Semuanya Yang Berlaku

(Peringatan : Jangan menyanyikan lagu ini dengan liriknya yang sebenar, yang lengkap menyebut Puteri 1 hingga Puteri 7 kerana lirik asalnya memang dipercayai sebagai sebuah lagu untuk pemujaan dan penyembahan.)


Sampai di sungai, aku ke tempat tadi. Tempat aku nampak sekujur tubuh yang terendam dalam air itu. Tapi tubuh itu sudah tiada, sudah lenyap.



 Aku jadi terpinga-pinga. Tangan kanan menggaru kepala yang tidak gatal sambil mata melilau ke kiri dan kanan sungai. Angin bertiup semakin kencang. Pokok-pokok di tebing sungai ini mula bergoyang-goyang. Daun-daun yang gugur galak berterbangan. Sekeping darinya menampar mukaku. Mataku tertutup seketika menahan pedih sambil daun itu kutarik dari muka. Waktu perlahan-lahan aku buka mata, aku ternampak beberapa objek yang berwarna merah bercahaya muncul dari celah-celah pokok yang merimbun. Aku ralit memerhati. Macam kunang-kunang. Semakin lama, semakin banyak yang muncul. Hingga kunang-kunang itu memenuhi kawasan sekitar sungai. Belum pernah kulihat kunang-kunang yang bercahaya merah. Aku seakan terpukau sambil menikmati keindahan kunang-kunang itu. Rasa hati yang mahu cepat pergi dari sini, hilang begitu saja.



 Salah seekor dari kunang-kunang itu semakin hampir denganku. Aku menghulurkan tangan, seakan-akan mahu ia hinggap di tanganku. Makin ia mendekat, kunang-kunang itu seakan membesar. Makin besar, makin besar dan...



 "AAARGHHH!!" Kakiku terundur beberapa langkah ke belakang. Aku tersentak apabila ia bertukar menjadi seorang gadis, berdiri hanya beberapa inci dari mukaku dengan sengihan yang terpamer. Gadis berkebaya merah yang aku jumpa petang tadi! Dapatku rasakan degup jantungku makin laju. Fikiran berkecamuk. Tak mampu mencerna apa yang sedang aku saksikan sekarang ini. Semuanya begitu aneh. Kunang-kunang menjadi...seorang gadis?



 "Pu..Puteri?" Aku bersuara teragak-agak.



"Siapa Puteri?"
Suaranya kedengaran bergema. Matanya tepat memandangku dengan renungan yang tajam, bagai ingin menelanku hidup-hidup. Dia masih tersengih, menyerigai dengan lebar. Bagaikan mahu terkoyak pipinya. Tiba-tiba suara jeritan yang kuat dan nyaring keluar dari mulutnya. Mata putihnya hilang, semuanya bertukar hitam legam, badannya putih seakan-akan bercahaya dengan urat kelihatan jelas berselirat, darah keluar membuak-buak dari mulutnya, taringnya memanjang melepasi dagu, rambutnya yang bersanggul tadi semuanya terurai panjang sampai ke kaki.



 Tubuhku yang telah menerima isyarat cemas dari otak mula berpaling dan membuka langkah seribu. Sekali lagi suara jeritannya bergema. Kali ini disertakan dengan hilaian yang bagai mahu merentap jantungku keluar. Aku berlari lintang-pukang entah ke mana. Semak-samun dan ranting kayu tidak kuhirau, semuanya diredah saja. Suara hilaian itu masih kedengaran. Ia mengejarku.



 Aku tersedar aku tersilap langkah apabila pandangan di hadapanku ini hanya penuh dengan kawasan perkuburan yang luas. Rasa hati yang gerun dengan tanah perkuburan ini tidak aku hiraukan. Aku perlu lari, tidak ada jalan lain lagi. Aku perlu meredah kubur-kubur ini. Kalau berpatah balik pastilah aku akan jatuh ke tangan makhluk jahanam itu. Sungguh aku tak sangka akan jadi seperti ini. Tak pernah terbayang langsung aku akan dikejar jembalang seteruk ini.



"KAU NAK LARI KE MANA? HIIIHIHIHIHIHII!!"



"KAU MILIK AKU SHEEDA!! KAU MILIK AKU!!!"



