Suatu Malam Yang Gila
*Peringatan: dinasihatkan pakai headphone atau earphone sewaktu mendengar lagu di atas. Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini dari berlaku. Lagu ini ada kisah dan sejarahnya.*
Aku meletakkan beg di anjung rumah. Rumah pusaka peninggalan datuk ini sudah lama tidak berpenghuni sejak kematian datuk kira-kira 15 tahun yang lalu. Aku perhatikan keadaan sekeliling sebelum tanganku menolak pintu rumah yang sudah agak usang tetapi masih utuh.
Kreekkk...
Gelap saja suasana dari dalam rumah ini. Terasa bulu tengkukku merinding. Tangan kanan dinaikkan kemudian tengkuk diusap sedikit. Aku cuma menganggap itu sebagai tindak balas normal apabila masuk ke sesuatu tempat yang sunyi. Perlahan-lahan, kaki melangkah masuk ke dalam rumah bersama beg-beg di tangan. Langkah terus diatur hingga sampai ke satu bilik di sebelah kiri rumah, bilik yang selalu aku diami waktu aku, mak dan ayah selalu pulang ke kampung suatu masa dulu. Keadaan bilik ini masih sama. Tidak bersepah atau kotor kerana keluarga aku memang mengupah penjaga untuk memantau dan membersihkan rumah ini sekiranya perlu. Ayah juga datang setiap tahun, tapi aku tak pernah mengikut. Ayah selalu datang seorang.
Setelah meletakkan semua beg, aku berjalan ke ruang tamu. Ayah memang sangat menjaga rumah tradisional ini kerana nilai sentimentalnya. Yang paling ayah suka adalah kerusi malas di tepi tingkap dan kerusi jati dekat depan televisyen lama. Kerusi malas itu sudah ada sejak datuk masih kecil. Terjaga rapi, tidak ada tanda mahu patah atau kesan rosak walau sedikit. Kerusi jati itu pula sudah payah untuk dicari zaman sekarang. Almari-almari yang ada di ruang tamu ini juga semuanya dari reka bentuk lama. Sangat unik.
Sudah lama tidakku lihat wajah datuk dan nenek. Aku pun seakan ingat-ingat lupa. Namun ingatan kembali segar apabila aku merenung satu-persatu wajah yang terpamer dalam bingkai kaca di atas dinding. Wajah datuk yang nampak garang dengan misainya yang tebal, tanpa senyuman itu aku pandang agak lama. Kemudian beralih pada gambar nenek yang nampak manis berkebaya. Aku suka melihat senyuman nenek. Dia selalu nampak gembira, sangat kontra dengan datuk yang bengis. Aku jadi ralit, pandangan beralih pada deretan gambar-gambar yang lain. Gambar datuk berpakaian seragam askar bersama nenek yang duduk di atas kerusi antik paling menarik perhatian aku.
"SHEEDA!!"
Terjungkit bahuku. Mataku meliar ke kiri dan kanan rumah. Suara yang aku dengar tadi suara datuk. Tapi..
Ahh..mungkin itu hanya khayalan aku saja. Mungkin aku cuma teringatkan suara datuk yang selalu memarahi aku dulu. Bukan apa, aku dulu tersangatlah nakal. Macam jantan, bak kata datuk. Sampai aku besar pun, aku masih berperangai macam jantan. Aku balik ke kampung untuk bercuti ni pun, aku balik seorang diri. Malas nak berteman. Lagi tenang macam ini. Aku nak ke mana-mana pun tak ada yang menyekat. Waktu petang yang masih berbaki ini, aku mahu isikan dengan berjalan-jalan di sekitar kampung. Kampung ini masih terjaga keindahannya. Itu yang aku teringat untuk bercuti di sini. Sekaligus mengimbau kenangan. Aku harap air terjun di hujung kampung masih jernih airnya.
*****
Bunyi mesej yang bertalu-talu membuatkan aku terpaksa membuka mata. Lepas Maghrib tadi aku terus tertidur. Pedulikan saja mesej-mesej itu. Aku mahu tidur semula. Tapi bunyi lagu yang bernyanyi pada fon membantutkan niatku. Aku angkat fon kemudian letak di telinga.
"Sheed..ppsstttt...ssss...balik...sssss..jangan...."
Aku dengar suara ayah yang terputus-putus. Dahiku berkerut, cuba memahami apa yang ayah mahu sampaikan. Aku putuskan panggilan dan hubungi semula ayah, tapi tak dapat. Tiga kali mencuba, masih tak dapat. Aku buka pula mesej-mesej tadi. Semuanya dari ayah. Aku mula jadi hairan apabila melihat mesej-mesej yang semuanya ditulis dalam bahasa yang tidak aku fahami. Bercampur antara huruf dan nombor. Macam mesej yang ditaip budak kecil. Biarlah. Ayah sengaja mahu menakutkan aku lah tu. Mulanya ayah tak bagi aku nak balik ke rumah datuk ini seorang-seorang. Setelah dipujuk berkali-kali, barulah ayah membenarkan. Aku dah besar, sudah pandai jaga diri.
