Teaser 7
SAYANGKU ABANG SIPUT
ARENA YIDIN
TEASER 7
“Jay... tunggulah. Jay!” Lengan Jay aku paut. Jay pandang wajah aku dengan kerutan di muka.
“Apa pegang-pegang ni, Ana? Tak bolehlah. Berdosa tau. Kita bukan mahram. Awak jangan buat macam ni lagi.”
Alaa. Dia marahlah pulak. “Kan berlapik ni Jay.”
“Tetap tak boleh. Awak tak boleh macam ni tau, Ana. Akan mengundang perkara yang tak elok bila bersentuhan antara lelaki dan perempuan. Lagi-lagi yang bukan mahram. Kenapa? Sebab... akan ada syaitan di tengah-tengah, menghasut agar kita berbuat maksiat. Haa faham tak?”
Aku lepas lengan Jay. Panjang muncung aku. Ustaz cute ni bagi sesi ceramah dia pulak.
“Lagi satu, tadi awak kata datang dengan Fida. Mana Fida? Tak ada pun? Kenapa awak tipu? Tipu pun tak boleh, Ana. Kalau kita jumpa bertiga, awak ada teman, baru tak timbul fitnah. Ni, kita cuma berdua. Sebab tu saya tak mahu duduk dekat situ.” Panjang lebar Jay berbicara.
“Alaa... biasa boleh je duduk berdua? Kau tak marah pun? Kenapa pulak hari ni tak boleh?” Aku tak puas hati. Punya aku gembira nak jumpa dia tapi aku dilayan macam ni.
“Ana. Look. Biasa, kita jumpa dekat mana? Dekat warung. Ramai orang. Dekat bank. Pun ramai orang. Haa satu lagi, dekat kafe. Ramai orang jugak. Tapi ni dekat taman. Tak ada orang pun lagi ni. Bahaya. Awak tak bawa teman. Kalau kita berdua kena tangkap basah macam mana?”
“Kahwin jelah.” Aku ketap bibir.
“Semudah itu? Kita baru kenal, Ana. Awak tak cinta saya. Saya pun sama. Macam mana nak kahwin? Bukan jenis saya menyia-nyiakan hidup seorang perempuan hanya kerana sebuah kesilapan.”
“Maksud kau?” Nada aku mulai perlahan.
“Macam ni, Ana. Sebuah perkahwinan tu adalah penyatuan dua jiwa. Penyatuan dua hati dengan berlandaskan kasih sayang antara keduanya. Bukan paksaan. Bukan cuma salah seorang yang menaruh hati. Lagi satu, pasangan tu juga bekerjaya. Barulah sempurna sebuah perkahwinan tu Ana.”
Aduh. Kena aku sekali ni. Jadi, dalam contoh yang Jay bagi tu, tak ada satu pun untuk satukan kami. Bab kerjaya tu. Aku memang ada kerja tapi cuma pelayan warung. Sementara Jay pula masih belajar.
Tapi, kenapa pula aku fikir semua ni? Aku bukan nak kahwin sekarang? Aku cuma nak jumpa dia je. Dah tu?
“Okey. Awak jangan keliru. Ini cuma rangkaian yang mungkin akan terjadi kalau kita berjumpa di tempat sunyi, cuma berdua macam ni. Itu maksud saya, Ana. Kalau jumpa di warung, di tempat terbuka, ramai orang, tak jadi masalah,” sambung Jay lagi.
“Okey, aku faham.”
“Awak nak jumpa saya dekat sini kenapa? Ada apa hal, Ana? Hari ni awak tak kerja?”
“Hari ni cuti. Abang Amin tak buka warung. Jadi aku boring dekat rumah. Maaf kalau kau tak suka.”
“Bukan tak suka, Ana. Cuma terkejut. Ingatkan betul-betul ada hal penting. Lagi satu, dari mana awak dapat nombor telefon saya? Rasanya saya tak ada bagi pun pada awak?”
Aduh! Mati aku. Apa aku nak jawab ni? Padan muka. Buat lagi perangai macam tu.
“Err... sebenarnya... hari tu... aku hantar makanan dekat kafe kolej kau. Aku minta nombor dengan pelajar dekat situ. Dia kata dia kenal kau.”
Bulat mata Jay. “Siapa?”
“Entah. Aku lupa tanya nama dia. Maaf Jay kalau apa yang aku buat ni salah.” Tertunduk aku menahan rasa malu.
“Awak boleh minta saja kan dari saya? Kenapa nak susah-susah minta dengan orang lain?”
Kali ini mata aku pula yang terbuntang. Biar betul ni?
“Err... aku... aku…”
“Sekejap Ana. boleh tak awak guna perkataan yang manis sikit selain dari aku?” Berkerut dahi Jay dengan kedua kening yang hampir bertaut. Aduh menggoncang iman aku. Sweet gila dia buat muka macam tu.
“Eh, kenapa pulak? Aku dah biasa macam ni.”
“Awak perempuan. Kena jaga tutur kata. Cakap yang baik-baik. Yang elok-elok je. Cuba guna perkataan awak, saya. Ataupun sebut je panggilan nama awak. Manis kan?” Jay memberi saran.
“Alah lecehlah... aku geli macam tu.”
“Ish awak ni. Jadi perempuan kenalah sopan. Macam tu kasar. Perempuan tak boleh kasar. Kena lembut. Tak boleh ganas.”
“Tak nak ah. Aku dah biasa macam ni.” Aku muncungkan bibir.
“Tengok. Degil pun ada. Ni pakaian. Apa ni pakai seluar ketat macam ni?Astagfirullahhaladzim! Dosa tau. Tukar balik tau. Pakai yang longgar sikit.” Berkerut lagi dahi Jay.
“Kenapa pulak? Okeylah ni. Ni baru trend. Awak tu je yang tak ikut peredaran zaman. Tu, tukarlah handphone tu. Takkan masih guna yang tekan-tekan tu lagi…”
“Tak boleh ya? Saya bukan curi orang punya. Ni arwah ayah saya punya. Tak baik membazir. Selagi boleh pakai, kita guna je. Yang macam awak guna tu tak tahan lama.”
Aku terkedu. “Arwah Ayah? papa kau kan masih ada?”
“Oh! Itu Ayah Man. Adik papa saya. Saya panggil dia ayah. Dah meninggal dua tahun lepas.” Jay menambah.
“Oh!”
“Lagi satu Ana... topi ni. Awak suka pakai topi kan? Macam lelakilah. Cuba bukak topi ni. Tak payah pakai baru nampak can…” Ternganga mulut Jay tiba-tiba. Dia melepaskan tangannya dari topi di kepala aku.
Statik Jay dengan mata yang tidak berkedip. Kenapa pulak ni? Aku naik hairan.
“Jay? Jay!”
“Err... astagfirullahhaladzim! Ya Allah. Ana. Saya balik dulu. Maafkan saya.”
Terpana aku melihat Jay pergi meninggalkan aku begitu sahaja.
Jom yang nak dapatkan buku Abg Siput. Masih dalam tempoh pre order.
arenayidin
01 April 2022
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top