Nasibku tidak baik. Aku tersadung seketul batu yang agak besar, menyebabkan aku tersembam di atas sebuah kubur. Mataku tertancap pada batu nisan yang sudah mengenai kepalaku. Batu nisan itu tidak bernama. Aneh! Ekor mataku sempat menangkap pandang pada batu-batu nisan yang lain. Semuanya sama, tidak bernama. Adakah ini kubur yang betul? Aku bertanya dalam hati sambil bergegas bangun menggagahkan diri.



 Ah, aku tak peduli! Aku berlari sambil menekup dahi yang terasa berdenyut-denyut. Ada sesuatu yang basah dan pekat. Terhuyung-hayang langkahku. Suara hilaian yang semakin kuat kedengaran membuatkan aku memecut lebih laju. Namun nasib sekali lagi tidak menyebelahi aku. Aku tersungkur buat kali kedua.



 Kepalaku sakit, pandangan jadi berpinar-pinar seakan kepeningan. Suasana di sekitarku berubah secara tiba-tiba. Suara hilaian itu juga hilang. Aku pandang ke sekelilingku. Aku pun tidak tahu aku di mana. Aku nampak imej-imej yang bergerak laju di kiri dan kanan. Aku merentasi masa?


TAP!


Muncul sebuah skrin gelap di hadapanku, yang aku tidak tahu dari mana asalnya. Cahaya yang berbalam-balam mula terbit pada skrin, yang kemudiannya menjadi semakin terang, membentuk imej seseorang yang aku kenal. Aku leka memerhati pada skrin. Memerhati imej Puteri yang sedang duduk atas batu di tepi sungai.


 "Puteri!"



 Aku dapat lihat Puteri berpaling ke arah suara yang memanggilnya. Senyuman terbit di wajah Puteri.



 "Puteri Mawar! Kenapa lambat?" Puteri mengangkat punggungnya seraya berdiri. Bibirnya dimuncungkan sedikit sambil bercekak pinggang.



 "Awak ni..kan kita dah cakap. Tak perlulah panggil kita Puteri Mawar. Nanti peliklah, sebab awak pun Puteri juga. Panggil Mawar saja cukuplah. Kita tolong kakak-kakak kita masak tadi. Sebab itulah lambat."



 "Okey, okey..saya panggil awak Mawar je. Takpe, duduk sini. Hari ni awak dah janji nak nyanyi untuk saya kan?"



 Aku nampak gadis berkebaya merah itu mengangguk. Gadis yang sama aku jumpa di sungai yang sama. Dia dalam lingkungan umur yang sama seperti yang aku jumpa. Dengan pakaian yang sama warnanya, cuma berlainan corak kainnya. Gadis itu berdehem beberapa kali sebelum mula menyanyi. Puteri di sebelahnya memandang penuh minat.



Ulek mayang ku ulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang di ulek
Ulek dengan tuannya puteri
Ulek mayang diulek
Ulek dengan jala jemala
Ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya dua...



Suaranya yang mengalunkan lirik dan irama lagu itu kedengaran sangat merdu. Jujur, aku jadi terpesona dengan suaranya. Bunyi burung yang berkicau riang, bunyi angin yang menderu serta bunyi air sungai yang mengalir bagaikan melengkapi nyanyian Mawar. Semuanya bagaikan menjadi suatu muzik yang harmoni.



 "Sedapnya suara awak, Mawar!" Belum habis pun gadis yang dipanggil Mawar itu menyanyi, Puteri sudah memujinya. Tersungging senyuman di wajah Mawar. Mawar meneruskan nyanyiannya.



Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggol sendeng
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning
Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jala jemala
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puterinya empat...



Setiap rangkap yang dinyanyikan Mawar, setiap kali itulah aku terlihat kelibat seseorang yang muncul satu persatu di sebalik pohon-pohon besar, juga semak di sekitar kawasan sungai. Kelibat itu seakan bayang-bayang. Semuanya hitam legap. Berbentuk seakan-akan perempuan yang menari-nari mengikut rentak lagu yang dinyanyikan. Lama-kelamaan semuanya datang makin dekat pada Puteri. Aku mahu menjerit memanggil Puteri, namun suaraku tidak keluar sedikit pun. Aku hampa. Aku cuma dapat melihat saja semua bayang-bayang itu berdiri di belakang Puteri, saat Mawar habis menyanyi. Puteri bertepuk tangan. Teruja mungkin. Aku seperti terdengar suara-suara halus yang ketawa. Mungkin dari bayang-bayang itu.



