Puteri
(Peringatan : Dinasihatkan pakai headphone atau earphone sewaktu mendengar lagu di atas. Juga diingatkan supaya tidak ikut menyanyikan lagu ini hingga habis. Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini dari berlaku.)
Baru beberapa langkah aku ingin menapak ke ruang tamu, langkah aku kaku sebaik mataku tertancap pada sesusuk tubuh di sebalik pintu. Ingatan tentang mimpi tadi kembali terlayar di fikiran. Lagu yang muncul dalam mimpi tadi juga bagaikan terngiang-ngiang di cuping telinga.
"Sheeda!" Dia memanggil namaku. Aku yang baru naik dari tangga dapur hanya diam terpaku. Masih memerhati susuk tubuh itu. Seorang wanita lingkungan umur lewat 40an. Kenapa dia tiba-tiba saja ada dalam rumah ni? Macam mana dia masuk? Atau aku yang lupa kunci pintu rumah ni sebelum tidur tadi? Atau...dia bukan manusia? Boleh menembusi dinding rumah ini begitu saja? Bermacam-macam kemungkinan berlegar dalam benakku.
"Sheeda..kamu okey tak tu?"
Wanita itu berjalan menghampiriku. Aku jadi kaget. Aku berundur tiga langkah. Dia berhenti melangkah dan memandangku dengan riak risau.
"Makcik minta maaf, Sheeda. Makcik main buka pintu, main masuk je tadi. Dah la datang tengah-tengah malam. Kamu okey tak? Makcik tak tau pun kamu balik sini. Ayah kamu telefon pakcik tadi, minta tengok-tengokkan kamu. Dia telefon kamu banyak kali tapi tak dapat. Makcik pun datanglah. Takkan pakcik kamu pulak yang nak datang kan..."
"Maaf, makcik ni siapa?"
"Sheeda dah tak ingat makcik ya? Patutlah nampak takut semacam." Dia mengukirkan senyuman sebaik habis berbicara. Dahiku mula berkerut, cuba mengingati siapakah gerangan wanita tua yang sedang berada di laluan antara dapur dan ruang tamu ini.
"Ni Makcik Jima," katanya sambil meletakkan tapak tangan ke dadanya. "..isteri Pakcik Zainal yang ayah kamu upah untuk jaga rumah ni. Kamu dulu kan selalu datang rumah makcik setiap kali balik kampung. Main dengan anak makcik sorang tu, Puteri. Ingat tidak?"
"Oh, baru ingat. Lama betul dah, makcik. Saya terlupa dah. Saya minta maaf ya?" Terasa lega hati setelah dapat mengingat semula tentang wanita tua ini.
"Tak apa Sheeda. Dah lama kamu tak balik sejak Arwah Haji Sulaiman meninggal. Ni dah makan belum?"
"Belum, makcik...tadi tertidur lepas Maghrib. Ni baru je terjaga. Ingat nak masak megi."
"Tak payah masak. Makcik ada bawak nasi tomato lauk ayam masak merah. Masak waktu makan malam tadi. Memang rezeki kamulah, makcik masak lebih. Teringat pula dulu kamu suka sangat nasi tomato yang makcik masak kan? Sebab itu makcik bawa ni."
Aku mengangguk sambil tersengih kekok. Hakikatnya aku sudah tidak ingat tentang semua itu. Padahal waktu itu aku sudah masuk sekolah rendah. Aku bukanlah seorang yang pelupa. Tapi entah kenapa aku sudah lupa tentang Makcik Jima dan anaknya. Puteri? Aku pernah bermain dengan dia? Kenapa aku tak ingat?
Tanpa banyak soal, aku mengajak Makcik Jima ke dapur. Aku ajak dia makan sekali tapi katanya dia sudah kenyang. Memang sedap nasi tomato masakan Makcik Jima. Nasib baik dia bawa lebih. Bolehlah aku menambah. Sambil Makcik Jima teman aku makan, kami bersembang tentang bermacam perkara. Sampailah Makcik Jima meminta diri untuk pulang waktu jarum jam bergerak ke pukul tiga pagi.
