TEASER 8
Setelah pergaduhan besar malam itu dengan bersaksikan pipiku ditampar tangan tua abah, hatiku benar-benar tercarik kerana tidak mendapat pembelaan dari siapa pun. Sudahnya aku dan Jay tidur dalam dua dunia berbeza. Kami saling menjauh atas permintaan aku sendiri.
Pagi esoknya aku dikejutkan dengan papa yang sesak nafas kerana terkena serangan jantung. Yang pasti Jay adalah orang yang paling terkesan ketika papa dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan. Sebelum ini, sudah dua kali papa terkena serangan jantung namun papa sihat kembali.
Namun pagi itu, papa tidak tertolong lagi. Nyawa papa sudah bercerai dengan tubuhnya. Jay kehilangan papa sekaligus aku menjadi punca kematiannya. Jay menyalahkan aku atas pertengkaran malam sebelumnya hingga papa mendapat serangan jantung.
“Papa! Kenapa papa pergi? Jay belum sedia untuk lepaskan papa. Papa!” Raungan Jay kedengaran pilu namun tangan aku ditepis saat aku mencuba untuk menenangkannya.
“Abang...”
“Semua salah Ana! Salah Ana! Papa pergi sebab Ana!”
Sakit tuduhan itu. Sangat berat untuk aku bila kata-kata itu keluar dari mulut suami sendiri. Mulut yang seringkali beristighfar namun tidak untuk kali ini.
Jay tidak seperti sebelumnya. Akulah pesalah yang jelas di matanya. Bukan lagi kerana takdir papa pergi tapi atas kesalahan aku.
“Ana minta maaf, abang!”
Tangan aku yang ingin menarik lengan Jay ditarik abah kasar. Tersentak aku di situ bila dipaksa menjauh dari Jay.
“Kamu yang bersalah atas semua yang berlaku, Jihan. Kalau kamu tak buat perangai dalam majlis tu, semua ni takkan jadi.” Itu kata-kata abah, terus menghukum aku.
Aku pandang umi di sebelah. Umi cuba membantah namun abah menengking pula.
“Diam, Yah! Jangan nak bela dia. Anak tak tahu kenang budi macam nilah.”
“Bawak bersabarlah abang. Bukan salah along sepenuhnya juga. Tak boleh nak salahkan anak kita semua, abang. Abang janganlah buat silap lagi. Yah tak nak apa yang berlaku dulu jadi lagi pada keluarga kita, abang.”
Pembelaan umi tidak berkesan di hati abah. Tidak juga pada orang lain. Aku pasrah. Emi di sebelah Uncle Jamil dan Aunty Lisa mencebik memandang aku. Aku tertunduk pilu.
Hingga jenazah papa dibawa pulang ke rumah, tiada siapa juga yang pedulikan aku. Aku tetap jadi pesalah. Jay langsung tidak mengusap air mata aku. Apa lagi untuk memeluk aku memberi kekuatan. Aku benar-benar sendiri.
arenayidin
18 Jun 2023
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top