 "Awak tau tak, Mawar. Kawan saya yang nama Sheeda tu pun suara dia sedap tau. Bila dia balik kampung, saya selalu minta dia nyanyi. Lepas tu kami berlakon macam tengah menyanyi dekat atas pentas. Suka sangat dengar dia nyanyi." Wajah Puteri yang teruja berubah mendung. "Saya rindu dia la, Mawar..." Puteri sedikit menunduk.



 "Tak apa, kita kan ada.." Mawar membalas, seperti mahu menceriakan semula Puteri yang muram.



 "Tapi awak lain..awak mana sama dengan Sheeda."



 Aku lihat riak wajah Mawar yang tadinya tersenyum kini berubah masam. Namun cepat-cepat dia pamerkan senyum paksa dan memujuk Puteri. Tangannya mengusap-usap bahu Puteri. Waktu Mawar memeluk Puteri, aku dapat lihat wajah Mawar yang menyinga menahan marah.



 Skrin tiba-tiba berubah gelap. Aku terpinga-pinga. Mataku melilau tanpa arah. Apa yang sudah berlaku? Sekarang ini aku di mana?



TAP!




 Skrin muncul semula di depanku. Aku yang tadinya menggelabah, kini diam memerhati skrin yang memaparkan wajah Puteri. Kali ini Puteri sedang ceria bermain air dengan Mawar. Mawar masih mengenakan kebaya berwarna merah. Cuma kali ini kebayanya bercorak motif bunga melur berwarna putih. Puas bermain air, mereka naik ke atas tebing dan duduk di atas tikar yang sudah dibentangkan. Puteri mengeluarkan dua bekas makanan dari dalam beg plastik. Salah satunya dihulurkan kepada Mawar. Huluran itu disambut dan disertakan dengan ucapan terima kasih.



 "Wah, nasi tomato lah! Kita suka sangat nasi tomato yang mak awak buat. Sedap!"



 "Hmm..Sheeda pun suka sangat nasi tomato yang mak saya buat tau. Ada sekali tu, sampai tiga kali tau dia menambah. Tak puas kata dia."



 Puteri hanya bercerita tentang aku. Semua fasal aku. Aku jadi hairan. Apa istimewanya aku sampai Puteri mampu mengingat semuanya sampaikan mampu bercakap tentang aku hampir sejam? Sampai aku dapat lihat Mawar hanya mampu tersengih paksa. Aku tahu dia sedang jelak apabila wajah pura-pura cerianya tadi bertukar garang waktu Puteri meminta diri dan berjalan pulang ke rumah.



"Sheeda, Sheeda, Sheeda. Tak habis-habis dengan Sheeda kau tu. Kalau aku dapat Sheeda tu, siaplah!"
Tangannya digenggam membentuk penumbuk.



 Mawar berpaling. Langkahnya diatur menuju ke arah sungai. Kakinya tidak tenggelam ke dasar sungai waktu dia melintas ke seberang kemudian hilang di celahan pokok-pokok di hutan itu. Suaranya yang bergema mengalunkan lagu juga perlahan-lahan menghilang.



 Semuanya tiba-tiba jadi gelap-gelita, tanpa aku dapat lihat apa-apa. Kali ini aku tidak sekaget tadi. Aku tunggu saja sampai cahaya pada skrin muncul kembali. Seperti tadi, cahayanya muncul. Dari malap sampailah cerah. Dari apa yang aku lihat sejak tadi, aku sedar yang aku tidak menghargai Puteri sebagai kawan. Maafkan aku, Puteri. Aku bukan seorang kawan yang baik buat kau.



 Aku tersentak sebaik saja skrin memaparkan imej diriku sendiri, sedang duduk di salah sebuah batu yang besar. Wajahku nampak muram, wajah Puteri juga begitu. Tanganku kelihatan mengesat air yang mengalir di pipi. Aku ingat waktu ini. Tapi yang membuatkan aku rasa lain macam, adalah imej Mawar yang ada di belakang Puteri, sedang merenung ke arah imejku dengan pandangan yang tajam. Kami berdua langsung tidak menyedari kehadirannya.


 "Sheeda..awak janganlah nangis banyak-banyak. Nanti awak sakit."


 "Tapi saya sedih.."