Aku yang kekenyangan, mula terasa mengantuk. Namun aku tergelak apabila teringatkan semula reaksi aku waktu mula-mula nampak Makcik Jima tadi. Boleh pula aku ingat dia hantu. Ah, hantu mana ada wujud! Mungkin cuma wujud dalam cerita, khayalan atau mimpi saja. Bukan realiti.
Aku tunaikan dulu solat Isyak di ruang tamu sebelum masuk ke bilik tidur. Waktu berbaring, aku cuba mengingat semula tentang anak Makcik Jima. Siapa Puteri?
Beberapa minit aku cuba merenung kembali masa silam, bermacam rasa berbaur jadi satu saat aku teringat kembali tentang dia. Tentang Puteri. Segala kenangan dengannya juga timbul kembali. Sudahnya, sampai ke subuh aku tidak dapat melelapkan mata.
*****
Kononnya tak boleh tidur, lepas aku buka novel dan baca, tak sampai sepuluh minit novel itu sudah berada atas muka. Sedar-sedar saja novel sudah ada dekat atas lantai, tepi katil. Aku bukannya suka sangat baca novel. Novel ni kakak aku yang bagi sebagai salah satu hadiah dari dia. Dah lima bulan ada di rak buku, aku bawa saja ke sini. Mana tahu boleh buat penghilang bosan. Rupanya buat aku makin bosan. Aku tergelak sendiri.
Aku ambil fon di tepi bantal. Pukul empat petang. Sikit saja lagi mahu terlepas waktu Zuhur. Kelam-kabut aku ke tandas dan ambil wuduk, kemudian tunaikan solat. Setelah itu, aku membersihkan diri. Anak dara siapalah ni petang-petang pun masih belum mandi.
Siap berpakaian, aku menjenguk keluar tingkap bilik. Cuaca nampaknya baik. Sesuai sangatlah kalau aku nak bersiar-siar sekitar kampung. Semalam aku sudah bersiar-siar di sebelah Barat kampung. Jadi hari ini aku nak bersiar-siar di Timur kampung, sampailah ke hujung. Di hujung sana ada anak sungai. Dulu, setiap kali aku balik ke kampung aku pasti akan ke sungai ditemani kakak. Kadang aku ke sana dengan...Puteri. Kami akan bermain air sampailah jari-jari terasa kecut dan badan menggeletar kesejukan.
Aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki saja. Barulah namanya bersiar-siar. Satu-persatu nostalgia singgah di fikiran. Sesekali aku tersenyum sendiri.
Beberapa minit berjalan, aku ternampak beberapa biji rumah yang dibina berkelompok. Ada jiran-jiran yang sedang melepak di anjung rumah mereka. Semuanya memandang ke arah aku. Aku pamerkan senyuman. Tapi senyuman aku tidak dibalas. Lagu yang aku dengar dari kawasan perumahan itu aku ikut menyanyikannya sekali. Perlahan.
Cindailah mana tidak berkias
Jalinnya lalu rentah beribu
Bagailah mana hendak berhias
Cerminku retak seribu...
Teringat pula masa aku kecil dulu, lagu inilah antara yang aku paling suka. Tapi kakak selalu marah setiap kali aku mahu menyanyikan lagu ini. Bagi aku melodinya sangat bagus, dengan liriknya yang begitu mendalam. Seakan puisi.
Aku teruskan saja berjalan. Sampailah aku dengar deruan air yang mengalir. Simfoni alam yang indah bagi aku. Dengan tidak sabarnya aku berlari sampai ke sungai itu. Aku makin teruja apabila melihat air sungai yang jernih, masih sama macam dulu. Dengan anak-anak ikan yang kelihatan bermain-main di celahan batu. Terus aku buka selipar dan perlahan-lahan turun ke dalam sungai. Sejuk! Terasa sampai ke kepala. Aku duduk di atas batu sambil tangan meraba-raba dalam poket. Ingin mengeluarkan fon untuk kuambil gambar pemandangan yang indah ini.