Sambil berbaring, aku memandang siling sambil telinga menangkap bunyi-bunyian unggas dan serangga dari luar. Aku rindu suasana ini. Cukup tenang. Kalau di rumah aku, mana dapat nak dengar bunyi-bunyi macam ini. Bunyi kenderaan saja yang ada. Tak semena-mena terdengar bunyi seperti pasir ditabur di atas atap zink. Disertakan dengan bunyi seperti kaki kecil yang berjalan di atas atap. Mungkin itu musang atau haiwan lain. Aku abaikan saja.
Perut terasa lapar. Kali terakhir aku makan pun masa tengah hari tadi. Setelah puas menggeliat dan menggulingkan badan beberapa kali, aku bangun. Bahan-bahan mentah sudah aku beli petang tadi. Peti ais lama itu pun sudah aku hidupkan petang tadi.
Waktu melintas di hadapan bilik datuk, aku terbau satu haruman. Seakan bau bunga melur. Aku bagaikan dipukau. Baunya sangat mengasyikkan. Bau haruman bunga yang semakin kuat itu membuatkan aku berhenti dari melangkah menuju ke dapur.
Tak semena-mena aku terdengar bunyi siulan dari dalam bilik datuk. Perlahan saja bunyinya tapi masih dapat didengar. Bulu romaku mula meremang. Siapa pula yang bersiul? Dari siang tadi cuma ada aku saja dalam rumah ini.
"Sapa tu?" Aku bertanya dalam nada tegas.
Terasa berderau darahku apabila sekali lagi terdengar bunyi seseorang bersiul. Kali ini lebih kuat dan panjang dari yang tadi, diselangi dengan ketawa kecil. Rasa lapar hilang serta-merta. Kini tanganku sudah diletak pada daun pintu, bersedia untuk menolak pintu itu hingga terbuka.
KTAANGG!!
Waktu pintu terbuka luas haruman tadi hilang serta-merta. Bau busuk pula menerpa rongga hidung. Busuk yang amat sangat, macam bau bangkai. Terus aku petik suis lampu. Aku cuba berfikir positif. Mungkin bau itu datang dari bangkai tikus dan bunyi-bunyi tadi cuma mainan fikiran saja. Tapi bau wangi tadi? Ah, pedulikanlah!
Aku terbongkok-bongkok mencari bangkai tikus yang mungkin ada dalam bilik datuk. Tapi tak ada. Semua barang dalam bilik ini kemas saja. Baru aku perasan, tingkap bilik ini terbuka. Sejak bila pula terbuka? Tak mahu berfikir panjang, aku terus melangkah ingin menutup tingkap.
Lingsir wengi...
Mata terus terarah pada punca suara yang baru saja aku dengar. Di luar, bawah pohon nangka. Jantung berdetak makin laju. Kakiku seakan terlekat pada lantai, badanku juga kaku.
Sliramu tumeking simo...
Sesusuk tubuh sedang tepat memandang aku sambil menyanyi lagu yang tidak dapat difahami maksudnya. Matanya yang terjojol itu bagaikan menikam anak mata aku, dengan bibirnya yang berdarah bergerak-gerak perlahan, masih menyanyi dengan suara yang mendayu-dayu. Rambutnya yang panjang kusut masai kelihatan terbuai-buai ditiup angin, kain yang tergantung di badannya kelihatan diseliputi dengan tanah. Sesekali lidahnya yang panjang terjelir keluar dengan darah yang menitik-nitik sewaktu dia menyanyi.
Bibirku menggeletar bagai kesejukan. Aku sudah mahu menangis. Lembaga itu masih lagi menyanyi dan mula mendekati tingkap bilik ini. Jarak aku dengan lembaga itu cuma kira-kira lima meter saja. Semakin lama semakin mendekat. Nafasku makin tak teratur. Aku cuba baca apa-apa saja surah yang terlintas di fikiran, tapi suaraku tidak keluar. Tinggal beberapa langkah saja jarak aku dengan lembaga itu, aku dapat membaca surah An-Nas dalam hati. Batang tubuh dan semua anggota badan mampu digerakkan semula. Aku tutup tingkap dan tarik selaknya tanpa berlengah sedikitpun.
Suara nyanyian itu masih lagi kedengaran sewaktu aku berlari keluar dari bilik datuk menuju ke ruang tamu. Degup jantung masih lagi laju. Aku mengurut dada sambil cuba menstabilkan nafas yang tak menentu. Peluh dingin yang mengalir dari dahi aku seka guna hujung lengan baju. Pelan-pelan, aku terjelepuk di lantai. Sebelum ini aku tidak pernah percaya akan kehadiran hantu. Tidak pernah aku rasa tersangat takut seperti ini. Tak semena-mena, suara nyanyian itu terhenti. Suasana jadi sunyi. Hanya kedengaran bunyi serangga dan unggas yang bersahut-sahutan.