 "Tak mau lah sedih lagi. Atuk awak dah boleh berehat. Dia dah pergi ke tempat yang lebih baik. Awak kena rajin doakan dia tau. Jangan risau, awak ada saya kat sini. Okey?" Puteri memegang kedua-dua bahuku, seakan mahu aku memandang wajahnya. Dia pamer senyuman yang manis buatku. Perlahan-lahan, aku juga tersenyum tetapi hambar.


 "Puteri.."


 "Hmm? Kenapa Sheeda?"



 "Saya tak tahu sama ada saya akan balik lagi ke sini atau tidak. Sebab atuk dan nenek saya dua-dua dah tak ada."



 "Tak apa, nanti ada rezeki kita jumpa lagi. Saya akan sentiasa tunggu awak tau. Emm..nak peluk tak? Mungkin awak akan rasa lebih lega."



 Puteri tersengih sambil mendepakan tangannya. Comel sangat pada pandangan aku. Waktu itu, aku mengangguk. Dan kami berpelukan. Tapi mataku sekarang ini tidak terfokus pada Puteri dan aku yang kecil, tapi mataku terpaku pada Mawar yang menyinga wajahnya. Nampak seperti sangat berang. Dia mendengus kemudian terus menghilang di sebalik hutan di seberang sungai.



 Skrin jadi gelap semula. Aku tak tahu bilakah tayangan ini akan berakhir. Aku cuma dapat duduk diam dan melihat saja. Tak tahu mahu buat apa. Aku tidak nampak sebarang objek bahkan apa-apa pun di sekelilingku waktu aku menoleh ke kiri dan kanan. Pandanganku difokuskan semula pada skrin sebaik saja cahayanya jadi makin terang.



 "Puteri, kenapa muram ni?"



 Aku lihat Mawar menanyakan soalan kepada Puteri. Namun tidak dibalas. Puteri hanya senyap dan menggeleng lemah. Mawar memujuk Puteri untuk menceritakan masalahnya. Setelah dipujuk berkali-kali, barulah Puteri mahu bersuara.



 "Kita makan karipap ni dulu boleh? Sambil makan nanti saya cerita."



 Mereka menjejakkan kaki ke dalam sungai dan duduk di atas batu. Puteri membuka ikatan pada beg plastik jernih yang berisi kuih karipap, kemudian menghulurkannya kepada Mawar. Mereka masing-masing mengambil sebiji karipap, tapi Puteri tidak makan. Puteri kelihatan hanyut dalam dunianya sendiri. Kakinya dikuis-kuis pada pasir di dasar sungai. Matanya ralit memerhati ikan-ikan seluang yang berenang dalam air yang jernih itu.



 "Mawar..." Puteri bersuara perlahan. "Saya rasa nak pergi Kuala Lumpur. Saya nak minta dengan ayah. Harap-harap ayah benarkan."



 "Kenapa awak nak ke sana?"



 "Saya nak jumpa Sheeda. Saya rindu dia..sebab dah lama sangat dia tak balik. Saya nak tahu apa yang dia buat sekarang, nak tengok wajah dia, nak bersembang dengan dia lagi. Pendek kata, saya nak sangat jumpa kawan baik saya tu."



 "Habis tu kita ni bukan kawan baik awak?" Mawar mula berubah garang. Dia sudah berdiri sambil matanya tepat menikam anak mata Puteri.



 "Bu..bukan macam tu. Awak pun kawan baik saya. Tapi saya masih rasa sunyi bila tak dapat jumpa Sheeda. Saya rasa lain bila dia dah lama tak balik. Saya kenal dia dah lama, sejak kami umur enam tahun lagi. Saya nak jumpa dia..." Suaranya bergetar. Ada air jernih mula bertakung di tubir mata Puteri, yang kemudiannya mengalir perlahan tanpa dapat dia tahan.



 Segala rasa bercampur-baur saat aku lihat Puteri teresak-esak menangis. Mawar kelihatannya memeluk Puteri dan mengusap-usap belakangnya. Puteri sampai menangis sebab rindukan aku. Tapi aku? Rasa bersalah membuatkan mata aku mula digenangi air. Berjuta kali maaf pun tidak akan mampu untuk aku putar masa dan berjumpa dengan Puteri semula.



 "Puteri.."



 "Ya?" Puteri menyahut sambil mengelap matanya selepas pelukan dileraikan.



 "Awak ikut kita balik nak?"



 "Tapi sekarang dah lewatlah. Dah nak senja. Nanti mak ayah saya risau. Kalau saya kena marah nanti macam mana?"