Sedang aku leka mengambil gambar, aku terlihat seorang gadis sedang duduk di atas batu, sama macam aku. Dia memakai kebaya merah yang bagi aku nampak sungguh anggun dan menarik. Di tangannya ada sepatu merah, sama merahnya dengan warna kebaya yang tersarung di tubuhnya. Adakah dia seperti aku, pulang ke kampung untuk bercuti? Atau dia memang penduduk kampung ini?
Kaki melangkah mengikut kata hati yang mahu menegur gadis itu. Angin yang perlahan menghembus membawa haruman bunga yang mungkin datang dari gadis itu. Bunyi kocakan air menyedarkan dia, membuatkan dia berpaling dan memandang ke arahku sebelum menghadiahkan senyuman yang manis. Cantiknya dia! Bibir yang dicalit dengan gincu rona merah itu sangat menggoda pada pandanganku. Pelan-pelan, aku balas senyum dia.
"Hai.." Aku sapa dia.
"Hai, nama kita Puteri. Awak?"
"Puteri? Hmm..nama awak sama macam kawan saya dulu. Saya Sheeda." Kami bersalaman.
"Bercuti ke?"
"Taklah..kita memang orang sini. Kita selalu datang sini petang-petang. Tenang je rasa duduk kat sungai ni. Tengok burung-burung terbang, tengok anak-anak ikan, tengok pemandangan. Kadang-kadang waktu malam pun kita datang."
"Tak takut ke duduk sorang-sorang?" Aku tanya dia.
"Tak..buat apa nak takut? Kita dah biasa dah. Ni kan tempat kita."
Itu saja yang kami bualkan. Masing-masing hanya menikmati pemandangan. Puas duduk di atas batu, aku bangun dan tundukkan kepala, sampailah rambut aku yang pendek ini dapat cecah ke gigi air. Nyamannya rasa. Puteri tergelak melihat aku. Mungkin nampak kelakar bagi dia. Aku pun apa lagi, aku kocak air laju-laju ke arah dia. Menjeritlah dia takut kebaya dia yang cantik tu basah. Tapi lepas itu dia lawan balik. Habis basah baju aku.
Hari bertukar makin gelap. Aku meminta diri untuk pulang. Dia juga sama, mahu pulang.
"Malam nanti kita datang lagi. Awak nak datang tak? Kalau awak nak, kita tunggu sini. Kita selalu datang sorang-sorang. Sesekali kita nak juga ada kawan temankan." Dia memandang tepat ke mataku, sepertinya berharap aku setuju.
"Okey. Pukul berapa?"
"Yeay! Pukul sepuluh tau."
Aku tak kisah. Kalau dekat rumah sewa pun aku selalu juga melepak dengan kawan-kawan waktu malam. Tak ada masalah.
*****
"Tambahlah lagi, Sheeda. Banyak lagi lauk tu. Makcik masak memang nak bagi kamu makan."
"Sudah la ni, makcik. Meletup perut saya karang. Dah tiga kali menambah ni..hahaha.." Makcik Jima juga ketawa bersama.
"Haa yelah. Dah, pinggan tu tak payah basuh. Letak je situ."
Aku tak hiraukan pun larangan Makcik Jima. Aku basuh saja pinggan. Buat malu sajalah kalau anak dara macam aku ni lepas makan pun malas basuh pinggan. Walaupun aku agak menyerupai lelaki dari segi perangai, tak semestinya aku tak reti buat kerja-kerja dapur.
"Makcik, pakcik. kalau tak keberatan, saya nak tanya." Aku bersuara waktu kami rehat-rehat di ruang tamu rumah Pakcik Zainal.