TOKK!! TOKK!!
Mataku tertumpu pada pintu depan. Belum sempat aku merasa lega, gangguan lain pula muncul.
"SHEEDAAA!! BUKAK PINTU NI SHEEDAAA!! ATUK NAK MASUUUKKK!!"
Aku dengar suara datuk dari luar rumah. Suara itu diselangi dengan ketukan bertalu-talu pada pintu. Pintu kayu itu bergoncang bagaikan mahu roboh. Tak mungkin itu datuk. Datuk sudah lama meninggal. Sudah 15 tahun!
Aku langsung tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya mampu mengangkat kedua-dua tangan menutup telinga. Tanpa aku sedar air mula bergenang di tubir mata. Ya, aku menangis.
"HAAAHAHAHAHAHAHA!!"
"HAAHAHAHAHAHAHAHA!!!"
Suara datuk bertukar jadi hilaian tawa yang sungguh nyaring dan mengerikan. Bunyi hilaian itu bagaikan di sebelah telingaku saja. Tubuhku menggeletar hebat. Makin laju air mata turun ke pipi. Aku menekup mulut dengan tangan, tak mahu apa-apa suara pun keluar dari mulut.
Lingsir wengi....sliramu tumeking simo...
Sekali lagi nyanyian itu kedengaran. Tapi kali ini suara nyanyian itu bukan dari luar rumah. Suara itu dari pemain piring hitam di sudut kanan ruang tamu. Aku sudah tak dapat menahan lagi rasa takut. Terhambur kuat tangisan yang ditahan sejak tadi. Aku mula menyesal kerana tak mengikut cakap ayah yang melarang aku untuk datang seorang ke rumah ini. Ayah kata dia selalu terasa diperhatikan setiap kali pulang sekejap ke sini untuk melihat-lihat keadaan rumah. Tapi aku dengan yakinnya berkata bahawa itu semua khayalan ayah saja.
OJO TANGI NGGONMU GULING...
AWAS JO NGETORO...
Suara nyanyian itu semakin lama semakin kuat, bagaikan ia semakin hampir dengan aku. Aku tutup mata. Sudah tidak sanggup dengan gangguan ini semua. Aku cuba mengingat surah-surah untuk aku baca. Tapi semuanya bagaikan hilang dari ingatan. Nyanyian itu diselangi dengan ketawa kecil, bagaikan mengejek aku yang sedang takut.
"Kenapa tutup mata tu? HAHAHAHAHAAA!!"
"Bukalah mata. Tak nak tengok atuk?"
"PERGIII!! JANGAN KACAU AKU LA SETANNN!!"
Entah dari mana keberanian itu datang, aku jerkah sekuat-kuatnya. Semua bunyian hilang. Mungkin jerkahan aku tadi sudah menakutkan makhluk itu. Orang cakap, kalau kita takut, makhluk itu lagi suka. Aku cuba beranikan diri. Perlahan-lahan aku bangun. Aku kena keluar dari rumah ini. Mana tahu kalau sekejap lagi gangguan tadi bermula semula?
Aku melangkah menuju ke bilik. Baju-baju yang sudah aku susun dalam almari untuk kegunaan selama dua minggu bercuti, semuanya aku kemas semula masuk ke dalam beg pakaian. Komputer riba di atas meja antik aku simpan. Kelam-kabut aku mengemaskan semua benda. Kunci kereta aku capai.
Tap! Tap! Tap! Tap!
Aku tersentak sebaik terdengar seperti bunyi tapak kaki yang semakin menghampiri bilik tempat aku sedang berdiri sekarang ini. Tiba-tiba kedengaran bunyi seperti pasir ditabur atas atap. Disertai bunyi anjing yang melolong panjang.
TAP! TAP! TAP!
Aku kembali cemas. Bunyi tapak kaki semakin hampir, bagaikan ia menghentak kaki sewaktu berjalan. Nafasku jadi tersekat-sekat. Pandangan diarah pada pintu bilik. Entah sejak bila, bau busuk memenuhi rongga hidung.
Jembalang tadi muncul di pintu bilik dengan wajahnya yang menyeringai. Aku panik. Dengan spontan batang tubuhku berundur ke belakang. Tak semena-mena jembalang itu datang menerpa laju ke arahku.
"AAAAARGHH!!"
Aku tersedar dari mimpi. Tercungap-cungap aku cuba mengejar nafas. Mimpi seakan nyata! Aku turun ke dapur untuk mendapatkan segelas air.
"Argh, itu semua cuma mimpi!"
Baru beberapa langkah aku ingin menapak ke ruang tamu, langkah aku kaku sebaik mataku tertancap pada sesusuk tubuh di sebalik pintu.
(1758 patah perkataan)
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top