 "Tak apa, nanti kita minta kakak kita pergi rumah awak, bagitahu dekat mak ayah awak. Nanti kakak kita cakaplah, kita cuma nak awak gembira, tak mau sedih-sedih dah. Jomlah Puteri. Boleh awak jumpa kakak-kakak kita. Mana tahu nanti awak boleh lupakan Sheeda?"



 "Saya takkan dapat lupakan Sheeda, saya pasti. Saya akan sentiasa tunggu dia. Saya minta maaf, Mawar. Saya tak biasa pergi rumah orang malam-malam. Hari dah nak gelap ni. Saya balik dulu tau. Esok kita jumpa lagi." Puteri berpaling, sepertinya mahu memulakan langkah. Mungkin dia mahu cepat pulang ke rumah. Tapi tak sampai tiga langkah, lengannya dipaut Mawar.



"KAU NAK PERGI MANA?!!"
Suara Mawar memecah kesunyian di sekitar kawasan sungai itu. Burung-burung yang sudah hinggap di dahan ingin beradu, semuanya bertempiaran terbang entah ke mana.



 "Ma..Mawar?"



"DIAM!! IKUT AKU!!"



Mawar mengheret Puteri yang meronta-ronta. Dia menangis sambil cuba melepaskan diri. Aku jadi cemas. Aku cuba memanggil nama Puteri berkali-kali. Tapi hanya angin saja yang keluar dari mulutku tanpa bunyi apa-apa. Air mataku mengalir laju. Aku terjelepuk. Aku tahu aku tak mampu berbuat apa-apa lagi. Cuma mampu melihat Mawar yang mengheret Puteri tanpa hirau akan badan Puteri yang terseret ke tanah dan berlanggar dengan batu.



"Sekarang kau sudah masuk ke alam aku. Dah tiga hari kau tak balik. Biar mak ayah kau risau. SEKARANG PUAS HATI KAU?!"
Mawar menengking tanpa memandang langsung ke arah Puteri yang diheretnya.



"Kau nak tau kenapa aku nak rapat dengan kau? Kau dengar ni!"



 WUAAARGHHHH!! AAAARGHHHHH!!



Mawar melolong mengeluarkan bunyi yang pelik dan memekakkan telinga. Air mata Puteri mengalir tanpa henti. Begitu kuat aku lihat dia menjerit dan menangis sambil menggeleng-geleng tidak tentu arah.



 "Aku datang membawa niat. Niat dihati beratku simpan. Ingin kubuat tidakku dapat. Pertolongan darimu aku pohonkan."




 Aku dengar Mawar seakan-akan mengajuk suara seseorang. Suara lelaki.



"Katakan saja apa segala hajatmu wahai manusia."




 Kali ini suara perempuan pula yang keluar. Suara Mawar, suara biasa yang aku dengar sejak tadi. Aku jadi terpinga-pinga.



"Aku mahu rumah pusaka itu. Aku mahu semua tanah kebun pusaka arwah bapaku dan sungai yang mengalir itu jadi milikku. Kau bantuku bunuh kakandaku. Supaya aku dapat semua yang aku hajati!"



 "Hahahahaha! Boleh. Tapi ada perjanjiannya. Apakah kau mahu?"



 "Apa dia syaratnya? Katakan saja. Aku mendengar bicaramu."



 "Satu nyawa dibalas satu nyawa.Kau manusia, perlu korbankan seorang dari anak cucumu sebagai galang gantinya!"



 "Aku setuju dengan syaratmu. Kau pilihlah sesiapa saja dari kalangan keluargaku yang menetap di kampung ini. Satu nyawa dibalas satu nyawa harus kau tepati!"



 "Adakah kau pasti wahai manusia?"



 "Ya, aku pasti. Dengan ini aku berjanji disaksikan bulan purnama malam satu suro ini, aku telah memeterai perjanjian ini denganmu."



Mawar mula ketawa mengilai-ngilai. Saat itu, angin semakin kuat bertiup. Pohon-pohon melambai dengan bunyian daun yang bergesek. Puteri masih lagi menangis. Dengan suara yang lemah, dia berkali-kali minta dilepaskan.



"Kau tahu bicara tadi antara aku dengan siapa?"
Mawar mengakhiri kata-katanya dengan hilaian tawa yang nyaring.