"Tanyalah, Sheeda. Kami akan jawab." Pakcik Zainal membalas.
"Emm...macam mana Puteri boleh meninggal? Dia muda lagi kan waktu tu. Baru 14 tahun."
Makcik Jima sedikit menunduk. Mungkin soalan aku sudah menerbitkan rasa sedih dalam hatinya. Aku yang terasa bersalah meminta maaf dengan mereka berdua.
"Tak apa, Sheeda. Benda dah jadi. Iya, kami sedih. Dialah satu-satunya anak kami. Tapi Allah lebih sayangkan dia. Dia pergi dulu. Macam ni ceritanya, Puteri ni suka sangat ke sungai dekat hujung kampung tu. Dia cakap, setiap kali dia ke sana, dia teringatkan kamu. Kamu tahu kan Puteri ni jenis pendiam, tak reti nak berkawan. Kamulah dia anggap sebagai kawan rapat dia walaupun kamu hanya datang sini waktu cuti sekolah saja."
Hatiku terasa bersalah. Walau kami jarang berjumpa, aku ini penting di hati Puteri. Aku? Boleh pula lupakan dia begitu saja.
"Sejak Arwah Haji Sulaiman meninggal, kamu dah tak balik sini, lagi kerap dia ke sungai tu. Kami dah larang, sebab tempat tu sunyi. Tapi dia selalu merajuk, nak juga ke sana. Katanya dia jumpa seorang kawan baru dekat sana. Kawan yang dia boleh ajak bersembang. Kami tahu dia sunyi jadi kami benarkan saja. Suatu petang, dia ke sungai macam biasa. Bawak kuih nak berkelah dengan kawan dia tu. Tapi dah senja pun masih belum balik. Pakcik ajak semua penduduk kampung pergi cari dia. Tak juga jumpa. Risaunya pakcik dengan makcik, hanya Allah saja yang tahu."
Pakcik Zainal berhenti seketika dari bersuara. Tangannya mencapai hujung lengan baju dan menariknya ke kelopak mata, mengesat air yang baru saja mengalir. Aku lihat Makcik Jima juga sudah bergenang matanya. Tangannya mengusap-usap belakang badan Pakcik Zainal.
"Empat hari mencari, masih juga tak jumpa. Ustaz Haji Omar mengajak kami buat solat hajat sebelum pergi ke anak sungai tu. Kata dia, Puteri sudah disorok ke alam bunian. Waktu dia di alam lain, dia sudahpun lemas dalam sungai. Setelah bertungkus-lumus sampai ke lewat pagi, barulah Ustaz Haji Omar dapat tahu lokasi sebenar Puteri. Orang bunian itu macam mahu sorokkan terus jasad Puteri walaupun Puteri sudah tak bernyawa. Sebab apa, kami tak dapat tahu. Yang pakcik tahu, pakcik cuma nak anak pakcik balik."
*****
"Puteri dah tak macam dia waktu kami jumpa jasad dia. Mukanya biru keunguan, lidah sedikit terjelir, dagunya sedikit hilang, macam digigit sesuatu. Matanya pun sudah lompong."
Cerita-cerita dari mulut Pakcik Zainal tadi masih berlegar di minda, membuatkan aku mengambil keputusan untuk terus balik ke rumah saja. Katanya, sejak kejadian itu, tidak ramai yang berani ke sungai waktu petang. Apatah lagi kalau malam. Lagipun macam bahaya juga kalau aku berjalan ke sungai seorang diri malam-malam macam ni. Sedang aku berbaring di atas lantai ruang tamu, aku alihkan pandangan ke dinding sebelah kanan, ke arah jam yang melekat di situ. Pukul 10.35malam.
