. Bagi Kayla dia suka sangat dengan panggilan itu.

“Ya, abang dengarlah. Abang tertidur tadi lepas sarapan.”

Kadang-kadang rimas juga Aryan dengan kehadiran Kayla di sini. Suka sangat berkepit dengannya 24 jam.

“Kalau macam tu, jom turun. Adel dah tunggu kita tu…”  Tangan Aryan ditarik supaya mengikut dia keluar dari bilik itu.

“Tak naklah. Kayla mainlah dengan Adel. Abang nak tidur…”

Riak wajah Kayla terus berubah muram. Hampir sahaja dia menangis dengan penolakan Aryan.

“Sampai hati abang tak nak main dengan Kayla...”

Melihat wajah kecewa Kayla, tidak sampai hati pula Aryan untuk menolak. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Terpaksalah Aryan mengalah.

“Okey, abang turun sekarang tapi abang tak nak main anak patung. Kita main permainan lain,” cadang Aryan.

Laju Kayla mengangguk sambil senyuman lebar. Kayla lekas memegang erat tangan Aryan untuk keluar dari bilik itu. Aryan tersenyum lucu melihat telatah manja Kayla. Walaupun Kayla selalu merimaskan dia, tidak dinafikan Aryan sangat sayangkan Kayla seperti adiknya sendiri.

💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕

RAMBUT Kayla diusap perlahan. Mereka pulang ke rumah hampir jam lima petang. Pada awalnya, Kayla enggan pulang tetapi setelah dipujuk oleh Aryan, Kayla akhirnya mengalah.

Sudah menjadi rutin buat Kayla untuk ke rumah keluarga Dato Syed Arman pada setiap hujung minggu. Disebabkan jarak rumah mereka hanya mengambil masa 10 minit sahaja, tidak ada masalah bagi Encik Malik untuk menghantar Kayla ke sana.

Setiap kali Encik Malik melihat wajah Kayla, perasaannya menjadi sebak. Wajah Kayla sangat seiras dengan wajah arwah isterinya terutamanya lesung pipit di kedua-dua pipi.

“Anak kita, seiras dengan sayang. Abang rindu dengan sayang...” Luah Encik Malik dengan perlahan.

Saat dia menerima khabar gembira tentang kelahiran Kayla, Malik dikejutkan dengan permergian isteri tercinta, Puan Delina. Hampir sahaja dia hilang arah untuk meneruskan kehidupannya selepas kehilangan isteri.

Dia dan isterinya mempunyai banyak persamaan iaitu mereka sama-sama membesar sebagai anak yatim piatu. Mereka jatuh cinta ketika pertama kali bertemu di universiti.

Selepas dua tahun mereka tamat belajar, barulah mereka membuat keputusan untuk berkahwin. Hanya dua tahun sahaja Encik Malik sempat hidup bersama arwah Puan Delina.

“Abang Yan...”

Tersentak Encik Malik mendengar suara anaknya. Perlahan-lahan dia menggeleng. Sampai ke dalam mimpi pun, Kayla masih teringatkan Aryan.

“Daddy janji, selagi daddy hidup, daddy akan cuba bahagiakan Kayla…”

💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕

Pratempahan dh dibuka sehingga 25/10/2020.
Untuk harga single,
RM38sm/ RM43 ss. Harga dah termsk pos ya. Berminat blh wasap 0129284568 atau LoveNovelPublishing
Diingatkan, harga ahli hanya boleh dibeli kepada mereka yg sudah mendaftar sebagai ahli di love novel publication. Akak hanya menerima harga biasa shj ya. Tq😘

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top