 "Dengan Sulaiman! Kau tahu yang Sheeda bersaudara dengan kau, bukan?! Dia terlepas hanya sebab dia tidak menetap di sini!"




 Aku menekup mulutku sambil menangis. Tak lama selepas itu aku meraung. Senak terasa dadaku dihimpit dengan rasa bersalah. Sanggupnya datuk memeterai perjanjian yang sebegitu! Sanggup korbankan nyawa keturunannya hanya kerana tamakkan harta pusaka. Kini aku faham semuanya. Ayah pernah bercerita kepadaku bahawa datuk menghantarnya belajar jauh sampai ke Kuala Lumpur sejak ayah masih kecil lagi. Ayah hanya sekali-sekala saja balik ke kampung ini. Sewaktu ayah mahu tinggal di kampung ini pun, datuk sekeras-kerasnya menegah keputusan ayah.



 "Sejak aku jumpa kau seorang diri dekat tepi sungai, memang aku nak bawa kau terus ke sini. Tapi kau baik dengan aku, bersembang dengan aku dan layan aku seperti kawan. Aku yang sunyi tanpa sahabat jadi ceria. Tapi kerana kau asyik menyebut nama Sheeda, kau betul-betul dah buat aku marah! Kau tak hargai aku yang selalu ada dengan kau! Apa istimewanya Sheeda sampai kau buat aku begini?"
Mawar bersuara sayu bagaikan meminta penjelasan.



"Maafkan aku, Mawar..maafkan aku. Aku nak balik. Tolonglah Mawar, aku merayu. Jangan apa-apakan aku dan Sheeda.." Puteri merayu-rayu dalam esakan tangisnya.



"TIDAK! Kau milikku Puteri! KAU MILIK AKU!!!"



Leher Puteri dicekak. Sebelah tangan Mawar semakin rapat ke mata Puteri. Makin kuat raunganku melihat Mawar mencungkil mata Puteri kiri dan kanan. Jeritan Puteri makin menggila. Darah meleleh dari kedua-dua matanya yang sudah lompong. Tercungap-cungap Puteri mencari nafas.



"Sekarang aku dah cungkil mata kau. Kau tak dapat lagi nak ke mana-mana. Tinggal saja dengan aku. HAHAHAHAHAHA!!"



"PUTERI! PUTERII!!!"



 Terdengar suara seperti beberapa orang yang memanggil-manggil nama Puteri. Beberapa ketika, aku melihat beberapa orang lelaki berjalan di sekitar tempat Mawar dan Puteri berada. Tapi jeritan Puteri dan kelibatnya bagaikan langsung tidak dapat didengar dan dilihat oleh lelaki-lelaki itu. Salah sorang dari mereka aku kenal. Pakcik Zainal! Di sebelahnya seorang lelaki lingkungan umur lewat 30an terkumat-kamit membacakan sesuatu. Tak semena-mena, Mawar melolong bagaikan kesakitan. Mawar seakan kaget. Pegangannya pada Puteri seakan jadi makin longgar. Diseretnya Puteri menuju ke sungai.



 Di tepi sungai, Mawar menggigit rakus dagu Puteri. Aku cuba menumbuk imej Mawar yang terlayar di atas skrin. Tapi semuanya sia-sia. Aku hanya mampu menangis. Mawar menyedut darah Puteri hingga terkejang-kejang seluruh tubuh Puteri. Bunyi seksa nafasnya yang tercungap-cungap bermain di telinga. Waktu Puteri sudah nyawa-nyawa ikan, jasadnya dicampak ke dasar sungai.



 Mawar melolong-lolong. Bunyinya cukup membuatkan seluruh badanku meremang. Tak semena-mena kepalanya terpusing ke belakang. Darah merah pekat membuak-buak meleleh sampai ke tanah. Perlahan-lahan, dia melangkah seakan mahu menghampiriku dengan kepalanya yang masih terpusing. Makin lama makin laju. Tiba-tiba ia melolong kuat dan menerpa ke arahku.



"AAAARGHHHHH!!!"



 "Ya Allah! Tenang, Sheeda..tenang. Takpe, makcik ada."



 Terasa belakang badanku diusap-usap. Air jernih mula bergenang di tubir mataku yang kemudiannya mengalir tanpa dapat aku sekat lagi. Aku tak mampu untuk berkata apa-apa. Hanya diam ditenangkan oleh Makcik Jima. Aku melihat sekeliling. Ramai penduduk kampung duduk di atas tikar. Sepertinya baru selesai membacakan Yaasin.