Tak semena-mena bayangan wajah gadis berkebaya merah yang aku jumpa waktu di sungai tadi wujud di fikiran. Timbul rasa kasihan pada dia. Mesti dia tunggu aku. Dia masih menunggu atau sudah balik ya? Aku tak boleh macam ni. Aku sudah janji mahu berjumpa dia. Aku bangun dan terus capai kunci rumah yang tergantung di paku pada tiang. Aku keluar dan berjalan sedikit laju. Mahu cepat sampai ke sungai. Cahaya bulan yang terang membantu menerangi jalan yang aku lalui.
Beberapa ketika, kaki ku mula terasa letih. Aku memperlahankan sedikit langkahku. Waktu aku sampai di kawasan rumah-rumah orang kampung, aku lihat rumah masing-masing sudah gelap pada bahagian dalamnya. Sunyi saja. Hanya lampu luar yang terbuka. Biasalah suasana kampung, bukan macam di bandar.
Sesampainya aku di sungai, aku mencari kelibat gadis itu. Ke kanan dan kiri mataku memandang tapi tak jumpa. Aku berjalan lagi, menghampiri batu-batu tempat kami duduk siang tadi. Kelibat dia masih tidak ada. Mungkin dia sudah jemu menunggu aku yang tak kunjung tiba. Mungkin juga dia sudah merajuk kerana aku tidak menepati janji, langsung pulang ke rumah.
Aku memeluk tubuh apabila terasa angin yang tiba-tiba kuat menghembus.Pokok-pokok di sekitar sungai melambai-lambai. Bunyi daun-daun kering ditiup angin menerpa gegendang telingaku. Terasa seram sejuk pula dengan suasana yang macam ini.Baik aku pulang saja.
"Sheeda..."
Aku berpaling sebaik terdengar suara memanggil namaku. Seakan berbisik. Tapi masih tiada sesiapa di sekitar. Khayalan saja, fikirku. Tak semena-mena, aku terdengar seperti bunyi sesuatu yang terhantuk pada batu. Aku tertinjau-tinjau ke arah sungai. Berderau darahku apabila terlihat ada sesuatu yang terapung. Dengan perasaan gementar aku berjalan lebih dekat, mahu memastikan apa objek yang terapung itu. Mataku terbuntang sebaik melihat sekujur tubuh yang terapung kaku di tebing sungai, terkepung dengan batu besar. Bayang-bayang pokok di bawah sinaran bulan menyukarkan aku untuk melihat wajah dia.
Dalam keadaan panik, aku berlari. Mahu meminta tolong dengan penduduk kampung. Aku kena cepat! Mungkin itu gadis berkebaya merah yang aku jumpa petang tadi. Aku harap dia dapat diselamatkan.
"TOLONG!! TOLOOONG!! ADA ORANG LEMAS!!" Jeritku apabila semakin hampir dengan kawasan kejiranan tadi.
Semakin aku hampir dengan rumah-rumah itu, aku jadi terpinga-pinga. Langkahku jadi perlahan kemudian terhenti. Rumah-rumah yang aku lihat ada penghuninya petang tadi, kini gelap-gelita dan usang. Ada pintu dan dindingnya sudah terkopak,tingkap yang pecah serta tangga yang sudah roboh. Lalang kelihatan meninggi,sekitarnya dipenuhi semak-samun dan tumbuhan liar melata naik sampai ke atas dinding dan bumbung rumah. Aku menggaru kepala, seakan bingung.
Ini tak boleh jadi. Aku tak boleh biarkan saja orang tadi dekat sungai. Aku perlu buat sesuatu. Mungkin aku boleh cuba praktikkan bantuan pertolongan cemas yang sudah aku belajar dulu. Aku berlari kembali ke arah sungai. Sambil berlari, aku terasa menyesal kerana tidak memberi bantuan awal-awal tadi.
Sampai di sungai, aku ke tempat tadi. Tempat aku nampak sekujur tubuh yang terendam dalam air itu. Tapi tubuh itu sudah tiada, sudah lenyap.
(2379 patah perkataan)
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top