 "Dia dah sedar dah, Shahid. Pergi tengok anak kau tu." Terdengar suara Pakcik Zainal.



 Aku mendengar bunyi seseorang menaiki tangga. Terpampang wajah ayah. Dapat kulihat jelas riak kerisauan terpamer di wajah ayah. Kakakku juga kalut menaiki tangga dan berjalan ke arahku yang sedang berada di tengah ruang tamu rumah Makcik Jima dan Pakcik Zainal ini.



 "Sheeda okey tak? Empat hari Sheeda hilang. Pakcik Zainal dengan penduduk kampung jumpa Sheeda dekat dalam hutan seberang sungai sana. Ayah dengan kakak risau sangat."



 "Sheeda minta maaf, ayah..Sheeda degil. Tak dengar cakap ayah." Sekali lagi air mataku merembes laju.



 "Sudah Sheeda..tak mau menangis lagi. Sheeda dah selamat sekarang. Kita balik KL ya?"

*****


Aku hanya disuruh duduk saja di ruang tamu rumah pusaka datuk ini. Makcik Jima dan kakak sedang mengemas barangku manakala Pakcik Zainal dan ayah sedang berbual-bual dengan Ustaz Haji Omar di anjung rumah. Dapat didengar perbualan ayah yang mahu mengadakan solat hajat dan majlis bacaan doa selamat malam nanti. Ingatanku kembali pada perjanjian datuk dan segala yang sudah terjadi. Rasa bersalah di hatiku timbul semula. Aku patut ceritakan semuanya. Aku tak kuat untuk menyimpan ini semua.



 Perlahan-lahan aku bangun dari kerusi jati menuju ke bilik. Tapi Makcik Jima dan kakak tiada di situ. Mereka berdua sedang berada di dapur, baru selesai menyiapkan makanan buat makan tengah hari. Aku minta semuanya berkumpul di ruang tamu.



 "Sebenarnya, sepanjang Sheeda hilang..ada sesuatu yang dah terjadi. Sheeda harap semuanya dapat bertenang sepanjang Sheeda ceritakan semuanya."



 Aku menarik nafasku dalam-dalam dan menghembuskannya sebelum aku mula bercerita. Dapatku lihat riak wajah masing-masing yang jelas terkejut dan seakan sukar untuk menerima apa yang aku ceritakan. Kakak memeluk Makcik Jima yang mula mengalirkan air mata. Ayah pula menepuk-nepuk perlahan bahu Pakcik Zainal, seakan cuba memberi semangat. Sebelah lagi tangan ayah memeluk kepalaku dan membawa ke dadanya. Dapat kulihat wajah ayah yang nampaknya sedih. Aku juga jadi sebak dan mula menangis. Suasana jadi sayu dan hiba. Hanya terdengar esak tangis. Masing-masing cuba menenangkan sesama sendiri.



 "Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud..." Ustaz Haji Omar bersuara. "...jauhilah tujuh perkara yang membinasakan, Baginda ditanya, 'Wahai Rasulullah, apakah tujuh perkara yang membinasakan itu?' Baginda menjawab; menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan haq, memakan harta anak yatim, memakan riba', lari dari medan perang (jihad), menuduh zina wanita mukminah padahal dia tidak tahu menahu (dengan zina tersebut)."    

*****

Pagi itu, aku, ayah, kakak, Makcik Jima dan Pakcik Zainal sama-sama berjalan kaki menuju ke sungai di hujung kampung. Waktu aku melalui kawasan rumah-rumah itu, memang sah rumah-rumah tersebut sudah lama tidak berpenghuni. Kata Pakcik Zainal, ramai penduduk yang tinggal berhampiran sungai berpindah ke tempat lain kerana tidak tahan diganggu. Ada juga yang risau benda sama yang terjadi pada Puteri, akan terjadi kepada anak-anak mereka.

Kami masing-masing hanya melayan perasaan. Sesekali kami membuka cerita tentang Puteri dan kenangan-kenangan waktu dulu. Waktu kami semua sudah mahu pulang, aku seperti ternampak lembaga yang berdiri tegak memerhati dari sebalik sebatang pokok yang besar. Tiba-tiba ia hilang dari pandangan.


(3463 patah perkataan)

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top